Pages

Wednesday, September 9, 2015

Di Sebalik Tabir



Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.

Sekadar berkongsi, untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

Hari ini merupakan hari terakhir Cikgu Noor Sidi berkhidmat. Tapi bagi saya, seorang guru, akan tetap selamanya bergelar guru selagi hayatnya masih ada. Beliau tidak mengajar saya, jadi saya tidak berapa mengenali karakter beliau. Hal ini menjadi satu kesukaran kepada saya apabila ditugaskan untuk menghasilkan video montaj untuk ditayangkan pada majlis sambutan persaraan beliau, iaitu hari ini. Pada awalnya, memang saya agak keberatan kerana kebetulan pada minggu itu saya agak sibuk dengan kerja kursus, pembentangan, dan beberapa video lain yang perlu disiapkan. Dan saya tahu, ramai lagi yang boleh membuat video. Tapi bila orang minta bantuan kita, mestilah kita kena bantu, kan? Tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Jadi berbekalkan pengetahuan saya yang kosong tentang beliau, saya mula mencari ilham untuk menghasilkan video. Saya dimaklumkan supaya mendapatkan biodata dan gambar beliau. Itu sahaja. Dan ada pensyarah yang request supaya hasilkan video yang panjang. Durasi biasa sebuah video hanya sekitar 2-3 minit. Jadi saya terfikir, bagaimana caranya untuk hasilkan sebuah video yang lebih panjang dari biasa? Dan saya ingin hasilkan sebuah video yang mampu meninggalkan kesan penghayatan terhadap penonton.

Lama jugalah proses saya mencari ilham. Ilham ni kadangkala datang sendiri, kadang berdasarkan pengalaman yang pernah kita alami, dan kadang memang kita perlu cari sendiri. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah sesi temu ramah, seperti yang pernah saya lakukan ketika majlis sambutan hari guru dulu. Tapi kalau saya buat temu ramah, saya rasa itu cuma sesuatu yang biasa. Tidak lama kemudian terlintas dalam fikiran saya untuk menghasilkan video yang berkonsepkan berita, seperti Buletin Utama. Ada pemberita yang melaporkan kejadian yang berlaku. Saya dah boleh bayangkan konsep video tersebut pada ketika itu.

Fikir punya fikir, akhirnya saya rancang nak selitkan sajak dalam montaj. Cuma itu yang mampu saya fikirkan sesuai dimasukkan. Saya mula melayari YouTube untuk membantu mendapatkan idea. Dan saya teringat Cikgu Ishak pernah menayangkan beberapa klip video sajak. Saya membuka sajak-sajak A.Samad Said, dan saya sangat tertarik dengan klip video beliau berjudul Hidup Bersama. Saya muat turun video tersebut dan menontonnya berulang kali. Dan serta merta saya mendapat gambaran untuk menghasilkan satu video persis video tersebut. Saya boleh bayangkan Bilik Muzik sebagai latar untuk sajak itu. Cuma masalahnya, mana nak dapatkan sajak? Takkan nak tiru atau ciplak sajak orang lain. Bagi saya, originaliti dan kekreatifan itu lebih banyak meninggalkan kesan estetika berbanding saya mengambil sajak orang lain. Maka, saya mengambil masa selama satu dua hari untuk hasilkan sajak. Sudah tentulah karya saya lemah, jadi saya meminta Cikgu Ishak melakukan penyuntingan. Beliau pun tidak pernah keberatan membantu.

Gambaran video sudah ada. Kemudian, proses mencari pelakon-pelakon dan kru untuk membikin video. Sebenarnya saya agak mempunyai keyakinan untuk berlakon sendiri sebagai pemberita, tetapi siapalah saya pada Cikgu Sidi. Bukannya beliau kenal pun saya. Jadi sasaran saya, untuk merekrut pelajar-pelajar yang diajar oleh beliau. Sudah tentulah, ramai daripada Kelab PRS yang merupakan anak murid Cikgu Sidi. Setelah berunding dengan insan-insan yang terpilih, mereka pun bersetuju untuk hadir ke rakaman pada masa yang ditetapkan. Cuma, salah seorang pemberita iaitu Umi pula kehilangan suara pada saat-saat akhir. Terpaksalah cari pemberita yang baru. Alhamdulillah, Umairah menawarkan diri untuk menggantikan posisi pelakon saya yang kehilangan suaranya. Pada awalnya saya memang agak meraguinya (sorry Maira kalau baca) tetapi setelah melakukan uji bakat, saya rasa dia sangat sesuai untuk memegang watak tersebut.


Masalah dan cabaran buat saya ialah hendak menyesuaikan masa lapang saya dengan masa lapang para pelakon dan kru. Kebetulan, sekolah pula sedang sibuk mengadakan aktiviti-aktiviti sambutan kemerdekaan pada waktu itu dan terdapat beberapa pertandingan yang saya masuk semata-mata untuk mendapatkan sijil. Dan entah macam mana saya boleh termasuk pertandingan melukis poster disebabkan Umi mendaftarkan nama saya. Dari situ juga sebenarnya saya mula mencungkil bakat saya melukis. Konon. Back to the story, sebenarnya rakaman video mengambil masa hampir seminggu. Minggu itu jugalah kena submit kerja kursus dan siapkan lukisan poster. Dan ada satu hari yang saya janji nak rakam babak penting pemberita, hari itu jugalah Mukmin, salah seorang pemberita ada perlawanan bola dan Najihah, pembaca sajak saya tidak hadir ke sekolah kerana tidak sihat. Dan kebetulan juga saya hampir terlupa janji lain dengan rakan-rakan serumah.

Disebabkan saya tidak mahu bertangguh dan membatalkan rakaman, saya tetap meneruskan perancangan. Panjang jika hendak diceritakan, tetapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan bagus walaupun tidak berapa lancar. Nak pinjam tripod stand dan kamera sekolah pun bukan boleh bawa balik. Nak tak nak, terpaksa guna inisiatif kamera sendiri walaupun sebenarnya kamera itu lensnya kotor dari dalam dan meninggalkan kesan habuk. Nak setup Bilik Muzik pun agak memakan masa.

Itu salah satu kekangan dari segi rakaman. Belum lagi kekangan ketika sesi temu bual dan sebagainya. Nak siapkan rakaman audio sajak pun mengambil masa hampir seminggu kerana saya perlu pastikan Najihah dapat membaca sajak dalam intonasi yang saya inginkan. Alhamdulillah dia memang cepat belajar dan komited dengan saya.

Apa yang paling mencabar buat saya, tentulah proses editing itu sendiri. Video dah jadi terlalu panjang disebabkan temu bual dan sajak. Kalau video terlalu panjang, sudah tentulah penonton akan berasa bosan. Maka terpaksalah saya memotong ucapan-ucapan yang terlalu panjang. Sajak pun terpaksa dibuang beberapa rangkap. Software yang saya gunakan, Corel VideoStudio Pro X7 pun banyak menimbulkan masalah. Mungkin disebabkan versinya yang tidak bersesuaian dengan laptop saya. Saya tak tahu kenapa, tapi saya rasa inilah projek yang paling saya komited dengannya. Ada satu malam tu, jam 3 pagi baru saya tidur. Itupun tak lena. Bila tarikh majlis semakin mendekat, maka ramai yang mula bertanya tentang video. Bukannya petik jari boleh siap. Eheh. Saya abaikan sahaja pertanyaan-pertanyaan mereka.

Bagi saya, perasaan bila dah render video, memang cukup puas hati. Alhamdulillah. Adalah tersilap sikit sebenarnya, tapi saya tak mahu betulkan lagi. Perfect sangat pun masalah.

Alhamdulillah, setelah segala macam cobaan yang dialami, hari ini, video montaj saya telah ditayangkan dalam Balai Budi. Tetapi agak mengecewakan sebab mereka buka video sikit-sikit sebelum mula majlis untuk testing. Bila nak tayang pun ada masalah sikit. Tapi tak apalah, itu semua cabaran. Yang penting, satu kepuasan buat saya bila apa yang saya usahakan dihayati oleh penonton. Ada kawan yang bertanya, tak penatkah buat video, bukannya dapat sebarang ganjaran pun?

Mungkin, mereka yang menonton, satu atau dua minit kemudian akan lupa. Tapi bagi saya, proses pembikinan video ni sendiri adalah satu ganjaran buat saya. Saya dapat pengalaman baru. Saya dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan rakan-rakan. Saya belajar, cara untuk menangani pelbagai situasi dan konflik. Saya belajar untuk bersabar. Belajar urus masa. Dan saya banyak mendapat bantuan fizikal dan moral daripada rakan-rakan. Saya tak tahu macam mana nak ungkap perasaan saya bila mereka kata “Tak sabar nak tengok video Nurina.” Itu satu penghargaan buat saya. Dan saya akan berasa lagi puas jika Cikgu Sidi menghayati video tersebut. Yang itu, saya tak tahu.

Walaupun dah banyak kali saya katakannya, saya tetap nak ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu saya dari segala aspek sepanjang penghasilan video ini. Bantuan kalian, adalah satu penghargaan buat saya. Lain kali, bantulah lagi.

Harapan saya, kalau boleh dalam masa terdekat ni, janganlah ada orang minta buat video lagi sebab exam pun dah makin hampir. Saya percaya, ada ramai generasi baru yang mampu menghasilkan kerja buat yang lebih mantap dan berkesan. Mungkin, para pensyarah perlu menggembleng tenaga untuk mencungkil potensi yang ada pada mereka pula.

p/s: Dah macam teks ucapan pula ada harapan dan cadangan segala.


No comments:

Post a Comment