Pages

Saturday, May 3, 2014

Senang ke nak percayakan seseorang?







Soalan yang ringkas tetapi mendalam maknanya. Bagi saya kepercayaan ni amanah. Kadang senang kita bagi amanah kepada orang tetapi kadang fikir banyak kali pun kita masih ragu-ragu untuk serahkan amanah kepadanya. Namun jika saya sudah mempercayai seseorang tetapi dia menghancurkan kepercayaan itu, sudah pastilah sukar untuk mempercayainya lagi.

Saya menjawab pertanyaan pertama dulu. Stranger. Orang asing. Bergantung pada takrif asing itu sendiri. Ada orang asing di dunia realiti dan ada juga orang asing di dunia maya. Maklumlah zaman sekarang semua orang sedang bernafas di dalam dua alam. 

Orang asing di dunia realiti, sudah tentulah sukar untuk saya taruhkan kepercayaan kepadanya kerana tidak mengetahui latar belakang hidupnya. Tetapi orang asing di dunia maya, mungkin lebih senang untuk saya percaya berbanding orang asing di dunia realiti.

Sebabnya walaupun saya tidak pernah berjumpa dengannya, saya boleh menyelidiki latar belakangnya serba sedikit melalui apa yang dikongsikannya di laman sosial. Kita boleh meninjau gambar keluarga dan kisah hidupnya. Walaupun ramai yang berkata jangan menilai orang berdasarkan apa yang ditulisnya di alam maya, saya berpendapat yang lain. 

Seorang rakan saya Aida Asyiqin pernah berpesan, walau serapat mana pun kita dengan seseorang itu, kita tetap tidak akan dapat mengenalinya 100%. Jadi sama ada di dunia realiti atau maya, semua orang tetap kita tidak akan kenal sepenuhnya. Saya mungkin akan lebih senang percayakan stranger di alam maya berbanding stranger alam realiti.

Bagaimana pula dengan kenalan rapat? Untuk menjadi kenalan rapat pun sudah memakan proses yang lama. Jadi sepanjang proses untuk menjadi rapat itu, sudah tentulah saya akan dapat mengenali isi budi hatinya. Saya akan mempercayainya apabila seseorang itu menjadi kenalan rapat saya. Apa pun saya tetap berpegang pada pesanan Aida Asyiqin tadi dan meletakkan peratusan kepercayaan sama dengan peratusan kenalan. Dah macam ahli psikologi pula jawapan saya ini. 

Berbeza dengan stranger, saya mungkin akan lebih percayakan kenalan rapat alam realiti berbanding kenalan rapat alam maya. Semuanya bergantung pada sejauh mana kita mengenali peribadi seseorang itu.

Kepercayaan ni senang nak bagi, tapi sukar hendak dibentuk semula apabila sudah retak. Tetapi saya percaya setiap orang layak mendapat peluang kedua. Dan mungkin saya akan berikan sekali lagi kepercayaan padanya. Apabila kepercayaan itu retak sekali lagi, mungkin pada masa itu sudah sukar untuk saya percayakannya lagi.

Jadi itulah jawapan saya. Senang saya percayakan seseorang jika saya mengenalinya.

Pesanan saya kepada semua yang membaca, stranger boleh bertukar menjadi kenalan rapat, tetapi jangan lupa kenalan rapat juga boleh bertukar menjadi stranger.

2 comments: