Tawaran Berkolaborasi dengan Broaden

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum. Salam Maal Hijrah.


Alhamdulillah, kita sudah memulakan satu lagi tahun baru Hijrah. Bila kita dengar sahaja perkataan Hijrah, sudah tentulah kita teringat akan kisah Rasulullah dan para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah. Sebut tentang Mekah dan Madinah, terasa rindu pula nak berkunjung lagi ke sana. Jika ada rezeki, harap saya dapat ke sana lagi. InsyaAllah. Bercakap tentang hijrah ni, banyak definisi yang boleh kita tafsirkan. Tepuk dada, tanya pada hati, apa ertinya hijrah bagi kita? Dan adakah kita sudah memulakan langkah hijrah, atau masih berada pada takuk yang lama? Saya sendiri sedang menanyakan persoalan tersebut kepada diri saya.

Apa yang saya lakukan pada hari Maal Hijrah ini? Jujurnya, saya banyak menghadap laptop untuk menyiapkan design. Dan mungkin malam ini saya akan hasilkan satu design baju persatuan atas permintaan seorang rakan. Sebenarnya, saya tahu saya tidak mampu untuk menghasilkan design yang lawa. Tapi saya tak pernah nak berhijrah untuk belajar menggunakan Adobe Photoshop dengan lebih baik. Saya cuma akan menggunakan tools yang saya sudah biasa gunakan. Ternyata, hendak berhijrah ke peringkat seterusnya bukanlah merupakan suatu perkara yang mudah. Walaupun saya tidak pakar dalam design, saya bercadang untuk hantar juga design baju. Diterima atau tidak, itu lain cerita.


Satu lagi benda yang saya belum boleh berhijrah ialah projek puisi yang sedang saya usahakan. Rasanya sampai hari ini saya masih tersekat pada jumlah yang sama. Bukannya apa, akhir-akhir ini inspirasi tak nak datang kepada saya. Selalunya saya akan dapat hasilkan sebuah puisi jika ada benda atau perkara yang berlaku di sekeliling saya. Tapi semenjak dua menjak ini, hidup saya agak plain dan tak ada sebarang inspirasi yang menghentak saya. Saya harap projek puisi itu tidaklah bersarang begitu sahaja. Eheh.

Baiklah. Cukup dengan kisah projek saya yang tidak berhijrah itu. Maafkan saya kerana membawa unsur negativiti dalam entry ini. Sebenarnya, saya ingin berkongsi tentang satu tawaran untuk berkolaborasi daripada Broaden. Sewaktu saya sedang menyemak e-mel saya, ada satu e-mel yang dihantar oleh pihak Broaden kepada saya. 


Sebelum ini saya pernah mendapat tawaran daripada Zalora untuk berkolaborasi, tetapi saya abaikan sahaja kerana saya tidak gemar mempromosikan sesuatu yang tidak saya gunakan. Jika hendak membuat review, saya lebih suka untuk menulis dari hati. Dan saya tidak mampu pun nak berikan komitmen. Sebenarnya pihak Zalora memang sedang merekrut ramai lagi blogger untuk bekerjasama dengan mereka.

Saya tidak tahu tentang Zalora, tetapi Broaden merupakan satu website yang mempunyai banyak artikel berkaitan travel, kesihatan dan sebagainya. Broaden berfungsi untuk menarik lebih ramai pengunjung ke blog kita. Pengunjung yang membaca pula bukannya dari Malaysia sahaja tetapi juga dari luar negara. Saya rasa, jika ada blogger yang berminat untuk mendapatkan trafik dengan entry bahasa Inggeris yang berkualiti, mungkin anda boleh cuba berkolaborasi dengan Broaden. Tentang bayaran, saya tidak pasti pula. Rasanya mereka cuma memberikan manfaat kepada blog dari sudut trafik sahaja.


Apa pun, sama seperti Zalora, saya akan mengabaikan sahaja tawaran daripada Broaden. Bukannya saya melepaskan peluang keemasan, cuma saya tidak mampu untuk memberikan komitmen dan saya lebih suka penulisan sendiri. Walaupun tak ada yang membaca. Saya menulis blog cuma sekadar mengisi masa lapang dan menyampaikan sesuatu yang lahir dari hati.

Mungkin, satu hari nanti kalau saya benar-benar serius untuk menjana pendapatan daripada media sosial, saya akan usahakan kolaborasi-kolaborasi bersama website terpilih. Manalah tahu.

Comments