Pages

Monday, May 4, 2015

Ulu Legong Hot Spring




Tadaaa!

Ya, inilah kek belated birthday saya dan kakak saya yang menyambutnya dalam bulan yang sama. Dan memang tak tipu, alhamdulillah, kek ini sangat lazat berbanding dengan kek-kek coklat yang lain. Saya tak pasti di mana anda boleh mendapatkannya, tetapi pokok pangkalnya memang sedap. Kek kedua untuk birthday saya tahun ini. 

Sebenarnya, saya ingin berkongsi dengan anda beberapa foto menarik sepanjang percutian kami sekeluarga ke Kolam Air Panas Ulu Legong atau lebih dikenali sebagai Ulu Legong Hot Spring. Termasuk kali ini, sudah tiga kali kami ke Ulu Legong. 


Setiap kali ke sana, ada sahaja perubahan yang baru. Dulu tak perlu bayar kalau tak silap saya, tetapi sekarang sudah dikenakan tiket untuk masuk. Dulu cuma ada beberapa kolam sahaja, sekarang sudah ada penambahan kolam-kolam lain.




Untuk pengetahuan pembaca yang mungkin belum tahu tentang kewujudan tempat ini, Ulu Legong terletak di Kedah. Ada tiga buah kolam dengan tahap kepanasan yang berbeza disediakan di sini. Rasanya belum pernah ada lagi orang yang masuk ke dalam kolam pertama disebabkan tahap didihan air yang begitu tinggi. Mungkin sekadar rendam kaki sahaja. Biasanya saya akan masuk ke kolam kedua atau ketiga. Tempat ini memang bagus untuk merehatkan minda. Rendam kaki pun sudah cukup. Saraf kita banyak terletak di tapak kaki jadi air yang panas tersebut boleh sedikit sebanyak merawat saraf-saraf kita.


Di samping itu, Ulu Legong juga ada menyediakan kawasan rekreasi dan refleksologi. Tapi sudah tentu ada pantang larang tertentu kepada orang yang berpenyakit atau hamil. Takut-takut rendaman kaki dan refleksologi itu boleh mengganggu sistem dalam badan mereka.

Bilik yang kami sewa pula terletak di atas bukit. Memanglah perlu panjat tangga yang agak tinggi tetapi pemandangan dari atas sungguh mengagumkan. Indah. Boleh perhatikan gelagat budak-budak yang seronok main air. Tenang. Pada waktu petang hingga malam pula, ada gerai-gerai yang dibuka untuk jualan. Gerai yang paling laris sudah tentulah gerai ais krim. Dapat makan ais krim memang nikmat ketika berada di kolam air panas. Percayalah.


Pada waktu malam pula, kami sekeluarga masak BBQ di tempat yang telah disediakan. Pengunjung perlu membawa bahan dan arang sendiri tetapi tempat untuk membakarnya sudah disediakan oleh pihak pengurusan. Ayam, sosej, ubi kentang, ubi kayu, ikan, kambing, dan daging, semuanya kami bakar. Alhamdulillah, semuanya habis. Bukan selalu nak buat family outing begini. Jadi, kepada sesiapa yang teringin nak buat family outing, saya boleh sarankan Ulu Legong Hot Spring kepada anda. 


No comments:

Post a Comment