Kisah Waiter Bangladesh



Assalamualaikum. Allahumma solli ala Muhammad. Salam Maulidur Rasul.

Sebelum kami menuju ke Madinah untuk menunaikan umrah baru-baru ini, kami sempat transit di negara Bangladesh terlebih dulu. Pesawat yang saya naiki pun merupakan pesawat Bangladesh yang lebih dikenali sebagai Biman Airlines. Jujur saya katakan, makanan yang dihidangkan di dalam kapal terbang memang menyelerakan. Saya boleh beri empat bintang. Cuma pramugarinya agak garang berbanding pramugara yang memberikan layanan baik. 


Alhamdulillah pihak Biman sangat menjaga kebajikan rakyat Malaysia dan mengasingkan tempat duduk warga Malaysia dan Bangladesh. Mungkin itu disebabkan warga Bangladesh yang menaiki kapal terbang jumlahnya jauh lebih banyak daripada jemaah Malaysia yang ingin menunaikan umrah. Takut ada kejadian yang tidak diingini barangkali. Wallahu alam. 

Keluar dari airport, kesejukan membelai tubuh masing-masing. Suhu di situ sekitar 24 darjah selsius kalau tidak salah saya. Keadaannya agak berdebu dan sejuk kering. Walaupun negara itu penuh dengan rakyat Bangladesh, rasanya pemandangan seperti itu sudah tidak asing lagi di Malaysia. Saya akui kepadatan penduduk di Dhaka. 

Kami menuju ke hotel dengan menaiki van. Masya Allah, perjalanan ke hotel memang cukup mencemaskan dan hampir sesak nafas kami. Bayangkan, sepanjang jalan penuh dengan beca dan kenderaan dari arah yang bertentangan. Ya, arah yang bertentangan! Sesuka hati saja mereka memandu. Walaupun ada lampu isyarat, nampaknya lampu isyarat langsung tidak digunakan sebagai panduan. Macam dalam filem aksi pun ada. Apa pun alhamdulillah saya selamat sampai ke Skylink Hotel setelah hampir 20 minit perjalanan yang mendebarkan jiwa dan raga.

Oh ya, satu peringatan sekiranya anda berhasrat untuk melawat Dhaka. Jangan haraplah hotel di sana sama dengan hotel lima bintang. Hotelnya memang ada kekurangan, tetapi bagi saya sudah cukup memuaskan asalkan kami dapat tidur dengan aman pada malam itu. Makan minum pun cukup. WiFi pun ada. Jangan terkejut jika kebanyakan mereka di situ fasih berbahasa Melayu. Di Madinah dan Mekah pun ada ramai peniaga yang fasih berbahasa Melayu. 

Mereka menggunakan duit Taka. 10 Taka bersamaan dengan 50 sen Malaysia. 100 Taka bersamaan RM5. Bercakap tentang duit, ada satu pengalaman yang agak mencuit hati terjadi. Sebelum kami pulang ke Malaysia, sekali lagi kami transit di Dhaka. Selama lima jam jemaah Malaysia terpaksa menunggu di airport. Biman Airlines telah berbaik hati untuk belanja semua jemaah Malaysia makan di restoran (saya tidak ingat namanya).


Saya, adik-beradik dan sepupu merupakan yang terakhir untuk makan kerana kami tunggu sebentar menjaga bagasi. Walaupun keadaan di restoran itu sudah agak lengang, terdapat seorang pelayan yang setia melayan kami. Tanda namanya tertulis Kamal. Sepupu saya meminta tambahan Coke, dia pun segera ambilkan.

Kemudian dia setia berdiri di sebelah meja makan, membuatkan kami semua berasa kurang senang kerana diperhatikan. Tidak lama setelah itu, dia pun mengeluarkan sekeping duit RM1 dan meminta tips daripada abang saya memandangkan dia seorang sahaja lelaki di meja itu. Abang memandang semua orang, dan semua orang pura-pura makan. 

Yup, sebenarnya kami bukan ada duit sangat pun. Masing-masing cuma ada duit Riyal. Abang mencari-cari ke dalam dompetnya yang kosong. Pelayan itu masih setia berdiri dan tidak mahu pergi. Saya teringat saya sempat berbelanja sebelum itu dan masih menyimpan duit Taka, jadi saya serahkan 10 Taka yang berwarna merah kepadanya. Dia mengucapkan terima kasih dan teruja kerana menyangka saya telah memberikan RM10. Apabila dia melihat ke dalam genggamannya, jelas riak wajah kecewa. “Bangladesh???” Dia patah hati.




“That’s all I have,” balas saya. Dan kami berlima pun meninggalkan restoran itu, lebih tepat lagi meninggalkan Kamal dalam kekecewaan, memandangkan kami pelanggan terakhir. Saya telah menyerahkan 50 sen kepadanya. 50 sen?? For real? Apa lagi, keluar dari restoran, semua mentertawakan saya. That’s when I finally realized, I should have always bring Malaysian Ringgit with me.




Comments