Ensiklopedia Pengubatan Herba oleh Dr. Khalid Gadd


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.
Salam 12 Ramadan 1437.

Saya sedang membaca sebuah ensiklopedia Pengubatan Herba – Terapi Alternatif Kedoktoran Islam yang ditulis oleh Dr. Khalid Gadd dan dialih bahasa oleh Fadzilah binti Mohd Ariff. Buku ini terlalu bagus sehingga membuat saya tergerak untuk berkongsi di blog. Selalunya saya sekadar berkongsi di Twitter sahaja. Saya rasa buku ini milik ibu saya yang sudah lama ada di rak buku. Saya tak pernah menyentuhnya sebab tajuknya berkenaan herba. Saya seorang pelajar Sastera jadi kenapa perlu membaca buku herba? Itulah pemikiran cetek saya dulu. Eheh.

Tapi baru-baru ini saya terdetik untuk membelek-belek buku di rumah dan menemuinya. Ensiklopedia ini adalah terbitan Al Hidayah dan mempunyai 578 halaman, berharga RM50. Saya masih belum habis membacanya. Kalau anda fikir ensiklopedia ini adalah tentang herba semata-mata, anda silap. Bagi saya ensiklopedia  ini mampu menjawab pelbagai persoalan tentang kebimbangan kita.Ensiklopedia ini menyentuh tentang tanaman, buah-buahan, ubat-ubatan, segala jenis penyakit, kesihatan wanita, sihir, masalah kulit , kecantikan, kehamilan dan macam-macam lagi. Dan setiap satu penjelasannya adalah sangat terperinci berpandukan al-Quran, hadis serta kajian daripada penyelidik Islam dan juga Barat.




Contohnya kita hendak tahu tentang tanaman. Dari huruf A hingga Z dijelaskan secara terperinci. Penjelasannya sangat menarik sebab saya dapat tahu benda yang tak pernah saya ketahui sebelum ini. Subhanallah. Rupa-rupanya di sebalik setiap pemakanan kita terkandung seribu satu kebaikan dan khasiat. Bahkan rata-rata buah-buahan termasuk bawang boleh digunakan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.  Saya memang sarankan anda membacanya terutamanya buat mereka yang mempunyai masalah kesihatan. InsyaAllah, apa jua penyakit yang kita ada, termasuklah AIDS, cara untuk mengubatinya ada diterangkan dalam ensiklopedia ini.

Kalau ada masalah kulit pun diterangkan satu per satu di dalamnya. Ekzima, luka, kulit kering, bisul, ketuat, kudis dan macam-macam lagi. Sangat menakjubkan. Masalah kurang nafsu makan, badan kurus nak gemuk, masalah malas juga turut dinyatakan kaedah penyelesaiannya.

Saya sedang membaca tentang khasiat Habbatus Sauda’ atau Jintan Hitam di halaman 71. Dan tahukah anda, habbatus sauda’ ni ada 18 khasiat dalam perubatan? Semuanya dijelaskan secara terperinci. Antaranya seperti menghancurkan batu karang, mengubati tahi lalat, menyembuhkan sakit kepala, merawat jerawat, mengatasi selesema dan penyakit lumpuh. Itu cuma beberapa khasiat sahaja yang saya senaraikan. Belum lagi senaraikan semuanya.  Tapi habbatus sauda’ ni tak boleh diambil secara berlebihan sebab boleh juga mengakibatkan kematian.

Pendek kata, ensiklopedia ini akan membawa anda ke arah lebih menghayati Islam. Bayangkan hukum Islam yang telah ditetapkan dari dulu lagi dalam al-Quran tetapi saintis baru sahaja menemui kebenarannya. Allahu. Dan setiap perinci yang dipesan oleh Nabi setiap sesuatu ada sebabnya.

Kepada wanita yang mempunyai kebimbangan terhadap kecantikan pun boleh menemui jawapan di dalam ensiklopedia ini, insyaAllah. Sebab ada dijelaskan secara terperinci tentang mata, rambut, gigi, badan, kulit dan sebagainya. Cuma saya rasa kalau nak praktikkan tu mungkin agak susah sedikit bagi saya sebab nak kena cari bahan dia dan sebagainya. Tapi kalau sesiapa yang betul-betul bertekad pasti akan ikhtiar untuk mengubati penyakit mereka selepas membaca.

Memandangkan sekarang bulan puasa, saya titipkan hadis daripada buku ini untuk renungan kita semua. Diriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri, dari Nabi S.A.W., baginda bersabda,

“Barang siapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, maka Allah akan menjauhkan jarak antara ia dengan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh musim gugur.”

MasyaAllah. Bayangkan sehari sahaja berapa banyak hikmahnya. Inikan pula sebulan? Subhanallah.

Saya ingin berterima kasih kepada Dr. Khalid Gadd atas penulisan ensiklopedia ini, penterjemah, penerbit. Seperti apa yang ditulis di kulit belakang ensiklopedia, “Setitis Ilmu – Sejuta Makna”. 

Comments