Pages

Sunday, November 22, 2015

Sajak: Pengecut



Aku seorang pengecut
kerana aku takut
memori yang terpendam sekian lama
akan pudar dari ingatan
hilang dihimpit bebanan.

Aku seorang pengecut
kerana aku bimbang
harapan yang baru tertanam
akan terhapus dalam sekelip mata
tanpa sempat melihat akarnya.

Aku seorang pengecut
kerana aku khuatir
ombak datang menerpa
menghapus segala sisa, angan, dan cita
membuatku jadi porak-peranda.

Aku seorang pengecut
kerana aku tidak percaya
setapak maju ke hadapan
mampu mengubah rasa
menjadi lebih bercahaya
bersinar memenuhi gelap pekatnya malam.

Aku seorang pengecut
tidak berani berbicara
hanya sekadar tuli dan buta
melihat permainan dunia
bertukar mengikut warna.

Aku hanya seorang pengecut
berselindung di balik bayang
sambil menggenggam erat
idea-idea kosong
tentang makna gagal.

211115
11.53 p.m.