Jom Pergi Kuliah Remaja Paksi!


Saya ternampak iklan ini di Facebook Nisa' Padang Serai pagi tadi. Kuliah Remaja Paksi kini kembali lagi di PTSB Kulim dengan tajuk 'Andai Rasulullah Masih Bersama Kita'. Kali ini ceramahnya akan disampaikan oleh Imam Muda Azhar, salah seorang peserta rancangan Imam Muda yang disiarkan ketika saya baru berusia 14 tahun dulu. Tidak perlulah saya katakan lagi, insyaAllah ceramah-ceramah yang disampaikan oleh mana-mana peserta Imam Muda pun pasti boleh memberikan impak yang positif. Bukan calang-calang orang yang boleh masuk ke dalam program realiti TV ni.

KRP ini dianjurkan oleh Unit Remaja PAKSI Kulim dan Nisa' Padang Serai. Saya pernah menghadiri satu program yang dianjurkan oleh Nisa' bersama juara Solehah, Amie Sofea. Boleh klik SINI jika ingin membaca catatan saya tentang program tersebut. 

Saya telah mengajak rakan-rakan yang lain untuk ke program ini. Ya lah, daripada kami remaja melepak tiada hala tuju, lebih baik kami mengisi waktu lapang dengan pengisian program seperti ini. Harap ramai orang Kulim yang hadir untuk menyokong program ini. Saya ingin berkongsi serba sedikit tentang penceramah KRP ini iaitu Imam Muda Azhar yang saya petik melalui blog beliau, AZHAR GHAZALI.

Azhar Ghazali @imammudaazhar dilahirkan di Pokok Sena, Kedah pada 12 September 1989. 

Mendapat pendidikan awal di Taski ABIM, Pengkalan Hulu, Perak [1995] dan di Sek Keb Tembak, Kuala Ketil [1996-2001]. Meneroka bidang penghafazan al-Quran dan Tarbiah Islamiah di beberapa ma'had, berakhir di Madrasah Nurul Islamiah, Charok Bakap [2002-2006]. 

Kemudian meneruskan pengajian Islam sistem zawiyah di Madrasah Zuhdiah dan thanawiah di Madrasah Misbah Al-Falah dan Dakwah di bawah seliaan IAIN [2006-2010]. 

Kini, masih bertalaqqi dengan tuan2 guru di sekitar Kedah dan Pantai Timur di samping menjalankan penyelidikan (master) dalam bidang Da'wah wal Imamah di UKM, Bangi.

Diamanahkan sebagai saf pengurusan Teratak Ilmu Hj Abd Majid sebuah pusat pengajian Tahfiz, fardhu ain dan al-Quran ala 'taman istirehat' di Kuala Ketil, Kedah khas untuk semua lapisan masyarakat. 

Merupakan salah seorang Imam Muda 2010, Pengacara Khabar Haji (2010&2011), Jemputan Umrah (2011), Naqiq Imam Muda (2013) dan Pengacara Rancangan Anugerah Ilahi (2013) di saluran Astro Oasis 106. Turut mengisi ruang slot radio. Menyampaikan ceramah, motivasi dan diskusi.

Comments

Post a Comment