Refleksi 2016



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Sedar tak sedar, dah masuk bulan Februari untuk tahun 2017. Sekejap sahaja masa berlalu. Tak lama lagi pun semester baru akan bermula dan saya akan disibukkan kembali dengan assignment, tutorial, kuiz dan sebagainya. Sudah lama saya teringin nak buat entry tentang refleksi tahun 2016, tetapi hari ini baru berkesempatan untuk update. Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya akan buat entry untuk refleksi semula detik-detik bermakna yang terjadi pada saya sepanjang tahun 2016.

Tahun 2016 merupakan satu tahun yang banyak memberikan pengalaman baru kepada saya terutamanya dari segi pengalaman bekerja dan kemasukan ke universiti. Saya sempat bekerja di kedai buku sekolah rendah dan menjadi seorang guru tuisyen dalam tempoh beberapa bulan menunggu keputusan universiti. Dan fasa di alam universiti pula merupakan satu fasa yang banyak mengubah hidup saya. Tak mahu membebel panjang, jom baca highlight 2016 saya!


Walaupun Thailand hanya bersempadan dengan Malaysia, pada usia 20 tahun barulah pertama kali saya dapat menjejakkan kaki ke sana. Kami melawat tempat-tempat menarik seperti Muzium Magic Eye 3D, Floating Market dan berjalan di Pantai Samila. Percutian ini sangat bermakna kerana dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga. Saya ada menghasilkan vlog di Hatyai yang panjangnya selama 25 minit sebab tak tahu nak cut bahagian mana. Semuanya menarik. Dan foto-foto yang kami ambil di sana juga sangat cantik.



Alhamdulillah, selama satu tahun setengah bergelut dengan STPM di Pusat Tingkatan 6 Mod 1 SMK Taman Mahsuri (kini dikenali sebagai Kolej Tingkatan 6 Kulim), akhirnya saya berjaya mendapatkan keputusan yang agak memberansangkan. Walaupun bukanlah 4 rata, dapat pointer 3.83 pun sudah dikira agak bagus kerana melebihi daripada jangkaan saya. Keputusan inilah yang akhirnya melayakkan saya untuk mendapat tempat di universiti saya kini.



Saya sudah semakin jarang menghasilkan shortfilm di YouTube channel saya dan lebih banyak menghasilkan vlog. Walaupun begitu, saya berjaya merakamkan sebuah filem pendek kolaborasi dengan adik saya berjudul Potret. Alhamdulillah, ramai yang memberikan respon positif untuk Potret. Kalau anda belum tonton lagi, silakan ya.



Pada bulan Jun, sekali lagi saya dan keluarga pergi ke Hatyai. Kali ini, sepupu-sepupu saya turut serta untuk percutian kami. Saya mendapat banyak pengalaman baru seperti menaiki gajah, menaiki ATV dan pertama kali juga ice-skating. Saya berjaya mencipta rekod tidak jatuh untuk beginner. Walaupun tak adalah laju macam pro. Ice-skating adalah satu pengalaman menyeronokkan dan kalau boleh saya nak main lagi di masa akan datang, insyaAllah.



Saya juga telah menganjurkan satu giveaway untuk kali kedua. Alhamdulillah, giveaway mendapat sambutan yang menggalakkan dan berjalan dengan lancar. Ini adalah salah satu cara apresiasi saya kepada pembaca blog Nafas Baru dan rakan-rakan blogger. Saya harap dapat anjurkan lagi giveaway seperti ini.



Program ini juga adalah salah satu program yang bermakna bagi saya kerana saya mengajak rakan-rakan sekolah rendah untuk berprogram di SK Sungai Ular, Kulim iaitu sekolah rendah kami dulu. Dalam masa yang sama, saya dapat berkumpul kembali bersama rakan-rakan sekolah rendah yang telah lama terpisah. Seronok dapat mendengar kisah hidup masing-masing. Semoga kami dapat berkumpul lagi untuk PESAK 2.0 pula!


Siapa yang tidak seronok apabila mendapat tawaran kemasukan ke universiti? Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana terpilih untuk melanjutkan pelajaran lagi di peringkat ijazah sarjana muda. Berkat keputusan STPM saya, kini saya sedang menuntut bidang Pengurusan di Universiti Sains Malaysia. Saya yakin, segala yang Allah rancangkan, ada hikmahnya. Terus percaya.



Alhamdulillah, menjadi satu penghargaan buat saya apabila diberikan anugerah oleh penduduk kampung walaupun sebenarnya saya tinggal di rumah taman. Kami disatukan di bawah satu jawatankuasa iaitu JKKK Kampung Paya Tok Betok. Saya mendapat anugerah ini kerana telah berkhidmat sebagai guru tuisyen kampung. Saya mengajar subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains kepada murid UPSR dan SPM. Rindu pula rasanya nak berjumpa budak-budak tu lagi.



Itulah antara highlight penting saya untuk tahun 2016. Semoga tahun 2017 ini, banyak lagi momen-momen menarik yang dapat saya corakkan bersama insan-insan yang bermakna dalam hidup saya. Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca coretan ini. Bagaimana pula dengan 2016 anda?

Comments