Pages

Wednesday, December 10, 2014

Buku-buku Kegemaran Saya



Assalamualaikum!

Alhamdulillah, semalam buku Catatan Mat Luthfi yang saya pesan secara online telah sampai dan saya telah pun selesai membacanya. Tepuk tangan untuk diri sendiri! Ceh.

Disebabkan saya pernah membaca novel Isabella karya Abdul Latip Talib, rasanya tak lengkap jika saya tak beli kesinambungannya. Oleh itu, saya juga turut memesan novel Runtuhnya Islam Andalusia.  Terima kasih ptsbookcafe atas komik dan cd percuma yang turut disertakan. 

Alang-alang saya bercerita tentang buku, saya terdetik untuk berkongsi beberapa bahan bacaan yang saya suka, mungkin juga boleh dijadikan rujukan buat anda. Untuk pengetahuan anda, saya turut ada hobi untuk mengumpul tanda tangan penulis. Saya akan jadi sangat teruja apabila dapat bertemu dengan penulis-penulis sendiri. Saya suka baca apa sahaja jenis bahan bacaan kecuali novel cinta. Dan juga buku-buku pelajaran yang memerlukan saya untuk menghafal. Maafkan saya, cikgu. Saya suka lakukan sesuatu secara minat dan kerelaan, bukan sesuatu yang mendesak dan terpaksa seperti penghafalan. Adik-adik tolong jangan contohi Kak Nurina.


Antara buku yang menjadi kegemaran saya ialah Mengemudi Bahtera Perubahan Minda tulisan Dr. Asri 400 halaman). Buku ini adalah pemberian daripada blogger Pena Maya. Saya suka pemikiran Dr. Asri dan buku ini mengumpulkan himpunan tulisan beliau dalam kolum Mingguan Malaysia. Buku ini menyentuh aspek kemasyarakatan, ekonomi, hiburan, politik, dan sebagainya. Bila baca buku ni, memang saya rasa sangat cetek ilmu di dada. Banyak pengetahuan baru yang saya peroleh, alhamdulillah. Buku ini diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors berharga RM35.


Seterusnya, buku pilihan saya ialah The Choice – Dialog Islam & Kristian tulisan Ahmed Deedat (433 halaman). Buku ini merupakan hadiah daripada kakak saya sempena ulang tahun kelahiran saya tahun lepas. The Choice sudah terjual melebihi satu juta naskhah di pasaran. Tidak hairanlah buku ini boleh menjadi buku best seller. Mengisahkan kajian dan penyelidikan Ahmed Deedat selama bertahun-tahun tentang Kristian; Triniti, penebusan dosa, penyaliban dan keaslian Bible. Buku ni dapat menarik pembaca untuk berfikir dan membezakan yang mana benar dan yang mana salah. Terbitan Kharisma Network dan harganya cuma RM29.


Novel Sebarkan Cinta-Mu ini pula adalah hasil karya penulis yang tidak asing lagi iaitu Fatimah Syarha Mohd Noordin (874 halaman). Saya dapat novel ini ketika Hari Anugerah Cemerlang di SMK Sultan Badlishah beberapa tahun yang lepas. Walaupun tebal, agak berbaloi juga membacanya. Saya dapat menambah pengetahuan tentang kekeluargaan, perkahwinan, poligami, dan sebagainya. Jangan ingat orang yang sudah berkahwin sahaja yang perlu membaca novel ini. Banyak puisi dan coretan yang menyentuh hati diselitkan di dalamnya. Cubalah beli dan baca. Terbitan PTS Litera Utama berharga RM31.


Novel Hijrah tulisan Abdul Latip Talib (618 halaman) ini memang favourite saya antara kebanyakan novel yang lain. Novel ini hadiah ulang tahun kelahiran saya yang ke-15 daripada seorang rakan. Saya memang suka apabila mendapat hadiah novel dan buku. Bermula daripada novel Hijrah inilah saya menggemari karya-karya Pak Latip. Saya mengumpulkan koleksi buku-buku sejarah Islam tulisan beliau. Novel ini bukannya buku yang berkisarkan fakta semata-mata, tetapi fakta yang disampaikan melalui gaya penceritaan yang sangatlah menarik. Mengisahkan daripada awal kelahiran Rasulullah, proses hijrah, sehinggalah zaman kegemilangan Islam. MasyaAllah buku ini memang tiada tolok bandingnya. Anda perlu mendapatkan novel ini di rak buku anda. Terbitan PTS Litera Utama berharga RM35.


Selain membaca buku-buku motivasi dan sejarah Islam, saya juga membaca novel awal remaja dan novel remaja. Novel-novel kategori ini saya baca untuk menggerakkan imaginasi saya mendapatkan ilham untuk berkarya. Salah satu novel awal remaja yang saya minat ialah Dunia Sains Aiman tulisan Umi Kauthar Abd Razak. Salah satu daripada siri novel ini dihadiahkan oleh jiran saya sewaktu ulang tahun kelahiran saya yang ke-13 dulu. Eheh. Banyak unsur sains yang menarik diketengahkan oleh pengarang dalam novel ini, sesuai dengan perkembangan minda remaja kini. Dulu saya adalah juga bercita-cita nak jadi saintis tetapi sekejap sahaja sebelum saya bertukar ke cita-cita yang terbaru. Novel ini terbitan PTS One dan boleh didapati dengan harga sekitar RM13 sahaja. Sesuai untuk dihadiahkan kepada adik-adik anda dan anda sendiri boleh membacanya.


Bagi kategori novel remaja pula, novel-novel inilah yang mendominasi keseluruhan koleksi buku saya. Penulis novel remaja kegemaran saya ialah Hilal Asyraf. Banyak tanda tangan beliau yang saya kumpul. Novel beliau yang paling saya gemari ialah novel VT (Volleyball Team). Hilal Asyraf pernah beritahu dalam salah satu bengkel penulisan beliau yang novel ini pernah dipertikaikan kerana semua wataknya adalah lelaki. Mana ada orang yang mahu membawa cerita satu jantina. Beliau membuktikan persepsi tersebut adalah salah apabila novel ini terbukti menarik minat ramai terutamanya golongan remaja. Mengisahkan perjuangan sekumpulan pelajar MATRI untuk menegakkan ibadah dalam bersukan. Terbitan Galeri Ilmu dengan harga RM25.

Terdapat banyak lagi bahan bacaan yang saya minat, tetapi jika mahu diceritakan semua, memang entry ini tidak akan habis. Selain yang telah dinyatakan, saya juga minat novel thriller English dan komik yang bermotivasi seperti karya Afiq & Nazry Salam. Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang mahu dilakukan dengan buku-buku dan novel-novel di rak saya. Hendak jual pun rasa sayang kerana kebanyakannya ada autograf penulis. Ada yang saya cuba jual di kedai ibu saya dengan harga diskaun tetapi kurang mendapat sambutan. Sesiapa ada cadangan?

p/s: Gambar-gambar di atas adalah hasil carian Google bukan milik saya.

No comments:

Post a Comment