Sayang atau...

Copied from Facebook

Setiap orang akan ada benda yang disayanginya. Sejak kecil sehinggalah dewasa kini, macam-macam benda yang kita sayang. Benda yang paling saya sayang waktu kecil dulu adalah anak patung saya. Mungkin ingatan saya ketika kecil tidak berapa kuat tetapi apabila melihat kebanyakan gambar saya bersama anak patung itu, saya tahu betapa berharganya anak patung tersebut pada saya. Tetapi lama-kelaman, rasa minat dan sayang pada anak patung itu mulai pudar dan kalau tak salah saya anak patung itu diserahkan kepada jiran.

Ketika di sekolah rendah pula, saya memang aktif menabung. Apabila ayah berikan duit belanja, saya akan menyimpan siap-siap sebahagian duit di dalam tabung. Saya sangat sayang pada duit tabungan saya. Setiap kali berjalan, sebahagian hasil tabungan akan dibawa di dalam dompet untuk belanja beli rantai kunci atau souvenir untuk rakan-rakan. 

Ketika singgah di sebuah RNR, hendak dipendekkan cerita, saya tertinggal dompet dan duit yang berjumlah sekitar RM15 di dalam tandas. Bila sudah keluar, barulah teringat. Cemas bukan main saya sambil berlari balik mencari dompet yang hilang. Namun apa yang saya dapati, dompet itu sudah tiada di situ lagi. Betapa hampanya saya sebagai seorang anak kecil ketika itu. Eheh.

Ketika saya berada di darjah enam pula, ibu saya menghadiahkan saya kamera video yang berharga kurang dari RM 500 sebagai hadiah 5A UPSR. Jenama Sony. Sejak mendapat kamera video itu, memang sudah sekali untuk saya berenggang daripadanya. Pergi ke mana-mana, hobi saya memang suka merakam, sehinggalah sekarang. Pada waktu itu saya sedar yang saya sangat menyayangi kamera video itu. Tetapi maklumlah setiap benda ada jangka hayatnya masing-masing. Kalau tak hilang, pasti akan rosak. Kamera video saya itu akhirnya rosak dan tidak digunakan lagi.

Tingkatan empat, saya membeli pula sebuah kamera digital Nikon berwarna merah menggunakan duit sendiri. Bangga bukan main dapat beli kamera. Sayang sungguh saya pada kamera itu sehingga nak mengabdikan setiap momen dengan kamera. Tetapi dengan takdir Allah, kamera itu terhilang. Pada mulanya memanglah frust. Ya lah, benda dibeli dengan duit sendiri. Sayang. Tiba-tiba hilang. 

Tetapi lama-kelamaan saya sudah boleh menerima kenyataan bahawa benda yang hilang itu sukar untuk ditemui kembali. Ketika saya sudah boleh menerima hakikat itu, saya mendapat sebuah kamera digital. Mungkin bukan kamera yang sama, tetapi fungsinya serupa. Lepas tu terus gembira balik.

Semakin banyak benda yang saya sayang, semakin banyak juga benda yang saya hilang. Bila situasi yang sama kerap berulang, kini saya sedar bahawa perasaan sayang pada harta benda itu bukanlah suatu yang kekal pun. Bahkan mungkin bukan perasaan sayang, tetapi cuma minat terhadap benda. 

Sebab itulah perasaan minat boleh pudar dan dilupakan. Belajar menerima kehilangan benda yang bersifat sementara. Sama macam perasaan minat pada manusia, sesuatu yang cuma bersifat sementara.

Waktu zaman awal-awal remaja dulu, tipulah kalau tak ada orang yang kita minat. Mungkin minat atas dasar rupanya, minat atas dasar akhlaknya. Biasalah orang muda. Tapi perasaan minat tu akan beransur hilang begitu sahaja. Sama macam segelintir remaja yang couple. Tak kekal lama. Sebab semua perasaan yang hadir itu, cumalah perasaan minat.

Bagi saya, perasaan sayang itu adalah sesuatu yang mahal. Sayang tidak akan hadir dengan minat. Kalau saya minat anak patung, tak semestinya saya sayangkan anak patung itu. Buktinya, anak patung saya diserahkan pada orang lain. 

Sayang ni banyak definisinya tetapi umumnya akan hadir atas dasar kita terlalu menghargai sesuatu dan timbul rasa tak sanggup untuk kehilangannya. Selalunya sayang pada sesuatu yang bernyawa. Haiwan peliharaan. Atau keluarga. Melibatkan interaksi antara jiwa. Itulah sayang yang sebenar-benarnya.

Cuma sehingga kini, masih ada sesuatu yang perlu kita tanya pada diri masing-masing. Kita mungkin sudah banyak minat pada benda, sayang pada manusia, tapi adakah kita sayang pada Tuhan? Rasa menghargai segala yang diberikanNya dan tak sanggup untuk berpisah dengan Tuhan. Buat saya, itulah sebenar-benar sayang yang perlu dicari sampai mati.

Comments