Cerpen: Lima Permintaan Part 2




Part 2

Hari kedua program. Shauki berdiri tegak di hadapan semua peserta. Dia sudah tidak sabar lagi mahu mengumumkan tugasan mereka yang seterusnya.

“Baiklah. Semalam banyak yang sudah kita pelajari tentang kepimpinan dan semangat berpasukan. Ketahuilah, sesungguhnya semangat begitulah yang digunakan tentera perang dan para sahabat nabi dalam setiap peperangan sehingga berjaya menewaskan pihak musuh. Kalau tidak ada semangat nak patuhi arahan, semangat kerjasama, susahlah kamu semua nak siapkan tapak untuk khemah masing-masing. Hari ini, kita ada tugasan istimewa untuk anda semua.”

“Tugasan apa, Abang Shauki?” seorang peserta lelaki yang mempunyai tahi lalat di dagunya menyoal.  “Hari ini kita semua akan menangkap ikan keli!” Mendengar sahaja ayat itu, ada peserta yang kelihatan geli dan ada pula yang sudah tidak sabar lagi.

Shauki meneruskan penerangannya. “Ikan keli yang anda tangkap itu semua akan dimasak oleh anda sendiri. Jadi kepada yang tidak tahu menyiang ikan, bolehlah bertanya kepada kakak-kakak fasilitator. Abang Shauki pun tidak tahu nak siang ikan sebenarnya. Nasi pula perlu dimasak di dalam buluh yang disediakan. Kita akan bergilir sesi. Sesi pertama peserta perempuan dulu masuk ke dalam kolam ikan keli dan tangkap ikan sebanyak mungkin. Peserta lelaki kena sediakan api dan potong buluh. Kemudian kumpulan lelaki pula tangkap ikan keli dan peserta perempuan tolong masak.”

Maka aktiviti mereka pun bermula. Peserta perempuan menuju ke kolam ikan keli yang telah dibuang sengatnya manakala peserta lelaki menyiapkan peralatan dan bahan untuk memasak. Setelah dua jam yang agak mencabar diselangi perasaan geli menangkap ikan keli, akhirnya hidangan tengah hari mereka berjaya disiapkan. Kesemua fasilitator dan peserta berkumpul di bawah khemah utama untuk makan bersama.

“Kak Balqis, siapa lagi yang kita tunggu? Kenapa belum boleh makan lagi?” soal Aina tatkala melihat semua orang tidak dibenarkan menyentuh lagi makanan masing-masing. Balqis menggeleng kepala, tidak pasti. “Mungkin itu orang yang kita tunggu,” Balqis menunjuk ke arah seseorang. Aina menoleh ke sebelah kanan, memerhatikan kemunculan figura seorang nenek yang mungkin berusia dalam lingkungan 80 tahun. Wajahnya dipenuhi dengan garisan penuaan dan badannya bongkok. Tangan kanannya menggenggam sebatang tongkat kayu. Mata tuanya hampir sahaja terpejam. Aina sendiri tidak dapat memastikan sama ada nenek itu boleh melihat atau tidak.


Iskandar Arif menghampiri wanita tua itu dan memperkenalkan dirinya sebagai Nek Ida. “Nek Ida tinggal dekat dengan kawasan kita ni, jadi Abang Is menjemput Nek Ida untuk menjadi juri hidangan ikan keli kita hari ini. Nek Ida yang akan menentukan markah untuk kumpulan masing-masing,” bicaranya penuh semangat. Itulah kejutan yang dibawa oleh Iskandar hari itu. Nek Ida menyertai para peserta program makan tengah hari bersama dan membuat penilaian berdasarkan lidahnya yang sudah sebati dengan masakan ikan keli.

Ketika itu, hujan mulai turun perlahan-lahan, semakin-lama pula semakin rancak. Semua peserta tidak dibenarkan untuk meninggalkan khemah utama. Khemah itu cukup untuk melindungi semua orang daripada terkena hujan. “Nampaknya Nek Ida terpaksalah tunggu dengan kami semua sehingga hujan reda,” ujar Rafiuddin yang masih menikmati ikan keli masakan peserta kumpulannya. Nek Ida tersenyum manis. Senyuman orang tua yang tidak pernah tua. Nek Ida mengambil kesempatan itu untuk berkongsi pelbagai kisah dan nasihat kepada beberapa peserta yang duduk berhampiran dengannya termasuklah Rafiuddin dan Zikri.

Shauki yang baru selesai makan mendapatkan Iskandar. “Is, petang nanti kan rancangannya kita nak berjalan ke masjid besar di hujung kampung tu. Tapi dengan hujan lebat macam ini, lebih baik rancangan kita dibatalkan. Kita tukar rancangan lain untuk budak-budak ni.”

Iskandar mengangguk. “Betul juga. Takut nanti pihak masjid susah-susah buat persiapan untuk burdah tapi kita semua tak dapat nak pergi.”

“Lebih baik kau hubungi mereka,” saran Shauki lagi. Iskandar mengangguk, kemudiannya menepuk dahinya sendiri. Dia terlupa telefon bimbitnya tertinggal di bilik fasilitator. Tetapi keadaan di khemah itu sudah sesak dengan semua peserta. Mahu tidak mahu, dia terpaksa mencari ruang. Apabila hendak melintas sahaja di hadapan Nek Ida, lelaki itu serta merta teringatkan sesuatu.

“Setiap kali kau berjalan, kau kena jalan tegak sahaja. Tak boleh bongkok. Barulah akan menyerlahkan kaliber diri kau.” Itulah pesan Balqis. Iskandar mengerut dahi. Dia sudah terbiasa membongkok di hadapan orang tua. Memang itulah adab yang telah diajar oleh ibu bapanya sejak dia kecil lagi. Iskandar memerhatikan sekeliling. Entah bagaimana, dia perasan Balqis sedang melirik ke arah dirinya. Mahu jalan tegak, atau bongkok? Remaja yang duduk berhampiran Nek Ida juga sudah beralih perhatian kepada dirinya. Pada saat itulah baru dia terfikir permintaan-permintaan Balqis sudah bertukar menjadi permintaan yang tidak logik.

Akhirnya, Iskandar terpaksa mengalah. Dia berjalan bongkok melintasi Nek Ida untuk menunjukkan rasa hormatnya. Lelaki itu meredah hujan lebat untuk mengambil telefon bimbitnya.

***

“Balqis, dah azan Zuhur tu. Jomlah kita ambil wuduk,” ajak Liyana yang baru selesai melihat gambar-gambar peserta sepanjang tiga hari yang lepas. Kamera DSLR miliknya itu kemudian disimpan kembali di dalam beg. Sedar tidak sedar, cuma tinggal hari ini dan esok sahaja untuk mereka menjalankan aktiviti bersama para pelajar tingkatan empat di situ.

“Tak apalah Liyana. Saya cuti, tak solat. Awak pergilah,” Balqis mencari-cari sesuatu di dalam beg tangannya. Tatkala Liyana sudah beredar, wanita itu mengeluarkan telefon bimbitnya dan sehelai kertas. Balqis memasukkan nombor telefon yang tercatat di atas kertas itu ke dalam telefon bimbitnya dan menghantar satu mesej kepada pemilik nombor tersebut. Lima minit menunggu masih tiada balasan. Sepuluh minit pun masih tiada jawapan. Minit yang kelima belas barulah pesanannya itu dibalas.

Assalamualaikum. Ini nombor saya, Balqis.’

‘Waalaikumussalam. Ya Balqis, tiba-tiba aje ni. Rindu ke?’

‘Kau lambat balas mesej aku?’

‘Tadi aku solatlah. Ada apa sebenarnya, wahai Nurul Balqis?’

Balqis tidak membalas mesej itu. Otaknya sedang rancak memikirkan sesuatu. Tempoh hari, Iskandar tidak berjaya untuk berjalan tegak sepanjang masa seperti permintaannya. Hari ini pula, Iskandar juga tidak berjaya membalas mesejnya dengan pantas.

“Liyana, Balqis, Aisyah, jom pergi berkumpul. Sekejap lagi kita akan mulakan explorace pula,” ajak Maisara sambil membetulkan tudungnya di cermin.

Explorace merupakan aktiviti terakhir mereka dan selebihnya hanya ceramah dan kata-kata semangat yang akan diberikan kepada para peserta. Keempat-empat wanita itu bergerak sekali, tidak mahu melepaskan keseronakan mengawasi para peserta menjalankan aktiviti. Setiap fasilitator ditempatkan di lokasi yang berbeza. Kawasan perkhemahan yang luas itu merupakan lokasi yang sangat tepat untuk menyembunyikan barang.

Iskandar setia menunggu di checkpoint jagaannya. Kumpulan yang tiba di situ perlu menjawab teka-teki yang akan disoalnya kemudian perlu mencari epal yang disembunyikan di sekitar kawasan tersebut. Setelah hampir satu jam, sudah tiga kumpulan yang menyelesaikan tugasan mereka. Kumpulan yang lain mungkin sedang melaksanakan misi di checkpoint lain.

Setelah kumpulan yang ketiga itu beredar, Iskandar menarik nafas panjang. Penat jadi fasilitator tetapi seronok. Dia berjalan sepanjang sungai sementara menunggu kumpulan yang lain mencarinya. Dari kejauhan di seberang sungai, sepasang matanya menangkap figura seorang wanita. Dia cuba menjelaskan pandangannya. Aisyah Humaira sedang bermain sendiri. Mungkin juga bosan menunggu kumpulan peserta yang tidak muncul-muncul tiba.

Iskandar memerhatikan kawasan sekeliling pula, kalau-kalau muncul kelibat peserta. Namun dalam sekelip mata sahaja dia berpaling, pada saat itu entah bagaimana Aisyah Humaira tergelincir ke dalam sungai. Mungkin kerana terpijak di atas batu-batu licin. Iskandar tergamam seketika melihat kejadian yang sedang terjadi di hadapannya. Air sungai sedang mengalir dengan deras. Aisyah Humaira sempat berpaut pada batu-batu besar dan berusaha menentang arus deras. Dia tidak menjerit meminta pertolongan kerana menyangka dia siapa yang berada di situ. Dan mungkin juga tiada siapa yang akan mengetahui di mana dia berada sekiranya dia ditolak oleh aliran air deras!


“Aisyah, pegang batu tu kuat-kuat!” teriak Iskandar. Paniknya sudah berada di tahap maksima apabila melihat Aisyah hampir-hampir melepaskan pegangannya. Iskandar perlu berfikir dengan pantas sekiranya tidak mahu Aisyah Humaira dihanyutkan oleh sungai. Untuk memanggil bantuan, mungkin memerlukan masa yang lama. Begitu juga jika dia mahu bergerak ke seberang sungai.

Aisyah cuba membantu dirinya sendiri, namun pegangannya sudah beberapa kali terlepas tetapi dia segera mencapai batu yang lain dan cuba bertahan. Kakinya langsung tidak mencecah pasir. Bermakna sungai di kawasan itu sangat dalam. Iskandar cuba merentasi sungai, berpijak di atas batu-batu besar dan perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap langkahnya. Jika tersilap tingkah, mungkin dia pula yang akan menjadi mangsa!

“Eh, Abang Is di situlah! Tapi kenapa Kak Aisyah ada dalam sungai?” seorang peserta kumpulan yang sedang mencari Iskandar menepuk bahu rakannya, Ismail. Mereka lima orang memerhatikan kejadian yang sedang berlaku. Adakah semua itu cuma muslihat dalam explorace itu atau Abang Iskandar betul-betul sedang cuba menyelamatkan Kak Aisyah? “Itu betullah! Kak Aisyah betul-betul sedang perlukan bantuan! Kau pergi panggil fasilitator yang lain,” tegas Ismail setelah memastikan kejadian itu. Dua orang ahli pasukannya bergerak mencari pertolongan dalam keadaan cemas.

Sementara itu, Iskandar sudah berada di hadapan Aisyah. Baru sahaja dia hendak membantu, pegangan Aisyah sekali lagi terlepas. “Aisyah!” Aisyah Humaira cuma mampu berdoa dalam keadaannya yang lemah itu. Dia tahu ada seseorang yang sedang cuba menyelamatkannya namun minda sedarnya tidak dapat mentafsirkan kejadian dengan jelas ketika itu. Belakang badannya terlanggar batu besar dan serta merta Aisyah memeluknya. Seluruh tubuhnya sudah basah. Dia tidak tahu sehingga bila dia boleh beradu tenaga.

Iskandar memijak lagi batu-batu untuk mendapatkan Aisyah. Ketika itu dia mendengar jeritan semangat daripada beberapa orang di seberang sungai namun tidak diendahkannya. Lelaki itu akhirnya dapat memegang Aisyah Humaira namun cabarannya adalah perlu menariknya ke atas dan dalam masa yang sama berusaha untuk tidak tergelincir sama. Setelah hampir lima minit mencuba, dengan izin Allah, Iskandar mendapat kekuatan untuk menarik Aisyah dan membawanya ke tepi sungai. “Aisyah? Kau ok? Aisyah?” Ketika itu Aisyah sudah begitu lemah dan matanya terpejam.

“Iskandar? Aisyah?” Balqis dan Maisara segera mendapatkan Aisyah Humaira. Iskandar berganjak ke tepi dan membiarkan mereka berdua yang membantu. Maisara cuba membantu Aisyah sehingga sedar. “Aisyah..bangun..” Balqis khuatir.

“Uhuk...uhuk...” Akhirnya Aisyah mulai menunjukkan respons positif. Masing-masing mengucapkan hamdalah di dalam hati. Tidak ada kejadian buruk yang terjadi. Maisara membantu Aisyah Humaira duduk. “Mungkin kita perlu membawa Aisyah ke bilik semula,” saran Maisara namun ditolak oleh Aisyah. Dia memutuskan untuk meneruskan explorace itu. Kasihan para peserta yang tercari-cari kehilangan mereka. Iskandar membuka jaketnya dan menyerahkan kepada Balqis. “Serahkan pada Aisyah, mungkin dia perlukan.” Balqis menyambutnya.

“Kau tak apa-apa?” Balqis memerhatikan Iskandar yang berdiri tegak. Iskandar memerah bajunya yang kebasahan sambil menggeleng. Dia perlu kembali ke lokasinya segera, namun yang pasti bukan dengan cara merentas sungai lagi. “Iskandar...” Lelaki itu berpaling. “Terima kasih selamatkan Aisyah.”

***

Program motivasi yang dijalankan oleh Iskandar dan rakan-rakannya tiga bulan yang lalu berjalan dengan lancar. Insiden Aisyah Humaira tergelincir ke dalam sungai tidak menjejaskan sebarang aktiviti yang dijalankan. Bahkan, para peserta mendapat semangat yang luar biasa setelah habis program dan mendapat banyak pengalaman yang bermakna. Tugasan mengendalikan program itu juga telah mendapat pujian.

“Saya tak habis fikir lagi tentang kejadian yang menimpa Aisyah masa di kem hari tu. Alhamdulillah Iskandar datang tepat pada masanya, kan?” ujar Liyana sambil membayar makanannya di kafetaria.  Balqis tersenyum sambil mencari duit kecil di dalam dompetnya. “Alamak. Ada duit kecil tak Liyana?” Balqis masih terus mencari. Liyana juga begitu. Namun belum sempat kedua-dua sahabat itu menghabiskan pencarian, satu tangan yang memegang wang lima ringgit dihulurkan kepada pekerja kafetaria itu. Balqis dan Liyana sama-sama menoleh ke kanan. Iskandar Arif yang menghulurkan wang tersebut. “Iskandar?” Balqis terkejut. Shauki juga turut muncul di sebelah Iskandar.

“Nanti aku bayar balik,” Balqis bersungguh-sungguh. “Tak apalah Balqis. Aku halalkan. Sebenarnya ada perkara yang aku nak bincangkan dengan kau.” Balqis diam. Liyana sudah dapat mengagak hal apa yang mahu dibincangkan oleh lelaki itu. Balqis dan Liyana membawa makanan masing-masing ke meja makan. Iskandar dan Shauki sengaja mengikut.

“Balqis, dah lama aku fikirkan benda ni. Kau dengar sahaja ya apa yang aku nak cakap? Pasal lima permintaan yang kau minta aku tunaikan tu...” Iskandar teragak-agak.

“Saya dah agak dah,” Liyana menyampuk.

Iskandar meneruskan bicaranya. “Setelah tiga bulan aku berfikir, aku rasa aku dah dapat agak kenapa kau ragu-ragu dengan aku. Sejak sekolah menengah lagi aku tak habis-habis mengusik kau. Dan lima permintaan yang kau bagi pun tak dapat aku tunaikan. Permintaan kau yang pertama...” Iskandar mengeluarkan buku catatannya sebelum menyambung penjelasan. “Aku kena segera balas mesej kau. Itu pun aku tak mampu tunaikan. Aku mesti akan terlambat balas. Permintaan yang kedua juga begitu. Aku dah dua kali balik rumah ibu bapa aku sepanjang tiga bulan ni. Aku tak dapat nak mengelak. Yang ketiga, kau pun tahu kan. Hari tu aku ada tolong Aisyah Humaira, bererti aku tolong perempuan lain. Yang keempat pula baru aku buat tadi.”

“Yang lagi satu apa?” Shauki juga curi-curi lihat catatan Iskandar. “Yang kelima syaratnya aku kena jalan tegak sepanjang masa. Tapi aku dapati ada juga masa-masa yang tidak membolehkan aku untuk jalan tegak. Misalnya ketika berjalan di depan orang tua. Pokok pangkalnya, tak ada satu pun yang berjaya aku tunaikan. Dan.. aku dah fikir masak-masak. Mungkin aku ni memanglah tak boleh jadi suami pilihan kau,” Iskandar berterus-terang. Wajahnya sedikit tertunduk. Bukan mudah untuk seorang lelaki menundukkan ego memberi penjelasan sepertinya itu.

“Satu pun tak dapat kau tunaikan?” soal Liyana tekejut. Iskandar Arif menggeleng. “Aku minta maaf.” Baru sahaja Iskandar mahu bergerak pergi, Balqis menghalangnya.

“Tunggu Iskandar. Sebenarnya ada satu perkara yang kau kena tahu.”

Iskandar, Liyana dan Shauki sama-sama terkejut dan fokus pada bicara Balqis. “Semua permintaan aku itu sebenarnya satu ujian untuk memberikan aku keyakinan pada lamaran kau. Biar aku jelaskan. Yang pertama, aku minta supaya kau segera membalas mesej aku. Kau perasan tak, selalunya aku akan hantar kau mesej bila masuk waktu solat sahaja. Dan kau tak balas sebab kau sedang bersolat. Itu sebenarnya ujian untuk aku lihat sama ada kau seorang muslim yang sejati atau tidak. InsyaAllah, sekarang aku dah tahu.

“Yang kedua adalah untuk menguji sikap kau pada kedua orang tua kau. Kalau kau tak balik rumah, maksudnya mungkin kau tak pedulikan orang tua kau. Oleh itu, aku tahu kau seorang anak yang baik. Permintaan yang ketiga pula adalah untuk menguji ciri kepimpinan yang ada dalam diri kau.

Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud, kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan. Kau dah selamatkan nyawa Aisyah, maknanya kau seorang yang bertanggungjawab. Permintaan yang keempat pula sengaja aku reka untuk melihat kalau kau rasa ada tanggungjawab untuk membantu aku dari segi kewangan.

Dan permintaan aku yang terakhir adalah tidak lain tidak bukan untuk menguji akhlak kau. Nampaknya kau sangat berakhlak dan beradab di hadapan orang tua. Semua yang aku minta itu adalah semata-mata untuk menguji ciri-ciri suami pilihan di dalam diri kau.”

Iskandar terpana. “Wow. Sangat complicated permintaan dan muslihat kau. Tapi... apa maksudnya?”

“Maksudnya...” Balqis pula yang menunduk. “InsyaAllah aku telah yakin dengan jawapanku. Kau dah lulus ujian. InsyaAllah, aku siap untuk terima lamaran kau.” Iskandar sedikit ternganga. Tidak percaya. Tidak mampu berkata-kata.

“Dah, dah. Balqis dah jawab kan? Aku rasa lebih baik kau berdua pergi. Tak elok lama-lama di sini,” Liyana menghalau. Jauh di sudut hatinya, dia tahu Balqis sedang dicengkam perasaan malu yang teramat. Shauki menarik lengan Iskandar yang sedang terpaku. Perlahan-lahan tubuh Iskandar mengikutinya.

“Alhamdulillah, syukur! Yeah! Wohoo....” Iskandar merangkul bahu Shauki keriangan. Walaupun masih tidak percaya, dia tetap diselubungi rasa syukur. Rupa-rupanya itulah muslihat Balqis untuk menguji dirinya. Ternyata, Balqis bukannya wanita biasa tetapi wanita yang berfikiran luar biasa dan misteri. Shauki juga tumpang gembira. Impian rakannya itu dipenuhi juga akhirnya.

Sementara itu, di meja makan tadi, Nurul Balqis masih malu-malu. Liyana cuma mampu ketawa memandang Balqis. Jadi itulah muslihat yang dirancang wanita solehah itu untuk mendapatkan lelaki yang soleh. Mungkin dia juga boleh menggunakan taktik yang sama kelak. Balqis juga turut bersyukur, isi hatinya dapat diluah dengan penuh yakin. Jodoh itu mungkin jauh daripada kita, tetapi mungkin juga sangat dekat dengan kita. Allah pasti akan menunjukkan jalan untuk mengejar jodoh masing-masing.

 - TAMAT -

Cerpen ini ditulis sedikit sebanyak berdasarkan pengalaman saya ketika menghadiri sebuah kem motivasi anjuran sekolah dulu. Bina pintu gerbang, tangkap ikan keli, semuanya ada. Dan saya pasti, melalui kem motivasi seperti inilah boleh memberikan banyak kenangan pahit manis dalam hidup seseorang itu. Foto-foto yang digunakan semuanya carian Google.

Comments

  1. Sampai kat cerita dia nak bongkok depan nenek tua, ana dah faham semua syarat dia bagi tu apa muslihat dia hehe.

    good job nurina ! :3

    ReplyDelete
    Replies
    1. Adehh kantoi. Haha.

      Terima kasih sebab rajin nak baca cerita ni. :)

      Delete

Post a Comment