Salah Satu Watak Manusia yang Buruk


Apabila manusia itu ditimpa bahaya, dia menyeru (berdoa) kepada Kami (Allah), kemudian apabila Kami kurniakan nikmat dia berkata: “Hanyasanya apa yang diberikan kepadaku adalah berdasarkan pengetahuanku.” Sebaliknya dia adalah fitnah (ujian) tetapi kebanyakan mereka tiada mengetahui. Az Zumar 39: 49

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit terjemahan sepotong ayat yang dipetik dalam al-Quran surah az-Zumar ayat yang ke 49. Allah menyatakan melalui kalamnya tentang satu jenis sifat manusia yang buruk, iaitu mereka yang termasuk dalam golongan yang disifatkanNya agak pelik dan menghairankan. 

Golongan ini apabila ditimpa musibah seperti  kemiskinan, kesempitan hidup, serangan penyakit, sentiasa mengalami nasib yang malang, mereka akan menyeru, berdoa, memohon dan merayu kepada Allah agar dihindarkan daripada malapetaka tersebut. Pergantungan mereka dalam keadaan yang sulit itu diletakkan hanya kepada Allah. Allahlah tempat mereka mengadu nasib dan meminta supaya diberikan peluang kedua.

Namun apabila keadaan mereka berubah kerana dikurniakan rahmat dan nikmat daripada Allah SWT, misalnya menjadi orang yang kaya, senang hidupnya, mendapat pangkat yang baik, sifatnya serta-merta berubah pula menjadi sombong dan angkuh. Mereka mengakui bahawa segala kesenangan yang diperoleh itu adalah hasil daripada titik peluh mereka sendiri. Mereka menyebut, “Apa yang aku peroleh ini semuanya adalah atas dasar adanya ilmu pengetahuanku! Kerana kepandaianku dalam menghasilkannya, kerana ketekunanku dalam bekerja, kerana kepintaranku mengumpulkan kekayaan, kerana usahaku mendapatkan wang, mendapat nasihat doktor, mendapat perubatan untuk menjaga kesihatan, menabung pendapatan sebanyak mungkin, sehingga aku menjadi kaya dan bersenang-lenang!”

Foto carian Google

Mereka inilah termasuk dalam golongan manusia yang digambarkan Allah sebagai manusia yang mempunyai watak yang buruk, keperibadian yang bertentangan lagi menghairankan, kerana dalam situasi yang pertama dia bersungguh-sungguh meminta pertolongan kepada TuhanNya manakala dalam situasi kedua pula dia melupakan TuhanNya, bahkan sehingga memutuskan hubungan nikmat yang diterima dengan Tuhan yang mengurniakannya. Dia mendakwa dirinyalah yang pandai, rajin, dan atas usaha sendirilah dia mendapatkannya.

Padahal golongan ini tidak menyedari bahawa kurniaan yang diterimanya itu merupakan satu fitnah kepadanya. Fitnah yang berbentuk ujian. Dia diuji oleh Allah adakah dia mahu bersyukur, mahupun menjadi kufur? Adakah dengan segala nikmat yang Allah berikan itu dia akan menjadi seorang hamba yang taat, atau hanya berbuat maksiat? 

Hal seperti ini, banyak di antara kita yang tidak mengetahuinya. Inilah yang dinamakan istidraj. Istidraj merupakan perkara yang dibiarkan oleh Allah kepada seseorang untuk memperolehnya, untuk dijadikan ujian. Oleh itu mereka yang membangga-banggakan diri sendiri setelah mengecapi sesuatu kejayaan adalah termasuk dalam kalangan orang yang tidak memahami hakikat nikmat Tuhan yang sebenarnya.

Ayuhlah membuat refleksi diri, muhasabah kembali diri masing-masing. Apabila kita mendapat kejayaan, adakah kita bersyukur kepada Tuhan? Atau hanya berbangga dengan diri sendiri? 

Perbaiki diri, sambil ajak orang lain ke arah kebaikan.

Sumber rujukan : Tafsir Al-Quran Juz 24 oleh Ahmad Sonhadji Mohamad


Comments

  1. Allah bagi kita banyak nikmat, tapi kita masih sombong... note for myself.. thanks 4 sharing this.. :))

    ReplyDelete

Post a Comment