Tidur Selama 100 Tahun??



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Dalam kereta, saya mendengar terjemahan al-Quran yang dipasang oleh ayah. Dan saya sangat tertarik dengan kisah Nabi Uzair A.S. yang telah ditidurkan oleh Allah selama 100 tahun lamanya. Mungkin ramai yang sudah sedia maklum tentang kisah ini, tetapi mungkin ada juga yang masih belum mendengarnya. Maka saya terpanggil untuk berkongsi kisah unik bersumberkan ayat 259 surah al-Baqarah ini. Saya juga merujuk kepada beberapa artikel yang berkaitan dengan kisah tersebut.


[2:259] Atau apakah (kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui suatu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi atapnya. Dia berkata: "Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?" Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: "Berapakah lamanya kamu tinggal di sini?" Ia menjawab: "Saya tinggal di sini sehari atau setengah hari." Allah berfirman: "Sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya; lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah; dan lihatlah kepada keledai kamu (yang telah menjadi tulang belulang); Kami akan menjadikan kamu tanda kekuasaan Kami bagi manusia; dan lihatlah kepada tulang belulang keledai itu, kemudian Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami membalutnya dengan daging." Maka tatkala telah nyata kepadanya (bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati) diapun berkata: "Saya yakin bahwa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Manusia yang ditidurkan selama 100 tahun ini merujuk kepada Nabi Uzair A.S, seorang nabi yang dikatakan hidup pada zaman sebelum Nabi Isa A.S. Baginda adalah seorang penghafal Kitab Taurat dan berasal dari kalangan bani Israel. Pada waktu itu, tak ramai yang menghafal Kitab Taurat. Dipendekkan cerita, Nabi Uzair bersama keldai tunggangannya melintasi sebuah kawasan. Kawasan yang dilalui itu dipercayai sebagai Jerusalem atau Baitul Maqdis, yang pada masa itu baru sahaja dimusnahkan oleh Raja Bukhtanashar.

Jadi Nabi Uzair dapat melihat ada banyak mayat, bangkai haiwan dan tulang-belulang yang penuh berselerak di merata tempat kerana negeri itu sudah hancur binasa. Maka baginda pun bermonolog, “Bagaimanalah Allah menghidupkan kembali semua semua ini setelah hancur?” Selepas itu, dikatakan Nabi Uzair berehat di bawah pokok kerena keletihan.  Dengan kuasa Allah, baginda pun ditidurkan selama 100 tahun. Selepas 100 tahun, Nabi Uzair dibangkitkan semula.

Jika diikutkan logik,  mungkin ada orang yang mempersoalkan kisah ini. 100 tahun. Jangka hayat manusia biasa pun tak ramai yang mampu cecah 100 tahun. Tapi saya percaya, kerana kisah ini dicatat di dalam al-Quran. Dan al-Quran adalah kalam Allah, kata-kata Allah. Maka untuk apa kita dustakan? Sebelum zaman Rasulullah pun, manusia memang hidup lama. Nabi Nuh A.S sendiri pun berdakwah selama 950 tahun. Bererti baginda hidup sepanjang tempoh tersebut. Memang tak mustahil. Allah itu Maha Berkuasa. Kun fayakun. Jadi maka jadilah.

Selama 100 tahun baginda ditidurkan, baginda pun semakin dilupakan oleh pengikut baginda yang hanya segelintir pada zamannya. Baginda cuma diingati oleh seorang wanita yang bekerja di rumah baginda, berusia dalam lingkungan 20 tahun. Nabi Uzair juga mempunyai isteri dan seorang anak pada ketika itu.

Selepas Nabi Uzair dibangkitkan semula, Allah mengutuskan malaikat bertemu baginda. Malaikat pun menyoal, “Berapakah lamanya kamu tinggal di sini?” Maka Nabi Uzair yang baru dibangkitkan itu pun menjawab setengah hari atau sehari. Malaikat pun memberitahu bahawa baginda sudah berada di situ selama 100 tahun. Makanan dan minuman baginda pun belum berubah. Keldai baginda pula cuma tinggal tulang belulang sahaja kerana kelaparan sekian lamanya. Nabi Uzair pun memerhatikan keadaan sekeliling. Benarlah seperti kata-kata malaikat utusan itu, keadaan sekeliling memang sudah jauh berubah. 100 tahun. Ketika pertama kali baginda tertidur, Jerusalem sudah hancur akibat peperangan. 100 tahun kemudian, kawasan itu kembali membangun dan semakin ramai penduduk yang tinggal di situ. Sudah tentulah juga banyak pembangunan yang berlaku.

Kemudian, dengan kuasa Allah SWT, keldai baginda yang tadinya tinggal tulang sahaja, perlahan-lahan dikumpulkan kembali, perlahan-lahan tumbuh daging, dan akhirnya hidup seperti sedia kala. Setelah melihat mukjizat yang terjadi di depannya, Nabi Uzair berkata, "Saya yakin bahwa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. "Allahu Akbar. Betapa hebatnya kuasa Allah yang mencipta dan mematikan sekalian makhluk. Kalau saya yang melihat kejadian itu mungkin sudah pengsan agaknya. Terlalu luarbiasa. Dan Nabi Uzair adalah manusia yang dipilih oleh Allah untuk menyaksikannya.

Sumber carian Google

Selepas kejadian itu, baginda pun menaiki keldai tunggangannya untuk mencari rumah kediamannya. Nabi Uzair menemui seorang wanita tua buta berusia dalam lingkungan 120 tahun di kawasan perumahannya. Rupa-rupanya wanita itulah pembantu baginda 100 tahun yang lepas. Nabi Uzair memperkenalkan dirinya, tetapi wanita buta itu tidak percaya. Ya lah, lesap selama 100 tahun dan kini muncul seorang yang mengaku sebagai Nabi Uzair.

Wanita buta itu berkata, “Nabi Uzair ialah seorang hamba yang sangat dekat dengan Allah. Semua permintaannya pasti akan dimakbulkan oleh Allah. Sekiranya kamu adalah Uzair, maka berdoalah agar mata saya yang buta ini dapat melihat kembali dan tubuh saya yang lemah ini menjadi sihat kembali.” Jadi baginda pun berdoa seperti yang dimintanya. Dengan izin Allah doa baginda pun dimakbulkan. Wanita buta yang telah menjadi celik itu pun memberitahu tentang baginda kepada kalangan bani Israel yang lain. Dan sudah tentulah, ramai yang tidak percaya dengan kata-katanya. Ada yang menuduh wanita itu telah gila.


Untuk memastikan kebenaran, anak Nabi Uzair yang masih hidup dipanggil untuk mengesahkan kejadian tersebut. Anak baginda mengesahkan bahawa terdapat tanda khusus yang ada pada tubuh baginda. Tapi biasalah, manusia memang tak cepat berpuas hati. Kata salah seorang di situ, “Setelah peperangan berlaku, semua tempat ibadat dan kitab Taurat telah dimusnahkan. Kalau kamu memang Uzair, sudah tentulah kamu dapat membacakan keseluruhan isi Taurat dengan sempurna.” Mendengar kata-kata itu, baginda pun membacakan isi kitab Taurat dengan sempurna. Barulah semua yang ada mengakui bahawa lelaki itu adalah Nabi Uzair A.S.

Rentetan daripada peristiwa tersebut, ramai yang mula mengakui Nabi Uzair sebagai anak Tuhan. Sama macam kisah Nabi Isa A.S. Mereka yang mengakui nabi sebagai anak Tuhan ni, memang Allah murka. Kita kena percaya, Allah yang berkuasa menjadikan segala sesuatu. Tak ada makhluk lain yang berkuasa selain Allah. Sebenarnya kisah Nabi Uzair ditidurkan ni ada hikmahnya yang tersendiri. Ya lah, cuba kita bayangkan. Pada waktu itu, hanya baginda seorang saja yang menghafal isi kitab Taurat. Dan semua tempat ibadah, kitab, penghafal kitab pun telah mati. Yang tinggal hanya baginda seorang. Jadi apabila baginda dihidupkan 100 tahun kemudian, baginda dapat menyampaikan ajaran kepada umat manusia zaman itu. Masya Allah.

Nah, itulah dia kisah Nabi Uzair, seorang nabi yang ditidurkan selama 100 tahun lalu dihidupkan kembali oleh Allah SWT untuk membawa kembali umatnya ke jalan yang benar. Saya sangat terinspirasi dengan kisah ini. Harap anda pun sama. Ada banyak lagi kisah nabi dalam al-Quran yang saya sendiri belum teroka. Saya harap saya akan dapat berkongsi lagi kisah-kisah menarik dengan anda.

Terima kasih kerana membaca.

Comments

Post a Comment