Pages

Friday, March 6, 2015

Diari#56: Persepsi

Foto carian Google

Saya tak suka, orang pandang diri ini hebat. Saya kurang senang, bila orang anggap diri ini bagus. Saya lebih tak suka, bila diri ini dipuji-puji selalu. Sebab saya selalu ingat, apa yang saya ada cuma pinjaman dari Allah, dan saya rasa malu sebab sedikit sahaja pinjaman yang ada ini sudah membuatkan saya dipuji oleh orang lain.

Baru-baru ini, kami telah melalui ujian pertama untuk semester kedua dan keputusan sudah pun diterima. Maka masing-masing pun sibuk bertanyakan keputusan rakan mereka. “Hang dapat pointer berapa?” “Result macam mana?” “Dapat berapa A?” Dan kami pun mula membuat ulasan tentang ujian berdasarkan keputusan yang diterima.

Saya tak sangka ramai juga dalam kalangan rakan-rakan yang membaca Nafas Baru. Kadang, saya ingat saya cuma seronok sendiri. Alhamdulillah, ramai yang menjadikan blog ini sebagai persinggahan untuk mengambil inspirasi. Terima kasih. Oleh itu, saya tergerak untuk berkongsikan keputusan dan ulasan ujian satu baru-baru ini.

Pengajian Am – 61% B+
Bahasa Melayu – 80% A
Pengajian Perniagaan – 77% A
Kesusasteraan Melayu Komunikatif – 68% A-

Pointer: 3.75

Alhamdulillah. Jujurnya, saya rasa sukatan pelajaran semester kedua lebih mencabar dari semester pertama, terutamanya subjek KMK dan Pengajian Am. Subjek KMK memerlukan calon untuk mengaitkan teks dengan pembangunan insan, masyarakat dan negara. Teks yang dikaji pula ialah Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). SBDKL merupakan sebuah novel yang berkait dengan Dasar Ekonomi Baru dan juga politik, yang masih belum saya kuasai secara total.


Sulalatus Salatin pula merupakan sebuah novel yang diterbitkan pada tahun 1979, sebuah karya evergreen yang masih digunakan pada tahun 2015 ini. Tapi biasalah, novel lama, bahasa yang digunakan pula bahasa klasik yang mungkin mendatangkan kebosanan kepada generasi kita untuk membacanya. Saya masih belum khatam membaca SS, dan ini agak menyukarkan saya untuk menjawab kertas.

Ramai yang bertanya, subjek KMK ni macam mana. Dipendekkan cerita, kami perlu mengaitkan kedua-dua teks yang saya nyatakan tadi dengan pengaplikasiannya dalam kehidupan dari aspek individu, masyarakat dan negara. Kalau tak tangkap butiran yang dinyatakan oleh pensyarah dalam kelas, memang terkial-kial juga hendak menjawabnya. Ada kawan yang kata saya hebat kerana mendapat A-, tetapi saya katakan padanya, kalau dapat A solid barulah hebat. Sebab untuk mencapai A solid, memang memerlukan aras pemikiran sastera yang tinggi, dan ternyata saya masih jauh lagi untuk mencapainya. Ahhh.

Bagi subjek Pengajian Am pula, saya sangka saya akan gagal ujian kali ini disebabkan soalan struktur dan graf. Soalan struktur PA memang mencabar kerana berkait dengan kenegaraan; wawasan 2020 dan dasar-dasar negara. Alhamdulillah, bahagian graf dan esei mampu back-up markah bahagian struktur saya. Tapi itu tidak meletakkan saya di zon selesa. Banyak lagi yang saya perlu perbaiki, tambahan pula ini baru ujian pertama. Ujian seterusnya, pasti lebih banyak dasar-dasar dan soalan mencabar yang akan ditanyakan.

Untuk subjek PA, ada juga rakan yang kata saya hebat sebab mampu dapat B+. Saya kata, hebat itu bila saya boleh dapat A solid yang bermaksud saya menghafal struktur, menguasai graf dan mahir menulis esei. Masih jauh lagi untuk saya capai semua itu. Hurm.

Bahasa Melayu dan Pengajian Perniagaan pula ada cabarannya tersendiri. Mungkin keputusan saya yang baik (but still, masih belum cukup bagus) disebabkan oleh soalan-soalan yang ditanyakan hanyalah bab-bab awal pelajaran dan masih segar lagi. Kalau dah percubaan nanti, macam manalah agaknya. Resah saya memikirkannya.

Bila kawan-kawan bertanya full result, saya pasti akan dengar perkataan “hebat” keluar dari mulut mereka. Padahal mesti ramai yang dapat pointer lagi tinggi.

“Hebat tu, kalau dapat 4 flat,” kata saya. Sebab saya tak pernah mencapai 4 pointer.

“Ohhh ok. Tak hebat.”

Kadang, orang pandang kita hebat, orang nampak kehidupan kita sempurna, orang anggap kita beruntung. Tapi orang tak pandang pada apa yang kita lalui, orang tak nampak apa yang tersirat, dan orang tak selalunya beranggapan sama macam kita.

Sama seperti pelajar-pelajar cemerlang yang sudah mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa. Saya sangat terinspirasi dengan kisah-kisah mereka di sebalik kejayaan yang ditempa. Struggle yang mereka alami. Pengorbanan yang mereka lakukan. Mereka itulah baru layak bergelar hebat. Masih jauh bezanya mereka, dan kita. Saya ingat kata-kata Cikgu Ishak, "Nak jadi cemerlang, kena banyak berkorban." Mendalam.

Orang selalu cakap, bersyukurlah dengan keputusan yang kita dapat. Ya, saya bersetuju dengan pernyataan ini. Cuma saya nak tambah sedikit. Bersyukur dengan keputusan yang kita terima, tapi jangan pernah berpuas hati selagi keputusan itu bukanlah keputusan yang terbaik pernah kita dapat.

Kalau keputusan kita kurang bagus, it’s not the end of the world because we can’t always get what we want. Peluang tu, sentiasa ada untuk kita memperbaiki diri, sambil mengajak orang lain ke arah yang lebih baik. Tak penting untuk nampak hebat di mata manusia, asal hebat di mata Allah yang menilai tahap usaha kita.

Oh ya, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon tembakan doa daripada anda untuk ujian Muet saya pada esok hari. Ujian ni sangat penting untuk saya. Dan doa yang ikhlas daripada anda, mudah-mudahan Allah terima. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment