Pages

Saturday, June 20, 2015

Ramadan Reading List



Assalamualaikum dan salam Ramadan!

Macam mana puasa anda hari ini?? Harap masih diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus memaksimakan ibadah sepanjang bulan ini. InsyaAllah.

Alhamdulillah, hari ini saya sungguh teruja kerana berjaya mendapatkan sebuah buku yang sudah lama saya mahu beli. Buku apa yang membuatkan saya gembira sangat ni?




Tadaaaa!




Ya, Misi 4Flat karya Afiq & Nazry Salam terbitan PTS! Saya mengikuti komik ini sejak watak utama Aizad dan Zahid masih berada di tingkatan tiga lagi. Eheh. Komik ini bukannya sekadar komik biasa, tetapi sebuah cerita tentang perjuangan sahabat dalam bersama-sama meraih tangga kejayaan. Bukan seorang sahaja yang mahu berjaya. Lebih tepat lagi, konsep one for all and all for one.

Bagi saya, komik ini sesuai untuk pelajar yang ingin mengembalikan semula semangat belajar atau mengambil motivasi daripada kisah yang dipaparkan. Saya sengaja tidak mahu membacanya lagi. Mungkin saya akan membacanya tengah malam nanti. Kalau tidak, saya mungkin telah mendedahkan sinopsis atau keseluruhan cerita kepada anda. Tak seronoklah nanti kalau anda dah tahu jalan cerita. Harganya cuma RM9.90 sahaja, jadi cepat-cepatlah ya dapatkan di kedai buku berhampiran anda.

Selain Misi 4Flat, saya juga membeli novel Lilin Pun Dipadamkannya, tulisan Wiwid Prasetyo dengan harga RM 19.00 terbitan Kemilau Publika.


Novel setebal 305 halaman ni merupakan sebuah novel  kepemimpinan tentang Umar bin Abdul Aziz. Mungkin ramai yang pernah mendengar tentang kisah seorang pemimpin yang sanggup memadamkan lilin kerana bimbang akan digunakan untuk tujuan peribadi. Pemimpin itu tidak lain tidak bukan Umar bin Abdul Aziz yang begitu hebat dalam pemerintahannya. Mungkin anda lebih jauh mengenali beliau daripada saya.

Beliau merupakan salah satu tokoh yang sangat saya kagumi. Bukan senang nak jadi pemimpin. Saya sendiri pun kadang keberatan nak pikul amanah yang diberi. Novel ini saya tambahkan ke dalam koleksi peribadi saya. I’m looking forward to read it.

Saya juga ada mendapatkan majalah Dewan Sastera (RM 6.50) terbitan DBP dan ini merupakan kali pertama saya membelinya.


Mungkin sebagai pelajar sastera, saya perlu mendapatkan beberapa bahan bacaan untuk membantu saya dalam bidang ini. Sastera ni bukan sekadar mengkritik karya, malah juga untuk menghasilkan karya bermutu untuk audien. Kita berkongsi ilham, berkongsi karya, untuk menyampaikan mesej yang bermakna. Alangkah bagusnya kalau saya mampu menghasilkan karya yang berkualiti. Sampai hari ini, saya tak pernah yakin dengan diri sendiri. Harap saya akan dapat sesuatu yang bermanfaat daripada majalah ini.

Bercakap tentang sastera, saya agak teruja kerana pada semester ketiga ini, akhirnya kami akan diajar tentang penulisan kreatif dan penyuntingan. Saya tak pernah dapat pendidikan khusus untuk mengarang karya sebelum ini, jadi saya akan usaha lebih untuk mempraktikkan apa yang bakal saya pelajari nanti. InsyaAllah.

Saya juga tidak ketinggalan membeli majalah Gen-Q edisi terbaru bulan Ramadan.


Saya suka majalah ini kerana artikel-artikelnya bagus dan kolumnisnya juga tidak asing lagi seperti Dr. Hj. Zahazan, Ustaz Pahrol dan Ahmad Fedtri Yahya. Artikel terbaru Ahmad Fedtri ialah Ramadan: Mendidik Fizikal dan Mental yang Sihat. Sangat menarik.

Ahmad Fedtri Yahya merupakan bekas pelajar dan alumni sekolah saya, SM Sains Kuala Selangor (KUSESS) dan merupakan pelajar cemerlang suatu ketika dahulu. Beliau juga merupakan salah satu inspirasi buat saya dalam bidang penulisan mahupun bidang pengacaraan. Melihat daripada gaya beliau bercakap sahaja sudah boleh tahu beliau seorang yang banyak membaca dan berpengetahuan luas. Bukan beliau sahaja, malah ramai lagi kolumnis Gen-Q yang menulis artikel bermutu. Oleh itu, jangan lupa dapatkan majalah ini dengan harga RM 7.50 sahaja di pasaran!

Tak rugi kita membelanjakan wang untuk sesuatu yang bermanfaat, terutamanya untuk dapatkan ilmu pengetahuan. Secara keseluruhannya, kebanyakan perbelanjaan saya digunakan untuk membeli buku berbanding barang-barang yang lain. Terlalu banyak buku  di rak dan saya sayang mahu menjual atau memberikan mana-mana buku yang ada. Apa yang patut saya lakukan ya dengan buku-buku yang ada? Entahlah. Apa pun, sekiranya ada sesiapa yang mahu rekomen sebarang bahan bacaan, bolehlah berbuat demikian tanpa segan silu. Hidup ini adalah untuk berkongsi, dan mendapatkan manfaat daripada perkongsian itu.

Okehh. Selamat membaca! Assalamualaikum.


1 comment:

  1. singgah sini.. tq join GA nina. bulan2 puasa rajin baca buku sementara nk tunggu berbuka

    stay di mana? boleh masukkan dlm group blogger utara

    ReplyDelete