Cerpen: Terperangkap di Morway



Cerpen kali ini merupakan sebuah cerpen berbentuk fantasi yang mungkin agak panjang sedikit daripada biasa. Cerita yang lahir daripada imaginasi saya di petang hari. Moga terhibur!


“Tuhan itu Maha Adil. Sesiapa yang berkelakuan baik dan mengajak ke arah kebenaran, Tuhan telah berjanji untuk menyenangkan urusannya. Tuhan tidak pernah memungkiri janji.”

***

“Cikgu, kenapa dalam televisyen, selalunya orang baik yang akan menang bukannya orang jahat?” Khairul Rafiq menurunkan tangannya setelah selesai bertanya soalan. Matanya bertentangan dengan sepasang mata milik Cikgu Yasmin Afrina yang lebih senang dipanggil Cikgu Yasmin. Meskipun Yasmin mengajar subjek ICTL, dia tidak kisah jika anak-anak muridnya mahu bertanya sebarang jenis soalan untuk memudahkan interaksi sesama mereka.

“Sebab Tuhan itu Maha Adil. Sesiapa yang berkelakuan baik dan mengajak ke arah kebenaran, Tuhan telah berjanji untuk menyenangkan urusannya. Tuhan tidak pernah memungkiri janji, Rafiq,” Yasmin mengukir sekuntum senyuman buat anak muridnya itu. Setelah itu, seorang pelajar lelaki yang duduk di sebelah Khairul Rafiq pula mengangkat tangannya. Yasmin mengangguk untuk memberi ruang kepadanya bertanya.


“Cikgu Yasmin, macam mana pula dengan orang baik yang selalu tewas? Pada hakikatnya, banyak golongan yang cuba mengajak kepada kebenaran ni tumpas di pertengahan jalan, akibatnya kemaksiatanlah yang kian berleluasa. Macam mana dengan janji Tuhan?”

Yasmin menghela nafas pendek, cuba memikirkan sesuatu untuk membalas pertanyaan pelajar itu. Dia memang sudah menjangka pertanyaan yang sebegitu akan ditanya oleh Hariri Aiman. “Hariri, betul apa yang awak cakap tu, kemaksiatan semakin berleluasa sekarang ni. Tuhan sengaja turunkan ujian untuk kita usaha sendiri menegakkan kebenaran di atas muka bumi ini. Dia ingin melihat sejauh mana kesungguhan kita untuk menyebarkan risalahNya, sebab itulah kejahatan boleh menang.” Yasmin melemparkan senyuman indah. Hariri Aiman cuma mendiamkan diri, mungkin memikirkan sesuatu.

Ketika itu, loceng sekolah pun berbunyi menandakan waktu rehat. Ketua tingkatan segera berdiri dan mengucapkan terima kasih yang diikuti oleh para pelajar yang lain. Setelah Yasmin memberikan kebenaran untuk mereka keluar, semuanya berebut-rebut keluar melalui pintu hadapan makmal kerana pintu belakang telah dikunci. Yasmin cuma mampu tersenyum melihat keletah anak-anak didiknya yang bersemangat setiap kali waktu ICTL, mungkin kerana mereka dapat mengurangkan tekanan belajar dengan melayari internet atau bermain game. Yasmin mengeluarkan buku rekod mengajarnya dan mencatat sesuatu di dalam buku tersebut. Apabila tamat waktu persekolahan, dia perlu menyerahkan buku rekod tersebut di pejabat.

“Uhuk..uhuk..” Bunyi batuk tersebut mengejutkan guru yang berusia 24 tahun itu. Setahu Yasmin, semua anak-anak muridnya sudah keluar dari makmal. Yasmin memandang sekeliling ruangan makmal itu. Kosong. Pembantu makmal komputer pula mengambil cuti pada hari itu. Fikirnya, mungkin dia tersalah dengar. Yasmin meneruskan kembali mengisi buku rekodnya.

“Uhuk..uhuk..” Kali ini bunyi tersebut semakin jelas dan berlarutan. Yasmin mengerutkan dahinya. Mungkin ada dalam kalangan pelajar yang sengaja sembunyi di dalam makmal untuk menakut-nakutkannya. Yasmin menjenguk ke bawah setiap meja komputer untuk mencari punca suara itu namun tidak menemui sesiapa. Perlahan-lahan, dia membuka pintu bilik pembantu makmal. Mungkin ada seseorang di dalam. Pandangan matanya melirik ke kanan dan ke kiri. Kosong. Ketika itu, tidak ada lagi bunyi yang kedengaran.

‘Agaknya aku ni sudah terlampau penat,’ monolog Yasmin. Dia tertawa sendirian sambil menggeleng kepala. Yasmin kembali ke tempat duduknya semula untuk mengambil beg tangannya. Secara tiba-tiba, laptop yang tadinya bercahaya terus terpadam. Yasmin sudah bertambah risau. Dia menggerakkan tetikus berkali-kali dan menekan papan kekunci, tetapi laptop itu masih tidak memaparkan sebarang gambar. ‘Sudah rosak barangkali,’ Yasmin mengetuk-ngetuk pula laptop itu. Tidak sampai setahun pun dia membeli laptop tersebut, bagaimana boleh rosak pula tiba-tiba? Berkali-kali diketuk, paparan di skrin mula bertukar daripada warna hitam ke warna kuning. Bunyi batuk tadi mulai kedengaran kembali. Hati Yasmin bergetar, namun dia cuba menyelindungkan perasaannya.

Yasmin mencapai beg tangannya untuk keluar dari makmal, namun serta merta beg tangannya ditarik oleh satu tarikan yang entah dari mana munculnya. Beg tangannya seolah-olah cuba disedut masuk ke dalam laptop. Yasmin menarik beg tangannya namun tarikannya tidak cukup kuat untuk melawan tenaga yang wujud daripada laptop tersebut. Yasmin meronta meminta tolong namun beg tangannya sudah disedut masuk ke dalam laptop dan perlahan-lahan, tubuhnya juga terheret sama untuk masuk ke dalam tenaga itu.

Yasmin cuba melawan, ditumbuknya laptop tersebut. Kali ini dia memang sudah tidak peduli lagi jika laptop itu rosak. Mindanya tidak mampu menterjemahkan situasi yang sedang terjadi. Yasmin cuba melawan daya tarikan itu. Cahaya kuning semakin lama semakin menyelimuti ruangan makmal tersebut sehingga mengaburkan pandangan mata Yasmin. “Tolong...!” Yasmin masih berharap ada yang akan membuka pintu makmal dan menyelamatkannya daripada situasi gila yang sedang menyedutnya masuk ke dalam laptop.

“Tolong...!” Cahaya kuning menjadi semakin terang dan akhirnya Yasmin disedut masuk ke dalam laptop. Setelah itu, suasana di makmal komputer bertukar normal. Cuma Cikgu Yasmin sahaja yang telah hilang.

***

Yasmin bagaikan berada di angkasa lepas yang tiada tarikan graviti. Tubuhnya diselimuti kedinginan. Angin kencang menampar keras wajahnya. Dia seolah-olah telah terjatuh ke dalam sebuah lubang yang sangat dalam. Yasmin berdoa kepada Tuhan agar menyelamatkannya daripada sebarang kejadian yang tidak diingini. Matanya dipejamkan bagi mengelakkan debu-debu yang berterbangan masuk ke dalam. Hampir tiga minit Yasmin diselubungi ketakutan, akhirnya tubuhnya menghentam tanah.

Yasmin perlahan-lahan cuba untuk duduk. Cahaya kuning menyilaukan pandangan sekeliling. Beberapa saat kemudian barulah Yasmin dapat mentafsirkan pandangannya dengan jelas. Terdapat pelbagai jenis pohon di sekelilingnya yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Langit berwarna kuning, tidak seperti di Bumi. Tanah yang diinjaknya itu pun bukan jenis tanah biasa tetapi dipenuhi dengan batu yang berwarna warni. Tubuh wanita itu bergetar. Yasmin mencubit pipinya berkali-kali dan setiap kali itu juga pipinya disentuh rasa sakit. Bermakna Yasmin bukannya sedang bermimpi.

Bunyi kicauan burung di situ lain daripada biasa. Burung-burung menjerit seolah-olah telah ditembak oleh si pemburu. Yasmin berjalan perlahan-lahan, cuba mencari pintu keluar atau sebarang portal untuk menyedutnya kembali ke alam manusia, Bumi. Dia mencuba untuk mencarinya di balik semak tatkala menemui seekor makhluk yang sungguh aneh. Kepalanya berbentuk arnab tetapi badannya seperti kucing.

“Subhanallah. Kuasa Tuhan!” Yasmin separuh menjerit melihat makhluk itu. Semakin dia cuba mendekati makhluk yang aneh itu, semakin makhluk itu berlari menjauhkan diri.


“Kau siapa?” Satu suara yang garau menyapa Yasmin daripada belakang. Yasmin segera menoleh dan menangkap figura seorang wanita tua separuh abad. Rambutnya panjang tetapi berkerinting. Dia memegang sebuah bakul yang berisi buah-buahan aneh di dalamnya. Wajahnya berkerut seribu dan jelas menunjukkan sebuah pandangan benci kepada Yasmin.

“Sa.. saya Yasmin,” Yasmin cuba mengukir kata. Jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan wanita tua itu dapat membantunya mencari jalan keluar dengan segera. Sudah pastinya dia tidak mahu berlama-lama di situ. “Mak cik siapa?” gilirannya pula untuk menyoal.

“Mak cik? Adakah aku kelihatan tua?” Kedua-dua bebola matanya membulat dan hampir terkeluar. Yasmin menggeleng untuk menyedapkan hatinya. Dia kelihatan berpuas hati dan sedikit tersenyum.

“Panggil aku Kamila. Kau seperti bukan berasal dari sini?” Wanita yang menggelarkan dirinya Kamila itu memetik buah-buahan daripada pohon berdaun biru di sebelahnya. Yasmin memberanikan diri untuk menghampirinya setelah memastikan Kamila bukan ancaman buatnya.

“Saya dari Selangor, mak cik... maksud saya Kamila. Saya belum pernah lagi ke sini. Boleh awak tolong tunjukkan jalan pulang?” Yasmin separa merayu.

“Selangor? Aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini?” Kamila menggigit buah yang baru dipetiknya sambil memejamkan mata, mungkin menghayati keenakan buah tersebut.

“Selangor? Dekat dengan Kuala Lumpur,” Yasmin bertambah gentar. Sebenarnya di mana dia berada sekarang? Kamila seolah-olah tidak pernah mendengarnya sebelum ini. “Kuala Lumpur?” Yasmin mengangguk berkali-kali. “Malaysia?”

Kamila berjalan mundar-mandir, cuba untuk mengingati sesuatu. Lama dia berfikir. Yasmin setia memerhatikan segala tindak-tanduknya yang seperti cacing kepanasan itu. “Malaysia...adakah kau berasal dari Bumi?” Kamila bertentang mata dengan Yasmin, ibarat musang yang bertemu mangsanya. Yasmin mengangguk meskipun seribu satu persoalan dan perasaan sedang menari-nari rancak di dalam jiwanya.

“Aku tak faham. Sepatutnya dia yang dihantar ke sini...” Yasmin hanya mendengar sayup-sayup kata-kata Kamila itu. “Dia? Siapa? Sebenarnya saya di mana ni? Macam mana saya nak keluar dari sini?”

“Beginilah Yasmin. Memang bagus sekali kau bertembung dengan aku. Aku akan menjelaskan semuanya kepada kau. Ayuh ikut aku,” Kamila memegang tangan Yasmin sambil mengajaknya pulang. Yasmin memerhatikan sahaja wajah Kamila yang sedang tersenyum itu tanpa sebarang bantahan.

***

“Hariri, awak ada nampak Cikgu Yasmin tak?” seorang guru lelaki yang berpakaian segak dengan kemeja biru dan tali leher tidak bercorak muncul di kantin. Hariri Aiman dan Khairul Rafiq yang sedang meneguk minuman yang dibeli menggeleng kepala.

“Kali terakhir saya nampak Cikgu Yasmin waktu ICTL tadi. Lepas tu tak nampak dah. Cikgu Zahran dah cuba cari di bilik guru?” cadang Hariri.

“Cikgu Yasmin memang tak ada di dalam bilik guru sepanjang hari. Cikgu dah cuba hubungi Cikgu Yasmin berkali-kali tetapi tak dapat,” Zahran memeriksa telefon bimbitnya jika ada sebarang panggilan masuk atau pesanan ringkas daripada Yasmin.

Hariri Aiman dan Khairul Rafiq saling berpandangan sambil tersenyum. “Cikgu, tak perlulah risau macam tu sekali dengan tunang cikgu tu. Cikgu Yasmin mesti ada di mana-mana. Cikgu ada janji temu dengan Cikgu Yasmin, ya?” Khairul Rafiq sengaja mengusik. Mata kirinya dikenyitkan.

“Eh, kamu ni sibuk saja urusan orang dewasa,” Zahran tertawa. “Hurm. Hari ni cikgu dah janji nak jumpa keluarga Cikgu Yasmin, ada urusan sedikit. Dah lambat dah pun ni,” Zahran memerhatikan jam tangannya. Waktu persekolahan sudah lama berakhir tetapi Yasmin masih belum muncul. “Kamu berdua pula belum balik lagi?”

“Kami stayback. Ada latihan bola petang ni,” Hariri Aiman menghabiskan minumannya. “Beginilah Cikgu Zahran, apa kata kita cuba cari di makmal? Mungkin Cikgu Yasmin masih di sana. Kebetulan kami pun dah selesai solat Zohor, boleh tolong cikgu carikan Cikgu Yasmin.”

“Bagus juga tu. Jom,” Zahran menepuk bahu Hariri Aiman sambil melangkah ke makmal komputer sekolah. Khairul Rafiq juga turut mengekori mereka berdua.

Mereka mendapati makmal komputer itu tidak berkunci dan sepasang kasut masih lagi berada di luar makmal. Zahran menolak pintu makmal dan mendapati tiada sesiapa di dalam. Khairul Rafiq cuba mencari Cikgu Yasmin di dalam bilik pembantu makmal tetapi tidak ada. “Aneh. Kasut ada tuannya tak ada,” Zahran memandang sekeliling. Sepi.

“Cikgu, kenapa ada cahaya kuning daripada laptop ni?” Hariri Aiman kebingungan melihat laptop yang bercahaya di hadapannya itu. Zahran segera menghampiri Hariri dan menolak tetikus untuk melihat paparan pada laptop. Mereka melihat sebuah permainan komputer yang sedang bergerak secara sendiri tanpa dimainkan oleh sesiapa. Khairul Rafiq memerhatikan imej pada skrin dengan teliti. “Cikgu, bukankah itu Cikgu Yasmin?”

Ketiga-tiga mereka terkejut dengan apa yang dilihat oleh mereka terutamanya Zahran. “Tak, ini tak mungkin...” Zahran bermonolog tetapi masih mampu didengari oleh kedua-dua pelajarnya. “Apa yang tak mungkin, cikgu?” Hariri menyoal. “Macam mana Cikgu Yasmin boleh berada di dalam?” Rafiq menambah penuh cemas.

“Game ini adalah permainan yang cikgu beli daripada luar negara. Kemudian cikgu ubah suai program dalam permainan ini termasuk watak-wataknya dan bahasa yang digunakan oleh mereka. Cikgu namakannya negara Morway. Semakin lama cikgu main, cikgu rasa karakter-karakter di dalam permainan ini seolah-olah realiti. Banyak musuh yang berjaya cikgu tumpaskan, tetapi banyak juga yang tidak berjaya. Ada karakter yang baik dan jahat. Akhirnya cikgu berhenti bermain setelah mendapati permainan Morway ni semakin pelik. Cikgu tak faham bagaimana Morway boleh berada di dalam laptop Cikgu Yasmin,” panjang lebar Cikgu Zahran menerangkan. Wajahnya ternyata menunjukkan riak yang cemas dan gelisah.

“Cikgu, walaupun semua ni macam tak masuk akal, nak tak nak sekarang Cikgu Yasmin sudah terperangkap di dalam permainan Morway. Kita kena cari jalan untuk bantu Cikgu Yasmin keluar daripada situ dan kembali ke Bumi!” gesa Hariri Aiman.

“Ya Allah, apa aku dah buat ni?” Zahran memegang kepalanya dengan penuh kekesalan. Dia menumbuk meja dengan penuh geram. Hariri dan Rafiq mencapai kerusi berhampiran dan menariknya mendekati tempat duduk Cikgu Zahran.

“Cikgu Zahran, sekarang bukan masa untuk fikir semua tu. Macam mana nak keluarkan Cikgu Yasmin?” Hariri menyoal lagi. Zahran menatap imej Yasmin dan Kamila di dalam laptop. “Jalan keluar bagi Cikgu Yasmin adalah dengan memenangi permainan Morway ni. Dah tak ada jalan lain,” Zahran mengeluh. “Macam mana nak menang?” soal Rafiq.

Zahran menekan menu utama permainan dan membuka peta negara Morway. “Portal Morway terletak di Istana Kebenaran. Pemain akan bermula di sebuah rumah kosong dan terpaksa melengkapkan perjalanan ke sana. Cikgu dah main permainan ini sehingga ke kawasan hutan kemudian cikgu berhenti. Cikgu Yasmin sudah hampir sekali dengan Istana Kebenaran untuk pergi ke portal keluar, tetapi banyak halangannya dan jalan yang bermuslihat.”

“Siapa yang berada dengan Cikgu Yasmin tu?” Rafiq bertanya. “Itu Kamila, dia suka memetik buah-buahan di dalam hutan. Mungkin dia menemui Cikgu Yasmin di dalam hutan dan mengajaknya pulang ke rumah. Cikgu tak dapat pastikan Kamila ni baik atau jahat sebab cikgu belum pernah bertemu dengannya.”

Khairul Rafiq memandang Cikgu Zahran. “Cikgu, macam mana Cikgu Yasmin nak menang permainan ini sedangkan dia langsung tidak tahu tentangnya?”

Cikgu Zahran terdiam.

***

“Morway?”

“Ya, Morway. Jangan bimbang. Kau tinggal sahaja dengan aku, semuanya akan selamat. Percayalah, Yasmin,” Kamila mengukir senyum. Tiada siapa yang mampu mentafsirkan maksud yang tersirat di sebalik senyumannya itu.

“Kamila, tolong beritahu saya macam mana hendak keluar dari Morway? Saya tinggal di Malaysia, bukannya di Morway. Malaysia!” Yasmin menegaskan. “Kenapa kau hendak keluar dari Morway, tinggal sajalah di sini selama-lamanya. Buah-buahan di sini semuanya enak dan haiwan-haiwan semuanya comel dan jinak. Kau pasti terpikat dengan keindahan dunia ini.”

Yasmin cuma mendiamkan diri dan berfikir. Dia tidak mahu menentang Kamila kerana wanita itu sahajalah satu-satunya harapannya buat masa ini. “Kau duduk di situ diam-diam. Aku akan siapkan makan malam di dapur. Kau tunggu ya?” Kamila mengusap lembut kepala Yasmin yang bertudung itu.

“Makan malam? Sebentar, Kamila.” Yasmin menghentikan langkah Kamila. “Saya belum lagi solat Zohor dan Asar. Boleh saya tumpang solat? Di sini boleh jamak, kan?” Kamila mengerutkan keningnya tidak mengerti. “Solat?” Yasmin mengangguk. “Ya, solat. Solat merupakan kewajipan untuk orang Islam. Awak agama apa?” Yasmin senyum.

“Agama? Apa itu? Aku tidak ada agama. Manusia dari Bumi ni memang aneh barangkali. Baiklah Yasmin, kau buatlah apa yang kau suka, terpulang. Asalkan kau tidak meninggalkan rumah ini. Aku ke dapur dulu.”

Yasmin senang hati mendengar jawapan Kamila. Dia mencari bilik air untuk berwuduk. Yasmin bersolat menggunakan pakaian sedia ada yang sudah menutup aurat dan mengerjakan solat jamak. Meskipun dia masih terkeliru dengan semua kejadian ini, dia tetap perlu melaksanakan kewajipan umat Islam yang satu itu. Kelak di akhirat amalan pertama yang akan disoal adalah tentang solat lima waktu. Dia tidak mahu tergagap-gagap menjawab pertanyaan itu nanti.

Yasmin berdoa agar Tuhan menunjukkan jalan keluar kepada mimpi aneh yang sedang dialaminya itu. Mimpi ataupun realiti, dia sudah tidak dapat membezakan kedua-duanya lagi. Entah mengapa, hatinya diserang perasaan cemas.

Dia teringat sebuah kisah dongeng Hansel dan Gratel yang popular dalam kalangan kanak-kanak. Hansel dan Gratel telah tersesat di dalam hutan dan bertemu seorang tua yang baik hati. Rumah wanita tua itu diperbuat daripada gula-gula. Mereka dilayan dengan baik sebelum rahsia sebenar wanita itu untuk menjadikan Hansel dan Gratel sebagai hidangan makan malam terbongkar. Mereka beruntung kerana dapat melarikan diri daripada wanita kejam itu.

Yasmin risau kejadian yang sama akan terjadi terhadap dirinya. Perlahan-lahan, dia menghendap Kamila di dapur. Dia terdengar perbualan Kamila bersama seseorang yang tidak dapat dipastikannya kerana terlindung di sebalik dinding.

“Jordan, hari ini aku telah mendapatkan hidangan makan malam yang besar untuk kau. Malam ini kau boleh makan sepuas-puasnya sehingga kenyang. Bahkan makanan kau pun akan berbaki sehingga esok rasanya,” ujar Kamila. Yasmin hampir sahaja menjerit mendengar kata-kata wanita itu namun dia segera menekup mulutnya dengan tangan. Dia tahu hidangan yang dimaksudkan itu adalah dirinya. Dengan pantas, Yasmin segera mendapatkan pintu keluar dan keluar dari rumah. Kamila yang menyedari tindakan Yasmin cuba menghalangnya tetapi tidak berjaya.

“Yasmin, kembali semula ke sini! Yasmin!” Kamila menjerit berkali-kali tetapi Yasmin menghilang daripada pandangannya sedikit demi sedikit.

Yasmin tidak berhenti berlari sehinggalah tubuhnya terlanggar sebuah objek yang keras. Yasmin terjatuh menyembah tanah. Nafasnya masih tidak stabil akibat berlari tadi. Yasmin menumbuk kedua-dua tangannya ke atas tanah dan menolak tubuhnya bangun.

Yasmin mendengar bunyi seolah-olah seseorang sedang bernafas dengan kuat di belakangnya. Perlahan-lahan dia menoleh dan melihat seekor makhluk yang bertubuh manusia dan bertubuhkan kuda, mengingatkannya pula terhadap dongeng Narnia. Tetapi manusia kuda di hadapannya itu sedang diselubungi amarah yang mendalam. Kakinya menguis tanah, berada dalam posisi untuk menyerang. Jelas sekali, dia bukannya berada di dalam Narnia tetapi di dalam Morway. Yasmin segera berlari untuk menyelamatkan diri. Manusia kuda itu tidak dapat berlari dengan pantas kerana kakinya yang sedikit cedera. Yasmin bersembunyi di belakang pohon yang besar dengan harapan makhluk itu akan berputus asa mencarinya.


“Yasmin? Yasmin? Awak dengar tak?” Suara itu pula kedengaran entah dari mana. Suara yang dikenalinya. Yasmin memandang sekeliling, tidak ada sesiapa pun yang berada di situ. Dia menjadi semakin gentar, namun tetap yakin dengan pertolongan daripada Allah. “Yasmin, ini saya, Zahran. Awak dengar tak?”

“Cikgu Zahran?”

***

Hariri Aiman dan Khairul Rafiq menampar tangan. Nampaknya usaha mereka telah berjaya. Mereka telahmengikut arahan Cikgu Zahran untuk cuba memasang alat komunikasi ke dalam dunia Morway. Oleh itu, Cikgu Yasmin dapat mendengar arahan daripada mereka tetapi tidak dapat melihat mereka. Kini, mereka dan Cikgu Yasmin telah berhubung. Melalui cara ini, Cikgu Zahran akan cuba memandu Cikgu Yasmin ke Istana Kebenaran untuk menuju ke portal keluar. Zahran dapat melihat makhluk separuh manusia separuh kuda berada berhampiran lokasi Yasmin bersembunyi. Mereka tidak mempunyai banyak waktu lagi.

“Cikgu Zahran, apa semua ni? Tolong jelaskan kepada saya,” Yasmin menyoal dari Morway.

“Saya akan jelaskan kemudian. Sekarang awak dalam bahaya. Makhluk Horseman sedang mengejar awak. Kelemahan Horseman ada pada kakinya yang cedera. Awak perlu mencederakan kakinya berkali-kali untuk melenyapkannya,” terang Zahran.

“Macam mana saya nak buat?” Yasmin bingung. Zahran memberi cadangan. “Saya rasa batu-batu di Morway besar-besar. Lemparkan batu-batu itu ke kakinya sehingga Horseman mengerang kesakitan..” Belum sempat Zahran menghabiskan ayatnya, Yasmin mendengar nafas Horseman yang kuat itu dekat dengan telinganya. Tangannya segara mencapai sebanyak mungkin batu dan berganjak agak jauh sedikit daripada makhluk ganas itu.

Yasmin melemparkan batu berkali-kali sepenuh tenaga untuk menyakitkan Horseman namun tidak ada sebarang kesan terhadapnya. “Cikgu, saya dah lemparkan banyak batu tetapi dia masih tidak sakit!”

Cikgu Zahran di Bumi cuba memikirkan sesuatu. Khairul Rafiq sudah menutup matanya tidak sanggup melihat makhluk Horseman yang ganas itu. Hariri Aiman pula menyeka peluh di dahinya. “Yasmin, baca basmalah dulu sebelum lemparkan batu-batu itu. Ingat, kita cuma berusaha, tetapi kuasa menghapuskan yang sebenar-benarnya terletak di tangan Allah.”

Yasmin mengangguk walaupun dia tidak pasti Zahran melihatnya atau tidak. Dia membaca basmalah sebelum melemparkan batu-batu itu ke kaki Horseman. Dengan izin Allah SWT, akhirnya Horseman berhenti menghampiri Yasmin dan terjatuh. Yasmin mengambil kesempatan itu untuk terus menyerang kelemahan Horseman sehingga makhluk itu mengerang kesakitan dan akhirnya lenyap daripada pandangan. Yasmin terduduk penat.

“Alhamdulillah, Cikgu Yasmin dah berjaya!” suara Khairul Rafiq kedengaran. “Rafiq?” Yasmin memandang sekeliling. “Ya, cikgu. Saya pun ada, Hariri. Cikgu dah usaha yang terbaik! Alhamdulillah!” Sekali lagi, cuma suara sahaja yang kedengaran.

“Yasmin, saya betul-betul minta maaf. Awak sekarang sedang berada di dalam Morway, sebuah permainan komputer yang telah diubah suai oleh saya. Saya tak faham macam mana game ini boleh berada di dalam laptop awak dan macam mana awak boleh termasuk ke dalamnya. Saya minta maaf,” Zahran menunduk kesal.

“Game?” Yasmin memegang kepalanya. Terlalu sukar untuk otaknya menghadam semua ini. “Yasmin, saya minta maaf,” Zahran terus mencuba nasib.

“Macam mana saya nak keluar dari sini?”

“Awak perlu mencari jalan ke Istana Kebenaran. Saya, Hariri dan Rafiq akan membantu awak dari Bumi. Kami dapat melihat awak melalui skrin laptop. Cuma, awak tidak dapat melihat kami. Awak seorang sahaja yang dapat mendengar suara kami. Karakter-karakter lain di dalam permainan ini tidak dapat mendengarnya. Istana Kebenaran tidak jauh daripada tempat awak berdiri. Awak ikut lorong kanan untuk ke sana.”

“Lorong kanan?” Yasmin menoleh ke kanan dan sekali lagi terkejut apabila melihat seorang lelaki berdiri di lorong kanan yang dimaksudkan Zahran.

“Kau bercakap dengan siapa?” soal lelaki yang berambut cacak itu. Pakaiannya agak compang-camping dan dia sedang menggenggam selaras senapang. Namun wajahnya tetap bersih dan segaris senyuman terlukis di situ. Yasmin cuma menggeleng.

“Kau siapa? Kenapa kau ada di sini?” soalnya lagi.

“Saya... saya sedang mencari jalan ke Istana Kebenaran,” jawabnya. Mungkin kali ini lelaki itu dapat membantunya. “Istana Kebenaran?!” Lelaki itu terkejut. “Jadi kau Zahran??”

Yasmin menggeleng. “Saya Yasmin, erm, tunang Zahran.”

“Tunang? Apa tu?” soalnya. Yasmin malu untuk menjelaskan kerana dia tahu Zahran dan anak-anak muridnya sedang mendengar perbualan mereka berdua. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menjelaskan juga kepada lelaki itu dengan harapan dia dapat membantunya.

“Tunang tu adalah ikatan perjanjian sebelum berkahwin. Maksudnya, saya dan Zahran akan berkahwin tidak lama lagi. Macam mana awak kenal Zahran?” Secara tidak sedar, Yasmin sedang berjalan bersama-sama lelaki itu.

“Siapa yang tak kenal Zahran di Morway ni? Zahran yang cipta karakter-karakter kami semua. Ramai penjahat yang tidak berpuas hati kerana telah ditewaskan olehnya sebelum ni. Tapi, Zahran tidak menghabiskan permainannya di Morway. Oleh itu, MD, ketua penjahat di sini telah berpakat dengan penjahat-penjahat Morway untuk menumpaskan Zahran dan membalas dendam,” jelasnya. “Oh ya, lupa pula. Aku Lutfi,” lelaki itu menghulurkan tangannya. Yasmin cuma tersenyum dan menggeleng.

“Kenapa? Kau tak percayakan aku?”

Geleng. “Bukan begitu. Saya tahu, karakter-karakter di sini mungkin tidak beragama. Tetapi saya beragama Islam. Dan dalam agama saya, lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah tidak dibenarkan bersentuhan.”

“Agama? Suka hati kaulah. Aku cuma nak kau tahu yang kau boleh percayakan aku,” Lutfi tersenyum.

“InsyaAllah, saya percayakan awak. Saya ada pertanyaan. Macam mana pula Morway boleh beralih daripada laptop Zahran ke dalam laptop saya? Kenapa saya pula yang termasuk ke dalam dunia ini?”

Boooooooommmmmmmmmmmmmm!!! Bunyi letupan secara mendadak membantutkan perbualan Yasmin dan Lutfi. Sebuah letupan disasarkan ke arah mereka tetapi tidak mengena. Kawasan yang terkena letupan itu mengeluarkan asap kuning yang belum pernah dilihat Yasmin sebelum ini. Yamin menutup hidungnya dengan hujung tudungnya bagi menghalang bau busuk yang berpunca daripada letupan itu. “Nampaknya kita ada teman bermain,” ujar Lutfi sambil mengangkat senapangnya.

“Cikgu Yasmin, di hadapan cikgu dan Lutfi ada sejenis makhluk yang bernama Iklimo. Dia mempunyai kepakaran dalam letupan. Cikgu perlu berhati-hati dan mengelak daripada terkena letupannya. Kelemahannya adalah pada lengan kirinya. Cikgu perlu serang bahagian tu,” jelas Hariri Aiman yang hanya mampu didengari oleh Yasmin seorang.

Seperti yang dikatakan oleh Hariri, Iklimo muncul dari balik semak-samun bersama beberapa bola kecil dalam genggamannya. Mungkin itulah alat yang digunakannya untuk menghasilkan letupan. Iklimo mempunyai wajah seperti badut dan berambut merah kerinting. Hidungnya juga berwarna merah. Pakaiannya tidak ubah seperti badut di sarkas.

“Hahaha,” Iklimo membaling lagi bola letupan ke arah Yasmin dan Lutfi. Masing-masing tercampak jauh. Yasmin berasa tubuh badannya dipenuhi kesakitan. “Yasmin, hati-hati!” Zahran menjerit penuh khuatir.

Lutfi menembak tubuh badan Iklimo tetapi tidak memberikan sebarang kesan kepadanya. Yasmin menjerit dari jauh, “Lutfi, serang bahagian lengan kirinya!” Sebelum sempat Lutfi melepaskan tembakan sekali lagi, Iklimo melompat tinggi ke udara dan mendarat tepat di hadapan Yasmin yang separuh terduduk. “Hahaha, MD akan berterima kasih kepada aku kerana menghapuskan kau!” Iklimo mengambil sebiji bola letupan di tangannya dan melepaskannya. Yasmin memejamkan matanya rapat.

Bummmmmm!

Yasmin memegang tubuhnya. Dia masih bernyawa! Dia membuka matanya dan melihat asap kuning menggantikan tempat berdirinya Iklimo sebentar tadi. “Apa...apa yang sudah terjadi?”

“Aku sudah menghapuskan Iklimo. Tertewasnya dia, bererti bola-bola letupannya itu hilang bersamanya,” Lutfi mendapatkan Yasmin dan menghulurkan tangannya untuk membantu Yasmin bangun. Yasmin tidak menyambut tangan lelaki itu dan bangun sendiri.

***

Masing-masing menarik nafas lega di makmal komputer. “Wah hebatnya Lutfi itu! Mampu menembak dengan tepat dari jarak jauh. Saya tidak pernah jumpa karakter yang kacak dan hebat sepertinya sepanjang bermain game,” Khairul Rafiq memuji Lutfi.

“Betul! Untunglah Cikgu Yasmin bertemu dengannya,” Hariri Aiman menyokong sahabatnya. “Ehem! Cikgu pun boleh tembak dari jarak tu,” ujar Cikgu Zahran.

Hariri dan Rafiq cuma tertawa. “Ni mesti ada kes cemburu! Haha!” Rafiq mengenyitkan sebelah matanya kepada Cikgu Zahran. “Apalah cikgu ni, dengan karakter permainan pun boleh cemburu.”

“Mana ada cikgu cemburu, pandailah kamu ni Rafiq,” Zahran berselindung. “Oh ya, kamu berdua pasti tidak mahu pulang lagi?”

“Cikgu sendiri yang menghubungi ibu bapa kami tadi. Kami akan bantu cikgu sehingga Cikgu Yasmin berjaya kembali,” Khairul Rafiq bersemangat. Hari sudah lewat petang dan mereka sudah pun terlepas latihan bola. Zahran tersenyum.

“Hariri, bagaimana? Kamu dah lakukan apa yang cikgu suruh?” Zahran beralih pula kepada Hariri. Hariri Aiman mengangguk. “Saya dah cantumkan wayar dan menukar kod sistem. Tapi Cikgu Zahran betul-betul yakin semua ni akan berjaya?” Terdapat garis bimbang pada wajah pelajar itu.

“Cikgu dah meletakkan nyawa Cikgu Yasmin dalam bahaya. Cikgu tak sanggup lihat dia begitu lagi. Berdasarkan apa yang dikatakan Lutfi, cikgu rasa MD dan penjahat-penjahat yang lain memang sengaja menarik Cikgu Yasmin ke dalam Morway untuk menyeksa cikgu. Mungkin mereka sudah tahu Cikgu Yasmin bakal berkahwin dengan cikgu. Jika Cikgu Yasmin tewas dalam permainan ini, cikgu akan kehilangan orang yang cikgu sayang dan mereka memang suka melihat keadaan cikgu macam tu,” keluh Zahran.

“Cikgu Zahran jangan risau. Saya dan Hariri akan berusaha sebaik mungkin untuk memandu perjalanan cikgu. Cikgu perlu janji untuk keluar dari portal dengan selamat,” pinta Rafiq.

“Tuhan itu Maha Adil. Sesiapa yang berkelakuan baik dan mengajak ke arah kebenaran, Tuhan telah berjanji untuk menyenangkan urusannya. InsyaAllah, kita berada di pihak yang benar. Kita perlu yakin dengan janji Tuhan,” Zahran senyum.

“Samalah dengan apa yang Cikgu Yasmin beritahu kami dalam kelas pagi tadi,” kata Khairul Rafiq. Zahran mengarahkan Hariri Aiman untuk menekan butang ‘enter’.

“Cikgu, Tuhan sengaja turunkan ujian untuk kita usaha sendiri menegakkan kebenaran di atas muka bumi ini. Itu yang Cikgu Yasmin pesan pada saya. Cikgu Zahran jangan putus asa ya?” Zahran mengangguk. Hariri Aiman menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci.

***

“Yasmin, bagaimana kau begitu yakin untuk melalui lorong ini menuju ke Istana Kebenaran?” Lutfi menyoal sambil menyepak batu-batu kecil di hadapannya. “Hari dah nak malam dan kau langsung tidak takut?”

“Anak-anak murid saya ada untuk memberikan panduan,” Yasmin terlepas bicara. “Anak-anak murid?” Lutfi naik bingung. “Tak, maksud saya, saya percaya pada naluri hati. Kenapa awak bersungguh-sungguh mahu menemani saya?”

“Saya cuma mahu pastikan awak selamat.” Mereka berdua menghentikan langkah apabila melihat cahaya kuning yang sangat terang-benderang di hadapan mereka.

“Cikgu Yasmin, tidak jauh di hadapan cikgu itulah Istana Kebenaran. Cepat pergi ke sana, cikgu, tetapi hati-hati!” Hariri Aiman berpesan.

“Lutfi, kita sudah hampir dengan Istana Kebenaran. Ayuh ke sana,” ajak Yasmin teruja. Dia bersyukur kerana tidak lama lagi perjalanannya akan berakhir. Namun tiada sesiapa yang boleh menduga apa yang menantinya di hadapan.

“Jangan terburu-buru, Cik Yasmin. Kita masih ada masa yang panjang untuk bermain,” satu suara bergema dari langit kuning kedengaran. Yasmin memerhatikan keadaan sekeliling, risau jika terjebak ke dalam mana-mana perangkap. Tidak lama kemudian, suara gelak ketawa pula yang kedengaran.

“Itulah MD. Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini. Dialah yang menjaga Istana Kebenaran dan menghalang sesiapa pun untuk keluar ke dunia manusia, terutamanya kau,” Lutfi memberi taklimat tanpa dipinta. Jantung Yasmin berdegup kencang namun tidak dihiraukannya. Dia berdoa kepada Allah untuk melindunginya daripada sebarang musibah yang tidak diingini. Kilat mulai sabung-menyabung di Morway. MD terbang menuju ke arah Yasmin dan Lutfi.

“Uhuk...uhuk...” MD terbatuk. Yasmin mengenali bunyi batuk itu persis seperti yang didengarinya sebelum ditarik ke dalam Morway.

Yasmin merenung MD dengan pandangan yang tajam. MD mempunyai dua tanduk di kepalanya dan seluruh tubuh badannya berwarna merah. Matanya berwarna hijau. Dia tidak mempunyai hidung tetapi dua lubang yang membolehkannya untuk bernafas. Giginya dipenuhi dengan taring. Badannya tidak ubah seperti seekor naga. Namun Yasmin tidak dapat memastikan identiti sebenar MD. “Jadi awaklah yang menarik saya masuk ke dalam Morway?!”


MD ketawa terbahak-bahak. Kilat sabung-menyabung semakin kuat di Morway sehingga paparan skrin laptop yang sedang ditonton oleh Hariri Aiman dan Kahirul Rafiq terpadam. Mereka berpandangan sesama sendiri dengan cemas.

“Hariri, Rafiq, beritahu cikgu apa kelemahan MD?” Yasmin begitu lantang bersuara. Lutfi bingung namun tidak mengeluarkan suara. Sepi. Tiada jawapan. “Cikgu Zahran? Rafiq? Hariri?” Sepi. Yasmin sudah mula cemas. MD tidak puas ketawa.

“Hahaha. Jadi Iklimo, Horseman, dan lain-lain penjahat yang menghalang perjalanan kau berjaya ditewaskan? Hebat. Aku tak sangka kau boleh pergi sejauh ini, Yasmin.” MD menepuk tangannya perlahan-lahan tidak ikhlas.

“MD, hentikan semua ni. Tidak ada faedah pun penduduk Morway berdendam dengan Zahran. Menang kalah itu semua memang adat permainan. Kamu semua hanyalah karakter yang direka oleh sebuah syarikat besar. Kamu semua hanyalah fantasi. Saya, Zahran, kami manusia yang hidup dari dunia realiti,” Yasmin cuba mempertahankan dirinya.

“Dalam Morway, kami adalah realiti dan manusia seperti kau adalah fantasi. Dan fantasi perlu dihapuskan...!” MD meniup api yang marak keluar daripada mulutnya. Yasmin dan Lutfi cuba mengelak. Lutfi cuba menembak berkali-kali namun tidak ada satu pun sasarannya yang mengenai tubuh MD. MD mampu terbang dengan pantas dan tenaganya begitu kuat. Aura kuning yang menerangi Morway selama ini berpunca daripada dirinya.

MD terus mengeluarkan api secara bertalu-talu. Yasmin tidak dapat melarikan diri daripada tiupan api tersebut. Tubuhnya sedikit sebanyak terkena api. MD terus ketawa.

“Hahaha. Akulah Morway’s Devil! Penjahat yang paling berkuasa di Morway! Tidak ada sesiapa yang mampu menewaskan aku. Tak lama lagi Zahran yang berlagak bagus itu akan kehilangan orang yang disayanginya!” MD baru sahaja ingin membakar Yasmin hidup-hidup tatkala Zahran muncul.

“Kau silap, MD! Kau dah lupa aku telah mengubah suai beberapa karakter di dalam Morway? Aku tidak pernah lupa bahawa kau yang paling banyak aku ubah!” Zahran berteriak. Nafasnya sedikit tercungap-cungap.

“Apa maksud kau, Zahran?” MD mendekatkan hidungnya yang panas dan besar dengan hidung Zahran secara tiba-tiba. Zahran berundur ke belakang sedikit. “Aku telah meletakkan satu kelemahan dalam diri kau, yang mungkin tidak kau sedari.”

“Pembohong!” MD menarik nafas panjang dan mengehembuskan nafas apinya kepada Zahran.

“Allahu akbar! Allahu akbar!” Zahran mula melaungkan azan. Biji mata MD yang berwarna hijau mulai terbeliak. Dia menumbuk-numbuk tubuhnya sendiri berkali-kali. MD mulai menangis. Yasmin yang memerhatikan kejauhan mulai tersenyum. ‘Ya lah, mana-mana syaitan pun akan bertempiaran lari jika mendengar azan!’ getusnya sendiri.

MD mulai mengecil. Taringnya yang teratur semuanya terpatah dengan sendiri. Kuku-kukunya yang tajam tercabut daripada tangan dan kaki. Tanduknya mengecut. Aura kuning yang menyelimuti dirinya mulai pudar daripada pandangan. Zahran meneruskan laungan azan sehinggalah tubuh MD meletup kesemuanya. Seraya itu, langit Morway yang dulunya berwarna kuning bertukar menjadi biru serta-merta.

Zahran mengucapkan syukur kepada Allah. Dia sendiri tidak dapat memastikan rancangannya akan berjaya. Tidak ada apa yang mustahil boleh terjadi di Morway. Zahran menghampiri Yasmin yang lesu. “Cikgu Yasmin, awak tak apa-apa?” Yasmin menggeleng. Dia juga turut bersyukur kerana MD telah dapat dihapuskan.

“Portal keluar untuk kita kembali ke Bumi hanya beberapa langkah sahaja dari sini. Ayuh.”

“Kenapa mesti terburu-buru?” Hujung senapang melekat pada belakang badan Zahran. Zahran menelan liur. Yasmin yang masih terduduk juga terkejut. “Lutfi? Apa awak buat ni?”

“Oh ya, aku lupa mahu berterima kasih kepada kau Yasmin kerana telah membawa aku ke Istana Kebenaran. Aku akan dapat keluar dari Morway dan hidup di dunia manusia selepas ini. Cukup di sini sahaja pertolongan kau, aku boleh teruskan dari sini,” Lutfi ketawa penuh gembira. Yasmin menggeleng tidak percaya. “Aku minta maaflah. Nampaknya kau terpaksa tinggal di sini untuk selama-lamanya!”

Banggggg!! Satu tembakan dilepaskan. Darah mengalir dari tubuh Zahran. Zahran diselubungi kesakitan yang amat. Rupanya, beginilah kesakitan yang dialami oleh orang yang ditembak. Beginilah kesakitan yang dialami oleh manusia yang hampir menemui sakaratul maut. Perlahan-lahan Zahran jatuh menyembah tanah. Lutfi menggeleng sambil tertawa. Air mata Yasmin mulai bergenang.



“Cikgu Yasmin, macam mana pula dengan orang baik yang selalu tewas? Pada hakikatnya, banyak golongan yang cuba mengajak kepada kebenaran ni tumpas di pertengahan jalan, akibatnya kemaksiatanlah yang kian berleluasa. Macam mana dengan janji Tuhan?”

Yasmin menghela nafas pendek, cuba memikirkan sesuatu untuk membalas pertanyaan pelajar itu. Dia memang sudah menjangka pertanyaan yang sebegitu akan ditanya oleh Hariri Aiman. “Hariri, betul apa yang awak cakap tu, kemaksiatan semakin berleluasa sekarang ni. Tuhan sengaja turunkan ujian untuk kita usaha sendiri menegakkan kebenaran di atas muka bumi ini. Dia ingin melihat sejauh mana kesungguhan kita untuk menyebarkan risalahNya, sebab itulah kejahatan boleh menang.”

Lutfi mengacukan pula senapangnya ke arah Yasmin yang sedang menangis. Lututnya terasa longgar. Dia teringat kembali kali pertama dia berjumpa dengan Cikgu Zahran di sekolah dulu.

“Saya tak fahamlah, Cikgu Arina. Saya fikir budak-budak tu akan hormat saya memandangkan saya guru baru di sekolah ni. Saya cuma nak mengajar mereka, saya nak jalankan kewajipan saya sebagai seorang pendidik. Sudah seminggu saya di sini, budak-budak tu akan bising sahaja setiap kali saya mengajar tentang komputer. Susah betul nak mengajar,” keluh Yasmin kepada Cikgu Arina. Cikgu Arina sejak dia mula mengajar di situ.

“Tuhan itu Maha Adil. Sesiapa yang berkelakuan baik dan mengajak ke arah kebenaran, Tuhan telah berjanji untuk menyenangkan urusannya. Tuhan tidak pernah memungkiri janji, cikgu.” Cikgu Zahran meletakkan begnya di atas kerusi.

“Eh, Cikgu Zahran, macam mana kursus? Ok?” Cikgu Arina menyoal. “Penat tetapi alhamdulillah bermanfaat. Siapa ni Cikgu Arina? Cikgu praktikal atau cikgu baru?” Mata Zahran bertembung dengan mata Yasmin.

“Ha, Cikgu Yasmin, ini Cikgu Zahran, mengajar subjek Fizik. Cikgu Zahran, ini Cikgu Yasmin, guru baru kita mengajar subjek ICTL. Kenal-kenal sendirilah, ya?” Cikgu Arina bangkit dan bergerak keluar dari bilik guru.

“Erm, apa maksud Cikgu Zahran tadi? Saya tak berapa tangkap,” jujur Cikgu Yasmin memberitahu.

“Cikgu Yasmin, kalau niat kita nak buat benda yang baik nawaitu lillahi taala, insyaAllah semua urusan kita akan dipermudahkanNya. Cikgu baru seminggu mengajar di sini, kan? Janganlah berputus asa, perjalanan hidup kita masih panjang. Jangan biarkan orang lain yang menang,” Cikgu Zahran melemparkan senyum.

Kini, Zahran sedang terbaring di hadapannya, kaku. “Heh, sudahlah tu. Banjir pula Morway nanti!” Lutfi menyindir. Picu senapang ditarik.

Bangggg!! Yasmin memejamkan mata. Lama. Tidak ada kesakitan pun pada tubuhnya. Perlahan-lahan dia membuka mata. Terhambur darah putih daripada mulut Lutfi. Dia telah ditembak dari belakang. Perlahan-lahan, Lutfi menghilang dari pandangan. Karakternya telah terhapus.

Kamila setia berdiri sambil memegang selaras senapang, tidak berganjak dari lokasinya. “Ka..Kamila?” Yasmin tidak percaya. Apa lagi musibah yang akan menimpanya selepas ini?

“Yasmin, kenapa kau lari dari rumah? Aku kan dah berjanji hendak menyediakan kau makan malam. Tak sopan tahu keluar dari rumah aku begitu sahaja,” Kamila menggeleng. “Sa...saya tak faham. Bukankah awak nak jadikan saya hidangan makan malam untuk binatang peliharaan awak, Jordan?”

Kamila mengeluarkan seekor makhluk berkepala arnab dan memiliki badan kucing yang dilihatnya ketika mula-mula termasuk ke dalam Morway. “Inilah Jordan. Mungkin kau dah salah faham barangkali. Jordan haiwan herbivor. Aku telah memetik banyak buah-buahan untuknya pagi tadi. Tak mungkin aku akan jadikan kau hidangan untuk Jordan. Hahaha.”

“Maafkan saya, Kamila. Tapi macam mana awak boleh tahu jalan ke sini?”

“Aku pun tidak tahu. Mungkin aku cuma mengikut naluri hati orang tua. Hahaha,” Kamila ketawa dengan lawaknya sendiri. “Sebelum aku pulang, aku cuma nak serahkan kau sedikit hadiah daripada Morway.” Kamila mengeluarkan sekuntum bunga berserta akarnya sekali. Bunga itu sungguh cantik dan berwarna pelangi, tidak pernah dilihat di Bumi. Setelah mengambil bunga itu, Kamila pulang sambil bercakap-cakap dengan Jordan, haiwan peliharaannya.


Yasmin memerhatikan Zahran yang masih tidak memberikan sebarang respons.

Cikgu Zahran sibuk menanda buku latihan ketika Cikgu Yasmin masuk ke dalam bilik guru. “Eh, tak balik lagi Cikgu Zahran?” Cikgu Yasmin terkejut. Kebanyakan guru yang lain sudah pun pulang ke rumah untuk berehat.

“Cikgu Yasmin. Tak, saya belum balik lagi. Saya tunggu awak hari ni,” Cikgu Zahran senyum menampakkan lesung pipitnya.

“Eh, tunggu saya. Kenapa?” Yasmin mengangkat sebelah keningnya.

“Boleh saya tahu alamat Cikgu Yasmin?”

“Kenapa?”

“Saya nak hantar rombongan, itu pun jika Cikgu Yasmin setuju.”

Air mata Yasmin masih menitis. “Maafkan saya, Cikgu Zahran. Nampaknya saya telah percayakan orang yang salah sehingga mengorbankan nyawa awak. Saya langsung tak marah pada awak. Semua yang terjadi di Morway ini adalah takdir Tuhan yang tertulis untuk saya. Banyak yang saya pelajari sepanjang berada di sini. Terima kasih, abang.”

Seraya itu, jari-jemari Zahran sedikit bergerak. “Uhuk...uhuk...” Zahran terbatuk. Kesakitan pada tubuhnya masih menyengat. Yasmin mengesat air matanya tidak percaya. “Alhamdulillah. Abang dah sedar?”

“Yasmin...”

“Ya?”

“Awak panggil saya abang tadi?” Yasmin tertawa.

***

“Agak-agaknya bagaimana keadaan Cikgu Yasmin dan Cikgu Zahran sekarang? Hariri, saya betul-betul risau ni,” Khairul Rafiq bermundar-mandir sejak tadi.

“Entahlah Rafiq, kita cuma boleh mengharapkan yang terbaik sahaja. Kita sudah hantar Kamila untuk membantu mereka. Walaupun saya tidak tahu apa yang terjadi, harapnya rancangan kita berjalan lancar,” Hariri Aiman cuba menenangkan. “Ameen, insyaAllah.”

Tiba-tiba, laptop milik Cikgu Yasmin memancarkan cahaya kuning yang sangat terang. Hariri dan Rafiq saling berpandangan. “Mungkin ini mereka. Ke tepi,” Rafiq menarik Hariri menjauh sedikit daripada laptop. Tepat seperti jangkaan mereka, Cikgu Yasmin dan Cikgu Zahran kembali pulang ke dunia nyata. Hariri dan Rafiq memeluk Cikgu Zahran.

“Kesan tembakan pada tubuh awak dah hilang,” Yasmin bersuara separuh teruja. “Luka-luka awak pun dah hilang, alhamdulillah,” Zahran membalas. Mereka berdua tidak berasa sakit bahkan lebih sihat daripada biasa. Begitulah kekuasaan Allah yang Maha Kuasa.

“Terima kasih Hariri, Rafiq sebab banyak membantu cikgu dan Cikgu Zahran. Cikgu tahu, kamu berdua yang hantar Kamila untuk selamatkan cikgu,” Yasmin tidak tahu bagaimana membalas jasa anak-anak muridnya itu.

“Tidak ada apalah, cikgu. Cikgu berdua adalah guru-guru kami. Cikgulah yang telah banyak berjasa kepada kami. Kalau hendak diikutkan, jasa cikgu pada kami yang tidak mampu kami balas,” Hariri Aiman tersenyum lebar.

“Marilah, cikgu hantarkan semua pulang,” Cikgu Zahran merangkul bahu kedua-dua pelajarnya itu dengan mesra. Yasmin menutup laptopnya dan menyimpannya rapi ke dalam beg. Sekuntum bunga berwarna pelangi juga masih setia di dalam genggamannya. Selepas ini, dia mahu menanam bunga tersebut. Bunga simbolik kepada sebuah perjalanan yang sangat mencabar dan penuh makna buatnya.


Comments

  1. Zumal suka sangat cerpen fiksyen macam nie. Sebuah hasil karya terbaik :)

    ReplyDelete
  2. Wah panjangnya citer dia.hehe :)

    ReplyDelete

Post a Comment