Pages

Saturday, August 16, 2014

Melawat ke Raudhatus Sakinah


Pagi tadi saya berkesempatan untuk mengikuti lawatan bersama Pertubuhan Mekar Budi Kulim ke Raudhatus Sakinah yang menempatkan remaja bermasalah di Relau.  Saya ingin berkongsi kisah di blog ini, bukannya dengan niat mengaibkan mana-mana pihak tetapi sekadar ingin menjadikan iktibar dan pengajaran buat diri sendiri dan juga para pembaca. Sama-sama kita ambil ibrah. Remaja perempuan di situ berusia sekitar 16-22 tahun jika tak salah saya.

Masuk sahaja ke dalam rumah tersebut, saya melihat seorang bayi yang baru 16 hari dilahirkan. Ibunya berusia 19 tahun dan sedang duduk di sebelah bayi lelaki itu. Alhamdulillah dia masih sudi menjaga dan merawat anaknya kerana segelintir remaja selalunya tidak mahu melihat muka anak yang dilahirkan. Dia menamakan bayi itu Muhammad al-Fateh. Subhanallah, nama yang sungguh berkarisma. Mudah-mudahan bayi yang dilahirkan itu mampu mewarisi semangat perjuangan Al-Fateh ketika memimpin negara dan berjuang membebaskan Kota Konstantinopel. 

Selain daripada ibu remaja tadi, masih ada dua orang yang sedang hamil menunggu masa untuk melahirkan. Katanya, ayah bayi tidak mahu bertanggungjawab. Mungkin malu memikirkan maruah keluarga dan sebagainya. Entahlah.

Wajah-wajah penghuni Raudhatus Sakinah suci, langsung tidak menunjukkan bahawa mereka pernah menjadi golongan remaja yang bermasalah dulu. Mungkin ini semua merupakan hasil didikan dan tarbiah yang diterima sepanjang ditempatkan di situ. Saya kagum tatkala mendengar rutin harian mereka yang bangun seawal 4 pagi untuk menunaikan Qiamullail. Aktiviti harian akan dipenuhi dengan tadarus al-Quran dan kerja-kerja bermanfaat yang lain. Saya bertambah teruja mendengar pada bulan Ramadan yang lalu, mereka sudah mengkhatamkan al-Quran sebanyak empat kali! Masya Allah. Mereka sungguh beruntung mendapatkan tarbiah yang sedemikian rupa.

Warden atau pengurus di situ berkongsi pelbagai cerita dengan kami. Ada penghuni rumah itu yang melarikan diri dengan teman lelaki kerana tidak sanggup berlama-lamaan di situ. Ada yang sudah keluar, tetapi akhirnya kembali dengan perangai lama mereka. Antara kes yang sangat menyedihkan tentang kanak-kanak 12 tahun yang menghamilkan seorang remaja 16 tahun. Astaghfirullah.

Bayangkan, usia yang belum pun menginjak ke zaman remaja sudah dimusnahkan begitu sahaja. Padahal jika difikir-fikirkan, masih jauh dan luas lagi perjalanan yang boleh ditempuhi olehnya. Kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke situ tidak sudi pun untuk memandang mereka. Kadang, tangisan yang akan mengiringi wajah ibu bapa yang hadir untuk berjumpa dengan pengurus. Secara peribadi, saya sendiri tak sanggup untuk melihat ibu bapa saya menangis mengenangkan masa depan saya.

Mereka yang menghuni Raudhatus Sakinah ni bukannya tak ada future. Semua orang pernah, sedang dan akan buat salah dalam hidup masing-masing. Tak ada yang bersifat maksum melainkan Nabi. Mungkin faktor persekitaran atau didikan yang menyebabkan kita menjadi siapa diri kita pada hari ini.

Saya pernah bersekolah di tiga buah sekolah menengah yang berbeza latar belakang. Sekolah pertama, sekolah kluster yang terdiri daripada pelajar pandai, tetapi ada yang jelas tentang masa hadapan mereka dan ada yang masih kabur. Sekolah kedua, sekolah berprestasi tinggi. Pelajar di sekolah ini walaupun berbeza perangai, tetapi saya boleh melihat hampir kesemuanya punya matlamat dan cita-cita yang tinggi dan jelas. Mereka mampu berfikir jauh dan berusaha untuk menggapai masa depan masing-masing. Sekolah ketiga pula, pelajar-pelajarnya memang mempunyai latar belakang yang jauh berbeza. Ada yang punya cita-cita tinggi, tetapi majoriti yang pernah saya soal cuma mahu bekerja sahaja.

Pokok pangkalnya saya pernah jumpa remaja yang tinggi wawasan sampailah remaja yang tak ada wawasan. Semuanya bergantung pada persekitaran kehidupan mereka. You see, tak ada siapa pun yang pilih untuk jadi bermasalah. Bagi saya semua orang sebenarnya layak untuk dapatkan masa depan yang cerah termasuklah remaja-remaja di Raudhatus Sakinah ini. Saya tak tipu. Mereka memang ada cita-cita tersendiri.

Ada yang minat memasak, menjahit dan kemahiran-kemahiran yang lain. Apabila kami menawarkan bantuan daripada segi kemahiran, mereka menjadi teruja dan bersemangat. Tatkala ditanya tentang menulis, lagi ramai yang mengangkat tangan. Mereka sangat berminat untuk menceburkan diri dalam dunia penulisan. Saya pun duduk dalam satu kelompok remaja (kebanyakannya lagi tua daripada saya) dan berkongsi tips penulisan.

Saya menceritakan serba-sedikit proses menulis, menghantar proposal sehinggalah ke proses editing. Pelbagai soalan yang diajukan kepada saya. Saya cuba menjawab satu per satu dan mendorong mereka untuk menulis. Insya Allah, sekiranya saya berkesempatan dalam masa yang terdekat saya akan ke sana lagi untuk memberikan bimbingan khusus kepada mereka dalam bidang penulisan.

Apabila mereka menunjukkan minat yang mendalam, sudah tentulah kita akan jadi lagi bersemangat untuk mencurahkan ilmu di dada. Saya memang suka orang yang bertanya soalan kerana mereka ingin tahu. Saya sempat menitipkan nombor telefon saya agar lebih mudah dihubungi. Kami meluangkan masa bersama-sama menjamah hidangan hari raya. Terpampang pada wajah mereka kegembiraan menyambut orang luar.

Sebelum mengundur diri, mereka sempat berpesan untuk datang lagi ke Raudhatus Sakinah. InsyaAllah, saya pasti akan ke sana lagi. Selagi boleh berbakti, kita berbakti. In my personal opinion, memanglah susah nak tangani remaja bermasalah. Saya dah cukup bersyukur dengan didikan yang diperoleh. Itu pun masih banyak yang perlu saya pelajari lagi. 

Walau macam mana nakal atau jahat pun remaja, kita kena sentiasa usaha untuk membantu mereka. Tak kisahlah pendekatan yang lembut, kasar, bergantung pada kes masing-masing. Satu perkara yang paling penting ialah jangan berputus asa dengan mereka. Kita kena tunjuk yang kita masih lagi peduli tentang kebajikan mereka. InsyaAllah dengan berkat usaha kita, sekeras mana pun hati manusia pasti akan dapat dilembutkan. Just never give up. 

No comments:

Post a Comment