Pages

Tuesday, January 31, 2017

Integrasi Borneo 5.0 Part 1: Disambut Macam VIP


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Saya baru sahaja selesai mendaftar kursus untuk semester dua. Lapan subjek semuanya yang perlu diambil. TITAS, English, Principles of Marketing, Operations Management, Managerial Psychology, Macroeconomics, Business Law dan Business Communication. Macam mana nak survive semester dua pun saya tak tahu. Eheh. Apa pun, selagi ada masa cuti semester ni, ayuhlah kita gunakan peluang yang ada. Nanti dah buka semester tak ada masa dah nak update blog segala.

Seperti yang saya janjikan pada ramai pihak (ramai yang minta saya update cerita Integrasi Borneo dalam blog), maka saya nak kongsikanlah serba sedikit pengalaman saya dan team IB 5.0 ke Sarawak dan Sabah baru-baru ini. Saya akan cuba ringkaskan sependek mungkin sebab takut pembaca bosan. Haha


14 Januari 2017

Kami perlu berkumpul jam 4 pagi. Bayangkan, 4 pagi. Malam itu, saya berjaga di bilik gerakan sebab uruskan kotak, tagging, barang dan sebagainya. Dalam jam 2 lebih, naik ke bilik dan bersiap. 4 pagi turun semula dan bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menaiki van HEPA (Hal Ehwal Pelajar & Alumni). Flight kami jam 7 pagi.. dan sekitar 8.45 tu dah sampai ke Kuching, Sarawak.  Di airport, kami disambut oleh pelajar UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak). Saya sangat suka mereka sebab semuanya peramah dan sporting. Dan terlebih sporting pun ada. Siap bawa sepanduk lagi untuk menyambut kami.

Untuk permulaan, kami menaiki bas UNIMAS dan menuju ke UNIMAS dulu untuk simpan barang dan bersiar-siar di kawasan UNIMAS. Sepanjang perjalanan, Millan bertindak sebagai tourist guide kami dan kami pun berkenal-kenalan di dalam bas. Millan merupakan peserta lelaki tunggal mewakili UNIMAS. Selama ini saya cuma mendengar cerita tentangnya daripada Nickson, jadi agak terujalah bila dapat berjumpa sendiri orang yang selama ini cuma berurusan dalam telefon. Barulah saya tahu kenapa Nickson selalu bercerita tentang Millan.

Dari kiri: Julian, Julika, Millan, Mira dan Elsie dari UNIMAS


Setelah membuat lawatan di UNIMAS, kami terus ke bandaraya Kuching. Kali terakhir saya ke Kuching adalah ketika saya darjah enam kalau tak salah saya. Millan menunjuk kawasan ChinaTown dan Waterfront Kuching. Kami juga sempat menaiki sampan di Waterfront menuju ke kedai kek lapis di seberang. Tapi nak beli bawa balik tu takut tak tahan pula untuk 9 hari lagi. Sewaktu nak bergambar di Tugu Kuching pula, sedang ada construction. Tapi disebabkan Millan adalah professional photographer, kami bergambar juga di situ. Hasilnya tak dapat lagi sebab dia belum share. Haha. Kami juga sempat berkunjung ke Muzium Kuching dan tengok kebudayaan masyarakat Sarawak terutamanya replika rumah-rumah panjang di sana.

Malam itu pula, saya memberikan taklimat kepada peserta UNIMAS tentang modul-modul yang akan kami jalankan di sekolah-sekolah. Hari pertama kami lebih kepada santai dan berjalan-jalan. Kami masih boleh tersenyum tawa kerana tidak tahu apa yang menanti pada hari-hari mendatang.


15 Januari 2017

Seawal pagi lagi kami sudah bertolak ke Sri Aman. Destinasi jelajah kami yang pertama adalah di SMK Engkilili. Perjalanan dari Kuching ke Sri Aman mengambil masa dalam 3 jam lebih kalau tak salah saya. Saya agak terkejut dan teruja apabila sampai sahaja di SMK Engkilili, berderet pelajar sudah berbaris menunggu ketibaan kami. Terasa sangat dihargai. Macam kami ni VIP pula. Siap offer angkat beg dan sebagainya. Sudahlah student perempuan tu badannya kecil, nak angkat beg pakaian kakak-kakak yang besar gedabak. Adeh.

Kami tiba agak awal di SMK Engkilili dan diberikan bilik tidur di asrama. Millan terpaksa tidur di rumah cikgu-cikgu kerana dia seorang peserta lelaki tunggal. Bertabahlah.

Perancangan aktiviti kami adalah jam 4 petang, tetapi pelajar-pelajar di SMK Engkilili memang bagus. Saya tak tahu mereka bersedia pukul berapa, tapi sekitar jam 3 saya turun ke dewan, MPP mereka sudah pun bersiap siaga di sana. Dari segi pengurusan, saya memang puji pelajar-pelajar sekolah ini.  Kami pun mengadakan aktiviti sukaneka dan sambutan yang diberikan sangat menggalakkan. 

Julian tak sempat masuk

Bagi saya, SMK Engkilili mempunyai pelajar yang paling sporting. Dari segi pengurusan kami team IB, saya rasa kami masih lagi kekok kerana itu merupakan sekolah pertama kami. Dan saya sendiri pun sebagai pengarah program  tidak mempunyai perancangan yang rapi. Tapi alhamdulillah aktiviti kami berjalan lancar dan saya boleh puji diri sendiri sebab apa yang kami rancangkan selama ini akhirnya terlaksana.

Cabaran di sekolah ini bagi saya bukanlah dari segi program, tetapi dari segi bagaimana kami team IB nak sesuaikan diri dengan kehidupan asrama. Fasiliti dan kemudahan sekolah tidaklah berada dalam keadaan excellent. Susah juga nak mandi dan menggunakan bilik air. Saya boleh katakan yang pelajar di sana tidak dimanjakan dan mereka sangat berdikari. Tahniah kepada semua pelajar asrama SMK Engkilili!


16 Januari 2017

Waktu pagi, kami mempunyai program pula dengan pelajar tingkatan 6 di SMK Engkilili. Untuk program bersama tingkatan 6, modul kami lebih bersifat perkongsian. Modul “Penjanaan Prestasi Kecemerlangan Kendiri” disampaikan oleh saudari Siti Farah atau saya panggil Kak Farah. Selepas itu, kami membuat perkongsian peribadi peserta-peserta IB berkenaan kursus masing-masing. Rata-rata kami sedang menuntut kursus yang berlainan seperti Ilmu Pendidikan, Kewartawanan, Perakaunan, Ekonomi, Design Technology dan saya sendiri Management. Dan majoriti kami juga berasal dari tingkatan 6, jadi saya rasa perkongsian daripada kami tentang pengalaman sendiri sangat membantu adik-adik yang bakal menghadapi lagi dua semester di tingkatan 6.

Selesai program di SMK Engkilili, kami mengangkut barang dan beg pakaian masing-masing, menaiki bas menuju ke Bintulu pula. Perjalanan ke Bintulu adalah sekitar 8 jam. Bayangkanlah betapa lamanya waktu yang dihabiskan di atas bas sahaja. Pada awalnya saya rancang untuk ke Sibu dulu sebelum Bintulu, tetapi disebabkan pihak pengurusan suruh cut Sibu, jadi kami teruslah ke Bintulu. Kami sempat singgah di pasar Bintulu dulu. Di situlah kami jumpa ulat sagu yang dijual hidup-hidup dan buah-buahan yang tak pernah dilihat di Semenanjung (atau cuma saya yang tak pernah lihat).

Penginapan kami malam itu adalah di UPM Bintulu. Mulanya saya fikir UNIMAS adalah universiti yang sangat luas, tapi rupa-rupanya UPM Bintulu jauh lebih luas daripada UNIMAS. UPM Bintulu ni adalah kampus yang lebih menekankan research untuk penternakan. Tak hairanlah sepanjang kampus akan nampak kandang lembu atau ternakan yang lain. Saya akan ceritakan tentang diskusi kami dengan UPM Bintulu dalam entry seterusnya.

Setelah letak barang di bilik dan pengurusan diri, kami terus ke SMK Bintulu. Di SMK Bintulu pun, kami menggunakan modul yang sama sahaja. Alhamdulillah, program pun berjalan dengan lancar di SMK Bintulu. Selesai program, kami pulang ke UPM dan berehat untuk berprogram lagi esok hari.



Bersambung…



Monday, January 30, 2017

What I Want but I Can't... For Now


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum. Semoga semua pembaca blog ini sihat-sihat belaka.

Ramai bloggers yang share tentang azam, impian dan harapan mereka sempena tahun baru 2017 ini. Bercakap tentang azam, azam saya tahun ini tak adalah extraordinary. Cuma mengharapkan kejayaan sepanjang tahun dan dimurahkan rezeki, insyaAllah. Untuk entry ini, saya terdetik untuk berkongsi apa yang saya inginkan. Bukanlah azam saya, cuma kehendak semata-mata. Tapi saya tahu tak mampu dicapai untuk jangka masa sekarang disebabkan saya sedang berada dalam keadaan jimat ekonomi. Eheh. Jadi, apa yang saya nak tapi tak mampu dapat tu?

1. DSLR Camera/ Vlog Camera/ Camera Tripod Stand



Dulu, saya memang tak berminat untuk memiliki DSLR. Sebab saya lebih prefer untuk membawa sesuatu yang kecil dan ringan ke mana-mana. Oleh itu, saya membeli kamera Samsung Galaxy yang mempunyai kualiti bagus. Tapi lama-kelamaan akhirnya saya sedar bahawa kamera yang mempunyai kualiti terbaik hanyalah kamera-kamera DSLR. Eheh. Lagipun kamera Samsung saya lensnya sudah masuk habuk. Jadi saya memang sangat teringin untuk mendapatkan sebuah DSLR. Saya selalu menonton video dan vlog YouTuber dan cemburu dengan kualiti rakaman mereka yang sangat berkualiti. Saya juga berharap satu hari dapat hasilkan video yang mempunyai kualiti bagus dan cantik melalui DSLR. Suatu hari nantilah... insyaAllah. Buat masa sekarang, kumpullah dulu ya duit tabungan tu.



Sebagai seorang yang gemar menghasilkan vlog, tipulah kalau saya kata tak teringin kamera vlog. Saya mempunyai sebuah video camera, tapi memang jarang digunakan sebab kualitinya yang tidak memuaskan hati saya. Hendak upload pun jadi tak senang disebabkan low quality. Saya teringin nak ada kamera vlog kecil yang mudah dibawa ke mana-mana dan dalam masa yang sama boleh tengok diri sendiri ketika merakam. Sebab kadang tu bila saya rakam video menggunakan kamera yang tak ada 360, saya terpotong bahagian kepala dan banyak rakam di bahagian bahu. Setakat ini, saya tak ada masalah merakam vlog menggunakan Samsung Galaxy kerana sudah biasa, tapi hasrat di hati teringin juga nak ada kamera vlog. Haha.



Saya dah berkurun abad mencari tripod stand. Saya tak tahu macam mana, semua tripod di rumah mesti ada masalah. Paling utama masalah adalah hilang bahagian kepala, komponen untuk nak letak kamera tu. Kadang tu kalau terdesak sangat terpaksa cari getah untuk ikat dan sebagainya. Saya pernahlah survey di kedai-kedai dan nak cari tripod yang paling murah, tapi kebanyakannya dalam lingkungan RM100 ke atas. Jadi hasrat saya untuk membelinya terbantut sehinggalah sekarang. Benda ni bukanlah keperluan, tapi dia akan jadi keperluan setiap kali nak rakam video. Percayalah. Kalau tak ada tripod stand ni rasa hidup tak lengkap sikit. 


2. New Smartphone/ Tablet



Kawan-kawan saya tahu, saya seorang pengguna Nokia sehinggalah hampir setahun yang lalu rasanya Nokia saya terjatuh di tengah jalan ketika menunggang motosikal. Dan smartphone yang saya guna sekarang, Samsung, adalah smartphone ibu saya yang sebenarnya sudah bermasalah. Saya tak ada masalah sangat dan okey sahaja menggunakannya, sehinggalah smartphone tersebut buat masalah ketika Program Integrasi Borneo 5.0 baru-baru ini. Bayangkanlah telefon pengarah program tak berfungsi ketika program. Nasib ada kawan-kawan yang boleh back up. Saya berurusan dengan pihak sekolah dan universiti pakai telefon orang. Haha. Padahal baru tukar bateri fon. 

Nak beli smartphone baru tu, mungkin nanti-nanti. Mungkin tunggu sampai fon sekarang betul-betul mati dan tak berfungsi. Tapi rasanya saya akan beli Nokia pun kalau nak beli baru sebab cuma itulah yang dapat save budget. Huhu. 



Yang tablet ni betul-betul kehendak. Bukan keperluan langsung. Saya teringin sebab screen yang luas dan puas kalau nak tengok apa-apa. Tapi orang kata tab ni selalu cepat rosak. Jadi saya teragaklah juga kalau nak beli tu. Saya cuma bayangkan senang nak tengok jadual kuliah dan dokumen-dokumen kalau ada tab ni. Kalau dipanggil jadi pengacara majlis pun, senang tengok teks ucapan melalui benda ni. Nanti-nantilah. Akan datang, Nurina. InsyaAllah. Bila dah berduit nanti. Haha


3. New Laptop

Ini pun cuma kehendak semata-mata. Laptop sedia ada pun masih berfungsi lagi. Saya menggunakan laptop Acer yang nipis tu. Sejak tingkatan empat lagi. Alhamdulillah, rasanya baru sekali sahaja format laptop setakat ni. Laptop saya tak ada masalah sangat, cuma dari segi bateri. Memang perlu dicharge sepanjang masa kalau tak laptop akan mati. Mungkin kalau tukar bateri rasanya akan ok. Tapi banyak function dan software yang tak boleh digunakan dalam laptop ni. Contohnya Photoshop CC dan Corel Video Studio Pro X8 ke atas. Sebab tak cukup space atau specification tak sesuai. Tempoh hari saya perlu mendownload Photoshop CC untuk digunakan dalam bengkel First Year Training Programme (FYTP) di bawah Management Society. Tapi tak boleh install dalam Acer saya. Jadi suka hati saja saya install dalam laptop roommate. Saya tak buang lagi rasanya software tu dari laptop dia. 

Kalau ada rezeki lebih nanti, nak beli laptop baru untuk memudahkan kerja-kerja saya. Tambahan pula sekarang jadi exco Grafik dan Jaringan Informasi. Tapi masih guna software-software versi lama. Eheh. Janji kerja siap. Oh ya, harap dah tak perlu guna SPSS juga untuk semester dua ni. SPSS tu adalah software yang digunakan untuk subjek Business Statistics. Sebab sangatlah susah nak install software tu. 


4. External Hard Disk


Yang ini memang keperluan, tapi tak mampu juga beli untuk masa sekarang. Walaupun agak murah berbanding gajet-gajet lain yang saya senaraikan sebelum ni. Keperluan utamanya adalah untuk menyimpan anime. Keperluan lain untuk menyimpan video, gambar, dokumen penting dan sebagainya. Saya dah pernah memiliki hard disk dua kali, tapi kedua-duanya rosak. Jadi nak beli baru tu macam agak fobialah sikit sebab tak sanggup menahan peritnya rasa bila rosak. Eheh. Yang ini pun, saya akan save for later. Bila betul-betul terdesak untuk beli.


5. Hoverboard


Saya memang dah lama teringin nak dapatkan benda ni. Bukanlah untuk digunakan di universiti. Main di rumah pun dah okey. Hoverboard tersangat cool dan rasa lagi teringin nak dapatkan satu selepas cuba main tempoh hari. Tapi ya Allah, harga tu harga. Saya tengok paling murah pun di IG dalam RM600+ something. Itu pun yang promosi rasanya. Dengan harga tu lepas untuk beli tripod stand, smartphone atau external hard disk. DSLR tak lepas. Haha. 



So yeah, itulah benda-benda yang saya sangat teringin nak dapatkan, tapi tak mampu untuk masa sekarang. Kalau dapat beli DSLR atau vlog camera tu fuhh memang saya akan manfaatkan sebaik mungkinlah. Saya pasti, anda yang sedang membaca pun mesti ada banyak benda yang teringin nak dapat tapi tak mampu. Kalau ya, kita sekapal. Jadi marilah kita bersama-sama menabung untuk kejayaan masa depan! Fighting!

Sunday, January 29, 2017

Reunited with the Girls


Bismillahirrahmanirrahim.

Sekadar berkongsi gambar outing saya dan rakan-rakan di Landmark Central. Masing-masing telah membawa haluan sendiri. Mereka adalah teman rumah sewa saya ketika di tingkatan enam. Satu tahun setengah kami habiskan masa bersama. Tinggal sebumbung bersama. Makan minum sama-sama. Sudah tentulah rasa teruja bila dapat berjumpa mereka.

Mereka makan sizzling. Yang hujung tu makanan tak sampai lagi


I love this one


Asmaniza dan Syafikah 


Nampaklah lesen P tu terpampang di belakang

Tak mahu banyak kata. Semoga kita berjumpa lagi, insyaAllah. Cukup tujuh orang pula.

Di Balik Tabir Menguruskan Integrasi Borneo 5.0


Bismillihirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Harap saya masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua! Eheh. Walaupun sudah nak masuk ke penghujung Januari. Saya nak berikan alasan kenapa saya tidak update blog untuk sekian lamanya. Moga alasan saya diterima. Sebenarnya, saya agak ‘sibuk’ menguruskan sebuah program universiti.

Program tersebut ialah Program Integrasi Borneo 5.0 (IB 5.0) yang dianjurkan oleh kolej kediaman Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan, USM dengan kerjasama strategik daripada Kolej Cempaka, Universiti Malaysia Sarawak dan Kolej Tun Mustapha, Universiti Malaysia Sabah. Saya merupakan pengarah projek untuk program ini, jadi banyak benda yang perlu diselesaikan dari awal program hinggalah ke akhir program (alasan). Kenapa 5.0? Sebabnya, program ni merupakan satu program flagship iaitu program tahunan kolej kami dan sudah ada 4 siri dilaksanakan sebelum ini.

Bila bercakap tentang Sabah dan Sarawak, saya boleh kategorikan program ini sebagai satu program yang agak besar. Dari Penang ke Sarawak dan Sabah. Sebagai pengarah projek pula, sudah pastilah nak kena tengok dari sekecil-kecil hal hinggalah ke besar-besar hal. Dari segi surat-menyurat, penajaan, hadiah, sijil, penginapan, pengangkutan, aktiviti, modul dan macam-macam lagilah. Apa yang paling mencabar adalah saya diberitahu tentang program ini dalam pertengahan bulan November kalau tak silap dan tarikh program pada bulan Januari.

Buat program ke pergi bercuti?

Jadi dalam tempoh sebulan lebih (Disember), semua benda kena selesai. IB 5.0 ni lebih menekankan kepada pendidikan, di mana saya dan team IB pergi ke sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak untuk mengadakan program dan aktiviti berbentuk motivasi kepada pelajar sekolah. Kami pergi ke 2 buah sekolah di Sarawak iaitu SMK Engkilili dan SMK Bintulu. Di Sabah pula sebanyak 4 buah sekolah menengah iaitu SMK Putatan, SMK Mat Salleh, SMK Elopura Bestari, SMKA Tun Juhar dan sebuah sekolah rendah SK Labuk Subur di Sandakan. Program kami ni berlangsung selama 9 hari.

Hendak diceritakan dari segi pengurusan program, memang sangat mencabar. Apatah lagi apabila selalu dimarahi oleh pihak pengurusan. Eheh. Kawan-kawan selalu kata muka saya nampak stress dan nampak nak menangis, walhal saya tak ada menangis pun sepanjang pengendalian program. IB 5.0 ni adalah satu program yang sangat mencabar buat saya, kerana saya tak suka menjadi ketua atau orang penting dalam sesebuah program. Saya lebih suka buat kerja backstage seperti edit video, buat slide presentation. Ataupun kalau nak suruh buat kerja front stage, saya boleh jadi pengacara majlis tetapi yang ada teks. Kalau nak suruh spontan tu alamatnya hambarlah majlis tu nanti. Jadi bila diberikan jawatan secara paksarela sebagai pengarah projek ni, tipulah kalau saya kata tak hesitate. Tapi dalam masa yang sama, saya bersyukur sebab diberikan satu task yang out of my limit.

The biggest challenge adalah macam mana seseorang yang selama ini berada dalam satu zon selesa, untuk keluar daripada zon tersebut. Belajar nak berurusan dan bercakap dengan orang, menebalkan muka minta penajaan dan sebagainya. Dari segi kewangan pun sama, nak kena bajet harga itu inilah. Sekali lagi, saya bersyukur sebab saya bolehlah dikategorikan laju juga dalam bab kewangan. Walaupun Financial Accounting tu masih tunggang terbalik lagi. Tapi janganlah tanya soalan xyzabc macam Add Math tu. Terloponglah juga nanti.

Satu masalah yang agak berat juga ialah bulan Disember menandakan cuti sekolah. Maka agak sukarlah untuk saya dan team IB menghubungi pihak-pihak sekolah dan berurusan dengan mereka. Namun berkat kesungguhan team IB, alhamdulillah segala urusan dipermudahkan Allah. Dan satu yang paling saya berterima kasih adalah bantuan daripada Cikgu Azlan di bahagian Sandakan. Cikgu Azlan ni adalah kawan kepada salah seorang pihak pengurusan, Encik Akimi. Untuk program di Sandakan, memang Cikgu Azlanlah yang banyak turun padang dan berurusan dengan pihak-pihak sekolah. Beliau memang seorang yang sangat berdedikasi dan disegani. InsyaAllah saya akan lanjutkan cerita tentang Cikgu Azlan dalam entry-entry seterusnya.

Satu lagi cabaran adalah final exam yang jatuh pada 28 Disember – 6 Januari. Cerita final exam satu hal. Seperti yang pernah saya mention dalam entry lepas, bidang Management adalah satu bidang yang tough bagi saya kerana saya dulu seorang pelajar sastera. Apabila masuk ke bidang management macam culture shocklah juga kerana perlu belajar subjek pengiraan yang banyak seperti Business Statistics, Financial Accounting dan Microeconomics yang tak pernah saya ambil sebelum ini. STPM atau SPM dulu saya tak ambil pun subjek perakaunan atau ekonomi ni, jadi subjek-subjek ni memang sangat killer buat saya. Tapi, baru-baru ini, keputusan provisional USM sudah keluar yang menyatakan bahawa kita lulus atau gagal sahaja dalam setiap subjek. Saya boleh menarik nafas lega sedikit kerana alhamdulillah, lulus untuk semua subjek. Padahal memang dah cuak sebab ketiga-tiga subjek hardcore tu memang banyak tinggal kosong. You don’t know how much I’m dying to struggle for Management. Haha.

Apa yang cuba saya sampaikan adalah, menguruskan IB sewaktu peperiksaan adalah sangat mencabar. Apabila minta tolong orang lain, semua orang sibuk dengan alasan nak study. Bukanlah saya marah atau nak halang untuk mengulangkaji, cuma kita boleh nampak berapa peratus komitmen yang diberikan oleh orang lain terhadap program ini berdasarkan respon mereka terhadap permintaan kita. If there’s no will, there’s no way. Itu sahaja yang boleh saya cakap. Cewah, ada nada frust sedikit di situ.

Tetapi secara keseluruhan, alhamdulillah, team IB memberikan kerjasama yang sangat baik kepada saya. Shoutout to Encik Kimi, Nickson, Syafinah, Kak Yana, Kak Farah, Syafinaz dan Kak Sofi yang saya rasa paling banyak memberikan sumbangan besar dalam program ni (walaupun mereka tak baca blog ni). Adli, Ikhwan, Kak Intan, Kak Ema, Izani, Irshad, Esther, Kak Ana, Kak Syiqin, Luqman, Syuhada dan Roslan juga yang membantu. Yang lain-lain juga, tak dapatlah saya nak nyatakan semua nama di sini nanti tak habis entry ni.

Kalau nak diikutkan, banyak lagi yang nak diceritakan tentang pengurusan IB ni, but some things are better left untold. Eheh. Sebenarnya saya tak suka entry blog jadi panjang meleret. InsyaAllah, saya akan kongsikan tentang trip kami ke Sabah dan Sarawak dalam entry akan datang. Saya juga ada siapkan vlog trip kami, jadi jangan lupa tonton di YouTube channel saya. Semoga serba sedikit perkongsian ini memberikan manfaat buat yang membaca. InsyaAllah.