Pages

Tuesday, December 22, 2015

Unidentified



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Allahumma solli ala Muhammad. Counting days to Maulidur Rasul.

Dua tiga hari ni asyik berulang-alik ke Kunci Rimbun untuk uruskan tentang lesen memandu. Yeah, saya bakal menjadi seorang pemandu kereta. Sila berikan tepukan gemuruh.


Ada banyak langkah rupanya yang perlu kita buat sebelum boleh mendapatkan lesen memandu. Sangat banyak. Saya baru sahaja selesai mengambil  ujian komputer. Sebelum mengambil ujian komputer, semua orang diwajibkan untuk mendengar taklimat terlebih dahulu tentang teori pemanduan. Saya tak pernah menunggang motosikal atau memandu kereta. Dan selama ini, saya memang tak pernah ambil berat pun tentang benda-benda ni.

Dalam taklimat, cikgu memandu menjelaskan semua perkara tentang papan tanda, peraturan, komponen-komponen dalam kereta dan sebagainya. Nampak sangat pengetahuan saya tentang ilmu kereta cukup cetek. Setakat tahu isi minyak kereta dan pam angin tayar sahaja. Komponen lain tu saya baru belajar kenal-kenal. Dan selama 6 jam taklimat itulah saya mendengar segala ilmu yang disampaikan tentang kereta.

Bagi ujian komputer, ada 50 soalan semuanya yang perlu dijawab secara objektif. Markah akan disemak secara automatik dan terus dicetak setelah selesai menjawab. Ya, saya memang super nervous nak ambil ujian komputer. Bayangkan, markah untuk lulus adalah 42/50 dan ke atas. Maknanya, kita tak boleh salah lebih daripada 8 soalan. Kalau salah 9 soalan dan lebih, maka calon gagal melepasi ujian dan terpaksa melakukan ujian semula. Repeat. Siapa suka repeat?


Buku panduan yang saya terima agak tebal, 349 muka surat penuh dengan explanation tentang kereta. Jadi saya sekadar selak-selak sahaja halaman yang agak-agak penting. Bila tiba hari ujian barulah rasa macam nak baca semua bahagian teori pemanduan. Eheh. Kebetulan, hari ujian tu memang ramai juga calon lain yang datang. Saya memang terpaksa menunggu lama. Sangat lama. Dari jam 9 pagi, sekitar jam 12 baru selesai. Padahal ujian komputer cuma 45 minit sahaja. Sebelum tiba giliran saya, saya perhatikan calon-calon lain yang sudah mendapat keputusan masing-masing. Ada yang lulus cemerlang, ada yang cukup-cukup makan dan ada juga yang gagal. Bila tengok calon yang gagal mulalah rasa nervous balik. Saya pun selak lagi buku panduan. Entah apa yang saya baca pun saya tak tahu.

Lama menunggu, nama saya akhirnya dipanggil untuk pendaftaran. Saya serahkan kad pengenalan kepada kakak yang bertugas di kaunter dan bayaran sebanyak RM10 dikenakan untuk mengambil gambar. Setelah itu, saya disuruh tunggu lagi sebelum ada kekosongan komputer. Kali kedua dipanggil, ke meja sebelah pula untuk sahkan pengenalan diri. Saya memang cukup tak suka kalau prosedur yang ada thumbprint ni. Sebabnya, kedua-dua cap jari saya rosak disebabkan kulit kering. Ya, saya agak insecure tentang thumbprint ni. Dan seperti yang diduga, memang ada masalah. Sistem tak dapat sahkan cap jari saya. Unidentified. Akhirnya, terpaksa guna cara manual, cap jari guna dakwat atas kertas. Orang belakang sudah mula berbisik tentang cap jari saya. Eheh. Apa boleh buat.

Kali ketiga dipanggil, barulah saya boleh menggunakan komputer. Saya memang terkejut kerana banyak juga soalan yang tidak dilampirkan dalam buku panduan. Atau mungkin saya yang tak baca. Bahagian B banyak ditanya tentang lalu lintas. Pemandu mana yang perlu bagi laluan, apa yang perlu dilakukan dalam keadaan tertentu. Dan ada juga soalan tentang motosikal. Saya jawab sajalah ikut agak-agak logik. Macam jawab peperiksaan sebenar sahaja. Saya siap semak balik semua soalan 2 kali. Biar lambat asal selamat. Keluar sahaja dari bilik komputer memang dah kosong.

Jantung berdebar-debar sahaja hendak melihat keputusan. Dengan persediaan tak seberapa, soalan susah segala. Akhirnya slip keputusan sudah siap dicetak. Saya melihat dengan perasaan bercampur aduk. Tertera di atas kertas itu, 45/50. Maksudnya, saya cuma salah 5 soalan sahaja dan saya lulus. Saya boleh teruskan ke peringkat seterusnya. Alhamdulillah. Katakan tidak kepada repeat. Maka saya pun keluar dengan penuh kelegaan.

Pagi tadi pula, saya pergi mendaftar lesen L. Lesen yang membolehkan saya belajar praktikal. Tapi saya perlu tunggu dalam seminggu lagi. Oh, lamanya. Selepas ini, banyak lagi yang perlu ditempuhi. Latihan praktikal di litar selama 5 jam setengah. Dan di jalan raya selama 10 jam. Harap-harap dapat tenaga pengajar yang tak garang seperti yang selalu dipaparkan di televisyen. Saya harap juga dapat memandu dengan baik dan improve dari semasa ke semasa. 

You know, it's actually a fun thing to learn something new.

No comments:

Post a Comment