Kedai Kopi Cinta


Pernahkah anda berkunjung ke Kedai Kopi Cinta sebelum ini? Hidangan yang disediakan di kedai kopi tersebut anda mendatangkan kepuasan kepada pengunjungnya sama ada secara sedar ataupun tidak. Pasti anda tertanya-tanya di mana lokasi kedai kopi yang saya maksudkan ini? 

Maafkan saya, tetapi kedai kopi yang saya maksudkan di sini bukanlah gerai makan atau minum kopi yang boleh dilihat dengan mata kasar manusia. Kedai Kopi Cinta, menurut saya, merupakan perbincangan ilmiah atau perkongsian kisah yang mampu menyatukan hati-hati insan. Seolah-olah, apabila dua orang atau lebih berbual-bual, wujudnya daya tarikan magnet yang melahirkan perasaan luar biasa dalam hati insan-insan tersebut. 

Kebelakangan ini kedai kopi cinta saya semakin berkembang. Beberapa hari yang lalu, saya sempat berjumpa dengan seorang rakan dari sekolah menengah yang kini sedang menuntut di salah sebuah universiti awam. Dia mengajak saya makan di sebuah kedai makan. Kami berbual panjang. Maklumlah, sudah lama tidak bertemu. Kemudian dia mula berkongsi kisah bagaimana berlakunya kejadian yang mengubah hidupnya kini sehingga menjadi lebih baik. Ya, saya juga sedar akan perubahan dirinya. Dirinya yang sekarang jauh berbeza daripada beberapa tahun yang lepas. Pemikirannya juga sudah berubah total. Pengalamannya juga lebih luas. Dia menceritakan pengalaman usrah dan tarbiah yang dilakukannya sepanjang menuntut di universiti. 

Bukan mudah sebenarnya apabila kita berada di tempat baru, dan tiba-tiba sahaja ingin membawa satu alternatif dakwah yang baru. Bukan mudah. Cabaran utama yang pasti akan dialami oleh setiap individu adalah perspektif dan pandangan serong masyarakat terhadap diri kita dan dakwah yang cuba disampaikan. Konsep yang dipegang olehnya sama seperti saya, “Perbaiki diri, sambil ajak orang lain ke arah kebenaran.” Kalau hendak tunggu diri kita sempurna, sampai bila-bila pun kita tak akan berani untuk tegur orang lain. We don’t have to be perfect to preach. Sudah lama saya merindui kedai-kedai kopi sebegini.

Hari ini juga, saya mendengar pula kisah daripada rakan yang lain tentang pengalamannya sehingga memakai tudung labuh. Ya, jujur saya kagum dengan individu-individu sebegini kerana mereka tidak gentar untuk melakukan perubahan yang drastik. Mereka berubah kerana mahu, bukan kerana malu. Tidak ada proses perubahan yang tidak mendapat dugaan. Saya jadi lagi kagum kerana dia mampu untuk mengharungi dugaan dengan tabah. Apa pun kita perlu sentiasa beringat, dugaan ni akan sentiasa hadir sepanjang masa. Just smile and keep moving ahead. 

Kedai Kopi Cinta yang kita bina, bukannya sebarang kedai kopi biasa. Kedai kopi ini penuh dengan makna. Penuh warna. Kalau perbincangan itu tidak membawa kita selangkah mendekati Tuhan, itu bukan Kedai Kopi Cinta tetapi kedai kopi biasa sahaja. Ah, betapa banyaknya kedai kopi kosong yang telah dibuka oleh saya selama ini tanpa disedari. 

Hendak memulakan perbincangan ilmiah ni bukannya susah. Masalahnya, apabila kita sudah terbiasa membincangkan duniawi dengan manusia, kita tak akan dapat lari daripada topik tersebut. Kita sudah terbiasa membincangkan isu semasa, artis, rancangan hiburan, cinta, jodoh, sehingga kita lupa tujuan sebenar hidup, iaitu untuk memaknakan diri kepada Allah Taala. Walaupun susah, we need to have a shot at it. Sekali sekala, cubalah selitkan dulu isu-isu keagamaan dengan rakan-rakan. Nanti lama-kelamaan, insyaAllah kita akan dapat membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. That’s what I’m trying to do right now. Tak menariklah hidup jika asyik bincang perkara-perkara lagha, bukan?

Nota kaki: Semua orang buat salah. Semua orang boleh berubah. Tapi tak semua yang pilih untuk berubah. 

Comments

  1. Perkara baru untuk IM. Kedai kopi cinta. Menarik :)

    ReplyDelete

Post a Comment