Insecurities and Gaining Confidence


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Dah lama cari kesempatan untuk menulis tetapi baru ada peluang. Minggu ini adalah minggu yang sangat padat tapi alhamdulillah, sangat menyeronokkan. Semua benda yang kita buat, kenalah seronok. Barulah hidup akan sentiasa dikelilingi aura positif. Kalau aktiviti yang kita buat tu kita tak suka, sudah tentu rasa bosan.

Apa pun, saya dengan berbesar hatinya nak beritahu bahawa kini secara rasminya saya bergelar seorang mahasiswi universiti! Macam tak percaya rasanya. Selama hampir 13 tahun bergelar pelajar sekolah, kini sudah berubah status kepada mahasiswi. Saya tahu benda ni bukanlah satu perkara untuk digemparkan, but you don’t know how long I’ve been waiting for this moment. Adalah dalam sembilan bulan juga selepas STPM. Hanya pelajar lepasan STPM yang akan rasa apa yang saya rasakan ini. Tapi serius, tempoh sembilan itu memang cukup lama. Saya faham kena tunggu tempoh tersebut sebab nak selaras dengan pelajar matrikulasi, diploma, A-Level dan sebagainya. Tapi bayangkanlah sendiri sembilan bulan. Sesiapa yang mengandung pun sempat melahirkan anak.

Sudah hampir seminggu saya di sini. Dan dalam masa seminggu juga, banyak pengetahuan baru yang saya peroleh. Betullah apa orang kata, ilmu ni sangat luas. Ilmu tidak akan berkembang kalau kita tetap berada dalam posisi yang sama tanpa berganjak. Jadi, tuntutlah ilmu walau apa jua caranya dan di mana juga anda berada. Tak semestinya di universiti. Tapi terokalah tempat baru, suasana baru. Mungkin majlis-majlis ilmu, kuliah, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, pekerjaan, terserah kepada anda. Apa yang anda minat. 

Serius saya katakan, ilmu bukan saja ada dalam universiti. Ilmu ada di mana-mana, asalkan kita sendiri yang mahu mencarinya. Tapi universiti pun salah satu platform penting dalam menyebarkan ilmu. Jadi, saya boleh katakan yang universiti pun penting sebab banyak peluang menuntut ilmu dan kemahiran yang disediakan. Ikutlah kata hati dan pilih yang terbaik. Saya pun telah membuat pilihan sendiri untuk memulakan nafas baru di sini. Eh, macam kena pula entry ni dengan nama blog. Eheh.

Ada banyak kelebihan di universiti ni. Pertama, wifinya sangat laju. Ya, itu merupakan aspek yang paling penting dalam kehidupan seorang mahasiswa. Harapnya wifi akan terus laju sehingga saya menamatkan pengajian di sini. Hidup di universiti juga tak terlalu terikat pada peraturan macam peraturan asrama dulu. Tak adalah waktu yang wajib untuk buat itu buat ini. Cuma yang agak membebankan adalah kerana tidak dibenarkan membawa peralatan elektrik di sini. Jadi makanan pun terpaksa dibeli. Susahlah nak jimat wang. Dan ampaian untuk menjemur pakaian pun agak terbuka. Nak jemur baju pun jadi segan manalah tahu ada yang mengintai.

Tapi sebenarnya saya bukanlah nak fokuskan pasal orientasi atau kemudahan di universiti. Saya cuma nak menyentuh tentang insecurities. Rasanya saya tak pernah lagi menulis tentang insecurities dalam blog ini. Jadi, apa itu insecurity? Kepada yang dah tahu, teruskan langkau pembacaan anda. Insecure ni berasal daripada perkataan ‘secure’ yang bermaksud selamat atau terjamin. Insecure pula adalah bertentangan dengan perkataan secure. Insecure ni adalah sejenis perasaan yang tak yakin pada diri sendiri, rasa rendah diri, rasa orang lain lebih hebat dan sebagainya. Perasaan ni semua orang akan ada, kecuali mereka yang rasa diri mereka lebih hebat daripada semua orang.

Jadi, adakah perasaan insecure ni satu perasaan yang negatif dan tak patut ada dalam diri kita? Secara peribadinya, saya rasa insecurities adalah sesuatu benda yang positif. Kenapa saya berkata begitu? Sebab saya sendiri pun ada insecurities (singular: insecurity). I’m not sure if this is okay to share with you guys but I need to explain this. Terlebih dahulu saya meminta maaf jika ada classmate yang membaca ini. Dalam kelas saya dulu, saya selalu mendapat tempat pertama. Bukanlah semua peperiksaan tetapi majoritinya. Sebenarnya ramai yang pandai di dalam kelas saya, dan saya kagum dengan kebanyakan mereka. Macam-macam bakat yang ada. Buktinya ramai juga yang berjaya menyambung pelajaran di peringkat universiti. Cuma entahlah nasib rezeki celah mana saya dapat tempat pertama. Jadi bila kita berada di dalam kedudukan yang selesa, perasaan insecure itu sangat kurang. Mungkin bukan saya seorang sahaja yang faham perasaan ini. Mungkin anda juga begitu. Bila ada ujian atau pertandingan sebagainya, kita akan kurang memandang yang bawah dan insecure kepada mereka yang berada di atas kita. Bila berada di tempat pertama, kedudukan akan menjadi selesa, kerana tak ada orang di atas kita.

Guys, itu semua EGO. Perasaan yang semua orang ada. Puas hati. Ego. Rasa diri dah cukup bagus. Tak ada insecurity. Dan orang-orang begini, yang sentiasa berpuas hati dengan apa yang dimiliki, tak akan dapat bergerak ke hadapan. Tak ada progres. Maka di sinilah perasaan insecure itu penting dalam hidup. Perasaan insecure saya wujud apabila melihat ada pelajar-pelajar kelas lain yang mendapat top five dalam batch.

Seriously? Top students? Macam mana mereka boleh pandai sampai macam tu? Macam mana mereka study? Macam mana mereka bahagikan masa? Macam mana boleh bijak sangat?

Begitulah persoalan-persoalan yang timbul bila tahu ada yang lebih bagus daripada kita. Jadi dari situ saya akan cuba improve lagi. Walaupun dah jadi terbaik di dalam kelas, saya masih lagi mahu mencuba untuk jadi yang terbaik di dalam tingkatan. Sebab saya insecure! Saya rasa rendah diri. Ada yang jauh lebih hebat daripada kita. Saya rasa tak yakin dengan diri sendiri untuk perform yang terbaik.

Saya rasa, insecure itu adalah sesuatu yang positif untuk saya. Mempunyai rasa rendah diri mampu menjatuhkan ego kita, tapi janganlah terlalu melampau insecure sehinggakan tahap keyakinan diri pun tidak ada. Saya tahu, ada dalam kalangan kita yang terlalu insecure melihat kejayaan orang lain, sehingga menyalahkan diri sendiri, rasakan diri tak cantik, tak pandai, tak hebat, dan segala-galanya yang negatif.

Contohnya, bila saya dah masuk di alam universiti, mereka di sini semuanya hebat belaka. Setakat yang saya tanya, semuanya pointer 3.8 dan ke atas. Coursemates saya pula majoriti berbangsa Cina dan rata-ratanya mendapat tawaran daripada tiga universiti awam. Can you imagine how insecure I become? Saya bukan bersikap racist atau apalah tapi saya berani katakan bangsa Cina lebih rajin belajar daripada bangsa Melayu berdasarkan pengalaman saya.

Tapi, perasaan insecure itu bukanlah satu tiket untuk saya mengalah. Sebaliknya adalah tiket untuk saya terus memperbaiki kelemahan yang ada dan berjuang dengan lebih bersungguh-sungguh. Bukankah sepatutnya insecurities itu mendorong kita untuk berusaha lebih? Bukannya untuk mengalah dan berputus asa. Jangan. Jangan.

Yakinlah dengan diri sendiri. Bunyi macam senang, tapi itulah hakikatnya. Memanglah anda ada kekurangan yang tersendiri, dan mungkin anda rasa kekurangan itu banyak. Tapi percayalah, Allah ciptakan manusia berbeza antara satu sama yang lain. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Mungkin ada orang yang anda nampak dia begitu sempurna, tapi hakikatnya dia juga punya kekurangan. Dan mungkin anda rasakan diri anda penuh kekurangan, tapi hakikatnya anda unik. Anda juga mempunyai kelebihan tersendiri. Saya selalu percaya setiap orang mempunyai bakat tersendiri. Bezanya adalah sama ada mereka manfaatkan atau tidak bakat tersebut.

Kalau anda masih belum menemui kelebihan sendiri, carilah sehingga jumpa. Sebab hidup ni adalah satu perjalanan panjang. Kalau tak jumpa pada awal perjalanan, mungkin boleh jumpa tak lama lagi. Selagi anda terus berjalan. Sebab kalau tak berjalan, memanglah tak akan jumpa kelebihan tu.

Saya juga sedang insecure kerana anggap saya lemah dalam bidang pengajian saya. Tapi saya belum pun lagi bermula, jadi saya tak akan tahu kan sama ada saya mampu atau tidak? Manalah tahu, silap haribulan boleh jadi dekan. Eheh. Tak salah nak berangan kan?

Don’t underestimate yourself. You are unique. Allah created you the way you are. Love yourself. Be yourself. Strive for excellence.


Senyum dan terus percaya.

Comments