20 Senarai Adab Terhadap Guru Mengikut Imam Ghazali



Pernah satu ketika di dalam kuliahnya dengan ribuan pelajar, tiba-tiba seorang badwi yang busuk dan comot masuk. Bila Imam Syafie melihat si badwi tu masuk, beliau pun berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu lalu memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perbuatan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, anak-anak murid Imam Syafie pun datanglah kepada beliau dan tanya, mengapa beliau memeluk badwi tadi. 

Imam Syafie jawab, walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu beliau memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.

Imam Syafie pun menjawab lebih kurang begini. "Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah, aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimana hendak mengenali dan membezakan antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu orang badwi tahu kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.

Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu."

Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Syafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru. 

Nah, di sini kita boleh nampak ketinggian ilmu yang dituntut dalam agama Islam. Cerita tentang Imam Syafie ini sepatutnya dijadikan panduan supaya kita sentiasa hormat akan murabbi, guru, pensyarah atau sesiapa sahaja yang mendidik kita. Saya akui, zaman sekarang ini, rasa ‘hormat’ anak murid terhadap murabbi sudah semakin pudar. Sudah hilang ditelan zaman. Manusia jadi semakin ego. Bila dah berjaya, lupa pada insan-insan yang bersusah payah mendidik kita selama ini. Semoga kita terhindar daripada golongan yang satu itu. 

Saya ingin berkongsi beberapa adab terhadap guru mengikut Imam Ghazali yang sepatutnya kita pelihara apabila berhadapan dengan murabbi sebagai peringatan kepada saya sendiri dan juga anda yang sedang membaca.

Adab-adabnya antara lain adalah seperti berikut:

1. Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan bercium tangan sebagai tanda penghormatan - ikut jantina.
2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru.
3. Jangan bercakap jikalau tidak ditanya.
4. Jangan bertanya melainkan jikalau diarah oleh guru.
5. Jangan menyangkal kata-kata guru.
6. Jangan mengumpat pelajar lain.
7. Jangan berbisik di hadapan guru.
8. Jangan berpaling kiri dan kanan.
9. Jangan menyoal semasa guru kepenatan.
10. Berdiri apabila guru bangun (ketika guru keluar dan masuk).
11. Dengar dengan khusyuk ilmu yang disampaikan walaupun diulang 1000 kali.
12. Rujuk guru dalam memilih ilmu.
13. Jangan duduk tempat guru.
14. Jangan berjalan di hadapan guru kecuali darurat.
15. Jangan ketuk pintu berulang kali hingga guru keluar menemuinya.
16. Sentiasa mendapat keredhaannya dan jauhkan kemurkaannya.
17. Muliakan anak-anak guru.
18. Selalu berhubung dengan guru.
19. Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu.
20. Selalu mendoakan guru selepas setiap solat lima waktu.

Nampak macam senang, tapi mungkin sebenarnya ada banyak adab yang kita terlepas pandang apabila sedang menuntut ilmu. Allah telah meninggikan darjat seorang orang yang berilmu, jadi kita pun kenalah hormat pada mereka.



Comments