Pages

Wednesday, February 1, 2017

Tips Skor A Kesusasteraan Melayu Komunikatif STPM Penggal 1,2 dan 3



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Ketika Program Integrasi Borneo 5.0 yang saya ikuti baru- baru ini, saya telah turun ke beberapa buah sekolah tingkatan enam di Sarawak dan Sabah. Saya sempat berkongsi tentang mata pelajaran yang saya ambil ketika di tingkatan enam iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Pengajian Perniagaan dan Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK). Saya mendapat beberapa pertanyaan daripada pelajar berkenaan subjek KMK. Jadi saya terdetik untuk berkongsi sedikit tips untuk skor subjek tersebut, siapa tahu mungkin berguna untuk rujukan pengunjung blog ini.

Alhamdulillah, keputusan akhir STPM saya berjaya mendapat A untuk KMK bagi ketiga-tiga semester. Jika mahu dilabelkan tahap kesukaran, saya akan kata semester 1 paling mudah, semester 3 sederhana dan semester 2 paling sukar. Berdasarkan apa yang saya tahu, subjek KMK tidak mempunyai skema jawapan yang rigid, tetapi apa yang dijawab oleh calon perlulah tepat dan spesifik dengan kehendak soalan. Secara peribadi, saya menganggap subjek KMK sebagai satu subjek yang santai kerana jawapan boleh “digoreng” dan yang paling penting, tak perlukan penghafalan seperti subjek Pengajian Perniagaan.


Untuk semester satu, saya menggunakan teks Permata Sastera Melayu. Rasanya teks yang sama juga digunakan sekarang. Tipsnya senang sahaja, khatamkan teks tersebut. Kalau anda bukan seorang yang suka membaca, subjek KMK akan menjadi agak susah sikit untuk anda. Tapi kalau anda rajin membaca, insyaAllah untuk semester satu tak akan jadi masalah kerana semua jawapan sudah terkandung di dalam teks. Yang penting, kita kena pandai menjawab soalan.

Elakkan daripada menulis jawapan yang terlalu ringkas. Misalnya kalau soalan tu minta 16 markah, bagilah 4 isi beserta huraian yang lengkap. Untuk bahagian C, saya lebih suka menjawab soalan berkenaan drama Asiah Samiah kerana Cikgu Ishak (guru KMK) suka membincangkan drama tersebut. Ringkasnya, untuk menjawab semester satu, anda perlu kuasai teks Permata Sastera Melayu. Baca dan fahamkan cerita. InsyaAllah kalau faham cerita, masa nak jawab periksa nanti boleh jawab dengan yakin.



Bagi semester dua pula, saya menggunakan dua teks iaitu Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur dan Sulalatus Salatin. Sewaktu saya tanya pelajar tingkatan 6 di SMK Bintulu (kalau tak silap), katanya mereka juga masih menggunakan teks yang sama. Semester dua ni banyak menguji kemahiran berfikir (KBKK). Soalan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu dari sudut pembangunan insan, pembangunan masyarakat dan pembangunan negara. Untuk menjawab kertas ini, calon perlu membuka fikiran seluas yang mungkin dan berfikir dalam skop besar.

Nak dapatkan kemahiran berfikir ni pendapat saya, perlu banyakkan lagi pembacaan, membaca akhbar atau menonton berita. Secara peribadi, saya bukanlah seorang yang rajin membaca akhbar atau menonton berita. Tambahan lagi berita jam 8 malam. Saya akan buat kerja lain dan datang semula menonton pada jam 9 malam. Saya lebih gemar membaca buku (tetapi sekarang sudah kurang).

Pendapat saya, kalau anda dapat kuasai KBKK yang bagus, itu akan sangat membantu dalam menjawab semester 2. Kalau pembangunan insan, jangan lupa jawab dari sudut pandang diri sendiri (saya). Pembangunan masyarakat, bincangkan kehendak soalan dan kaitkan dengan masyarakat sekarang. Manakala pembangunan negara pula, tulis jawapan dari sudut kesan kepada negara. Pembahagian ketiga-tiga sudut pandang ni sangat penting. Soalan minta A, jawab A. Jangan jawab B. Nanti tak menjawab soalan.

Dari sudut teks, apa yang boleh saya kata, memang kena bacalah. Cerita Saudagar Besar tu seronok sebenarnya. Tapi yang saya tak faham macam mana si Mahani tu boleh teruja dengan hanya jawapan “I Love You” daripada Rahim. Sedangkan si Rahim macam tak ada usaha sangat untuk dapatkan Mahani. Uhuk. Okey maaf menyimpang.


Berkenaan Sulalatus Salatin pula, memang cabaran besar buat saya. Saya akan tabik kalau siapa boleh fahamkan 100% teks tersebut. Ya, saya tahu teks ini memang sangat menguji dari segi bahasa. Jadi, macam mana nak atasi masalah ini? Kalau saya dulu, Cikgu Ishaklah yang banyak memainkan peranan untuk berbincang tentang teks Sulalatus Salatin. Saya pun tak tahu macam mana beliau boleh hadam teks tersebut. Kiranya, kami lebih kepada disuap oleh guru. Saya rasa, itulah jalan terbaik. Berbincang dan bertanya kepada guru subjek mana-mana bahagian yang tidak faham.

Tak perlulah sampai meneliti setiap satu perkataan dalam teks SS. Cukuplah tahu, faham dan ingat bahagian dan cerita-cerita penting dalam SS. Kalau boleh, buat nota sendiri dan klasifikasikan cerita-cerita tersebut ke dalam kategori masing-masing. Contohnya, kepimpinan cerita Iskandar Zulkarnain. Latihan yang diberi oleh cikgu, jangan sesekali skip. Sebab latihan-latihan itulah yang akan menjadi rujukan kita. Dan dalam kes saya, latihan saya menjadi rujukan kawan-kawan sebab mereka tak buat latihan. Haha. Saya pun ada juga satu dua latihan skip sebenarnya, tapi latihan yang skip tu saya akan cuba berbincang dengan Cikgu Ishak secara lisan.

Bagi semester tiga pula, kalau ada soalan tanda pruf tu memang bonuslah. Tolonglah pilih soalan pruf. Kalau anda rasa sempat mereka pantun cerpen sebagainya, tak apa. Tapi kalau saya, lebih baiklah buat kerja mudah saja. Untuk menjawab kertas ini pun perlu banyakkan latihan dan kalau boleh hafal jawapan, hafal. Terutamanya maksud-maksud multimedia dan sebagainya. Bukanlah banyak pun yang perlu dihafal. Selebihnya banyak bergantung kepada pemahaman dan cara kita mengolah jawapan.

Satu perkara penting yang sangat membantu untuk skor keseluruhan adalah kerja kursus. Saya sarankan, lebih mudah untuk anda memilih menghasilkan multimedia berbanding pilihan lain. Alhamdulillah, saya mendapat 59/60 untuk kerja kursus. Itupun sebab Cikgu Ishak tak mahu bagi markah penuh. Tips untuk menghasilkan video yang menarik adalah dari segi kreativiti. Cuba elakkan menggunakan bahan yang semua orang ada. Cipta sesuatu yang lain daripada yang lain. Kalau saya, saya menggunakan Adobe Photoshop untuk mengubah gambar orang ke beberapa latar tempat yang berbeza. Dan saya masukkan syair yang dilagukan serta dialog yang dibacakan oleh abang saya. Secara peribadinya saya tak rasa hasil video saya sudah cukup bagus tapi rasanya dapat markah tinggi sebab guru akan lihat pada usaha yang kita ambil.

Ringkasnya, itulah sedikit sebanyak tips yang dapat saya kongsikan untuk adik-adik yang bakal menjawab kertas Kesusasteraan Melayu Komunikatif STPM. Kalau siapa yang kata KMK tu susah, ya, agak susah, tapi kalau ada minat dan kesungguhan, mesti dapat jawab. Semoga anda dapat skor A untuk ketiga-tiga semester dan majulah sastera untuk negara! Eheh.

No comments:

Post a Comment