Pages

Wednesday, May 28, 2014

Dan Anda Kata Malaysia Negara Aman?!



Assalamualaikum. Wah, gaya tajuk macam Nurina sedang marah pula. Eheh.

Google

Alhamdulillah, tak dapat dinafikan Malaysia merupakan sebuah negara yang aman damai, tidak berlakunya sebarang pertumpahan darah mahupun pergelutan politik yang dahsyat seperti negara-negara jiran yang lain. Sekarang ini kerajaan telah menasihatkan sesiapa yang berniat untuk ke negara Thailand agar menangguhkan hasrat masing-masing buat sementara waktu. Kenapa? 

Kalau kita berada di sana, kita terpaksa berwaspada dua puluh empat jam dan berhati-hati dengan letupan bom yang mungkin berlaku di mana-mana sahaja. Sebegitu dahsyatnya sekali kondisi di negara itu. Berbeza sekali dengan negara kita. Tak perlu bimbang tentang letupan bom, tentera zionis, gas beracun, tembakan rambang dan sebagainya. Tetapi semua ini masih belum boleh menjanjikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman sebenarnya.

Baru-baru ini kita dikejutkan lagi dengan berita dua pelajar tingkatan tiga dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki. Masha Allah! Tiga puluh lapan. Bukan angka yang sedikit. Terkejut saya mendengar berita ini. Rakan lelaki mereka pula dipaksa untuk menyaksikan semua perbuatan terkutuk itu. Bayangkan bagaimana penderaan secara fizikal dan emosi itu akan mengganggu gugat jiwa mangsa yang mengalaminya. Mungkin sampai bila-bila pun mereka terpaksa hidup dalam keadaan yang trauma dan jiwa yang tertekan. Tetapi kita doakan yang terbaik ya buat mangsa agar mereka kuat.

Itu kes yang terbaru. Boleh dikatakan banyak lagi kes yang kita dengar setiap hari melibatkan perkara-perkara yang menakutkan. Penculikan, pembunuhan, rompakan, tembakan, penderaan dan banyak lagi. Saya pasti fail-fail milik pihak polis sudah bertimbun-timbun dengan pelbagai jenis jenayah. Bahkan, kejadian seperti itu pun pernah menimpa keluarga saya sendiri. Tetapi kes kami tidak pernah selesai sehingga sekarang kerana saya pasti kebanyakan rakyat negara kita begitu pintar dalam mencari dan menyelesaikan masalah yang mereka timbulkan sendiri. 

Kes jenayah negara kita terbahagi kepada dua. Jenayah kolar biru lebih banyak memerlukan tenaga. Jenayah kolar putih ni senang sedikit, duduk rumah pun sudah boleh godam data privasi orang lain. Nampak tak? Bukan di jalan sahaja rakyat gusar, malahan dalam alam maya atau teknologi pun boleh menjadi ancaman kepada kita. 

Mungkin Malaysia negara yang aman daripada aspek politik. Tetapi Malaysia boleh dikatakan belum aman daripada rakyatnya sendiri yang sanggup melakukan kegiatan jenayah semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Beginikah yang dikatakan amannya Malaysia? Perasaan iri, hasad, dan tamak semakin menular dalam diri kita. Jadi bagaimana untuk kita sama-sama berusaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, bukan pada pandangan kasar semata?

Google

"Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada." (Surah Al-Hajj : Ayat 46)

Ayat ini adalah salah satu daripada ayat al-Quran yang patut dijadikan pegangan di dalam kehidupan kita pada ketika ini. Ayat di atas yang ditulis pada 1400 tahun dahulu amat tepat menunjukkan senario yang berlaku pada hari ini. Golongan yang buta hatinya takut untuk hidup susah, takut hilang jawatan, pangkat, rumah kediaman dan berkehendakkan yang duniawi. Sebab itulah mereka sampai sanggup untuk merogol dan berbunuhan. 

Apabila seseorang itu telah membutakan hatinya, sendiri, susahlah untuk dia melihat yang mana betul dan yang mana salah. Beza ya dengan orang yang celik hati. Beza. Orang yang celik hati akan melihat semua benda daripada sudut yang positif, sudut yang mendekatkan dirinya pada Allah S.W.T., sebab mereka yakin segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ni milik Allah. Jadi kita renung-renungkanlah diri masing-masing, sama ada kita golongan yang buta hatinya, celik hatinya atau golongan yang tengah-tengah. Eheh.

Cara utama nak hentikan jenayah, adalah menyucikan hati-hati kita terlebih dahulu. Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang pernah terfikir untuk melakukan jenayah, sama ada jenayah kecil atau besar. Mungkinlah. Tetapi rasanya tak ada.

Google

Jadi sebelum kita hendak mengerjakan jenayah itu, fikirlah dahulu impak yang kita akan berikan kepada mangsa dan juga keluarga mangsa. Bagaimana kita tidak mahu kejadian itu berlaku ke atas diri kita, begitu jugalah mereka tidak mahu kejadian tersebut menimpa diri mereka. Kalau anda masih mempunyai perasaan, gunakanlah perasaan itu dengan sebaik mungkin. Fikir tentang dosa. Nak buat jenayah, sama macam nak buat dosa. Yalah, mana ada jenayah yang mendatangkan pahala. Jenayah curi hati orang pun boleh mengundang dosa dalam sesetengah keadaan.

Bagi menghentikan kegiatan penjenayah mungkin agak susah, jadi sebagai masyarakat kita laksanakanlah tanggungjawab untuk membendung jenayah daripada berlaku. Ibu bapa, ketatkan pengawasan terhadap anak-anak. Ibu bapa saya sendiri pun tidak akan benarkan saya keluar sesuka hati, walaupun bertujuan untuk reunion dan sebagainya. Ibu saya akan tanya macam-macam soalan sebelum membenarkan saya pergi.

Kadang, remaja yang suka berjalan dengan rakan-rakan inilah antara kelompok yang menjadi sasaran utama kes jenayah. Pergaulan dengan rakan-rakan pun perlu diambil serius. Tak perlulah rasanya kita keluar dengan rakan yang tidak kita kenali. Sebab kebanyakan kes yang saya baca dalam akhbar berpunca daripada mengikuti rakan-rakan keluar.

Pokok-pangkalnya, saya sarankan semua orang, termasuk diri kita untuk berhati-hati kerana negara kita belum aman sepenuhnya daripada cengkaman penjahat. Berfikir dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan kerana masa depan kita bergantung kepada apa yang kita rancang pada saat ini. Moga Allah pelihara hati-hati kita daripada kelalaian duniawi dan menjadi mangsa kepada pencinta duniawi. 

2 comments: