Cerpen: Teduhan Langit di Kota Zaiden


Nafasnya tercungap-cungap. Dadanya terasa sakit. Tapaknya melangkah laju membelah angin bumi. Dia tidak tahu jika kedua-dua kakinya itu mampu bertahan lebih lama lagi. Matanya berkaca. Titisan air jernih mula mengalir membasahi pipinya. Gadis itu menyeka air matanya yang berlinangan. Perjalanannya perlu diteruskan. Langkah terus diatur ke hadapan. Perlahan-lahan, pandangan matanya mula menangkap figura tembok besar yang dibuat daripada batu-bata. Akhirnya, langkahnya terhenti. Di hadapannya itu merupakan tembok pemisah sempadan antara dua buah kota. Sekali keluar dari sempadan, peluangnya untuk kembali ke kota ini amat tipis. Atau mungkin tidak ada lagi. Rambut panjangnya dibawa ke belakang, diikat gaya sanggul. Dia tekad. Hatinya membulat. 

***

Arslan! Arslan!

Seorang lelaki berkulit sedikit gelap, berjambang putih dan berusia hampir separuh abad melangkah masuk ke dalam kedai yang tidak berpintu itu. Pandangan matanya melingkar di sekitar ruangan kedai yang dibina sepenuhnya daripada batu-bata yang tidak berbumbung dan berpintu itu. Dia memerhatikan pedang-pedang yang tergantung pada dinding kedai itu. Namun, tidak ada yang memenuhi kriteria yang dikehendakinya. “Arslan!” serunya lagi.

“Ya Pak Birki,” satu suara menyahut dari belakang. Kain putih yang dijadikan langsir diselak. Seorang pemuda berkulit sawo matang, berusia sekitar 20-an muncul. Tubuhnya yang tidak berbaju dipenuhi keringat. Dia hanya memakai seluar hitam yang panjangnya paras ke betis. Rambutnya depannya yang hampir menyentuh kening ditolak ke atas. “Kot iya pun berilah salam dulu Pak Birki. Nak beli pedangkah, Pak Birki?” Lelaki yang digelar Pak Birki itu tersengih malu.

“Ya, Arslan. Tapi aku tak mahu pedang biasa. Aku mahu pedang yang unik, yang sekali dilibas, tertumpas terus musuh bajingan dari Kota Belista itu! Aku mahu mereka merayu-rayu kesakitan sambil meminta diampunkan atas kemusnahan yang mereka lakukan ke atas kota kita,” bicara Pak Birki penuh semangat sambil mendabik dadanya. 

“Kalau begitu kenapa Pak Birki tak kerja saja dengan kerajaan? Mereka pasti dibekalkan dengan senjata yang lebih canggih daripada pedang yang aku hasilkan. Aku dengar, tentera kerajaan boleh dapat makanan istana dan keluarga mereka yang wanita dibenarkan untuk bekerja di istana. Boleh jadi dayang, tukang jahit, tukang masak, atau mengajar kanak-kanak mengaji. Keselamatan di istana pun lebih ketat. Lumayan tu Pak Birki.”

Pak Birki mendengus lemah. “Tak mahulah aku. Aku sayang rumah yang aku ada sekarang. Ibu Birki kau, isteri aku tu pun lebih selesa tinggal di situ. Lagipun dia bukan larat sangat buat kerja-kerja berat sejak jatuh sakit hari tu.”

Arslan menyarungkan baju di tubuhnya. “Baiklah Pak Birki. Aku dah tahu sebenarnya, saja buat-buat tanya,” Arslah tersengih menampakkan lesung pipitnya. “Kebetulan aku memang nak cari bahan di hutan belakang tu. Nanti aku carikan bahan untuk pedang Pak Birki sekali. InsyaAllah dalam tiga hari lagi Pak Birki boleh datang ambil.”

“Baiklah Arslan. Nak masuk hutan tu hati-hati. Kadang-kadang ada tentera Belista berkeliaran di situ.”

“Ini Arslanlah Pak Birki,” Arslan mendabik dadanya pura-pura berlagak.

“Tiga hari lagi aku datang. Kirim salam aku kepada ibu dan kakakmu Aisha.”

“Beres, pak.” Arslan tersenyum mesra.

***

~ Setia berkorban pertahan Raja
Islam agama perlu dibela
Hidup sentosa makmur sentiasa
Kota Zaiden kebanggaan kami ~

Arslan menyanyikan lagu kebangsaan Kota Zaiden sambil mengikat kayu-kayu yang dikumpulkannya sebentar tadi. Kayu tersebut akan dijadikan pemegang dan sarung pedang kelak. Pemuda itu sudah belajar membuat pedang bersama ayahnya sejak kecil lagi. Pada usia empat belas tahun, Arslan tidak lagi menyambung belajar seperti remaja lain. Dia sudah masuk bekerja bersama ayahnya. Di Kota Zaiden, tidak ramai remaja yang mempunyai peluang untuk sambung belajar. Seawal usia muda, ramai yang terpaksa bekerja demi mendapatkan bekalan makanan untuk keluarga masing-masing. Semenjak ayahnya meninggal dunia, pemuda itulah yang bekerja keras demi keluarganya. 

“Kota Zaiden kebanggaan kami… Kota Zaiden kebang…” nyanyian Arslan terhenti sejurus mendengar suara jeritan dari kejauhan. Wajah pemuda itu bertukar serius. Kayu yang berada di tangannya diletakkan di bawah. Tangan kanannya memegang pedang yang sedari tadi diikat di belakang tubuhnya. Di Kota Zaiden, suara jeritan atau bunyi tembakan sudah tidak asing lagi. Peperangan antara Kota Belista dan Kota Zaiden sudah lebih dua puluh tahun berlangsung dan masih belum tiba ke penghujung. 

Arslan mengatur langkahnya perlahan, cuba mencari punca jeritan tersebut. Semak-samun di hadapannya diselak. Pandangan matanya menangkap figura dua pemuda berbadan tegap yang berpakaian tentera dan seorang gadis yang berambut panjang. Salah seorang tentera itu sedang menarik tangan gadis itu dan seolah-olah sedang memaksanya untuk mengikuti mereka. Arslan sempat menganalisis ketiga-tiga figura yang sedang berada tidak jauh di hadapannya itu. Terdapat juga lambang salib khusus yang dijahit pada baju tentera-tentera tersebut yang mirip dengan rantai salib yang dipakai oleh gadis itu. Sekilas melihat, sesiapa pun sudah boleh mengetahui bahawa mereka adalah rakyat daripada Kota Belista. 

Jika diikutkan akal, sudah tentulah pemuda itu tidak mahu terlibat dengan adegan yang sedang disaksikan itu. Namun, ada sedikit belas kasihan muncul dalam dirinya. Meskipun gadis itu berasal dari Kota Belista  yang sering melakukan kekejaman terhadap Kota Zaiden, dia tetap sedang ditimpa musibah. Arslan tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas, namun dia dapat mengagak bahawa gadis itu sudah tidak bermaya lagi. Arslan menarik nafas panjang. Sarung pedangnya ditanggalkan. 

“Hei, hei. Ibu kalian tidak ajarkah untuk tidak berkasar pada wanita?” Arslan keluar dari persembunyiannya. Dia tahu, dia sedang menggali lubang kubur sendiri. Siapa tahu jika masih ada tentera-tentera lain yang berhampiran. Namun nalurinya menyuruh dirinya untuk membantu gadis yang sedang berada di dalam kesusahan itu. Jika Aisha, kakaknya yang berada di dalam posisi itu, sudah pasti dia tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku kepadanya. Gadis yang tadinya menjerit itu sedikit berpaling, terkejut. Kedua-dua tentera itu juga melakukan hal yang sama.

“Ohoh, apa yang kita ada di sini? Rakyat Zaiden yang sedang menunggu ajalnya!” ujar tentera yang sedang memegang tangan gadis itu. Dia menolak keras gadis itu ke arah rakannya. “Argo, kau uruskan dia. Biar tikus ini, aku yang pijak.” Pedangnya dihunus ke hadapan.

Maka pertarungan satu lawan satu pun bermula. Tentera yang berwajah bengis itu maju ke arah Arslan. Pedangnya dilibas kuat, namun berjaya dihentikan lawannya. Dengan pantas, Arslan pula cuba mencari jalan untuk melibasnya, tetapi juga berjaya dihentikan. Perkara yang sama berulang beberapa kali. Masing-masing cuba mencari kelemahan lawan. Setelah berjaya menangkap teknik berlawan musuh, Arsan berundur beberapa tapak ke belakang dan akhirnya menghunus pedang tersebut tepat ke perut lawannya. Tentera itu menjerit kesakitan. Arslan mencabut pedangnya, dan membuat tikaman kali kedua di sebelah kiri perut bagi memastikan lawannya tidak dapat bergerak untuk beberapa tempoh waktu. Tentera itu meringkuk rebah di atas tanah. 

Kini, pandangan matanya beralih pula kepada tentera berkening tebal yang sedang memeluk gadis itu. Dia menolak gadis itu keras sehingga tubuhnya rebah di atas tanah. Pedangnya dihunus ke hadapan. Dia mula menyerang Arslan. Arslan berjaya mematikan beberapa kali libasan si kening tebal itu. Apabila lawannya terbuka, segera pemuda itu menghantar masuk hunusan pedangnya mengenai perut. Sama seperti tentera bermuka bengis tadi, Arslan menghantar hunusan kedua masuk ke perut lawannya bagi merebahkannya. Kemudian, segera pemuda itu menuju ke arah gadis yang sedang perlahan-lahan bangkit. 

“Kau tak apa-apa? Kita kena pergi dari sini cepat.” Gadis itu mengangguk perlahan, masih ragu-ragu untuk menerima pertolongan lelaki di hadapannya itu. Namun langkahnya pantas mengikuti langkah Arslan sejurus pemuda itu bergerak meninggalkan kawasan itu. Arslan berjalan pantas, namun sekali-sekala dia menoleh ke belakang bagi memastikan gadis itu mengikuti jejak langkahnya. Gadis itu cuma menuruti jejaknya tanpa bersuara. Hanya nafasnya yang mengah kedengaran di hujung telinganya.

Setelah hampir beberapa lamanya perjalanan, Arslan mula memperlahankan langkahnya. Dia melihat kawasan sekeliling. Kemudian, wajah gadis itu diperhatikan. Gadis itu mempunyai kulit yang cerah, bermata coklat hazel, hidung mancung dan memiliki rambut perang yang ikatannya hampir tertanggal. Wajahnya sudah kotor terpalit tanah, mungkin kerana terjatuh tadi. Belum pernah Arslan melihat gadis cantik sepertinya sebelum ini. Dia mengagak bahawa gadis itu mungkin keturunan bangsawan. 

“Aku rasa kita selamat di sini. Apa kamu buat di kota ini? Gadis macam kau tak sepatutnya berada di kawasan ini. Hutan ini bahaya,” Arslan memecahkan kebisuan sambil menyeka keringat di dahinya. Hatinya masih belum tenteram kerana telah masuk campur dalam urusan rakyat negara musuhnya. 

Gadis tersebut senyap seketika, cuba mengatur jawapan untuk pertanyaan tersebut. “Aku… aku lari dari rumah.”

“Tak salah lari dari rumah, tapi kenapa sampai melanggar sempadan? Kalau ada rakyat Zaiden yang nampak lambang salib Belista tu, percuma saja kau kena libas dengan pedang.” Arslan cuba memikirkan sesuatu. Apakah tindakan seterusnya yang harus dilakukannya? Dia cuma berhadapan dengan tentera-tentera tadi untuk menyelamatkan gadis itu. Sekarang, dia tidak tahu langkah seterusnya. Gadis itu masih senyap.

“Kau ada hala tuju?” Gadis itu menggeleng.

“Ada orang yang boleh hulurkan perlindungan?” Sekali lagi geleng.

“Apakah kau membenci rakyat Zaiden? Atau mungkin askar pengintip?” Arslan menyoal tegas.

“Tak. Aku cuma lari dari rumah,” jawabnya perlahan.

“Macam mana aku nak tahu kau tak berbohong?”

“Kalau aku askar pengintip kerajaan, mestilah tentera tadi lepaskan aku.”

Arslan cuba membuat perhitungan dalam kepalanya. Jika dia membantu seorang rakyat Kota Belista, banyak masalah yang akan menimpa dirinya dan mungkin keluarganya. 

“Namamu siapa?” soalnya lagi ibarat polis yang baru menangkap seorang pencuri. “Grace.” 

Arslan mengambil kain yang digunakan untuk mengikat pedangnya, dicampakkan perlahan di atas kepala gadis yang bernama Grace itu. “Ambil kain itu dan tutup rambutmu. Aku akan cuba tolong kau apa yang aku mampu. Mulai sekarang, kalau ada yang tanya nama kau, katakan saja Izabel. Satu lagi, simpan rantai salib kau dan ikut aku.” Arslan mula bergerak tanpa menunggu balasan daripada Grace. Namun dia berpaling semula apabila menyedari gadis itu tidak mengikut jejak langkahnya.

“Kau ada pilihan. Tinggal di sini untuk dikejar tentera kerajaan kau, atau ikut orang yang baru selamatkan kau,” ujar Arslan sambil meneruskan langkahnya. Grace akhirnya mengalah dan memutuskan untuk mengikuti pemuda yang baru dikenalinya itu.

***

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Aisha meletakkan baju yang sedang dijahitnya di atas meja. Gadis berwajah manis itu membuka pintu rumahnya. Dia sudah mengetahui siapa yang berada di balik pintu itu. Tekaannya tepat. Arslan muncul sambil melemparkan senyuman. Namun bersama Arslan, Aisha dapat melihat satu lagi susuk tubuh asing yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Sebelum sempat Aisha bertanya, Arslan terlebih dahulu menjelaskan.

“Kak Aisha, ini Izabel. Nama sebenarnya Grace. Aku jumpa dia masa cari bahan dalam hutan tadi. Izabel ni anak tentera berpangkat tinggi dari Kota Belista, tapi dia lari dari rumah sebab gaduh dengan ayahnya yang suka membunuh. Buat sementara waktu, Izabel tinggal dengan kita dulu.” Arslan meneguk minuman kopi yang berada di atas meja. Aisha dan Izabel masih berdiri di muka pintu.

“Kamu dah gilakah, Arslan? Sumpah. Sumpah kamu dah gila. Belista? Apa kau dah buat ni?” Aisha berjalan mundar-mandir. Wajahnya yang manis tadi berkerut seribu. Masih cuba menghadam berita yang baru didengarinya. Dia tahu adiknya gila, tetapi dia tidak tahu adiknya gila sehingga tahap ini. Aisha merenung wajah gadis yang baru dibawa pulang adiknya itu. Dia menarik lengannya masuk dan pantas menutup pintu. “Kau memang dah gila, adikku. Bayangkan reaksi ibu bila dia tahu perkara ni.”

Arslan menarik lengan Aisha, mengajaknya duduk. Dia juga menyuruh Izabel untuk duduk. Kedua-dua mereka menuruti perlahan. “Kau katakan saja Izabel ni teman kuliahmu dulu. Dan kalau orang lain tanya, kita katakan Izabel saudara kita yang datang dari jauh.”

“Adikku Arslan, kenapa sampai bawa balik Izabel ke sini? Macam mana kalau tentera Belista cari dia sampai ke rumah kita? Aku tak sanggup,” Aisha masih resah. Arslan memegang lembut bahu kirinya.
“Kak Aisha. Izabel ditimpa kesusahan. Islam mengajar kita untuk membantu orang yang ada dalam kesusahan, kan? Ayah pun kalau ada di tempat aku, dia mesti akan buat benda yang sama. Percayalah. Selagi orang tak nampak rambut perang Izabel dan lambang salib Kota Belista, insyaAllah tak ada apa-apa yang akan berlaku. Aku.. aku akan usahakan sesuatu.” Aisha sedikit tenang mendengar jawapan itu meskipun hatinya masih tidak yakin. 

“Kak, aku tak boleh lama-lama tinggalkan kedai. Ada lagi beberapa tempahan pedang yang belum siap. Malam ni aku pulang lewat sikit. Kak Aisha tolong Izabel apa yang patut ya,” Arslan menepuk dua kali bahu Aisha yang lembut. Sebelum beredar, dia sempat berpaling kepada Izabel.

“Ini kakak aku, Kak Aisha. Buat masa sekarang, kau tinggal di sini. Kak Aisha akan tunjuk kau apa yang patut. Sementara itu, aku harap kau boleh fikirkan apa yang kau nak buat lepas ni,” ujarnya lantas berlalu keluar.

Aisha dan Izabel berpandangan sesama sendiri.

***

Cahaya matahari yang terik menerobos masuk menerusi jendela bilik yang tidak berlangsir itu. Izabel mengusap matanya yang terkena tempias mentari itu. Dia menguap panjang. Tidurnya malam tadi terasa begitu nyaman. Bahkan begitu nyenyak akibat kepenatan. Sejurus sahaja pemuda yang bernama Arslan itu beredar petang semalam, wanita yang bernama Aisha memperkenalkannya kepada ibu mereka yang terlantar di bilik. Katanya ibunya sudah lama terlantar sakit semenjak kematian ayahnya. Tidak larat untuk berjalan. Bercakap pun tidak boleh. 

Kemudian, Aisha menjamahnya dengan makanan dan menunjukkan biliknya. Mereka cuma berbual dan selepas makan malam, Izabel tertidur sehingga tadi. Bahkan dia tidak tahu sama ada pemuda yang menyelamatkannya itu pulang ke rumah ataupun tidak malam tadi. Dia tidak sempat berterima kasih kepadanya kerana masih kebingungan. Hatinya masih gelisah, namun terdapat sesuatu pada rumah ini yang mengundang sedikit ketenteraman kepada jiwanya. Dia tidak tahu. Kebaikan? Atau kasih sayang yang sudah lama tidak dirasainya? Dia tidak tahu.

Izabel mengikat rambutnya yang panjang dan berjalan menuju ke jendela kamarnya. Jendela itu berbeza dengan jendela yang ada di biliknya suatu ketika dulu. Dia cuba memikirkan cara untuk membukanya. Akhirnya, dia berjaya menolak jendela itu ke luar.

“Aduh!” Satu suara kedengaran. Izabel kaget. Dia menoleh ke kanan. Arslan sedang mengusap dahinya yang terkena jendela sewaktu dia hendak melintasi kawasan itu.

“Maafkan aku! Aku tak perasan,” Izabel sedikit panik. Dia harus menjaga tingkahnya sepanjang tinggal di situ.

“Tak apa. Tingkap bilik ni pun dah lama tak terbuka,” Arslan masih mengusap dahinya. 

Izabel merenung sejenak lelaki itu. Sedang memikirkan kata-kata untuk diungkapkan. “Erm. Tuan Arslan. Terima kasih selamatkanku semalam. Aku tak sempat mengucapkannya kepadamu.” Izabel melarikan pandangannya. Segan.

“Panggil aku Arslan saja. Aku bukannya orang berpangkat besar pun. Aku cuma tukang buat pedang untuk penduduk di sini. Pedang-pedang yang digunakan untuk lawan tentera bajingan Belista…” Arslan tidak menyambung kata-katanya. Dia baru sedar, di hadapannya itu merupakan seorang rakyat kota musuhnya. 

Izabel tersenyum tipis. Dia tahu kebenaran di balik kata-kata pemuda itu. Dia tahu kerajaan negaranya banyak mengakibatkan kematian dan krisis kepada kota ini. Dia juga tahu, Kota Belista telah banyak menceroboh dan menyalahgunakan kuasa serta kecanggihan yang mereka ada. Dia tidak hairan sekiranya penduduk tempatan menghinanya jika mereka mengetahui gadis itu merupakan rakyat negara musuh. Bahkan dia hairan mengapa Arslan dan Aisha masih belum menyerahkannya kepada pihak berkuasa tempatan untuk dihukum kerana menceroboh sempadan.

“Izabel?” Arslan melambai-lambai tangannya di hadapan wajah gadis itu. Jauh termenung nampaknya.

“Maaf,” Izabel tersengih sendiri mempamerkan wajahnya yang manis.

“Kebetulan kau dah bangun. Pergilah sarapan dulu. Kak Aisha ada sediakan sarapan yang sedap. Masakan Kak Aisha tak pernah tak sedap. Tapi jangan beritahu dia! Lepas sarapan, aku bawa kau keliling kota, nak? Walau apapun, kau tetap tetamu di sini.”

“Boleh!”

***

“Ouch!” Izabel melepaskan jarum yang dipegangnya. Dia menggoyangkan tangannya untuk menghilangkan kesakitan terkena jarum. 

Aisha yang sedari tadi memerhatikannya tertawa kecil. “Masuk kali ni dah berapa kali kau terkena jarum, Izabel?” Dia tidak dapat menahan geli hati melihat kesungguhan gadis berambut perang itu. Comel. Walaupun Aisha sudah melarang, Izabel tetap mahu membantu menjahit. Katanya bosan duduk diam di rumah. 

Sedar tidak sedar, sudah hampir dua minggu gadis itu menemaninya di rumah. Setidak-tidaknya, dia tidak berasa sunyi lagi. Semenjak ibunya terlantar sakit dan tidak bercakap, Arslan pula sering menyibukkan diri dengan pekerjaannya. Adiknya akan pulang pada waktu malam dan biasanya cuma berada di rumah pada hujung minggu. Namun semenjak Izabel tinggal di situ, Arslan kadangkala akan pulang pada waktu tengah hari. Mungkin mahu memastikan tetamunya itu selesa tinggal di rumah mereka. 

Arslan banyak mengingatkan Aisha kepada ayahnya. Meskipun tidak diungkapkan dengan kata-kata, perbuatan mereka sudah cukup menunjukkan bahawa mereka mengambil berat. Mungkin kehadiran Izabel menyerikan lagi rumah ini.

“Izabel. Kau masih belajar?” Aisha bertanya ingin tahu. Entah kenapa pertanyaan itu tiba-tiba keluar.
“Ya, boleh dikatakan begitu.”

“Bidang apa?”

“Aku belajar banyak bidang. Waktu pagi, tutor akan datang untuk mengajarku politik dan pentadbiran negara. Waktu petang, aku belajar kelas muzik dan waktu malam, aku belajar kelas tarian. Guru yang mengajarku memang bagus, ayahku mengupah guru pakar khas untuk aku,” Izabel bercerita penuh semangat.

Aisha sedikit kaget. Dia tahu Izabel merupakan seorang anak tentera, tetapi mengapa pula anak tentera perlu belajar tentang politik negara? Dan bagi seorang anak tentera, jadual Izabel kelihatan begitu padat. Namun Aisha tidak bertanya lanjut tentang perkara itu. “Oh, jadi kau belajar muzik? Organ apa yang boleh kau mainkan?”

“Aku belajar piano dan violin. Kadang-kadang, bapa saudaraku Charles akan bawa aku ke gereja untuk bermain piano pada hari Ahad.” Aisha baru teringat bahawa Izabel itu seorang Kristian. Dan kebiasaan penganut Kristian adalah untuk ke gereja pada hari Ahad. 

“Izabel. Maaf Kak Aisha lupa. Hari Ahad yang lepas, kau tidak ke gereja kan? Kalau kau mahu, aku boleh bawakan. Tapi gereja tak banyak di kota ini. Ada sebuah sahaja di hujung kota. Majoriti rakyat Zaiden penganut agama Islam. Tapi kami masih menghormati mereka yang menganut agama lain. Jadi gereja di hujung kota tu masih kekal sampai hari ini.”

“Kak Aisha serius?”

“Ya, aku boleh bawakan…” kata-kata Aisha dipotong. 

“Tak, bukan macam tu. Aku tak berniat untuk pergi gereja buat masa ini. Aku cuma hairan di kota ini ada gereja. Kenapa masih ada gereja? Kalau di Kota Belista, langsung tidak ada masjid yang didirikan di sana. Dua puluh tahun yang lepas memang ada, tapi sudah dihapuskan. Dan sesiapa yang didapati ada kaitan dengan agama selain Kristian, akan dihukum bunuh.”

“MasyaAllah,” Aisha berkerut. “Dalam Islam, nabi kami mengajar untuk menghormati agama lain. Sebab itulah kami tak musnahkan tempat ibadat agama lain. Tapi pernah juga ada cubaan untuk robohkan gereja itu, cuma kerajaan tak luluskan. Dan gereja itu sekarang dikawal oleh kerajaan. Raja Sulaimen seorang yang sangat taat pada agama dan bersikap adil. Aku rasa semua rakyat hormat dan sayangkan pemerintah kami.”

Izabel kagum mendengar penjelasan Aisha. “Raja Sulaimen kalian tu sangat berbeza dengan pemerintah kerajaan aku. Dia seorang yang autokratik, makan harta rakyat dan sering menaikkan cukai. Sesiapa yang menentangnya akan dihukum. Rakyat miskin ditindas. Rakyat memberontak dibunuh. Menteri-menteri yang bekerja dengannya semua disebabkan harta, pangkat, politik dan wanita. Mereka dijanjikan kesenangan. Aku benci dengan situasi tu. Aku tak sanggup hidup atas kesenangan hasil menindas rakyat yang lemah,” Izabel menghela nafas panjang. Tanpa disedari, keringat jernih mula menitis dari kelopak matanya. Aisha terkejut.

“Bagi seorang anak tentera, banyak juga yang kau tahu ya Izabel. Nampaknya kau memang seorang yang mengambil berat terhadap isu politik,” Aisha menyeka air mata Izabel, lembut. Dia tidak dapat membayangkan perkara yang telah dilalui oleh Izabel di Kota Belista. Dia cuma tahu, anak gadis berusia dua puluh satu tahun di hadapannya itu memerlukan tempat untuk curahan.

“Izabel, kau dah fikirkan apa yang kau nak lakukan sekarang? Kalau kau nak tinggal di kota ini terus, Arslan kata, dia akan carikan tempat tinggal yang lebih selesa dan pekerjaan untukmu. Aku sebenarnya tak kisah kalau kau tinggal di sini terus, tapi rumah kami ni serba kekurangan. Dan tak berapa manis juga Arslan membawa seorang anak gadis untuk tinggal sebumbung dengannya. Nasib Kak Aisha dan ibu ada. Tapi lambat-laun, takut juga jiran tetangga bersuara nanti.”

“Aku faham, kak. Dalam agama Islam, kalau tidak ada ikatan kekeluargaan atau pernikahan, tidak boleh tinggal berdua-duaan bukan? Aku ada baca dalam salah satu kitab yang Arslan pinjamkan dari perpustakaan.”

“Ya, rajin kau baca. Aku pun hairan nampak banyak sangat kitab atas meja hari itu. Rupa-rupanya Arslan pinjamkan untukmu.”

“Ya, Arslan memang baik kan? Sepanjang aku tinggal di sini, dia bawa aku berjalan keliling kota, kenalkan aku dengan jiran tetangga, tunjukkan pedang-pedang buatannya, dan pinjamkan aku buku dari perpustakaan. Aku tak pernah ada sahabat macam tu sebelum ini.”

Aisha menarik senyum nakal. “Arslan itulah… Arslan inilah… kau dah jatuh cinta ya dengan adikku? Logik juga. Dahlah tampan, rajin, baik hati. Paling penting, masih bujang.”

“Ja.. ja.. jatuh cinta? Tak.. tak mungkinlah Kak Aisha. A.. aku cuma terhutang budi pada Arslan saja.” Pipi Izabel yang berkulit cerah itu merona merah. 

Aisha masih tersenyum lebar. Seronok wanita itu dapat mengusik Izabel. Ketika itu, terdengar suara orang memberi salam di luar rumah. Aisha sudah mengetahui pemilik suara itu. “Hah, itupun putera kau dah pulang. Mesti dia risaukan kamu, Izabel.” Aisha sengaja menambahkan kemerahan di pipi Izabel. Wanita itu meletakkan kain jahitannya dan bangkit bergerak untuk membuka pintu. 

Izabel masih terpinga-pinga. Jantungnya berdegup kencang tiba-tiba. Pipinya terasa panas. Dia belum pernah mengalami perasaan sebegini. Jatuh… jatuh cinta??

***

Izabel membetulkan selendangnya yang hampir terjatuh dengan tangan kirinya. Tangan kanannya masih lurus di hadapan. Sebilah pedang sedang dihunus selari dengan pandangan matanya. Dia berada dalam posisi itu untuk beberapa saat. Keringatnya menitis perlahan menyentuh pipinya namun dibiarkan sahaja. 

“Kan aku dah cakap, kedudukan bilah pedang jangan menegak, hunuskan secara melintang!” nada suara Arslan meninggi. Tegas. Suara itulah yang membuatkan Izabel tidak berani menyeka keringatnya. Sudah hampir satu jam dia belajar teknik asas bertarung pedang di belakang rumah Arslan. Dia tidak tahu pemuda itu sangat tegas apabila mengajar. Saat itu, cuma sesalan menguasai dirinya kerana mendesak Arslan untuk mengajarnya menggunakan pedang. Izabel terkaku seketika dalam posisinya. 

Arslan menyembunyikan senyumannya. Sengaja dia mengusik gadis di hadapannya itu. Izabel kelihatan takut untuk berbuat sebarang kesalahan. Arslan berpura-pura menggeleng kepala sambil membuat muka kecewa. Izabel menelan liur. Dia tidak tahu berlatih asas pedang pun  sudah susah sebegini. Sebelum ini, dia cuma pernah memegang piano dan violin sahaja. Jauh bezanya dengan sebilah pedang! 

Arslan menghampiri Izabel, menukarkan posisi pedang yang sedang dihunusnya itu kepada posisi melintang. Arslan menarik pedang Izabel hingga terangkat sedikit ke atas dan menghayunkannya ke bawah. Dia berusaha untuk tidak tersentuh wanita itu sepanjang mengajar.

Tangan kanan Izabel masih mencengkam kuat pedangnya. Namun jantungnya berdegup kencang. Pantas. Dan bila-bila masa sahaja seperti mahu tercabut. Dia tidak kisah apabila rakannya Joseph menari dengannya sewaktu kelas tarian. Dia tidak kisah apabila sepupunya Alex mencium pipinya setiap kali mereka berjumpa. Tetapi kenapa? Setiap kali Arslan datang menghampiri sahaja jantungnya sudah merasakan getaran yang sangat kuat.

“Izabel? Izabel?!” Arslan menyeru namanya apabila menyedari gadis itu masih lagi kaku. Izabel terhentak dari lamunannya. “Kan aku dah cakap, fokus!” 

“Ya, maafkan aku!” Izabel tiba-tiba membuat gaya tabik. Pedangnya dibawa ke sisi paha dan tubuhnya berdiri lurus ibarat tentera yang menunggu arahan. Pandangan matanya menghadap ke hadapan. Kali ini, Arslan sudah tidak dapat menahan geli hatinya lagi. Tawanya terhambur keluar. Matanya hampir berair. Lucu sungguh gadis di hadapannya itu.

“Kenapa kau ketawa?” Izabel keluar dari karakter tenteranya. Dahinya berkerut. Dia mengetuk lengan Arslan dengan sarung pedang. Arslan masih ketawa tidak berhenti. Terlakar lesung pipit pada wajah pemuda itu. Izabel akhirnya mengalah dan tersenyum. Siapa yang tidak akan mengalah apabila melihat lesung pipit itu? Jesus, adakah ini namanya kebahagiaan?

Tawa Arslan terhenti apabila mendengar suara seseorang memberi salam di hadapan rumah. Izabel memasukkan rambutnya yang terkeluar ke dalam selendang, langkah berjaga-jaga. Tidak mahu ada yang melihat rambut perangnya. Arslan berjalan menuju ke hadapan rumah, dibuntuti oleh Izabel. 

Di hadapan muka pintu, Izabel memerhatikan figura seorang gadis bertudung litup. Berkulit sawo matang, alis matanya seolah-olah memakai celak, mukanya kecil tetapi kelihatan manis sekali. Gadis itu kelihatannya berusia sekitar lingkungan 20-an juga, mungkin sebaya dengan Arslan. Atau mungkin sebaya dengan dirinya. Dia sedang memegang sebuah bakul yang bertutup dengan kain. Gadis itu melemparkan senyuman manis sejurus melihat mereka berdua.

“Sa.. Saera. Aku ingatkan siapa tadi,” Arslan menarik senyum sambil mengusap belakang kepalanya yang tidak gatal.

“Ya, aku datang nak hantar tempahan roti yang Kak Aisha kirim,” senyumannya masih lekat pada wajah. Izabel sendiri terpana melihat senyuman manis itu. Pantas Arslan mengambil bakul roti daripada pegangan gadis yang bergelar Saera itu. Izabel memerhatikan gelagat pemuda itu. Berat roti-roti yang dibawa si Saera itu barangkali.

“Kak Aisha… Kak Aisha ada di dalam. Masuklah dulu. Jauh kan perjalananmu? Aku ambilkan bayarannya di dalam,” Arslan membuka pintu rumah dari luar dan menahan pintu untuk Saera masuk. Saera mengangguk dan masuk ke dalam rumah. Sudah lama juga dia tidak berbual dengan Aisha. Aisha merupakan pelanggan setia yang sering membuat tempahan roti dengannya. Dia tidak kisah berjalan jauh dari rumahnya untuk menghantar roti kepada sahabatnya itu.

Arslan menarik kerusi dan mempersilakan Saera untuk duduk. Izabel sedikit hairan. Tiba-tiba sahaja si Arslan itu berubah menjadi pemuda budiman. 

“Kak Aisha!” Arslan melaung dari ruang hadapan. Rumah yang mempunyai tiga buah bilik itu tidaklah terlalu besar. Panggilan dari ruang hadapan sahaja boleh didengari sehingga dapur belakang rumah. Sementara menunggu Aisha, Saera memerhatikan Izabel yang masih lagi berdiri di hadapan pintu.

“Aku dengar saudara perempuanmu sedang tinggal denganmu buat sementara waktu. Adakah ini dia?” Saera bertanya, masih lagi dengan senyumannya.

“Oh, maaf. Aku lupa perkenalkannya. Ya, ini Izabel adik saudaraku. Izabel sedang cuti kuliah, dia nak temankan Kak Aisha di sini.” Arslan kemudian berpaling ke arah Izabel. “Izabel, ini Saera. Kakakku selalu mengambil tempahan roti daripadanya. Nanti kau rasalah roti yang dia buat.” Izabel sekadar menarik senyum.

Aisha muncul dari dapur. Wajahnya senang melihat kunjungan Saera. Mereka bersalaman dan berpelukan mesra. “Adik iparku datang,” Aisha mengusik seperti biasa. Entah kenapa, pada waktu itu Izabel terasa seolah-oleh jantungnya sedang dipanah petir mendengar dua perkataan itu. Adik ipar. 

“Kak, janganlah merepek depan Saera,” Arslan mengalihkan pandangannya ke arah lain, pura-pura tak tak setuju. Padahal hatinya senang. “Aku ke belakang buatkan air,” Arslan terasa hendak segera beredar dari situ. “Aku tolong,” Izabel mengikuti jejak langkah Arslan. Dia berasa janggal jika dibiarkan di situ.

Arslan mencapai empat buah cawan dan membuat kopi di dapur. Dia tersenyum sendiri sambil mengacau air panas yang baru dituang ke dalam cawan. Izabel menyiapkan hidangan untuk tetamu mereka sambil memerhatikan Arslan yang tersenyum sendiri. Dia tidak dapat menahan rasa ingin tahunya.

“Saera umurnya berapa? Aku tengok masih muda, sudah bekerja keras,” penyelidikannya bermula.

“Dia setahun muda daripada aku, dan setahun tua daripadamu. Dia masih belajar bidang usuluddin, bidang agama. Dia tolong orang tuanya dalam perniagaan membuat roti.”

“Wah, rajinnya dia,” Izabel kagum mendengar latar belakang Saera. 

“Izabel. Aku tak pernah cerita kepada sesiapa. Kau sahabatku, aku minta kau rahsiakan perkara ini,” Arslan berpaling menghadap Izabel, mukanya berseri namun serius. 

“Apa dia?”

“Aku rasa, Saera jodohku.”

Izabel tersentap. Dadanya terasa sesak. Hatinya terasa begitu pedih. Ketika itu, terasa badai sedang melanda jiwanya. Dia seolah-olah seorang gadis yang sedang menunggu masa untuk lemas di lautan yang luas. 

“Pendapat kau, aku sesuai tak untuk Saera?”

Pendapatku? Ingin saja gadis itu meluahkan perasaannya pada saat itu. Menceritakan bagaimana bahagia dirinya setelah tinggal di rumah itu. Bertemu Aisha, Haula’ jiran sebelah rumah, Fatima yang sering menghantar buah-buahan, dan paling penting, bertemu Arslan. Dia tidak pernah mendapatkan ketenangan seperti itu di Kota Belista. Dia tidak pernah merasakan erti sebuah keluarga yang bahagia. Dia tidak pernah mengenal erti sahabat sebenar yang tidak berkawan dengannya kerana harta. Dia tidak pernah belajar membuat kerja rumah. Dia tidak berpeluang membaca buku-buku selain politik negara. Dia tidak pernah bersiar-siar di negaranya sendiri. Dia tidak pernah mengenali erti hidup susah. Dan semuanya kerana dia bertemu dengan pemuda di hadapannya itu. Pemuda yang membawa hidupnya kepada suatu titik permulaan yang baru. Pemuda yang membuatnya kenal akan erti cinta.

Namun pada saat itu, pemuda itu telah meluahkan perasaannya terhadap seorang gadis yang lain. Dan pemuda itu bertanyakan kesesuaiannya dengan gadis tersebut. Apakah ada jawapan yang sesuai untuk soalan itu?

“Izabel? Izabel?” Arslan memerhatikan Izabel sambil mengangkat kening sebelah. 

Izabel kembali daripada tenggelam dalam monolog dalamannya. Dia mengangkat wajah, merenung wajah Arslan sambil melemparkan sebuah senyuman.

“Sesuai. Aku akan tolong kau dapatkan Saera.”

***

Izabel merenung rantai salib Belista yang berada di dalam genggamannya. Entah kenapa, air matanya mula berlinangan. Dia berjaya menahan tangisan itu semalam sewaktu Saera datang berkunjung. Dia berjaya menahan tangisannya sewaktu Arslan mengungkapkan perasaannya terhadap seorang gadis lain. Namun pagi itu, air matanya jatuh dengan percuma. Jesus, beginikah perit rasanya seorang gadis yang patah hati setelah dilamun cinta?

Izabel menekapkan rantai salib pada dadanya. Titisan air mata mulai membasahi tangannya yang sedang menggenggam salib itu. Dadanya terasa sesak. Tubuh kecilnya terasa lemah. Perlahan-lahan, Izabel jatuh terduduk di atas lantai. Tangisannya makin lebat.

Sewaktu itu, Aisha mengetuk dan membuka pintu bilik. Dilihatnya sekujur tubuh yang sedang menangis sambil memegang salib itu. Aisha tidak mengerti alasan gadis itu sedang menangis. Namun dia tahu, tidak ada alasan untuk gadis itu tidak menangis. Sepanjang hampir tiga minggu dia bertemu dengan Izabel, baru inilah kali pertama dia melihat gadis itu kelihatan lemah seperti itu. Aisha melutut di sebelah Izabel. Izabel menyedari kehadiran Aisha, namun dibiarkan sahaja wanita itu melihatnya dalam keadaan sedemikian. 

Perlahan-lahan, Aisha mendakap tubuh kecil Izabel. Izabel masuk ke dalam pelukan Aisha. Hangat. Tangisannya semakin kencang. Aisha mengusap belakang tubuh Izabel. Dia tidak tahu perasaan yang sedang dialami Izabel. Namun dia tetap memeluknya kuat. Mencurahkan empati seorang sahabat. Juga kasih sayang seorang kakak. 

Pada saat itu, kedengaran bunyi ketukan yang kuat di pintu rumah mereka. Setahu Aisha, Arslan masih berada di dalam biliknya. Dan adiknya itu akan memberi salam setiap kali pulang ke rumah. Ketukan di pintu semakin kuat dan tidak berhenti. Aisha berasa bersalah untuk meninggalkan Izabel, tetapi dia tahu dia perlu mematikan bunyi ketukan tersebut.

“Sekejap ya Izabel. Aku jenguk sebentar siapa yang datang.” Perlahan-lahan Aisha melepaskan pelukan Izabel. Izabel merelakan dalam tangisnya. Aisha bangkit dan keluar dari bilik. Ketika itu, dilihatnya Arslan sudah membuka pintu. Barangkali kenalan atau pelanggan Arslan.

Tiga orang lelaki dan seorang gadis berada di hadapan rumah mereka. Dua daripada mereka berpakaian uniform polis. Dua lagi merupakan susuk tubuh yang tidak asing lagi buatnya.

“Mana? Mana bajingan Belista yang kau sembunyikan tu, Arslan?” Pak Birki separuh menjerit. Matanya membulat. Bibirnya diketap.

“Pak Birki. Sabar, pak. Apa maksud Pak Birki ni?” Arslan memegang kedua-dua bahu lelaki di hadapannya itu. Kelihatannya seperti bila-bila masa sahaja lelaki itu akan meletup.

“Ah, jangan kau pura-pura tak tahu, Arslan. Fatima dah ceritakan semuanya. Izabel yang kau canang sebagai saudara kau selama ini, rupa-rupanya pengintip dari Kota Belista!” 

Arslan terkejut. Dia memandang anak mata gadis di sebelah Pak Birki. Dia tidak berapa mengenalinya tetapi dia tahu itu ialah anak Pak Birki yang sering juga berkunjung ke rumahnya baru-baru ini untuk berjumpa Izabel. Fatima melarikan pandangannya. Arslan berfikir sejenak. Bagaimana rahsia ini boleh pecah? Adakah Izabel menceritakan perihal dirinya kepada Fatima? Apa yang harus dilakukannya sekarang? Melihatkan kehadiran dua anggota polis di situ, besar kemungkinan Izabel akan dibawa pergi untuk disoal siasat. Siapa tahu perkara yang boleh dilakukan mereka jika rahsia Izabel terbongkar?

“Baik kau serahkan saja gadis itu kepada polis! Kalau tidak, kau dan keluargamu juga akan diheret ke dalam perbicaraan,” Pak Birki masih menyinga.

“Pak Birki. Izabel itu saudaraku. Kenapa dia dituduh sebagai rakyat Kota Belista? Tak logik, Pak Birki,” Arslan keras menafikan. 

Pak Birki memandang wajah anaknya. Fatima yang tadinya tertunduk kembali mendongak perlahan. “Aku.. aku pernah bermain di bilik Izabel. Suatu hari, aku terduduk di atas sesuatu yang keras. Bila aku angkat kain selimut, aku terjumpa rantai salib. Sesiapa saja boleh tahu lambang salib itu adalah dari kerajaan Kota Belista. Mulanya aku takut nak beritahu sesiapa, tapi akhirnya aku putuskan untuk ceritakan kepada ayahku.”

Arslan kaget. Aisha di belakang menekup mulutnya. Kelu. 

“Pak Birki, Izabel sedang mengaji dalam bidang politik. Mungkin lambang salib itu adalah salah satu kajiannya,” Arslan tidak tahu lagi cara untuk menutup kebenaran. Tetapi memang betul Izabel belajar bidang politik di Kota Belista.

“Arslan, kau sudah ku anggap macam anakku. Tapi salah tetap salah. Aku mahu gadis itu dihukum!” Pak Birki memandang kedua-dua pegawai polis di belakangnya. Mereka saling mengangguk. Kedua-duanya menolak tubuh Arslan yang menghalang pintu sehingga pemuda itu jatuh terduduk. Mereka menuju ke bilik Aisha yang berkongsi dengan ibunya yang sedang terlantar sakit. Aisha masuk ke dalam bilik mendapatkan ibunya.

“Ibu ada nampak gadis Belista yang bersembunyi di rumah ini?” soal salah seorang anggota polis tanpa mengetahui keadaan wanita yang sedang terbaring itu. Mendengar sahaja pertanyaan itu, mata wanita yang tidak berdaya itu membulat. Tubuhnya bergetar.

“Ibu?” Aisha mendapatkan ibunya. Dia kelihatan seperti terkumat-kamit hendak mengungkapkan sesuatu. 

Ketika itu, Izabel muncul di muka pintu. Izabel sudah dapat mengagak punca kekecohan yang berlaku dari dalam biliknya tadi. Dia tidak mahu duduk diam sahaja kerana dia merupakan punca utamanya. Izabel memandang Ibu. Tubuh wanita tua itu bergegar.

“Ba.. bajingan! Belista… bajingan!” Kata-kata itu terpacul dari mulutnya. Aisha dan Izabel sama-sama terkejut. Setahu Aisha, itulah perkataan pertama yang diungkapkan ibunya semenjak jatuh sakit. Air mata Izabel yang tadinya sudah berhenti mengalir semula. Ibu yang sudah dianggapnya sebagai ibu saudaranya mengungkapkan kata benci kepada dirinya. Walaupun namanya tidak disebut, Izabel tahu kata-kata itu ditujukan kepadanya. 

Salah seorang anggota polis yang menyedari kehadiran Izabel segera memegang pergelangan tangannya. “Ikut aku!” gertaknya sambil cuba membawa Izabel keluar dari situ.

“Izabel!” Arslan memegang bahu anggota polis itu, menghalangnya keras. “Tuan, ini semua salah faham. Aku yakin ini semua salah faham. Tuan tak boleh…” kata-kata Arslan dipotong.

“Arslan. Tak apa,” Izabel mengukir senyum manis. Kedua-dua tangannya dibawa ke belakang tubuh, dipegang kuat oleh anggota polis itu.

“Tapi Izabel…”

“Arslan. Aku dah boleh agak. Satu hari, benda ni akan terjadi juga. Aku tak boleh selama-lamanya hidup dalam persembunyian. Dan aku dah bersedia untuk hari ini.”

“Izabel. Aku ikut kau.”

“Kau jangan risau. Aku yakin Kota Zaiden juga mempunyai sistem pengadilannya sendiri. Aku dah baca dalam buku-buku yang kau pinjamkan. Aku akan cuba berperang menggunakan ilmu yang aku ada. Aku yakin selepas ini aku akan dibawa ke ibu kota untuk disoal siasat. Kau tak perlu ikut. Cukuplah aku menyusahkan kau dan Kak Aisha selama ini.”

Aisha memegang pipi Izabel. “Kau tak pernah susahkan Kak Aisha dan Arslan, Izabel.” Air mata wanita itu tumpah.

“Kak, Arslan, percayalah pada aku. Suatu hari nanti, aku akan pulang menjenguk kalian. Terima kasih Kak Aisha kerana mengajarku masak, menjahit dan semua kebaikanmu pada aku.” Izabel menarik nafas panjang. Kelihatannya anggota polis yang memegangnya itu sudah tidak boleh bersabar lagi untuk mengheretnya ke muka pengadilan. Izabel diheret keluar dari rumah. Arslan ingin menghalang, namun Izabel melarangnya.

“Arslan, kebaikanmu kepada seorang gadis Kristian dari negara musuh yang membunuh ayahmu ini tak mungkin aku akan lupakan.” Izabel diheret semakin jauh. “Aku mencintaimu,” Izabel mengukir senyuman paling indah lantas ditarik pergi.

Arslan terkejut mendengar kata-kata akhir itu. Setitis air mata kelelakiannya gugur. 

“Grace!” laungnya kuat. Izabel tersentuh. Itu merupakan kali pertama Arslan memanggilnya dengan nama sebenar.

“Kau mesti pulang!” 

Izabel memejamkan kedua-dua belah matanya. Hatinya dilanda resah. Namun bibirnya mengukir senyum.

***

TUJUH TAHUN KEMUDIAN.

Kota Zaiden dan Kota Belista akhirnya sudah mencapai pakatan diplomatik semenjak kemangkatan Raja Andrus dan naiknya pemerintahan yang baru. Peperangan antara kedua-dua buah kota itu hanya tinggal sejarah. Kerajaan baru Kota Belista telah merangka perjanjian yang strategik dan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua kerajaan tersebut. 

Pada hari ini, terdapat sebuah masjid yang dibina di ibu kota Belista dikenali sebagai Masjid Al-Saleh. Rakyat kedua-dua buah kerajaan juga bebas untuk menganut agama pilihan masing-masing. Majoriti rakyat Kota Belista tetap merupakan penganut Kristian dan Kota Zaiden majoritinya penganut Islam. Namun isu keagamaan yang timbul sudah semakin berkurang kerana rakyat diajar untuk menghormati agama lain.

Di suatu kawasan Kota Zaiden, seorang lelaki sedang duduk di atas bangku di belakang halaman rumahnya sambil menyeka keringat di dahi. Seorang anak kecil lelaki datang berlari-lari membawa sebilah pedang besi yang telah ditempa khas untuk digunakan oleh kanak-kanak. Anak kecil yang berusia lima tahun itu melompat duduk di atas riba lelaki itu.

Arslan menarik sengih. Dia mengusap kepala anak kecil itu berulang kali. “Dah penat berlatih, Yousuf?”

“Abi, lapar!” Yousuf memegang perutnya membuat muka kesian.

“Pergi masuk dalam. Minta ibumu makanan,” Arslan mencubit pipi gebu Yousuf. Yousuf turun dari pangkuan Arslan, terus berdiri tegak sambil membuat gaya tabik. 

“Siap!” Yousuf kemudiannya terus berlari masuk ke dalam rumah tanpa sebarang perhitungan. Laparnya sudah tidak boleh dirunding lagi.

Arslan tersenyum sendiri. Dia memandang langit biru. Langit pada hari ini, tidak sama dengan langit setahun yang lepas. Rakyat Kota Zaiden sudah tidak perlu takut lagi untuk keluar di kawasan ibu kota, ataupun masuk ke dalam hutan untuk mencari kayu api. Langit hari ini, sudah tidak ada lagi sengketa atau permusuhan. Namun hatinya masih berasa ada sesuatu yang belum selesai. Dia terbayang wajah seorang gadis Kota Belista yang pernah menjadi sahabatnya suatu ketika dahulu. 

Apa khabar kau, Izabel? Adakah kita masih berada di bawah langit yang sama?

Lamunannya terhenti apabila mendengar bunyi pintu rumahnya diketuk. Arslan masuk ke dalam rumah untuk membuka pintu dari dalam.

“Siapa tu, Arslan?” seorang wanita dalam usia 60-an yang bertongkat muncul di sebalik langsir biliknya. Wanita tua yang bongkok itu berjalan perlahan-lahan membuntuti anaknya. Arslan mengangkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu. “Entahlah ibu. Bagi salam pun tidak.”

Pintu rumahnya dibuka. Arslan menangkap dua figura lelaki yang berpakaian seragam dan satu figura wanita yang bertudung litup. Namun dua figura lelaki itu tidak menarik minatnya. Arslan tergamam melihat susuk tubuh wanita yang cukup dikenali di hadapannya itu.

“Iza.. Grace?”

Arslan terpaku. Kaget. Masih memproses maklumat tentang figura yang sedang berada di hadapannya. 

“Izabel?” Aisha yang tadinya terganggu dengan bunyi ketukan pintu turut muncul.

Izabel mengalirkan air mata jernih. Sudah hampir tujuh tahun lamanya dia tidak melihat wajah-wajah di hadapannya itu. Arslan sudah menyimpan sedikit jambang, namun wajahnya tidak banyak berubah. Rambut hadapannya yang hampir menyentuh keningnya masih sama seperti dulu. Aisha kelihatan sedikit berisi. Ibu pula, sudah sihat dan mampu berjalan. 

Izabel tidak pasti penerimaan keluarga itu terhadap kunjungannya. Gembirakah? Sedihkah? Kecewakah? Marahkah? Atau mereka sudah tidak ingat lagi tentang dirinya. Tempoh tujuh tahun sudah lebih daripada cukup untuk mereka melupakan dirinya. Namun dia tetap bertekad untuk berkunjung ke rumah itu walau apapun jenis sambutan yang bakal diterimanya. Baginya, janji tetap janji. Meskipun seribu satu persoalan dan emosi sedang menghentak ruang jiwanya saat itu.

“Izabel, masuklah.” Aisha memeluk lantas menarik lengan Izabel. Izabel menuruti. Aisha memandang dua lelaki yang berpakaian uniform itu dan menjemput mereka masuk. Mereka menolak dengan alasan lebih selesa berdiri di luar. Arslan masih tercegat di muka pintu. Ibu senyap tidak bersuara. Memerhatikan sahaja tingkah anak perempuannya yang sedang menyambut tetamu itu.

Izabel menarik nafas panjang. Wanita itu mula membuka ceritanya. Perlahan-lahan, Arslan dan Ibu turut duduk mendengar ceritanya.

Grace merupakan anak ketiga kepada Raja Andrus yang telah mangkat empat tahun yang lalu. Sewaktu umurnya dua puluh satu tahun, Grace mendapati kepincangan dalam pemerintahan kerajaan ayahandanya. Berkali-kali Grace mencuba untuk menentang namun tidak berjaya. Kedua-dua abangnya juga tidak mampu untuk mengambil sebarang tindakan. Raja Andrus merupakan seorang yang kejam dan sanggup menjatuhkan hukuman bunuh kepada sesiapa yang menentangnya.

Lama-kelamaan, dia sudah tidak tahan lagi untuk hidup dalam keadaan sedemikian. Semua yang berkawan dengannya pun hanya disebabkan harta dan kedudukannya sebagai puteri tunggal Kota Belista. Grace tidak pernah mendapatkan kehidupan bahagia yang diimpikannya. Akhirnya dia memutuskan untuk menceroboh sempadan dan memilih untuk melarikan diri ke Kota Zaiden. Namun jejak langkahnya dapat dikesan oleh beberapa tentera kerajaan. Mereka mengikuti Grace sehingga ke sempadan. Dan ketika itulah muncul Arslan yang menyelamatkannya dan membawa Grace tinggal bersamanya.

Grace tahu, pasti ayahandanya sudah mengerahkan tentera untuk mencarinya. Dan dia tahu bila-bila masa sahaja penyamarannya sebagai Izabel bakal terbongkar. Namun dia tidak berniat untuk pulang ke Kota Belista selagi pentadbiran negara itu masih bersifat autokratik. Oleh itu, dia sudah bersiap-sedia dengan segala kemungkinan yang ada. Grace meminta Arslan untuk meminjamkan buku-buku politik dan pentadbiran Kota Zaiden untuk mengkaji sistem pengadilan kerajaan tempatan. Waktu hampir tiga minggu di situ belum cukup untuknya mengkaji keseluruhan sistem pengadilan, namun berbekalkan sedikit ilmu, dia menggunakannya di muka pengadilan.

Pada awalnya Grace diperlakukan dengan kasar oleh polis tempatan Kota Zaiden setelah dibawa ke penjara ibu kota. Setelah dia menceritakan statusnya sebagai keluarga diraja Kota Belista, pihak berkuasa tempatan tidak berani untuk memperlakukan tindakan yang berlebih-lebihan. 

Kes Grace mendapat perhatian kerajaan dan Raja Sulaimen, namun arahan agar kes ini dikendalikan secara sulit dikeluarkan oleh Raja Sulaimen. Sebarang informasi salah yang sampai ke pihak Belista mungkin mengakibatkan peperangan yang lebih dahsyat antara kedua-dua buah kerajaan itu. Orang luar tidak dibenarkan masuk campur.

Grace akhirnya berjaya membuat perhitungan dengan kerajaan. Dia meminta agar Arslan dan keluarganya tidak diheret sekali dalam kes tersebut. Dan seorang utusan dari Kota Belista perlu dipanggil untuk menjadi perunding antara Grace, Raja Sulaimen dan Raja Andrus. Permintaannya ditunaikan. Raja Andrus berikrar tidak akan menyekat ekonomi Kota Zaiden untuk tempoh tiga tahun sekiranya puteri kerajaan mereka itu dibebaskan. Perjanjian hitam putih telah pun ditandatangani. Maka akhirnya Grace dibebaskan.

Grace tidak terus pulang ke Kota Belista. Dia mengajar anak-anak dayang dan pekerja istana Kota Zaiden untuk membaca dan mengira. Tindakannya itu tetap dikawal oleh pihak berkuasa tempatan. Grace memutuskan untuk pulang hanya setelah melihat perubahan lain dalam politik Kota Belista. Sepanjang tempohnya mengajar, wanita itu turut mendalami agama Islam daripada seorang agamawan yang bergelar Syeikh Ahmed dan isterinya.

Tiga tahun kemudian, dia menerima berita kemangkatan Raja Andrus. Ketika itu, akhirnya Grace pulang menjejakkan kaki di Kota Belista. Abang sulungnya mengambil alih pemerintahan negara dan Grace banyak memainkan peranan penting dalam politik. Perlahan-lahan, mereka mula mengubah struktur pentadbiran negara, namun tidak secara drastik. Dalam tempoh empat tahun, akhirnya politik Kota Belista mulai stabil. Tiada lagi permusuhan dengan kerajaan-kerajaan yang lain.

Apabila agama Islam mulai diterima di Kota Belista, Grace membuat pengumuman tergempar kepada keluarganya. Dia bertekad untuk memeluk Islam dan menukarkan namanya kepada Izabel. Dia bertekad untuk meninggalkan dunia politik dan jawatannya dalam pentadbiran diserahkan kepada anak saudaranya. Banyak tentangan dan halangan yang dihadapi wanita itu sepanjang tempoh tujuh tahun ini. Namun pada akhirnya, dia berjaya mengotakan janjinya untuk pulang ke Kota Zaiden.

Arslan dan keluarganya cuba untuk menghadam kisah Izabel. Mereka seakan-akan tidak percaya bahawa Izabel merupakan seorang puteri diraja. Aisha dan Ibu sedari tadi menangis mendengar kisah itu. Ibu menyesal kerana dulu bertempik kepada Izabel hanya kerana dia berasal dari Kota Belista. Dia juga sudah boleh menerima kematian suaminya. 

Suasana sepi seketika sebelum Yousuf datang berlari melintasi mereka dan keluar ikut pintu hadapan. Dua pengawal Izabel yang berdiri di luar rumah terkejut melihat anak kecil yang muncul entah dari mana itu. Arslan segera bangkit, keluar mengejar anak kecil itu. Izabel sempat memerhatikan Yousuf yang comel melintasi di hadapannya. Mukanya mirip Arslan. Anak kecil itu juga berteriak memanggilnya ‘Abi’. 

‘Bodohnya aku kerana sedikit berharap,’ hati kecilnya bersuara.

“Izabel, kalian mesti penat kan berjalan jauh? Aku nak siapkan ubat untuk Ibu dan sediakan hidangan untuk kau. Kau pergilah berbual dulu dengan Arslan,” Aisha meminta diri. Dia tahu, pasti ada banyak perkara yang ingin Izabel ceritakan kepada Arslan. Dan dia juga tahu, adiknya itu juga pasti mempunyai banyak persoalan yang terbuku di dalam hatinya. 

Izabel mengangguk dan mencari Arslan di luar. Arslan sedang mendukung Yousuf yang leka bermain dengan sekuntum bunga di tangannya. Barangkali dipetik dari pohon bunga yang ditanam di tepi rumah itu.

“Comel. Berapa umurnya?”

“Hampir masuk lima tahun. Yousuf namanya.”

Suasana sepi seketika. 

“Izabel.” Arslan mula bersuara. “Aku minta maaf sebab sekali pun aku tak pernah keluar cari kau. Aku tak boleh tinggalkan keluarga aku. Lagi-lagi ibuku yang sakit. Setiap hari, aku akan tertanya-tanya nasib kau di ibu kota. Aku cuba juga untuk bertanya berita, tapi tak ada satu pun berita tentang kau.”

Izabel menarik senyumnya, manis. “Tak apa, Arslan. Aku yang minta kau untuk tak cari aku. Ada benda yang perlu aku uruskan sendiri. Aku yang bawa diri aku ke dalam masalah dan aku sendiri yang kena selesaikannya. Bukan semua puteri kena ada putera pahlawan macam kau,” Izabel separuh bercanda.

“Keluarga kau tak kisah kau datang sini?”

“Mula-mula keluargaku agak keberatan. Tapi aku berjaya yakinkan mereka.”

“Erm… macam mana pula dengan suami kau? Atau tunang? Atau kekasih?”

“Aku tak ada semua tu. Sibuk uruskan pentadbiran kerajaan. Tapi sekarang aku dah berhenti, mungkin aku boleh mulakan kehidupan baru di sini.” Izabel tertawa kecil.

Jantung Arslan sedikit berdegup melihat tawa itu. Izabel memang cantik beginikah sebelum ini?

“Aku nak rasa semula apa yang aku pernah rasa dulu sewaktu tinggal di Kota Zaiden. Nak cari pekerjaan baru, rumah baru, sahabat baru, dan mungkin mulakan keluarga di sini. Aku rasa Allah itu Maha Penyayang. Dia berikan aku ujian yang berat, tapi dalam masa yang sama berikan aku rahmat yang banyak. Aku nak kenal Tuhan dengan lebih mendalam. Aku harap aku boleh temukan semua itu.” Bicara Izabel terhenti apabila Yousuf merengek mahu menunjukkan bunga di tangannya kepada ibunya. 

“Ibunya mana? Sejak aku datang tadi, tak nampak pun.”

“Oh!” Arslan tertawa kecil. “Ini anak Kak Aisha. Kak Aisha sekarang tinggal dengan suaminya tapi dia selalu bawa Yousuf datang sini untuk bermain dengan ibuku. Setidak-tidaknya, taklah ibu kesunyian,” Arslan tersenyum menampakkan lesung pipitnya. Izabel malu sendiri.

“Tapi dia panggil kau Abi?”

“Oh, itu sebab dari kecil lagi aku jaga Yousuf. Sekarang ni pula, aku dah mula ajar si Yousuf ni berlatih pedang!” Arslan tiba-tiba semangat. “Sejak perang berakhir, aku dah tak banyak terima tempahan pedang. Jadi sekarang aku buka kelas berlatih pedang sebagai seni mempertahankan diri. Lumayanlah juga. Alhamdulillah, penduduk di sini pun banyak yang dah berjaya dalam perniagaan masing-masing sejak perang berakhir.”

“Wah! Seronok aku mendengarnya. Aku teringin nak jumpa tetangga dan rakan-rakan yang lain, nak tahu kisah mereka juga.”

“Yang aku tahu, Haula’ jiran sebelah dah tak tinggal di rumahnya lagi. Dah ikut suaminya berpindah di ibu kota. Fatima selalu juga datang jumpa Kak Aisha. Pak Birki ayahnya dah kahwin dua dan jarang balik rumah. Tapi si Fatima betul-betul menyesal selepas peristiwa kau kena tangkap dulu. Mungkin nanti kau boleh jumpa dengan dia.”

“InsyaAllah.”

Arslan berfikir sejenak. Siapa lagi ya yang belum diceritakannya? “Oh ya! Tak lama selepas kau pergi, Saera dah lanjutkan pelajarannya di Kota Konstanz. Bukan calang-calang orang dapat lanjutkan pelajaran di situ. Nampaknya aku bertepuk sebelah tangan saja,” Arslan tersengih sambil menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal.

“Hebatnya,” Izabel memuji. Sedikit rasa lega timbul dalam hatinya. Apa masalah kau ni Izabel? Walaupun Yousuf bukan anaknya dan Saera bukan isterinya, tak bermakna dia belum kahwin atau belum ada kekasih. Jangan berharap!

Yousuf meronta-ronta minta dilepaskan dari pegangan Arslan. “Jom, aku bawakan jumpa ibu,” Izabel mengambil Yousuf daripada dukungan Arslan. “Jom Arslan. Tak sabar aku nak rasa masakan Kak Aisha lagi. Selepas makan, mungkin kau boleh tunjukkan aku kawasan yang sesuai untuk aku mulakan kehidupan baruku.” Izabel melangkah hendak masuk ke dalam rumah semula.

“Izabel!” Arslan memanggil. Izabel menoleh. Arslan menunduk, berfikir sesuatu.

Akhirnya perlahan-lahan kepalanya diangkat. Pandangan matanya bertembung dengan Izabel.

“Kalau kau tak keberatan, apa kata kau mulakan semula kehidupan di rumah ini saja? Dengan aku?”



TAMAT

Gambar: deviantart

Comments

Post a Comment