Bagaimana Saya Akhirnya Menjadi Pengacara Majlis dan Tips

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Baru-baru ini, saya telah mengacarakan majlis perasmian Pusat Kecantikan & Spa AlamKu yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Noor Sabrina binti Mohd Noor, Exco Kerajaan Negeri Kedah. Bukan senang untuk kita mendapat peluang menjadi pengacara sebuah majlis yang dihadiri oleh orang besar. Saya terdetik untuk berkongsi kisah tentang saya dan pengacaraan. Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang teringin untuk menjadi pengacara majlis, tetapi tidak mempunyai keyakinan untuk melakukannya. Saya harap serba sedikit perkongsian saya dapat membantu anda untuk menepis apa jua yang sedang menghalang anda untuk melakukannya saat ini.

Kali pertama saya menjadi pengacara majlis adalah semasa saya darjah enam. Setiap hari Ahad, sekolah akan mengadakan perhimpunan rasmi dan seorang pengawas ditugaskan untuk mengacarakan perhimpunan tersebut. Saya bolehlah dikatakan sebagai seorang yang pendiam, tetapi entah macam mana saya telah terpilih menjadi pengawas sekolah semasa darjah tiga. Dulu, darjah tiga kami dipilih menjadi pengawas percubaan dan darjah empat barulah dilantik menjadi pengawas sekolah yang rasmi. Paling drastik, ketika darjah enam saya dipilih untuk menjadi ketua pengawas atas kata sepakat guru-guru disiplin. Jujur saya kata, saya bukan seorang yang banyak cakap pun sebab saya tak suka attract attention. Saya rasa, faktor saya dipilih kerana saya selalu mendapat keputusan yang cemerlang dalam kelas, berdisiplin dan bertanggungjawab. Eheh. Bakul sendiri, sendiri angkat. Sebenarnya, saya boleh dikatakan skema jugalah orangnya, gitu.


Berbalik kepada cerita, pengawas sekolah akan ditugaskan secara bergilir untuk mengendalikan perhimpunan Ahad. Saya tak berapa ingat tapi kalau tak silap perhimpunan Ahad dalam bahasa Inggeris. Bukan semua pengawas terpilih untuk menjadi pengacara. Hanya tiga atau empat orang sahaja yang menjadi pengacara tetap sehingga hujung tahun. Salah seorangnya sudah tentulah ketua pengawas sendiri. Saya sudah biasa melihat senior tahun-tahun sebelum itu mengendalikan perhimpunan. Bezanya, kali ini saya sendiri pula yang akan mengendalikan perhimpunan. Perasaan gelisah itu sudah tentulah ada. Dan rasanya banyak kali juga saya tersasul walaupun teks telah disediakan. Rasanya saya jarang buat eye contact dan cuma akan menunduk membaca teks. Lama-kelamaan, saya menjadi terbiasa walaupun saya selalu cuba untuk mengelat giliran saya.

Ketika di SMK Sultan Badlishah, rasanya saya tidak berpeluang pun menjadi pengacara untuk apa-apa program. Saya rasa saya merupakan salah seorang pelajar halimunan. Sebabnya, saya tak suka menonjolkan diri. Rasanya saya sudah pernah cerita tentang ini, nama saya mula menjadi sebutan ketika pengetua sekolah memperkenalkan saya di perhimpunan rasmi kerana menulis buku pada usia yang muda. Saya masih ingat betapa tak sukanya saya sebab dipanggil naik atas pentas hari itu. Lagi parah apabila disuruh untuk menceritakan sinopsis novel saya secara tiba-tiba. Kalau anda merupakan salah seorang yang takut atau tak suka naik pentas, I totally know that feeling. Harap bekas pengetua yang dimaksudkan tidak membaca tulisan ini.

Semenjak itu mulalah ramai cikgu Bahasa Melayu cuba merekrut saya untuk pelbagai pertandingan seperti resensi buku dan bahas. Saya tidak tahu sama ada pertandingan resensi buku masih wujud ataupun tidak sekarang. Pendek kata, di situlah bermulanya platform saya untuk bercakap di hadapan orang ramai. Saya dah kata, saya ini skema orangnya. Jadi semua kemahuan cikgu saya turuti. Masuk pertandingan dan sebagainya. Tak menang pun. Tapi semua itulah yang menjadi titik permulaan kepada keyakinan saya pada hari ini.

Terima kasih kepada cikgu-cikgu Bahasa Melayu yang percayakan saya walaupun saya tahu betapa tidak bagusnya saya. Secara tidak langsung, saya juga perlu berterima kasih kepada puan pengetua kerana memperkenalkan saya di atas pentas hari itu.

Ketika di SM Sains Kuala Selangor (KUSESS) pula, alhamdulillah Allah beri saya rezeki dan platform yang lebih luas. Saya menjadi Penolong Ketua BADAR (Badan Dakwah dan Kerohanian) dan berpeluang untuk bercakap di hadapan orang ramai dalam majlis liqa’ setiap hari Jumaat. Kadang saya menjadi pengacara majlis, kadang saya berkongsi info dan sebagainya. Majlis liqa’ ni adalah majlis ilmu untuk pelajar puteri sahaja semasa pelajar putera keluar sembahyang Jumaat. Selepas tamat KUSESS, saya mengaku amat jarang untuk saya mendapat peluang dalam majlis ilmu seperti itu lagi.

Cikgu Bahasa Melayu pun dulu pernah memilih saya untuk menjadi pengarah teater peringkat kebangsaan. Lari betul kan Badar dengan teater? Tapi jangan risau, teater arahan saya tidak ada babak berpegangan tangan atau bersentuhan. Pelakon juga semua bertudung kecuali yang India. Tapi muzikal tu adalah. Muzik tak salah, asalkan tidak melalaikan. Dalam masa yang sama, saya memupuk minat dalam pengarahan dan lakonan. Jadi saya menghasilkan filem-filem pendek dan memuat naik di laman YouTube. Tapi saya lebih suka mengarah daripada berlakon sebab saya berlakon kayu.

Tingkatan 6 di Kolej Tingkatan 6 Kulim merupakan platform rasmi saya sebagai pengacara majlis. Berbekalkan pelbagai jenis platform sepanjang saya sekolah menengah, saya dapat membuang rasa gemuruh untuk berada di atas pentas. Saya memang sangat banyak mengacarakan majlis sepanjang tingkatan 6. Saya mengaku saya bukan seorang yang profesional dalam pengacaraan dan sebenarnya pengacaraan saya biasa-biasa sahaja. Selalu saya membaca teks laju kerana hendak cepat menghabiskan program atau majlis. Tapi alhamdulillah saya jarang gemuruh atas pentas dan saya sentiasa berasa yakin untuk menjadi pengacara majlis (jika ada teks). Pernah juga saya menjadi pengacara majlis tidak formal tetapi saya tidak suka sebab kena banyak bercakap tanpa skrip. Lebih senang jadi pengacara yang ada teks. Pengacara tidak formal ni saya cuma yakin kalau buat program di sekolah, tanpa pengawasan cikgu-cikgu mereka.

Saya ini jenisnya seorang yang suka follow the flow. Di kesempatan ini biarlah saya memberi beberapa tips untuk menjadi pengacara majlis. Yang pertama, kalau kita diberi peluang untuk bercakap, tak kiralah dalam apa jua platform, tak ada salahnya mencuba. Kita belajar daripada pengalaman dan latihan. Kalau betul-betul komited hendak menjadi emcee, rajinkan diri melihat video-video pengacaraan untuk melihat intonasi dan gaya percakapan. Sebab pengacara ni ada intonasi yang perlu dikawal. Tak boleh main redah melulu sahaja. Ada masa perlu noktah, koma, nada tinggi, rendah dan sebagainya. Yang saya susah nak kawal adalah kelajuan membaca teks. Tak tahu kenapa, setiap kali majlis mesti baca laju sebab nak habiskan cepat. Eheh. Eye contact pun perlu ada. Walaupun membaca teks, sekali sekali perlu juga pandang penonton. Di atas pentas ni, kita kena wujudkan satu perasaan ‘inferior’ iaitu kita lebih hebat daripada semua orang dan kita yang mengawal pentas. Orang lain tak boleh buat apa. Kalau masih ada rasa rendah diri, pentas bukanlah tempatnya. Saya selalu saja anggap diri saya bagus walaupun hakikatnya tidak. Sebab kalau timbul perasaan cautious (berjaga-jaga), nanti self-esteem kita akan jatuh dan memberikan kesan kepada pengacaraan kita. Tips ini pun boleh diaplikasikan dalam sebarang medium komunikasi pentas yang lain, insyaAllah. Lagi satu, ambil perhatian pergerakan program. Pastikan aturan sesuai dengan teks. Terutamanya kalau ada sesi penyampaian hadiah yang banyak. Kesilapan selalu berlaku semasa sesi ni.

Menjadi pengacara majlis bukanlah satu benda yang susah. Saya kira semua orang boleh menjadi pengacara. Tapi nak menjadi pengacara majlis yang bagus dan sedap didengar itulah yang memerlukan banyak latihan. Kalau pengacara itu sendiri bosan dan mendatar, penonton pun menjadi bosan. Kalau pengacara majlis sedap didengar, barulah penonton bersemangat mendengar.

Saya bersyukur kerana setiap kali selepas mengacarakan majlis, akan ada yang memberi komentar tentang pengacaraan saya. Biasanya yang positif. Tak tahulah membodek atau apa. Ada juga yang menegur kesalahan saya dan sebagainya. Komentar-komentar seperti itulah yang diperlukan untuk rujukan pada masa akan datang (padahal saya selalu ulang kesalahan sama). Ada juga majlis yang saya tak dapat sebarang respon. Saya ingat lagi. Disebabkan saya selalu terbiasa mendapat komentar, saya terkejut sebab selepas satu program tu langsung tak ada orang yang komen tentang pengacaraan saya. I don’t know if I did well or bad. Saya baru tahu yang komentar dan respon daripada orang lain sebenarnya banyak memberikan impak kepada kita.

Saya tidaklah bercita-cita tinggi dalam bidang pengacaraan ini. Sebabnya saya masih juga tidak suka menjadi tumpuan orang ramai. Tapi kalau ada orang yang meminta saya mengacarakan program atau majlis formal, jaranglah saya menolaknya kecuali tak ada teks. Saya fikir dua tiga kali jugalah kalau kena buat teks sebab selalunya saya malas. Eheh.

Agak susah untuk seorang introvert mencuba pelbagai bidang yang memerlukan seorang extrovert. The struggle is real. Hingga akhirnya terpaksa menjadi seorang bitrovert. Boleh rujuk artikel saya tentang bitrovert di SINI. Pesan saya, apa pun kita lakukan, jangan berhenti berharap dan terus percaya yang semuanya ada hikmah tersendiri. Kalau masih ragu-ragu untuk mula mencuba sesuatu yang baru, sampai bila kita akan bersedia?


Rasanya sampai di sini sahaja entry saya kali ini. Kalau ikutkan, banyak lagi pengalaman yang hendak dikongsi tapi cerita panjang berjela pun belum tentu ada yang nak baca. Saya sangat menghargai mereka yang sanggup membaca blog Nafas Baru. Kalau ada sebarang komentar, boleh tinggalkan di ruangan komen ya! Terima kasih. Have a nice day.

Comments