Pages

Tuesday, January 31, 2017

Integrasi Borneo 5.0 Part 1: Disambut Macam VIP


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Saya baru sahaja selesai mendaftar kursus untuk semester dua. Lapan subjek semuanya yang perlu diambil. TITAS, English, Principles of Marketing, Operations Management, Managerial Psychology, Macroeconomics, Business Law dan Business Communication. Macam mana nak survive semester dua pun saya tak tahu. Eheh. Apa pun, selagi ada masa cuti semester ni, ayuhlah kita gunakan peluang yang ada. Nanti dah buka semester tak ada masa dah nak update blog segala.

Seperti yang saya janjikan pada ramai pihak (ramai yang minta saya update cerita Integrasi Borneo dalam blog), maka saya nak kongsikanlah serba sedikit pengalaman saya dan team IB 5.0 ke Sarawak dan Sabah baru-baru ini. Saya akan cuba ringkaskan sependek mungkin sebab takut pembaca bosan. Haha


14 Januari 2017

Kami perlu berkumpul jam 4 pagi. Bayangkan, 4 pagi. Malam itu, saya berjaga di bilik gerakan sebab uruskan kotak, tagging, barang dan sebagainya. Dalam jam 2 lebih, naik ke bilik dan bersiap. 4 pagi turun semula dan bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menaiki van HEPA (Hal Ehwal Pelajar & Alumni). Flight kami jam 7 pagi.. dan sekitar 8.45 tu dah sampai ke Kuching, Sarawak.  Di airport, kami disambut oleh pelajar UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak). Saya sangat suka mereka sebab semuanya peramah dan sporting. Dan terlebih sporting pun ada. Siap bawa sepanduk lagi untuk menyambut kami.

Untuk permulaan, kami menaiki bas UNIMAS dan menuju ke UNIMAS dulu untuk simpan barang dan bersiar-siar di kawasan UNIMAS. Sepanjang perjalanan, Millan bertindak sebagai tourist guide kami dan kami pun berkenal-kenalan di dalam bas. Millan merupakan peserta lelaki tunggal mewakili UNIMAS. Selama ini saya cuma mendengar cerita tentangnya daripada Nickson, jadi agak terujalah bila dapat berjumpa sendiri orang yang selama ini cuma berurusan dalam telefon. Barulah saya tahu kenapa Nickson selalu bercerita tentang Millan.

Dari kiri: Julian, Julika, Millan, Mira dan Elsie dari UNIMAS


Setelah membuat lawatan di UNIMAS, kami terus ke bandaraya Kuching. Kali terakhir saya ke Kuching adalah ketika saya darjah enam kalau tak salah saya. Millan menunjuk kawasan ChinaTown dan Waterfront Kuching. Kami juga sempat menaiki sampan di Waterfront menuju ke kedai kek lapis di seberang. Tapi nak beli bawa balik tu takut tak tahan pula untuk 9 hari lagi. Sewaktu nak bergambar di Tugu Kuching pula, sedang ada construction. Tapi disebabkan Millan adalah professional photographer, kami bergambar juga di situ. Hasilnya tak dapat lagi sebab dia belum share. Haha. Kami juga sempat berkunjung ke Muzium Kuching dan tengok kebudayaan masyarakat Sarawak terutamanya replika rumah-rumah panjang di sana.

Malam itu pula, saya memberikan taklimat kepada peserta UNIMAS tentang modul-modul yang akan kami jalankan di sekolah-sekolah. Hari pertama kami lebih kepada santai dan berjalan-jalan. Kami masih boleh tersenyum tawa kerana tidak tahu apa yang menanti pada hari-hari mendatang.


15 Januari 2017

Seawal pagi lagi kami sudah bertolak ke Sri Aman. Destinasi jelajah kami yang pertama adalah di SMK Engkilili. Perjalanan dari Kuching ke Sri Aman mengambil masa dalam 3 jam lebih kalau tak salah saya. Saya agak terkejut dan teruja apabila sampai sahaja di SMK Engkilili, berderet pelajar sudah berbaris menunggu ketibaan kami. Terasa sangat dihargai. Macam kami ni VIP pula. Siap offer angkat beg dan sebagainya. Sudahlah student perempuan tu badannya kecil, nak angkat beg pakaian kakak-kakak yang besar gedabak. Adeh.

Kami tiba agak awal di SMK Engkilili dan diberikan bilik tidur di asrama. Millan terpaksa tidur di rumah cikgu-cikgu kerana dia seorang peserta lelaki tunggal. Bertabahlah.

Perancangan aktiviti kami adalah jam 4 petang, tetapi pelajar-pelajar di SMK Engkilili memang bagus. Saya tak tahu mereka bersedia pukul berapa, tapi sekitar jam 3 saya turun ke dewan, MPP mereka sudah pun bersiap siaga di sana. Dari segi pengurusan, saya memang puji pelajar-pelajar sekolah ini.  Kami pun mengadakan aktiviti sukaneka dan sambutan yang diberikan sangat menggalakkan. 

Julian tak sempat masuk

Bagi saya, SMK Engkilili mempunyai pelajar yang paling sporting. Dari segi pengurusan kami team IB, saya rasa kami masih lagi kekok kerana itu merupakan sekolah pertama kami. Dan saya sendiri pun sebagai pengarah program  tidak mempunyai perancangan yang rapi. Tapi alhamdulillah aktiviti kami berjalan lancar dan saya boleh puji diri sendiri sebab apa yang kami rancangkan selama ini akhirnya terlaksana.

Cabaran di sekolah ini bagi saya bukanlah dari segi program, tetapi dari segi bagaimana kami team IB nak sesuaikan diri dengan kehidupan asrama. Fasiliti dan kemudahan sekolah tidaklah berada dalam keadaan excellent. Susah juga nak mandi dan menggunakan bilik air. Saya boleh katakan yang pelajar di sana tidak dimanjakan dan mereka sangat berdikari. Tahniah kepada semua pelajar asrama SMK Engkilili!


16 Januari 2017

Waktu pagi, kami mempunyai program pula dengan pelajar tingkatan 6 di SMK Engkilili. Untuk program bersama tingkatan 6, modul kami lebih bersifat perkongsian. Modul “Penjanaan Prestasi Kecemerlangan Kendiri” disampaikan oleh saudari Siti Farah atau saya panggil Kak Farah. Selepas itu, kami membuat perkongsian peribadi peserta-peserta IB berkenaan kursus masing-masing. Rata-rata kami sedang menuntut kursus yang berlainan seperti Ilmu Pendidikan, Kewartawanan, Perakaunan, Ekonomi, Design Technology dan saya sendiri Management. Dan majoriti kami juga berasal dari tingkatan 6, jadi saya rasa perkongsian daripada kami tentang pengalaman sendiri sangat membantu adik-adik yang bakal menghadapi lagi dua semester di tingkatan 6.

Selesai program di SMK Engkilili, kami mengangkut barang dan beg pakaian masing-masing, menaiki bas menuju ke Bintulu pula. Perjalanan ke Bintulu adalah sekitar 8 jam. Bayangkanlah betapa lamanya waktu yang dihabiskan di atas bas sahaja. Pada awalnya saya rancang untuk ke Sibu dulu sebelum Bintulu, tetapi disebabkan pihak pengurusan suruh cut Sibu, jadi kami teruslah ke Bintulu. Kami sempat singgah di pasar Bintulu dulu. Di situlah kami jumpa ulat sagu yang dijual hidup-hidup dan buah-buahan yang tak pernah dilihat di Semenanjung (atau cuma saya yang tak pernah lihat).

Penginapan kami malam itu adalah di UPM Bintulu. Mulanya saya fikir UNIMAS adalah universiti yang sangat luas, tapi rupa-rupanya UPM Bintulu jauh lebih luas daripada UNIMAS. UPM Bintulu ni adalah kampus yang lebih menekankan research untuk penternakan. Tak hairanlah sepanjang kampus akan nampak kandang lembu atau ternakan yang lain. Saya akan ceritakan tentang diskusi kami dengan UPM Bintulu dalam entry seterusnya.

Setelah letak barang di bilik dan pengurusan diri, kami terus ke SMK Bintulu. Di SMK Bintulu pun, kami menggunakan modul yang sama sahaja. Alhamdulillah, program pun berjalan dengan lancar di SMK Bintulu. Selesai program, kami pulang ke UPM dan berehat untuk berprogram lagi esok hari.



Bersambung…



No comments:

Post a Comment