Comic Fiesta Mini @ Straits Quay

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Mungkin ramai yang sudah tahu tentang Comic Fiesta yang sering diadakan di Malaysia. Comic Fiesta merupakan satu persidangan yang bertumpu kepada animasi, komik dan permainan. Rasanya budaya ‘anime’ sudah tidak asing lagi di negara kita ni. Saya tidaklah mengatakan saya seorang otaku (peminat tegar anime, manga dan game), cuma saya boleh katakan saya banyaklah juga menonton anime berbanding drama Melayu. 


Daripada saya tidak tahu bahasa Jepun, sekarang banyaklah juga istilah-istilah Jepun yang boleh saya gunakan. Saya suka menonton anime yang mengisahkan kehidupan pelajar sekolah dan sebagainya. Sebabnya orang yang buat anime ni kebanyakannya kreatif dan banyak jalan cerita yang hendak disampaikan kepada penonton. 

Hari ini, saya dan abang berkesempatan ke Comic Fiesta Mini yang diadakan di Straits Quay Convention Centre, Pulau Pinang. 


Konvensyen ini sudah pun berlangsung dari semalam. Bayaran tiket yang dikenakan sebanyak RM10. Ada banyak merchandize yang dijual di situ seperti rantai kunci, penanda buku, beg, baju, DVD dan banyak lagi yang bertemakan anime dan komik. Ada jugalah mereka yang berpakaian seperti watak dalam animasi yang lebih dikenali sebagai cosplayer. Saya tidak pula bergambar dengan mereka sebab rasa tidak ada kepentingan nak bergambar. Tapi kalau anda nak dapatkan gambaran cosplayer, bolehlah Google cosplay karakter kegemaran anda.

Tu ada  dua orang cosplayer

Saya boleh memuji kekreatifan mereka yang mencipta banyak barangan daripada karakter animasi. Sampaikan Death Note pun ada dijual. Death Note ni rasanya agak popular juga. Siapa yang namanya tertulis di dalam nota kematian tu akan mati. Ceritanya agak kompleks juga bila tengok Yagami Light dan si L tu bertarung dalam permainan intelek. Saya sempat bertanya kepada penjual tu, “Kalau tulis nama dalam buku ni, orang tu akan mati ke?”


Hasil tangkapan saya hari ini berjayalah juga mendapatkan beberapa rantai kunci dan t-shirt. Konvensyen ini tak adalah besar sangat sebab nama pun mini. Banyak kali kami berpusing-pusing melihat barangan yang sama. Agak-agak dah puas hati tu, saya balik semula ke universiti.


Teka dia pakai baju karakter apa

Hendak dijadikan cerita pula, dalam perjalanan pulang naik kereta Grab, saya terlibat dalam kemalangan kecil. Waktu itu kami berada di lampu isyarat dan baru nak bergerak semula. Tiba-tiba ada satu hentakan kecil yang menyebabkan saya tersentak ke depan sikit. Kereta belakang melanggar kereta Grab yang kami naik tu. Sebabnya, ada satu lagi kereta di belakang dia yang melanggar.

Saya pun tak pasti pokok pangkalnya, tetapi mungkin pemandu itu tidak sempat menekan brek. Pemandu Grab tu pun keluar dari kereta untuk selesaikan apa yang patut. Saya dan abang cuma tunggu di dalam kereta. Ya lah, bukannya kami tahu nak buat apa. Saya pun tak tahu apa yang perlu saya lakukan dalam situasi macam ni.


Tak lama kemudian, pemandu tu memohon maaf sebab tak dapat hantar kami ke destinasi dan kami terpaksa turun di tepi jalan tu untuk mendapatkan kereta Grab yang lain. Memang macam dalam drama televisyen sangat. Kami tak dikenakan sebarang bayaran jadi dapatlah jimat separuh perjalanan. Selepas pemandu tadi bergerak ke balai polis dan meninggalkan kami, saya pun menempah Grab lain tapi dapat pemandu yang sama juga. Berkali-kali saya cuba dapat pemandu yang sama. Lama jugalah saya tersadai di tepi jalan tu. Tapi nak buat macam mana, bukannya boleh salahkan pemandu tu sebab orang lain yang langgar dia. Dah lama sikit tu barulah saya dapat menempah pemandu lain. Rasanya pemandu tadi tak tutup aplikasi Grab dia sebab itu dapat orang yang sama berulang kali.

Beberapa saat lepas saya berjaya tempah Grab, saya dapat panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Rupa-rupanya pihak Grab yang menelefon saya untuk bertanyakan keadaan saya. Saya rasa mereka dapat mengesan ada sesuatu terjadi sebab berkali-kali saya menempah pemandu yang sama. Ataupun mungkin pemandu tadi yang membuat laporan. Pantas jugalah syarikat mereka buat kerja. Sebenarnya tak adalah kemalangan teruk pun. Apa pun, alhamdulillah saya dapat sampai ke destinasi dengan selamat. 

Pengajaran yang dapat saya dapat hari ini ialah, sentiasa berhati-hati sebab kita tak akan tahu bila orang akan melanggar kita dari belakang. Hikmahnya, saya dapat berjimat duit hari ini. Eheh.

Comments

Post a Comment