Pages

Friday, November 7, 2014

Kenapa Saya Tak Boleh Keluar Rumah?


Saya selalu terfikir, usia yang dihabiskan oleh saya sejak kanak-kanak dan remaja tidak sama dengan kebanyakan yang lain. Semuanya bermula dengan kedua-dua ibu bapa saya. Sejak sekolah rendah, ibu saya tak pernah beri keizinan untuk saya sertai mana-mana lawatan yang dianjurkan pihak sekolah sehinggalah saya berada di tingkatan empat. Ketika rakan-rakan yang lain terhibur dan teruja dengan lawatan, saya tak diberi peluang langsung untuk mengikutinya. 

Walau macam mana sekalipun alasan yang saya beri, jangan haraplah saya akan dapat lampu hijau, begitu juga jika saya mahu keluar bersama rakan-rakan. Tambah jika ada lelaki yang turut serta. Peluang untuk keluar memang sangat tipis ketika saya di sekolah rendah. Apabila sudah menjejak kaki di sekolah menengah, barulah ibu saya beri keizinan untuk keluar, itu pun setelah melalui sesi soal jawab. Jika tak ada alasan (reunion) memang saya tak dibenarkan pergi. 

Ketika saya berada di tingkatan empat, saya belajar di SMS Kuala Selangor, jauh dari tempat tinggal kami di Kulim, Kedah. Memang jarang sekali saya berpeluang pulang ke rumah kecuali pada hari raya. Pada waktu itu, barulah ibu meletakkan kepercayaan beliau jika saya menelefon mengatakan terlibat dalam mana-mana pertandingan atau lawatan. Barulah saya aktif dalam persatuan dan pertandingan (yang setakat ini belum pernah saya menangi). Eheh. Selesai SPM, saya pernah menyatakan hasrat kepada ibu bapa saya untuk mengambil lesen motosikal, tetapi mereka melarang, terutamanya ibu saya. 

Sebagai kanak-kanak dan remaja, sudah tentulah jiwa kita akan sedikit memberontak jika apa yang kita mahu tidak kita kecapi. Saya sering tertanya-tanya, kenapa saya tidak dibenarkan pergi lawatan? Kenapa saya tidak dibenarkan keluar bersama rakan-rakan? Dan kenapa saya tidak dibenarkan mengambil lesen motosikal? Saya tidak mengerti. Saya tidak faham.

Apa yang mendorong saya untuk menulis entry ini adalah apabila saya mendapat kesedaran tentang hikmah di sebalik pantang larang yang diberikan oleh ibu bapa saya. Saya sedang berbual dengan rakan-rakan kampus. Salah seorang menunjukkan kesan-kesan lukanya akibat kemalangan, disusuli dengan seorang lagi. Mereka mula bercerita tentang kemalangan-kemalangan yang pernah mereka alami. Seorang demi seorang mula menyingkap kisah lama. Macam-macam kemalangan yang kebanyakannya melibatkan motosikal. Kemudian rakan saya mula mendesak saya pula untuk membuka cerita tentang kemalangan yang pernah saya alami.

Saya mula berfikir sejenak. Fikir dan fikir. “Tak pernah accident pun,” saya bersuara dengan selamba. Mereka memandang saya dengan pandangan hampir tidak percaya. “Takkan sekali pun tak pernah?” Saya cuba mengingat kembali, dan seingat saya memang saya tidak pernah alami sebarang kemalangan, termasuklah jatuh basikal. Seingat sayalah. Yang terbaru pun, mountain bike saya yang jatuh, bukannya saya. Pada waktu itulah saya sedar, ibu bapa saya tak bagi pergi lawatan, keluar rumah sesuka hati, ambil lesen motor, semuanya atas dasar keselamatan kami adik-beradik. They’re doing that to protect us, but we just never realize it.

Saya akui, perbuatan mereka sangat rasional. Dunia sekarang memang menjadi-jadi, tak macam zaman mereka dahulu. Sekarang ini duduk dalam rumah sendiri pun belum tentu selamat. Ibu tak bagi saya pergi lawatan, mungkin kerana beliau bimbang bas ditimpa kemalangan, atau saya sendiri yang tercedera dan sebagainya. Ibu tak izin keluar rumah bersama rakan-rakan kerana saya mungkin cuma akan membuang masa. Ibu larang ambil lesen motosikal kerana maut boleh ditempah. Paling penting, ibu tak benarkan kami bercinta kerana tak mahu kami terjerat dengan benda yang sia-sia. Saya masih ingat lagi ayat yang diutarakan beliau, “Jangan nak ada boyfriend-boyfriend, study dulu, kerja, lepas tu barulah kahwin.”

Sebenarnya, tak ada gunanya saya mempersoalkan apa yang dilarang oleh ibu bapa saya. Mereka yang melahirkan saya, sudah tentulah mereka mahukan yang terbaik untuk saya. Sama juga konsepnya jika kita persoalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Allah yang menciptakan kita, sudah tentulah Dia mahukan yang terbaik untuk kita. Nampak tak hikmah tersiratnya di situ?

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu...” Al-Baqarah 216

Dalam kehidupan manusia, kita tak akan dapat lari daripada jiwa yang memberontak terutamanya ketika berada di usia remaja. Kita mahukan hiburan, mahu mengejar dunia. Kita sanggup lawan ibu bapa dan ada yang sampai langgar perintah Tuhan. Buat apa yang Allah larang. Bukan begitu caranya. Seorang guru saya pernah berpesan, orang yang kejar dunia ni ibarat orang yang kejar kerbau/ lembu yang membawa karung emas yang banyak. Semakin dikejar, lembu tu akan semakin lari jauh daripada kita. Maksudnya, jika kita mengejar dunia, dunia akan lari daripada kita. Sebaliknya, jika kita mengejar akhirat, dunia yang akan mengejar kita. Subhanallah.

Berbalik kepada cerita saya, saya tidak lagi berasa rugi apabila tidak dapat menikmati apa yang saya mungkin terlepas. Semua benda yang jadi atau tidak jadi memang ada hikmahnya. Seriously. Alhamdulillah, berkat kesungguhan ibu bapa memelihara dan membesarkan saya, kehidupan saya selesa sehingga kini. Sekiranya saya ingkar dulu, mungkin saya sudah pun ditimpa kemalangan. Mungkin saya cedera parah. Mungkin saya diculik. Banyak kemungkinannya yang tidak terduga.

Saya tekankan, patuhi perintah Allah dan taatlah pada ibu bapa kita. Ibu bapa tahu, dan Allah yang Maha Mengetahui.

3 comments:

  1. dulu masa sekolah mak kita pun selalu tak bagi. Nak marah takut jadi anak derhaka so pujuk lah hati sendiri cakap ada hikmah kenapa mak tak bagi tu. hehe

    ReplyDelete
  2. semua ibu bapa nakkan yg terbaik utk kita kan :) sy antara yg susah nak lawan cakap mak ayah ni, bukannya tak pernah cuba. tapi setiap kali nak rebel, mesti ada je benda jadi. haha

    ReplyDelete
  3. sama la. my mum pun tak bagi anak2 dia ambil lesen motor. bahaya katanya. tapi cikfafa pun tak minat sama nak belajar naik motor. hehe

    ReplyDelete