Pages

Thursday, August 4, 2016

Program PESAK | Terima Kasih Semua!


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, macam yang saya beritahu pada entry saya sebelum ini, akhirnya Program Peningkatan Sahsiah Diri dan Keyakinan Diri (PESAK) Murid Tahap 2 bersama bekas pelajar (batch 2003) berjalan dengan lancar semalam. Program ni sebenarnya idea suka-suka daripada saya, Aina dan Dini. Mereka berdua ialah sahabat saya sejak sekolah rendah. Kalau dulu beberapa bulan yang lepas kami cuma merancang, alhamdulillah program ini telah pun dilaksanakan.

Sepatutnya ada 10 orang termasuk saya yang berkelapangan untuk mengendalikan program PESAK, tetapi salah seorang daripada kami tidak dapat hadir atas sebab yang saya sendiri tak pasti. Kami berpakat untuk berkumpul di SK Sungai Ular pada jam 11, iaitu tiga jam awal daripada waktu mula program. Awalnya ingat nak bermesyuarat di kantin, tetapi keadaan kantin pada ketika itu tidak terurus, mungkin disebabkan baru tamat waktu rehat pelajar. Saya menghubungi Cikgu Asmah, guru yang bertugas di perpustakaan untuk meminjam perpustakaan sebentar. Kami berempat pun (masa tu baru sampai 4 orang) berjalan ke perpustakaan sekolah, tetapi perpustakaan pun penuh kerana digunakan oleh sebuah kelas. Jadi kami cuma menunggu dan melepak di hadapan perpustakaan sambil berbual kerana masing-masing pun sudah lama tak berjumpa.

Tiba-tiba seorang kerani (saya tak pasti kerani atau cikgu) datang dan menyuruh kami berjumpa guru besar. Kawan-kawan yang lain tu teruslah menolak saya jalan dulu. Setelah sembang-sembang sikit, seorang guru pula mengiringi kami ke bilik kaunseling untuk kami gunakan bagi mengadakan mesyuarat. Wah, terasa begitu formal pula, padahal kami cuma mahu mengadakan program santai. Tapi terima kasih kepada pihak pengurusan, kami dapat tempat yang selesa untuk berbincang sambil disertai oleh Ustaz Fauzi. Sewaktu sesi perbincangan kami pun jelaskan balik perincian program dan berlatih apa yang patut.

Untuk slot pertama, saudara Zulhelmi merangkap bekas penolong ketua pengawas tahun 2008 dulu (penolong saya) mengendalikan slot ice-breaking. Disebabkan program ini adalah untuk pelajar sekolah rendah, kami pun tidak mahu melakukan aktiviti berat-berat. Pelajar dipecahkan kepada 20 kumpulan dan setiap kumpulan disuruh melukis lambang untuk kumpulan masing-masing. Slot pertama lebih kepada sesi suai kenal sahaja.

Slot kedua pula dikendalikan oleh saudara Azam, walaupun ideanya daripada saya. Slot kedua adalah nyanyian semangat. Sewaktu di sekolah menengah dulu kami didedahkan dengan lagu Fikirkan Boleh yang memberikan semangat, jadi saya terfikir untuk berkongsi lagu yang sama dengan adik-adik ini. Setiap pelajar diberikan lirik dan diajar sedikit gerakan untuk lagu tersebut. Alhamdulillah, adik-adik di SKSU memang sporting. Sempat juga kami memanggil beberapa peserta ke atas pentas untuk menyanyi bersama.

Slot ketiga dikendalikan oleh Aina. Aina ni boleh dikatakan antara fasilitator yang paling famous, selain saya (uhuk). Sebabnya dia belajar di Korea dan sekarang sedang cuti. Tapi tak lama lagi dia akan pulang ke sana. Untuk slot Aina, dia telah menyediakan kertas mahjung yang telah ditebuk lubang berlainan saiz. Kemudian setiap kumpulan, asing lelaki dan perempuan (ikhtilat pun perlu dijaga juga) akan memegang setiap bucu kertas mahjung seorang sedikit. Kiranya setiap peserta dalam kumpulan wajib memegang kertas mahjung yang telah ditebuk lubang itu. Fasilitator akan meletakkan bola ping pong di tengah kertas dan peserta perlu memasukkan bola ping pong ke dalam nombor yang dipilih oleh Aina. Jadi kita boleh lihat aktiviti ini sangat memerlukan kerjasama antara kumpulan.

Akhir sekali, slot yang dikendalikan oleh saya sendiri. Aktiviti potret berantai. Saya dah banyak kali main aktiviti ini dalam beberapa program yang berbeza jadi adalah rasa bosan sikit, tapi rasa bosan tersebut serta merta hilang apabila mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sangat berbeza dengan program kali terakhir ketika orientasi pelajar tingkatan 6 baru di Mahsuri bulan Jun yang lalu. Waktu itu saya rasa macam tak sanggup sahaja nak mengira seorang diri di hadapan.

Aktiviti potret berantai ini lebih kurang sama sahaja seperti telefon buruk, cuma yang ini dalam bentuk lukisan. Peserta akan melukis objek yang diminta oleh saya tanpa memberitahu kepada ahli-ahli kumpulan lain di belakangnya. Mereka cuma akan menunjukkan lukisan masing-masing sahaja dan orang seterusnya dalam barisan perlu menyiapkan lukisan dalam masa 10 saat. Dalam aktiviti semalam, tak ada satu kumpulan pun yang mampu meneka dengan betul. Apa yang paling melucukan apabila saya menyuruh lukis beg tangan, sampai ke peserta-peserta belakang jadi ikan. Ikan cantik-cantik pula tu. Eheh. Jadi kalau nak diaplikasikan aktiviti ini, semua orang perlu tahu betapa pentingnya penyebaran maklumat kepada semua ahli kumpulan supaya tidak ada seorang pun yang tertinggal. Komunikasi yang berkesan barulah dapat mewujudkan komitmen dalam kumpulan.


Sebelum mengakhiri program, kami sempat memilih enam orang peserta aktif. Saya hadiahkan kepada mereka novel-novel yang ditulis oleh saya dengan harapan dapat memberikan inspirasi kepada mereka supaya terus bergerak maju ke hadapan. Insya Allah. Kami masing-masing fasilitator pun mendapat hadiah dan sijil penghargaan daripada pihak sekolah. Selesai program, apa lagi. Sesi bergambarlah jawabnya. Banyak sangat kamera sampai penat berposing. Selfie Ustaz Fauzi dengan fasilitator pun ada. Terima kasih kepada saudara Azim selaku jurugambar untuk program PESAK. Saya rasa seorang jurugambar juga sangat memainkan peranan yang penting dalam mana-mana majlis dan program.

Ringkasnya, saya rasa program semalam adalah satu kejayaan buat kami. Boleh kira baguslah untuk kami semua yang pertama kali mengadakan program bersama ini. Sambutan daripada para pelajar pun amat menggalakkan. Insya Allah, saya rasa kami boleh lagi turun ke SKSU tahun hadapan pula. Silap haribulan boleh jadi program tahunan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini, khususnya rakan-rakan saya Aina, Dini, Salsabila, Najihah, Wani, Zulhelmi, Azim dan Azam. Ustaz Fauzi dan guru-guru SKSU. Adik-adik tahun 4 & 5 2016.

Terima kasih atas komitmen kalian. Program ini membuka mata saya bahawa apa yang saya rancangkan boleh menjadi realiti jika saya komited. Dan kepada anda yang setia membaca sehingga ayat terakhir ini, terima kasih.

No comments:

Post a Comment