Pelukis Jalanan oleh Teme Abdullah



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Tengok tajuk entry ini pun anda pasti sudah boleh menjangka apa yang akan saya kongsikan. Ya, kali ini saya ingin berkongsi tentang naskhah Pelukis Jalanan hasil tangan seorang yang tidak begitu asing dalam dunia maya ini iaitu Teme Abdullah. Sebenarnya saya tidaklah berapa gemar berkongsi tentang buku-buku yang telah saya baca kerana takut akan menjejaskan kandungannya kepada mereka yang belum membaca. Nanti keseronakan dan keterujaan sesuatu bahan bacaan itu mungkin akan terjejas kerana bakal pembaca sudah mengetahui sebahagian besar isi kandungannya. Jadi, dalam entry ini saya akan cuba untuk tidak banyak mendedahkan kandungan Pelukis Jalanan.

Carian Google

Pelukis Jalanan merupakan sebuah buku motivasi setebal 215 halaman terbitan Iman Publication dan boleh didapati dengan harga RM25 di kedai buku. Saya pernah beberapa kali mencari buku ini di kedai buku tetapi selalu gagal menemuinya. Nampak sangat buku ini terlalu laris dan mendapat sambutan ramai. Alhamdulillah, apa pun saya akhirnya berjaya juga menemuinya di Popular Bookstore, City Plaza Mall, Alor Setar. Disebabkan saya ahli Popular jadi dapatlah sedikit diskaun. Selain Pelukis Jalanan, saya juga berjaya menemui Esc karya Budak Tomato. Esc masih lagi sedang saya baca.

Pelukis Jalanan menceritakan pengalaman penulis yang belajar A-Level sehinggalah ke United Kingdom. Saya tertarik dengan karya ini kerana kebetulan juga saya mendapat tawaran ke UK dalam bidang psikologi, tetapi atas faktor kewangan juga saya menolak. Percayalah, kos sara hidup di sana memang sangat tinggi. Tengok yuran pendaftaran saja pun saya dah mengeluh. Bezanya, saya bukanlah pelajar A-Level seperti beliau. Saya belajar STPM. Dan bagi peringkat STPM, sudah tentulah sangat susah untuk memohon biasiswa ke luar negara.

Orang mesti akan hairan kenapa pelajar A-Level seperti Teme tidak mendapat biasiswa untuk ke luar negara. Kalau nak tahu kenapa, kenalah baca. Saya kagum dengan kesungguhan penulis untuk mengumpul wang demi membiayai pelajarannya. Seperti yang saya katakan, kos di UK sangat mahal. Gaji saya bekerja sambilan selama tiga bulan lebih pun baru mencecah 1.4% daripada jumlah keseluruhan bayaran pelajaran di sana. 1.4%, bukan 14%! Saya memang sangat terinspirasi dengan saudara Teme yang menunjukkan kepada kita supaya jangan berputus asa dalam perjuangan. Tapi untuk saya melakukan sesuatu yang luar biasa seperti beliau, itu saya tidak mampu lagi. Saya sendiri masih lagi tercari-cari sesuatu yang boleh saya genggam dengan erat.

“Ia kekal dongeng… jika engkau tidak mula berjalan.” –Teme.

Satu ayat yang cukup mendalam. Semua orang boleh simpan angan-angan. Semua orang boleh pasang harapan. Semua orang boleh mendabik dada dan mengkhabarkan kepada dunia tentang cita-citanya. Tapi semua itu hanya tinggal angan-angan kosong, dongeng, jika tak ada apa yang dilakukan sebagai usaha menjadikannya sebuah kenyataan. Kita perlu mula melangkah, walaupun cuma beberapa tapak, asalkan kita bergerak. Saya ada impian, tapi adakah saya sendiri pernah cuba untuk melangkah ke arah impian itu? Hmm.

“Daripada merungut tidak reti buat tona warna, tak reti lukis potret, tak reti lukis bangunan, tak reti lukis kartun, tangan tak bedung dan macam-macam lagi. Aku cadangkan kalian ambil pensel dan mula berlatih. Jangan cakap banyak.” – kata Teme lagi.

Kepada yang mungkin tidak mengenali penulis, beliau merupakan seorang pelajar bidang architecture dan seorang pelukis yang berbakat. Saya selalu mengagumi mereka yang berbakat dalam melukis. Tapi saya tak adalah minat pun untuk melukis. Semua orang ada minat berbeza. Dan tak semua orang boleh berikan komitmen serta jiwa ke dalam lukisan masing-masing. Jadi saya kagum dengan mereka yang pandai melukis, kerana nilai komitmen mereka yang begitu tinggi. Penulis ada berkongsi karya-karya beliau di halaman-halaman terakhir buku ini. Jadi anda bolehlah menilai sendiri sama ada betul atau tak kalau saya katakan Teme mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam lukisannya.

Sesuatu yang turut menyentuh hati saya dalam buku ini adalah tentang persahabatan penulis dengan sahabat-sahabatnya. Nak tahu siapa, kenalah baca. Walaupun mereka sendiri merupakan pelajar dan mempunyai kekangan, mereka sanggup untuk membantu Teme sedaya-upaya. Itu adalah persahabatan yang sejati. Bukan senang nak cari kawan yang sanggup membantu kita tanpa sebarang kepentingan. Bukan senang. Tapi tak bermakna tak ada. Apabila tiba masanya kelak, Allah pasti akan hadirkan insan-insan terpilih untuk bersama kita dalam situasi senang dan susah. Tak kiralah dalam kalangan keluarga, rakan-rakan ataupun mungkin bakal suami atau isteri. Mungkin ada dalam kalangan kita yang tak nampak lagi semua tu, tapi percayalah, pasti akan ada juga. Senyum dan terus percaya.

Apa yang saya teringin nak baca sambungannya adalah cerita tentang watak Orange dalam buku ini. Saya tak pasti sama ada ceritanya tamat di situ sahaja, penulis sengaja biarkan tergantung, atau ada lagi lanjutannya. Entahlah. Saya boleh berikan 3.9 daripada 5 untuk rating buku ini. Dan 5 daripada 5 untuk ketekunan penulis.

Apa pun, kepada yang belum membaca Pelukis Jalanan, silalah cari di kedai-kedai buku berhampiran anda. Tak rugi membacanya. Dan harapnya, kita sama-sama dapat mencontohi ketekunan penulis dalam meneruskan perjuangan hidup. InsyaAllah.

Comments