Independent



Bismillahirrahmanirrahim.

Manusia memang diciptakan untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Sejak kita dilahirkan di atas muka bumi ni, kita dah ada seseorang untuk dijadikan tempat bergantung. Sejak bayi, ibu yang selalu jaga makan minum kita. Ayah pula tak pernah bosan menukar lampin atau memandikan kita. Begitu juga ketika kita sudah berada dalam alam kanak-kanak. Bila kita menangis, kita akan segera mencari si ibu untuk meluahkan kesakitan yang dialami. Bila kita sangat menginginkan sesuatu, ayahlah yang akan dikejar supaya memenuhi kemahuan itu.

Zaman remaja pun sama. Bila kita terasa inginkan sesuatu gajet, atau mungkin duit untuk keperluan sekolah, ibu bapa yang akan berusaha untuk mendapatkannya. Mungkin teori ini tidak diaplikasikan oleh semua, namun saya cukup pasti, majoriti akan mengakui pernyataan saya tadi. Kita sudah terbiasa hidup atas ihsan dan pergantungan terhadap orang lain, sampaikan satu tahap, kita terlalu “selesa” berada dalam zon tersebut.

Saya menulis entry ini sebagai peringatan kepada diri sendiri, dan juga kepada anda yang sedang membaca. Dalam hidup kita, kita terlalu banyak bergantung kepada individu lain. Ibu bapa, saudara-mara, dan juga rakan-rakan. Bergantung pada situasi keperluan. Kalau rasa mahukan sesuatu berbentuk bantuan kewangan, ibu bapalah yang akan kita cari. Kalau inginkan pertolongan tentang tugasan sekolah, kerja pejabat, kita pasti akan mencari rakan-rakan yang boleh membantu. Kalau soal pelajaran, kita terlalu berharap pada guru dan pensyarah.

Ramai yang cakap, generasi sekarang, generasi kita semakin malas. Saya yakin anda juga pasti pernah mendengarnya melalui orang di sekeliling. Saya malu untuk mengakui hakikat ini, tetapi kita memang berada dalam kelompok yang menjerumus ke arah itu. Mungkin kita sudah terbiasa dengan kemudahan, kesenangan dan kemewahan hidup masa kini. Zaman sekarang, sangat jauh bezanya dengan zaman dulu.

Zaman ayah saya dulu, sangat susah. Sudahlah adik-beradiknya ramai. Keluarga susah. Ekonomi dulu, bukannya maju macam sekarang. Ayah kalau nak belajar, malam-malam beliau akan pasang lilin dan belajar. Mana ada lampu. Mana ada handphone untuk menerangkan malam yang gelap. Ibu pula selalu cerita, hendak pergi ke sekolah saja sudah memakan masa yang lama, jadi beliau perlu menaiki pengangkutan awam seperti bas untuk ke sekolah. Mana ada bawa kereta. Mana ada menunggang motosikal. Jauh sekali bezanya dengan zaman sekarang. Sekarang, petik jari saja semua boleh dapat. Bahkan kini, keluarga yang miskin pun banyak mendapat bantuan. NKRA pun sudah lama diperkenalkan untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah.  Mungkin lambat laun, sudah tak ada lagi mereka yang bergelar fakir miskin di Malaysia. InsyaAllah.

Point is, kadang-kadang, mungkin kita anggap diri kita susah. Tetapi kita sebenarnya senang. Okay fine. Kalau memang kita susah, kita masih boleh tukarkan kehidupan kita jadi senang. Dalam hidup ini, ada dua jenis takdir. Takdir Mubram, takdir yang sudah tertulis di Luh Mahfuz dan satu lagi Takdir Muallaq, takdir yang sudah tertulis, tetapi boleh diubah dengan kehendak Allah bergantung kepada usaha manusia untuk mengubahnya. Kekayaan, kepandaian, kesenangan, semua ni kita boleh ubah jika kita ada inisiatif untuk mengubahnya. Allah tak pernah kejam.

Kita nak hidup senang? Ubahlah. Belajar sungguh-sungguh, dapatkan kerja yang bagus dan halal dan cemerlang dalam hidup. Bukannya mencuri, rasuah, berjudi. Semua itu hanya akan membawa kita ke jalan yang lebih mudarat. Jangan bergantung kepada nasib atau pertolongan daripada orang lain, tetapi kita yang kena corakkan sendiri masa depan kita.

Kita nak jadi pandai? Fokus dalam kelas, buat latihan yang diberi, dan berusaha untuk jadi pandai. Bukannya 100 peratus bergantung kepada guru dan rakan. Kalau tak salah saya, saya pernah mendengar, guru cuma menyumbang 20% untuk seseorang itu berjaya. Kalau tak salah sayalah. Selebihnya, atas inisiatif penuntut ilmu itu sendiri. Kalau kita terlalu bergantung kepada rakan pun, bukannya dia ada pun sewaktu kita menjawab peperiksaan.

Jangan terlalu bergantung atau meletakkan harapan yang tinggi kepada seseorang. Sebaiknya pergantungan kita hanyalah kepada tali Allah SWT. Ya lah, bila kita terlalu bergantung kepada orang lain, siapa tahu akan ada satu saat nanti bila dia tak dapat bantu kita, bila dia tak ada di sisi kita, bila dia jauh daripada kita. Waktu itulah kita akan terasa sakit. Sakit untuk menampung balik apa yang telah banyak kita hilang selama ini. Tak salah untuk kita meminta daripada ibu bapa, belajar daripada guru, mengharapkan bantuan kawan. Tak salah. Tapi dalam masa yang sama, kita kena belajar untuk menjadi seorang yang berdikari.

Saya cuma terfikir, sudah 19 tahun saya hidup di atas muka bumi ini, 19 tahun, adakah diri ini sudah cukup matang dan berdikari? Atau saya masih banyak bergantung kepada orang lain? Muhammad Al-Fateh pada usianya 19 tahun sudah pun memimpin sebuah kerajaan. Sedangkan saya masih lagi belum mampu menyumbang untuk ummah.



Comments