Pages

Sunday, October 30, 2016

Inspirasi Hasan Al-Banna


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Baru-baru ini saya membeli lagi buku tulisan Abdul Latip Talib yang berjudul Hasan Al-Banna. Saya sedang membuat koleksi penulisan beliau. Saya rasa penulisan Pak Latip ni sangat berbeza daripada penulis yang lain dan beliau pandai menarik perhatian pembaca. Ya lah, cuba bayangkan.

Kalau dengar sahaja buku sejarah, pasti ramai yang keberatan untuk membeli dan membaca buku tersebut. Saya sendiri pun akan berfikir dua tiga kali sebelum membeli buku sejarah. Tapi uniknya penulisan Abdul Latip Talib ialah beliau pandai menukar penulisan fakta kepada fiksyen sejarah. Bila sebut tentang fiksyen, sudah tentulah kita boleh membayangkan novel-novel dalam bentuk penceritaan. Begitu juga novel fiksyen sejarah ini. Daripada kita perlu membaca dalam bentuk fakta, penulis membawa pembaca meresap ke alam penceritaan.

Secara peribadinya, apaila saya membaca novel-novel Pak Latip, saya rasa seolah-olah berada di dalam era tokoh-tokoh sejarah Islam tersebut. Macam mana berlakunya peperangan, situasi mencemaskan, pembunuhan, semangat yang berkobar-kobar, semuanya menyentuh hati saya sebagai seorang pembaca. Serius. Salah satu novel Pak Latip yang saya masih belum boleh move on sampai ke hari ini adalah tentang Sultan Muhammad Al Fateh. MasyaAllah saya memang sangat terinspirasi dengan Sultan Muhammad setelah membaca kisah hidupnya. Macam mana baginda membesar dan mampu memerintah sebuah kerajaan seawal usia yang muda. Strategi perang yang digunakan. Dan macam-macam lagi. Rasa macam saya membaca novel thriller pula.





Begitu juga dengan kisah Hasan Al-Banna. Imam Hasan ni memang mempunyai semangat yang berkobar-kobar sejak kecil. Beliau ialah anak kepada Imam Ahmad Al-Banna. Hasan Al-Banna selalu mendengar ayahnya berkhutbah dan dari situ timbul perasaannya untuk turut berkhutbah. Sampaikan beliau sanggup menunggu masjid kosong untuk berlatih khutbah. Imam Hasan ni ada cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di tempat-tempat tertentu. Misalnya kalau beliau bercadang nak lanjutkan pelajaran di Darul Ulum, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk realisasikan impian itu. Tindakan yang sama juga dilakukannya di peringkat pengajian tinggi.

Walaupun masih belum cukup umur, beliau cuba sedaya upaya memenuhi syarat lain yang ditetapkan seperti menghafaz al-Quran dan sebagainya. Semua ujian bertulis pun selalu Imam Hasan dapat selesaikan dengan tepat. 100 soalan, 100 itulah betul. Masya Allah betapa cerdasnya pemikiran beliau. Agaknya kalau saya, hendak dapat 10 markah pun belum tentu dapat. Saya kagum bagaimana Imam Hasan boleh menghafaz Quran dalam usia yang muda. Saya yang sudah 20 tahun ini pun masih belum menghafaz Quran. Entah usia berapa baru saya mampu menghafaz surah-surah Quran.

Sepanjang usia remaja Imam Hasan pula, beliau cekal memperjuangkan pertubuhan Ikhwan Muslimin. Hendak tahu cerita lebih lanjut tentang perjuangan beliau bolehlah cari novel ni. Saya cuma boleh rumuskan bahawa bukan senang nak menubuhkan sebuah pertubuhan pada era itu, memperjuangkannya dan mengembangkan cawangannya ke serata negara. Hendak tubuhkan persatuan dalam sekolah atau universiti pun sudah banyak tentangan, apatah lagi pertubuhan dakwah. Betullah apa yang sering orang perkatakan, hendak buat kerja baik ni bukannya mudah. Saya ingin memetik kata hikmah yang sangat memberikan impak kepada saya.

“Semua manusia dijadikan hebat. Cuma kadangkala manusia itu sendiri tidak tahu tentang kehebatannya.” – Imam Ahmad Al-Banna membalas kepada Imam Hasan apabila beliau memuji ayahnya seorang yang hebat.

Berikut pula adalah matlamat perjuangan Hasan Al-Banna yang saya petik di dalam novel. “Saya adalah seorang pengembara yang sedang mencari kebenaran, seorang manusia yang mencari makna kemanusiaan di tengah umat manusia, seorang warga negara yang mengidamkan sebuah negara yang memiliki martabat, kebebasan dan keutuhan, serta kehidupan yang baik di bawah naungan Islam yang suci. Seorang yang semata-mata berharap menemukan rahsia kewujudannya di dunia. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku, hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan semikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri.”

Matlamat perjuangan Hasan Al-Banna jelas menunjukkan jelasnya wawasan beliau terhadap dakwah dan Islam. Dan hal ini terbukti melalui perjuangan-perjuangan yang dilakukan oleh Imam Hasan. Membaca kisah-kisah tokoh sejarah Islam seperti ini banyak membuatkan saya refleksi diri dan tanya pada diri ini, apakah jasa yang telah saya sumbangkan untuk Islam? Mungkin banyak sumbangan yang telah dilakukan dari segi kebajikan dan sebagainya. Tapi macam mana sumbangan terhadap agama kita, agama Islam? Adakah cukup dengan menulis blog semata-mata? Tepuklah dada, tanyalah selera masing-masing. What have you contribute to Islam?

No comments:

Post a Comment