Selisih Faham: Siapa yang Perlu Mengalah?



Disebabkan saya bakal menduduki peperiksaan MUET Rabu ini, maka dalam satu hari ini sahaja saya berlatih sebanyak tiga kali untuk speaking. Mungkin ada dalam kalangan adik-adik yang belum biasa dengan situasi MUET. Untuk ujian speaking, ada dua tugasan yang kita perlu lakukan dalam kumpulan (4 orang). Pertama, tugasan akan diberikan secara individu. Tajuk akan diberikan sebaik sahaja kita duduk di meja peperiksaan. Calon akan diberikan masa tiga minit untuk menganalisis tajuk dan mencatat isi-isi penting yang ingin dikemukakan.

Selesai tiga minit, barulah bermulanya tugasan yang sebenar, iaitu menterjemahkan idea yang telah kita catat tadi ke dalam bentuk lisan, dalam bahasa Inggeris tentunya. Hanya dua minit sahaja yang diberikan untuk bercakap. Cakaplah apa yang kita mahu. Selesai tugasan pertama, kita akan ditugaskan pula untuk membuat perbincangan dalam kumpulan, iaitu untuk memilih isi mana yang paling relevan dan terbaik.

Bagi saya, tugasan individu agak sedikit mencemaskan kerana semua orang akan tertumpu pada kita dan membuat penilaian sama ada isi yang kita utarakan itu relevan dan bagus mahupun tidak. Berbanding kedua-dua tugasan tersebut, saya lebih gemar perbincangan dalam kumpulan. Seronok. Perbualannya lebih santai dan kita boleh menyampuk bila-bila masa sahaja. Setiap orang bebas mengutarakan pendapat masing-masing.


Namun begitu, timbul masalah apabila salah seorang ahli kumpulan kami tadi sangat berpegang teguh kepada pendiriannya dan langsung tidak mahu beralah. Pelajar lelaki tersebut tidak mahu menukar pendiriannya walaupun saya dan seorang pelajar lelaki yang lain telah mencapai kata sepakat untuk menyetujui satu isi yang lain. Sepatutnya dalam perbincangan selama 10 minit itu kami berempat perlu mencapai kata sepakat, tetapi lain pula yang jadi. Mujurlah tadi cuma latihan dan bukannya ujian yang betul lagi.

Apabila ada dua pihak yang saling bertelagah, mungkin lebih baik jika salah satunya mengalah. Mengalah bukan bermakna kita kalah tapi mengalah adalah satu tindakan yang harus kita lakukan jika itulah jalan penyelesaiannya. Mengalah untuk menang. Menang kerana pada akhirnya, kita akan mendapat impak yang positif daripada konflik negatif yang berpanjangan.

Dalam hidup ini, kita akan melalui banyak situasi yang merumitkan. Banyak keadaan yang mengundang kesalahfahaman. Banyak konflik yang complicated. Tak kisahlah dengan siapa pun. Mungkin ibu bapa, mungkin guru, mungkin dalam kalangan adik-beradik, dan kerap kali terjadi dalam kalangan rakan-rakan. Apabila kedua-dua pihak saling berlindung di sebalik ego dan pendirian masing-masing, situasi kita dan pihak yang satu lagi itu akan menjadi kekok. Dalam sesetengah situasi, mungkin salah faham itu akan berlanjutan sehingga beberapa hari, atau beberapa bulan, atau lebih parah lagi sampai bertahun-tahun lamanya. Semuanya dek kerana tidak ada yang mahu beralah.

Saya percaya, manusia mempunyai sifat dan perwatakan yang berbeza. Dan saya juga percaya manusia boleh diklasifikasikan dalam 4 elemen (api, air, tanah, udara) berdasarkan peribadi mereka. Berdasarkan ujian-ujian online yang saya pernah buat dulu, elemen saya adalah air (water). Apa kaitannya elemen-elemen ini dengan mengalah? Saya suka mengenali peribadi orang. Saya suka perhatikan perwatakan manusia yang berbeza. 

Dan apa yang saya tahu, seseorang yang berperwatakan ‘api’ akan sukar sekali mengalah apabila turut berhadapan dengan ‘api’. Malah apabila api dari kedua-dua belah ini membara, mungkin boleh mencetuskan letupan. Walau macam mana pun orang lain cuba damaikan, ego mereka setinggi-tinggi langit. Bagaimana pula jika andalah si api yang sedang bertengkar dengan si api? Saya percaya, perkataan maaf itu sangat sukar untuk terbit dari mulut anda. Dan anda mengharapkan dia yang akan mula meminta maaf.



Sebaliknya, elemen air akan dapat memadamkan api, tetapi bergantung juga pada kemarakan api tersebut. Tapi kelemahan si air pula, dalam proses perdamaian, dia akan terpaksa menanggung risiko untuk terluka. Biasalah tu. Macam yang saya katakan, api sangat sukar untuk dipadamkan. Kadang, kita perlu meminta maaf berkali-kali walaupun mungkin kesalahan itu bukan berpunca daripada kita. Dan setiap kali hendak meminta maaf, maaf kita ditolak. Perasaan kecewa apabila kemaafan ditolak itu mungkin lebih parah daripada cinta yang ditolak.

Ada yang akan mempersoalkan, kenapa aku perlu mengalah? Perlukah aku mengalah? Pesan saya kepada semua yang membaca, tidak kiralah anda elemen yang mana pun ; Percayalah, tidak sedikit pun jatuh ego seseorang itu andai dia mengalah. Mengalah ni adalah satu sifat yang terpuji dalam Islam. Sangat mulia. Rasulullah SAW sendiri pun sering mengalah.

Dikisahkan, setiap kali Rasulullah SAW keluar dari rumah, baginda akan lalu di hadapan rumah seorang Yahudi. Si Yahudi ini mempunyai satu tabiat untuk meludahi Rasulullah dari depan rumahnya. Bayangkan apa perasaan anda apabila ada orang yang memperlakukan anda sedemikian rupa? Dengan sengaja pula tu. Si “air” pun mungkin boleh berubah menjadi “api”. Tapi cuba teka apa respons baginda terhadap perbuatan Yahudi itu? 

Baginda cuma tersenyum dan membersihkan kesan ludah yang terlekat di badan atau baju baginda, kemudian pergi meninggalkan Yahudi itu. MasyaAllah. Keadaan ini berlanjutan setiap hari. Setiap hari Rasulullah diludahi. Hingga pada satu ketika apabila baginda keluar rumah, baginda menjadi hairan kenapa tidak ada lagi ludah yang terbang? Beberapa hari yang berterusan tidak ada ludah terbang. Maka Rasulullah pun bertanya pada para sahabat, dan mereka memberitahu akan keadaan si Yahudi yang sedang sakit. Spontan Rasulullah segera berkunjung ke rumah si Yahudi.

Apabila mendapat kunjungan dari Rasulullah, pada awalnya si Yahudi sangat terkejut kerana orang yang selama ini diludahinya adalah orang yang pertama mengunjunginya. Dia pun diselubungi rasa takut. Takut Rasulullah akan membalas perbuatannya dan dia tidak mampu mengelak kerana sedang sakit. Tapi sangkaan si Yahudi jauh meleset. Rupa-rupanya, Rasulullah datang untuk menjenguknya, malah mendoakan agar dia sembuh. Seperti yang kita tahu, doa baginda tidak ada hijab (penghalang) maka doa baginda diterima. Tidak lama kemudian si Yahudi pun sembuh lantas masuk Islam tanpa ada sebarang paksaan. 


Nampak tak kuasa “mengalah” di situ? Impaknya, adalah sesuatu yang positif, yang kadangkala kita sendiri tak mampu nak duga.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah.” (QS. Al-Ahzab:21)

Adakah kita tidak mahu meniru teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah? Jadi, jawapan kepada segala persoalan, ya, anda memang perlu mengalah. Tidak kiralah anda api, air, tanah, udara, batu, pokok, dan apa sekalipun, kita tak akan rugi andai beralah. Dalam hidup ni, bukan setiap masa kita kena terus melangkah ke depan. Ada ketika anda perlu mundur beberapa langkah ke belakang, berhenti sejenak, dan kemudian barulah teruskan kembali langkah maju ke hadapan.


You may lose the battle but win the war.

Comments