Tentang Asal Usul, Kampung dan Bandar



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum. Salam Aidiladha.

Alhamdulillah, saya telah selamat sampai ke Kedah semalam. Tahun ini kami menyambut Hari Raya Aidiladha di Batu Pahat, Johor dan Sungai Buloh, Selangor. Boleh dikatakan, minggu ini, setiap hari kami travel dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Selalunya perjalanan kami sama ada ke Selangor ataupun Johor akan memakan masa sekitar lima hingga enam jam, termasuk berhenti rehat di RNR dan sebagainya.

Selalunya, kita mesti akan mendapat pertanyaan “Asal mana?” dari rakan-rakan atau orang yang baru dikenali. It’s a bit complicated for me to answer the question. Seperti yang diketahui oleh sebahagian besar anda (sebab majoriti yang membaca blog ini adalah mereka yang mengenali saya), saya dilahirkan di Scotland. Sampai umur saya sekitar tiga tahun, kami pulang ke Malaysia. Ibu saya orang Selangor dan ayah saya orang Johor. Kami tinggal di TTDI Jaya, Shah Alam. Ketika saya berusia sekitar empat tahun rasanya, kami pindah ke Kedah kerana ayah saya ditukarkan kerja di sini. Walaupun telah menetap agak lama di Kedah, saya tak berapa pandai bertutur dialek Kedah kerana sudah terbiasa dengan dialek KL yang sering dituturkan oleh ibu bapa saya. But still, saya cuba. Sis cuba. Sebab itulah orang akan pelik kalau saya kata saya orang Kedah.

Bertahun-tahun lamanya di Kedah, akhirnya ketika saya berada di tingkatan empat saya mendapat tawaran belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Selangor selama hampir dua tahun. Jadi setiap kali hujung minggu, saya akan menginap di rumah ibu saudara saya di Kelana Jaya, berhampiran dengan Paradigm Mall. Setelah tamat SPM, saya sambung belajar di Kedah semula.

Apa yang boleh saya kata, setiap lokasi yang telah saya nyatakan sebentar tadi masing-masing memainkan peranan penting dalam hidup saya. Semuanya ada nilai sentimental yang tersendiri. Ada perbezaan yang jelas ketara antara kehidupan di Kedah, Selangor dan kampung di Johor.

Batu Pahat, Johor

Saya paling suka setiap kali pulang kampung di Johor. Bagi saya, zaman kanak-kanak setiap kali pulang ke kampung adalah yang terindah. Ramai sanak-saudara dan sepupu-sepapat. Banyak aktiviti yang dilakukan bersama. Di Johor juga ada banyak tradisi yang tersendiri. Tradisi perkahwinan dan tradisi menjelang perayaan. Saya boleh katakan, berdasarkan apa yang saya amati, semangat kejiranan di sini adalah lebih tinggi berbanding dengan tempat-tempat lain yang biasa saya pergi. Setiap kali ada kenduri kahwin, masing-masing secara automatik sudah tahu tugasan mereka. Kehidupan di sini seperti keluarga besar yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Pada waktu subuh, memang kedengaran jelas bunyi kokokan ayam. Udaranya dingin, segar. Ada dusun, ada haiwan ternakan. Dulu, mandi pun menggunakan air kolah. Sekarang sudah renovate menjadi bilik air moden di dalam rumah. Pada musim perayaan pula, ada kumpulan marhaban yang bertandang dari satu rumah ke rumah yang lain. Saya tak pasti negeri mana yang masih mengamalkan adat ini. Mungkin ada juga di Kedah, tapi tidak di kawasan perumahan saya.

Batu Pahat, Johor


Apa yang paling penting, makanannya. Macam-macam jenis makanan. Terbaru, saya baru tahu resipi Ingkong. Bahkan ini kali pertama saya mendengarnya. Ingkong adalah ayam kari. Sebelum masak, seperti biasa kita perlu cuci ayam, buang usus segala tetapi semua organ dalaman yang lain akan diikat dan dimasukkan semula ke dalam perut ayam. Kemudian masak dalam kari. Beres. Pokok pangkalnya, saya tak akan pernah rasa rugi pulang ke kampung kerana ketenangannya dan makanannya.

Kelana Jaya

Keadaan di sana memang sibuk. Kenderaan lalu lalang, bangunan tinggi mencakar langit, manusia yang sentiasa sibuk. Tapi saya suka. Sebab kehidupan di sana banyak mengajar saya erti berdikari. Pertama sekali, dari SM Sains Kuala Selangor (KUSESS) saya akan menumpang mana-mana kenderaan rakan untuk ke stesyen bas berdekatan. Kemudian, tunggu bas. Kalau terlambat sampai di stesyen bas, mungkin terpaksa tunggu lebih lama untuk naik bas. Saya bersyukur kerana ada seorang rakan, Diana Esmellia yang banyak mengajar saya tentang KL Sentral, KTM dan LRT. Dapatlah saya pulang dengan selamat dan pantas. Saran saya, lebih baik kita memiliki kad Touch N Go jika mahu menggunakan perkhidmatan kenderaan awam di sini termasuklah bas. Lebih mudah dan tak perlu beratur untuk membeli tiket.

Di sana juga banyak program yang diadakan terutamanya seperti pesta-pesta buku dan forum. Jadi, memandangkan saya tinggal di sana, saya berpeluang untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan berjumpa dengan penulis-penulis tanah air. Sekarang, dah tak dapat dah peluang seperti itu. Dan di KL juga ada banyak pusat beli-belah terkemuka dan restoran yang menarik. So yeah, memang bagus tinggal di bandar metropolitan ni. Tapi kehidupan di sana mungkin tak berapa tenang kerana persaingan dan kesibukan yang melanda. Entahlah. Mungkin kalau saya rasa sendiri bekerja di KL baru saya akan tahu perasannya.

Kulim, Kedah

Alhamdulillah, saya bersyukur dengan tempat tinggal sekarang. Walaupun kelihatan agak kosong, tetapi saya nampak perubahan di sini. Pusat beli-belah seperti Landmark Kulim dan Tesco telah didirikan. Dan mungkin, sekitar empat, lima tahun akan datang sebuah lapangan terbang akan dibina di sini. Kalau jadilah. Tak lama lagi mulalah orang ramai akan mencari peluang pekerjaan di Kulim dan mungkin kepadatan penduduk akan bertambah. Entahlah. Saya tak mampu meramal masa depan di sini. 

Apa yang saya tahu, banyak nostalgia dari saya tadika, sekolah rendah, sekolah menengah di Kulim. Jadi secara tak langsung, memang bandar ini ada nilai sentimentalnya yang tersendiri pada saya. Kalau di kampung ada ketenangan, di bandar metropolitan ada kesibukan, bagi saya di sini 50-50. Tenang dalam sibuk. 



Setakat itu sahajalah ulasan pagi ini. Walau di mana pun kita berada sebenarnya, bersyukurlah selagi ada bumbung untuk berteduh dan ada makan minum yang cukup. Alhamdulillah. Asalkan kita pandai jaga diri, insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja. Oh ya, kepada rakan-rakan saya yang baru mendaftar di universiti, jaga diri baik-baik. Hargai tanah yang kita pijak, ya?

p/s: Mohon tembakan doa kalian untuk peperiksaan saya pada minggu hadapan. Hanya Allah yang selayaknya membalas kebaikan kalian.


Comments