Gendang Gendut Tali Kecapi, Kenyang Perut Suka Hati

Carian Google

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Itulah pantun dua kerat pertama yang saya pelajari ketika berusia tujuh tahun, bersamaan darjah satu. Pantun yang diajar oleh guru Bahasa Melayu saya, Cikgu Asmah binti Abu Bakar. Beliau mengajar kami untuk menulis pantun itu berkali-kali di dalam buku tulisan berangkai menyebabkan saya masih terkenang-kenang pantun ini. Maksudnya apabila perut kita sudah kenyang, maka senanglah hati kita.

Tulisan saya malam ini sebenarnya tidak ada kena-mengena pun dengan perut dan kekenyangan. Lebih kepada betapa pentingnya kehadiran seorang guru yang mampu mengubah kehidupan kita daripada pelbagai sudut.

Sejak sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah, terutamanya ketika berada di tingkatan empat dan lima, boleh dikatakan saya banyak meluangkan masa di sekolah bersama rakan-rakan dan guru. Sejak dulu lagi saya lebih rapat dengan guru-guru yang mengajar subjek bahasa, sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris kerana saya paling minat kedua-dua subjek ini.

Pada peringkat awal, saya cuma menganggap guru ini sebagai ‘penjaga’ sahaja ketika saya berada di sekolah. Apabila tiba waktu untuk pulang, maka lepaslah tanggungjawab guru-guru untuk menjaga saya di sekolah. Ternyata saya silap. Tanggungjawab mereka bukan sekadar di situ sahaja, bahkan jauh lebih banyak. Tak salah sebenarnya kita membodek guru, dengan tujuan untuk merapatkan kemesraan dengan mereka. Biarlah apa orang nak cakap, kita kaki ampu atau kaki bodek, yang penting bila kita sudah rapat dengan mana-mana cikgu, lebih senang untuk bertanya soalan dan berkongsi masalah.

Kalau kita kenal seorang guru itu dengan mendalam, kita akan mendapati kebanyakan guru sebenarnya sangat mengambil berat akan kebajikan anak-anak muridnya. Banyak sangat yang sanggup mereka korbankan, semata-mata untuk pastikan kita berjaya dengan cemerlang bukan sahaja daripada segi akademik bahkan spiritual.

Carian Google

Kalau kita menyertai mana-mana kelab, persatuan atau organisasi, itu sebenarnya merupakan satu bonus kepada kita untuk mendekatkan diri dengan guru. Sampai satu tahap itu saya rasa seolah-olah guru dan rakan-rakan ibarat keluarga kedua saya berdasarkan cara layanan mereka terhadap saya yang begitu baik.  Sewaktu di tingkatan empat, saya masuk sekolah berasrama penuh di Kuala Selangor. Asalnya rumah saya di Kedah. Selama dua tahun saya jarang pulang ke rumah di Kedah dan banyak menghabiskan masa di asrama dan sekolah. Sudah tentulah, kehidupan di tempat yang jauh mendatangkan banyak cabaran buat diri saya. Saya tahu, saya perlu mencari orang yang arif dan matang untuk membantu saya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.

Alhamdulillah, saya bolehlah juga dikatakan rapat dengan beberapa orang guru di sekolah dan kepada mereka saya banyak adukan nasib dan mencurah perasaan. Respons yang saya terima daripada mereka berbentuk nasihat dan kata-kata semangat yang positif, bahkan lebih daripada yang diharapkan.

Selepas tamat SPM, saya menghabiskan masa cuti di rumah. Berbulan-bulan lamanya, saya cuba mencari pelbagai alternatif untuk memanfaatkan masa yang ada. Saya cuba membaca buku dan mencari rujukan di internet untuk menambah ilmu tetapi semua usaha itu masih kadangkala terasa kosong. Saat itu saya sedar betapa pentingnya kehadiran seorang guru di dalam hidup ini. Ibu bapa pun guru juga di rumah, tetapi sudah tentulah mereka lebih banyak fokus dalam urusan kebajikan keluarga berbanding mengajar kita dalam subjek-subjek tertentu.

Saya pernah cuba untuk menambah ilmu dalam bidang agama melalui pembacaan di internet, namun susah sebenarnya. Belum tentu apa yang dibaca itu sahih dan jika ada yang tidak difahami, kita tiada sesiapa untuk bertanya soalan. Sebab itulah saya hendak tekankan betapa pentingnya untuk kita semua berguru.

Guru, pada saya bukanlah hanya seorang yang mengajar di dalam kelas untuk subjek-subjek yang tertentu. Guru adalah individu yang boleh multi-tasking, iaitu banyak benda dalam satu masa. Mengajar, membimbing, mendengar dan menyelesaikan masalah, menjadi pendorong seterusnya inspirasi kepada anak-anak muridnya. Bahkan dalam masa yang sama boleh juga berdakwah. Guru adalah karier yang paling saya tabik berbanding karier yang lain.

Meskipun begitu, saya tidak pula menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang guru. Eheh. Bahkan saya tidak membuat permohonan IPG seperti kebanyakan rakan yang lain. Bukannya saya memperlekehkan karier guru, kerana seperti yang saya beritahu sebentar tadi saya sangat menyanjung tinggi karier menjadi guru. Cuma saya ada cita-cita yang lain, tidak bersangkutan dengan guru tetapi insya Allah boleh juga mengajar dan mendidik masyarakat melalui cara yang tersendiri.

Walau apa pun jawatan dan pangkat kita, semua orang tak boleh nafikan yang mereka juga bermula daripada menerima pendidikan daripada guru. Peguam yang hebat, doktor yang berjaya, jurutera yang mahir, atlet yang handal, semuanya tidak akan tercapai tanpa bantuan guru.

Janganlah pula anda hairan kenapa saya menulis tentang guru, padahal Hari Guru sudah lepas. Saya sebenarnya teringat akan pantun ‘gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati’ itu dan mula terfikir kenapa saya mampu mengingatinya sehingga sekarang. Ini belum lagi saya kongsikan kisah panjang bagaimana guru-guru membantu saya sepanjang persekolahan. Eheh.

Sesungguhnya, mendidik itu suatu amalan yang terpuji, dan tidak akan membuatkan kita rugi.

Sesungguhnya Allah Taala tidak mencabut ilmu dengan menghilangkan ilmu daripada manusia akan tetapi Allah Taala mencabut ilmu dengan mematikan para ulama. – Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi

p/s: Menulis sambil melayan lagu Opick.

Comments

  1. yaya masa sekola dulu memang suka rapat dengan cikgu2 . sb rasa lebih erat n sometimes cikgu2 yg yaya rapat tu sembang2 dgn yaya dahh mcm kawan2 dah . hehehe . rindu nyaaa msa sekolah :')

    ReplyDelete
    Replies
    1. cikgu boleh jadi guru, ibu bapa dan kawan dalam masa yang sama ^^

      Delete

Post a Comment