Pages

Tuesday, December 15, 2015

Vietnam Part One



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Mungkin entry ini agak terlambat, tapi saya tetap ingin berkongsi dengan anda pengalaman saya semasa bercuti di Vietnam tempoh hari. Alhamdulillah, rezeki saya dan ibu bapa dapat menjejakkan kaki di bumi Vietnam untuk kali pertama. Kami mendapat pakej pelancongan yang menawarkan harga agak murah, jadi ibu saya tidak mahu melepaskan peluang ini. Percutian kami ke Vietnam adalah selama 4 hari 3 malam.

Sebelum saya bertolak ke Vietnam, saya sudah memaklumkan terlebih dahulu kepada kawan-kawan rapat saya. Mereka masing-masing mengirim wang untuk membeli kain yang dijual dengan harga murah di Vietnam. Sebut pasal Vietnam, sudah tentulah terkenal dengan kain-kain yang murah. Maka saya mempunyai satu misi ke Vietnam. Misi mencari kain!

Dari Kulim, kami menaiki kereta untuk ke Lapangan Terbang Bayan Lepas. Kami menaiki flight selama 45 minit jika tak salah saya ke KLIA. Kemudian dari KLIA pula kami berlepas ke Vietnam dan memakan masa hampir sejam. 

Menunggu di KLIA


Kami memilih Malaysian Airlines kerana tambangnya yang berpatutan. Cuma saya tidak berapa menggemari sandwich yang dihidangkan. Mungkin kerana saya yang cerewet dalam pemakanan. Kami jamak taqdim Zohor dan Asar di KLIA kerana takut lambat sampai di sana. Waktu kami sampai di Lapangan Terbang di Vietnam adalah sekitar jam 5 petang. Kalau di Malaysia, 5 petang baru hendak masuk Asar. Di Vietnam sudah masuk waktu Maghrib. Waktu di Vietnam adalah satu jam lebih lambat dari Malaysia.

Berbeza dengan KLIA, keluar sahaja dari lapangan terbang di Vietnam kita sudah pun menjejakkan kaki di kawasan pekan. Keadaannya lebih kurang sama dengan Bangladesh. Keluar-keluar sahaja sudah boleh melihat pekan. Saya bercuti di Vietnam bersama ibu bapa dan nenek. Namun, bersama-sama kami turut ada beberapa kawan ibu saya yang turut serta. Kira macam kami pergi secara rombongan. Kami mendapatkan dua teksi untuk menuju ke hotel kami, Thanh Thu Hotel. Sebutannya lebih kurang macam Hantu Hotel.

Saya sangat terkejut apabila pemandu teksi kami membawa kami ke hotel dalam keadaan berlawan arus. Maksud saya, kenderaan datang dari depan dan kami berada di jalan yang salah. Rupa-rupanya, memang begitulah keadaan pemanduan di Vietnam. Di sana, ada lebih banyak motosikal dan skuter daripada kereta. Dan kenderaan bebas menggunakan mana-mana jalan pun sesuka hati mereka. Lampu isyarat yang sedia ada cuma sekadar tiang di pertengahan jalan, tidak digunakan. Perjalanan ke hotel memang cukup mendebarkan saya, lebih dahsyat daripada keadaan di Bangladesh.

Setelah sejam lebih, barulah kami di di hotel. Kami pun berehat terlebih dahulu di bilik masing-masing. Tepat jam yang dijanjikan, semua orang berkumpul di lobi hotel dan memulakan misi untuk bershopping. Kebetulan hotel kami terletak di lokasi yang sangat strategik. Hotel kami terletak betul-betul di Ben Thanh Market, kawasan pasar yang menjual pelbagai jenis barangan. Kalau di Malaysia, bolehlah dikatakan sama seperti Jalan Tunku Abdul Rahman. Ada kain, baju, jubah, topi, mainan, beg tangan dan macam-macam lagi. Tetapi ibu saya berkeras supaya saya tidak membeli apa-apa barang terlebih dahulu, katanya esok kami akan berjalan ke tempat lain pula dan mungkin ada barang yang lebih murah. 

Antara baju yang dijual

Oh ya, untuk makan pula, tak perlu risau tentang makanan halal. Di deretan kedai berdekatan hotel kami saja sudah ada dua hingga tiga buah restoran halal yang menjual makanan seperti nasi lemak, nasi goreng, roti canai, dan sebagainya. Pendek kata keadaannya lebih kurang sama macam Malaysia. Tak rasa terasing di sana. Kebanyakan penjual dan peniaga kedai makan pun fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Jadi tidak ada masalah komunikasi yang timbul. Untuk hari pertama, kami sekadar meninjau-ninjau sahaja suasana di Vietnam dan menikmatinya.

Hari kedua adalah hari yang mencabar. Seharian kami habiskan masa dengan bershopping. Serious. Saya berusaha gigih untuk mendapatkan kain-kain yang dipesan oleh rakan-rakan. Benarlah seperti yang dikatakan, kain di Vietnam memang murah. Sehelai kain baju kurung 3 meter setengah boleh saya dapati dengan harga RM25 sahaja atau bersamaan 125 000 dong. RM1 bersamaan 5000 dong. Lebih kurang begitulah. Basically, kalau kita bayar guna ringgit Malaysia kita yang lebih untung. Ibu dan nenek saya masih tak faham konsep dong dan ringgit ni, jadi setiap kali kami bergerak dari satu kedai ke satu kedai atau setiap kali ingin bertanya harga barang, mereka akan merujuk kepada saya. Tak apalah. Uji minda. Eheh.

Hari itu, kami bukan sahaja bershopping di Ben Thanh Market tapi kami berjalan mungkin hampir satu bandar rasanya. Terdapat banyak kedai kain yang menjual kain dengan harga yang murah. Kemudian sambil-sambil itu kami mencari souvenir untuk diberikan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga. Ya lah, takkan hendak pulang dengan tangan kosong. Nenek saya yang berusia 60-an pun gigih berjalan meredah bangunan-bangunan di Vietnam.

Di tengah Kota Vietnam

Kami masuk dari satu kedai ke satu kedai yang lain dan akhirnya agak sesat dalam perjalanan pulang. Tapi satu pengalaman yang seronok sebab bukan selalu dapat luangkan masa untuk bershopping dengan family ni. Barangan yang berjenama pun boleh didapati dengan harga yang murah. So yeah, begitulah kami menghabiskan hari kedua di Vietnam.


Bersambung...






No comments:

Post a Comment