Cerpen: Kaktus Tidak Berduri



Tufail mencangkung di hadapan beberapa helai rumput di halaman rumahnya. Kemudian, hujung jarinya menyentuh lembut rumput yang berwarna hijau itu. Maka dengan izin Allah yang Maha Kuasa, rumput yang berwarna hijau itu serta-merta berubah warnanya menjadi biru langit. Lama dia perhatikan rumput itu. Kemudian, Tufail membayangkan warna merah pula di dalam mindanya. Jarinya sekali lagi bergerak menyentuh rumput yang berwarna biru langit itu. Maka sekali lagi, dengan izin Allah, rumput itu kini berubah pula menjadi warna merah. Tufail merenung rumput merah itu tanpa berkelip.

“Masih mempersoalkan nikmat Tuhan yang telah diberikan kepadamu, wahai anak muda?” satu suara yang cukup dikenali oleh Tufail kedengaran dari belakang. Tufail bangun dan berpusing 90 darjah. Kali ini, matanya bertembung dengan anak mata tua seorang lelaki yang berjambang putih dan memakai serban yang meliliti kepalanya. Wajahnya yang sudah tua dan berkerut itu kelihatan suci, sesuci jubah putih yang sedang dipakainya.

“Pak Syibli mengejutkan aku. Sudah berapa lama Pak Syibli berdiri di situ?” Tufail mengukir senyum mesra buatnya. Lelaki di hadapannya itu merupakan lelaki yang paling dihormatinya. Pak Syibli merupakan sepupu kepada bondanya, Permaisuri Zafirah. Pak Syiblilah yang banyak membantunya dan mengambil alih tugas ayahandanya semenjak raja Kota Tuhama itu mangkat. Tufail sudah banyak terhutang budi kepada Pak Syibli.

“Baru sahaja. Pak Syibli mahu menyampaikan satu perkhabaran kepadamu, Tuan Muda. Namun nampaknya Tuan Muda sedang sibuk menguji kekuatan sendiri di sini,” Pak Syibli tersenyum sehingga kedua-dua matanya terpejam. Tufail segera berjalan beriringan dengan bapa saudaranya itu kerana dia tahu Pak Syibli ingin menyampaikan satu perkhabaran yang penting.

“Adindaku, Zafirah sudah semakin tenat. Kamu tahu kan, Pak Syibli sudah menganggap Permaisuri Zafirah sebagai adikku sendiri. Pak Syibli ingin melakukan apa sahaja untuk membantunya kembali pulih. Selagi nyawanya masih belum dijemput oleh malaikat Tuhan, kita perlu berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan bondamu. Tetapi...”

“Tetapi apa, Pak Syibli?” Tufail memotong kata-kata Pak Syibli. Dahinya sudah berkerut.

“Anak muda, memang tidak sabar.” Pak Syibli tertawa kecil. “Pak Syibli sudah tua, makin tidak berdaya, bila-bila masa sahaja malaikat Tuhan boleh menjemput Pak Syibli. Jika sudah takdirku, mungkin Pak Syibli yang pergi dahulu sebelum ibumu.”

“Janganlah begitu Pak Syibli. Katakan apa yang boleh aku lakukan untuk membantumu dan juga ibuku?” Tufail menarik sebuah kerusi yang diperbuat daripada batang pohon yang paling keras terdapat di Kota Tuhama untuk Pak Syibli. Pak Syibli melabuhkan punggungnya di kerusi itu. Mahu tidak mahu, dia perlu meluahkan juga segala yang terbuku di hatinya. Amanah itu perlu diserahkan kepada anak saudaranya itu. “Beginilah Tufail. Adinda Zafirah sebenarnya diracun orang.”

“Diracun orang?” Tufail membulatkan matanya. Pak Syibli mengangguk perlahan. “Siapa Pak Syibli? Siapakah dalam kalangan penduduk Kota Tuhama ini yang berniat jahat terhadap ibuku? Biar aku penggal sahaja kepalanya demi membela nasib bondaku!”

“Sabar, anak muda. Dalam Islam, Rasulullah tidak pernah mengajar kita untuk membalas perbuatan jahat orang lain. Apatah lagi sehingga menumpahkan darah. Ketika baginda rasul dicaci dan dihina oleh masyarakatnya, baginda tetap bersabar bahkan mendoakan orang-orang yang mengasarinya itu mendapat hidayah Allah. Islam tidak pernah mengajar kita menzalimi diri sendiri dan orang lain. Beristighfarlah Tuan Muda.” Ketika itu, seorang pelayan lelaki datang sambil membawa dua cawan kecil yang berisi air zam-zam untuk diminum oleh mereka berdua. Tufail dan Pak Syibli mengambil minuman tersebut.

“Pak Syibli, aku bersalah. Tetapi, bagaimana jika pelaku durjana itu bukannya Islam? Pak Syibli sendiri tahu kan semenjak ayahanda Raja Al-Junaid mangkat, sebahagian daripada penduduk Kota Tuhama kembali murtad. Meskipun mereka masih mentaati kepimpinan bonda, kita tak tahu kan niat masing-masing? Mereka bukan saudaraku lagi, bererti aku bolehlah menghukum mereka,” Tufail ingin menuntut keadilan. Dia sudah lebih berwaspada semenjak mendengar khabar kecurian banyak berlaku dalam Kota Tuhama baru-baru ini.

Pak Syibli kembali meletakkan minuman ke atas dulang. Debu-debu pepasir terbang masuk ke dalam mata tuanya namun tidak dihiraukannya. “Benar, mereka bukan saudara seagama kita. Tetapi jika Tuan Muda telah ditabalkan menjadi raja kelak, mereka itu semuanya rakyat kamu. Allah mengamanahkan mereka ke atasmu. Tuan Muda tidak boleh berbuat sesuka hati terhadap rakyatmu sendiri.”

“Sudahlah Pak Syibli. Pak Syibli berterus-terang sahaja tujuan Pak Syibli ke mari,” Tufail mengubah topik. Dia tidak senang apabila topik tentang dirinya menjadi raja dibangkitkan. Dia masih risau sekiranya ada tanggapan rakyat jelata yang mengatakan dia mahu merampas takhta bondanya. Dia juga masih berasa dirinya belum layak untuk mengganti posisi almarhum Raja Al-Junaid. Paling penting, dia masih belum memiliki seorang isteri yang membolehkan dia menyandang jawatan raja.

Pak Syibli cuma tersenyum penuh makna. “Tuan Muda, segala penyakit di dunia ini pasti mempunyai penawarnya kecuali maut. Begitu juga bondamu. Penawar kepada penyakit racunnya itu adalah ramuan daripada pokok kaktus tidak berduri yang hanya boleh kamu dapatkan di pedalaman Kota Tuhama, tempat kaum Metalia yang mengusahakan perusahaan besi. Cuma terdapat satu sahaja kaktus tidak berduri dan di situlah Tuan Muda boleh mendapatkannya. Ini adalah kaedah terakhir untuk membantunya, selain berdoa. Tetapi kamu harus segera ke sana sebelum durinya tumbuh pada musim bunga. Jika tidak, kita terpaksa menunggu musim bunga berakhir untuk mendapatkannya. Pak Syibli khuatir, ibumu tidak mampu bertahan selama itu.”

“Aku yang harus ke sana, Pak Syibli? Pak Syibli sendiri tahu bukan aku tidak suka keluar dari istana untuk bertemu orang ramai. Setiap kali jika ada rakyat mengenaliku sebagai anakanda Permaisuri Zafirah ketika hendak ke masjid, mereka langsung bersujud kepadaku. Aku tidak suka diperlakukan demikian. Aku bukannya Tuhan, Pak Syibli. Lebih baik Pak Syibli hantarkan sahaja adindaku Taqiah untuk mendapatkan kaktus itu,” Tufail mengeluh panjang. Dia memang tidak suka dengan sikap rakyat Kota Tuhama yang terlalu menyanjunginya. Pak Syibli ketawa. “Kenapa Pak Syibli ketawa?”

“Kamu mahu menyuruh adikmu yang perempuan itu keluar? Tuan Muda memang lucu,” Pak Syibli menggeleng kepala. Tufail sekadar berdiam diri.

“Tuan Muda Tufail, Pak Syibli akui penduduk Kota Tuhama sudah kehilangan nur mereka semenjak kepergian kanda iparku. Raja Al-Junaid seorang yang sangat warak dan berhemah dalam menyampaikan risalah Rasulullah kepada penduduk kita. Beliau sangat disanjungi dan dihormati oleh semua orang. Pak Syibli sendiri pun sangat menghormatinya. Nur Islam kita semakin hari semakin pudar di sini. Pak Syibli sudah tua, tidak larat untuk aktif berdakwah. Para ulama kita pun semakin hari semakin berkurangan. Golongan muda lepas tangan. Kini giliran kamu pula untuk menggalas tanggungjawab untuk membetulkan segala yang salah.

Setelah Tuan Muda dapatkan kaktus tidak berduri itu, segeralah menikah dan mengadakan pertabalan raja. Tuan Muda tidak kasihankah kepada Permaisuri Zafirah? Beliau isteri kepada ayahandamu. Sudah pastilah beban yang ditanggungnya lebih berat daripada kalian berdua. Adindamu Puteri Taqiah juga memerlukan seorang kakak untuk curahan memandangkan dia sudah hampir meningkat remaja,” Pak Syibli sedaya upaya memujuk.

Tufail masih berdiam diri. Pak Syibli menyambung lagi. “Tuan Muda tidak rasakah kelebihan tuan untuk mengubah warna tanaman itu ditakdirkan Pencipta Tanaman untuk sesuatu yang lebih besar?”

“Maksud Pak Syibli?” Ketika itu, seorang pembantu lelaki muncul di hadapan mereka berdua dalam keadaan tercungap-cungap. Pastinya dia telah berlari dari dalam istana untuk mendapatkan mereka. “Ada apa Saefullah? Kenapa kamu tercungap-cungap begini?” Tufail pantas menyoal apabila melihat keadaan pembantunya itu.

“Tuan Putera Ibnu Al-Junaid, Tuan Syeikh Al-Syibli, patik baru mendapat khabar daripada dayang istana. Keadaan Permaisuri Zafirah sudah semakin serius. Permaisuri batuk berdarah. Patik sarankan, Tuan Putera segera ke kamar permaisuri untuk menjenguknya,” lelaki bergelar Saefullah itu menunduk tanda hormat. Tanpa membuang masa, Tufail segera bangkit dan bergerak ke kamar ibunya, meninggalkan Pak Syibli bersama pelayan-pelayan istana di luar.

Sejurus Tufail tiba di kamar Permaisuri Zafirah, tiga orang dayang yang ditugaskan untuk menjaga Permaisuri Zafirah segera keluar dari kamar. Mereka sudah sedia maklum bahawa putera mereka itu tidak senang berada di dalam satu bilik dengan wanita yang bukan mahramnya. Tinggallah Puteri Taqiah yang sedang mengesat darah yang tersisa di bibir bondanya. Tufail jadi sebak melihat kondisi itu. “Taqiah, bonda bagaimana?” Tufail menghampiri mereka.

Taqiah segera meletakkan jari telunjuknya di bibir tanda senyap. “Bonda tertidur kembali. Kepalanya pening. Taqiah tak sampai hati melihat bonda begini, kanda Tufail. Tidak ada carakah untuk menyembuhkan penyakit bonda?” Taqiah seolah-olah merayu kepada satu-satunya abangnya itu. Sudah sebulan lebih Permaisuri Zafirah gerang dan tidak ada satu pun perawat yang dipanggil mampu memulihkan keadaannya. Tufail mengambil posisi duduk di salah sebuah kerusi yang disediakan di dalam kamar itu.

“Sebenarnya ada, adindaku Taqiah. Pak Syibli baru memberitahu kanda sebentar tadi,” Tufail masih dibelenggu rasa keliru. Tugas yang diamanahkan oleh Pak Syibli itu seolah-olah sukar untuk dilaksanakannya. Taqiah memandang wajah abangnya dengan penuh persoalan dan harapan.

“Aku perlu mendapatkan kaktus tidak berduri yang dijaga oleh kaum Metalia yang tinggal di pedalaman Kota Tuhama. Kaktus itu nantinya perlu direneh untuk dibuat ramuan sebagai penawar penyakit bonda.”

“Kaum Metalia?” Taqiah terkejut. “Bukankah kaum Metalia itu merupakan kaum yang sangat memusuhi kerajaan? Merekalah yang mempengaruhi kaum-kaum yang lain untuk turut murtad. Dan bukankah kini mereka juga sedang membuat rancangan untuk menghasut rakyat jelata supaya memberontak kepada kita?”

Tufail merenung pokok bunga Carifellia yang ditanam di jendela kamar itu. Dia menyentuh pokok-pokok itu dan menukar warnanya daripada kuning kepada merah jambu. “Kanda tahu. Tetapi sekurang-kurangnya, inilah yang boleh aku lakukan untuk berbakti kepada bonda. Aku perlu ke sana dan pulang sebelum musim bunga tiba. Mungkin Allah telah mentakdirkan kanda untuk mengubah dunia ini. Mungkin benar kata-kata Pak Syibli.”

“Kanda, kaum Metalia adalah kaum pemberontak. Terlalu bahaya untuk kanda ke sana! Taqiah tidak mahu nyawa kanda juga berada dalam bahaya!” Air mata Taqiah hampir sahaja menitis akibat terlalu risaukan abangnya.

“Taqiah, keputusanku sudah muktamad. Demi keselamatanku, kanda akan menyamar sebagai orang biasa. Askar pelindung tidak perlu mengikutiku. Nanti musuh akan curiga. Aku akan cepat pergi dan cepat pulang. Adinda tolonglah perhatikan bonda, Tariq dan Pak Syibli sepanjang pemergianku. Aku akan berangkat esok hari.”

“Kanda...”

“Taqiah, aku berjanji, sebelum semua pokok-pokok Carifellia ini bertukar kuning kembali, aku akan pulang bersama penawar itu,” Tufail membulatkan tekad. Taqiah sudah tidak mampu berbahas lagi. “Baiklah, Taqiah akan membantu kanda membungkuskan pakaian dan makanan.”

Pak Syibli yang tidak sengaja mendengar perbualan mereka ketika menunggu di luar kamar menarik senyum bangga.

***

Sudah tiga hari Tufail menunggang unta merentasi padang pasir yang terik. Penduduk Kota Tumaha yang melihatnya cuma menganggapnya sebagai musafir kerana Tufail berpakaian seperti orang biasa. Tidak ada seorang pun askar pelindung yang dibawanya bersama untuk menyembunyikan identitinya. Tufail cuma membawa bersama pakaian persalinan, makanan yang telah dibungkuskan oleh adiknya, wang perbelanjaan serta pedang keselamatan.

‘Mengikut peta yang dilakar oleh Saefullah, aku sudah hampir tiba di pedalaman Kota Tumaha. Namun di mana harus aku mendapatkan kaktus tidak berduri itu?’ getus putera raja itu sendirian di dalam hati. Hari sudah Maghrib dan dia perlu mencari masjid atau tempat persinggahan untuk solat. Tufail turun daripada untanya dan memimpinnya menggunakan tali. Matanya meliar-liar mencari seseorang yang boleh membantunya menunjukkan arah masjid. Tidak lama kemudian, matanya menangkap figura seorang lelaki tua yang sedang membungkuskan roti-roti jualannya. Pada pendapat Tufail, pasti lelaki tua itu mungkin sudah mahu pulang ke rumah.

“Assalamualaikum, pak,” sapa Tufail sambil mendekati lelaki itu. Lelaki itu memerhatikan Tufail untuk seketika sebelum menjawab salamnya.

“Pak, aku ini musafir dan masih baru di kawasan ini. Sebentar lagi akan masuk waktu Maghrib, oleh itu aku perlu mencari masjid untuk mendirikan solat. Adakah kamu boleh membantuku menunjukkan arah masjid?”

Lelaki tua itu memerhatikan wajah Tufail agak lama. “Siapa namamu, nak?”

“Namaku Ibnu... Maksudku namaku Tufail!” Tufail menarik nafas lega. Hampir sahaja dia membocorkan identitnya sebagai Putera Ibnu Al-Junaid, iaitu nama gelarannya yang sudah dikenali seluruh penduduk Kota Tuhama. Mereka tidak mengenali namanya sebagai Tufail melainkan keluarga dan orang-orang terdekat.

“Ah, sangkaku kamu Putera Ibnu Al-Junaid, putera raja Kota Tuhama. Wajahmu mirip sekali dengannya,” lelaki itu tersenyum. “Namaku Syaqiq Al-Balkhi. Kamu boleh memanggilku Pak Syaqiq. Kebetulan aku memang hendak ke masjid, marilah kita bergerak beriringan. Masjid terletak tidak jauh dari sini.”

“Pak Syaqiq pernah jumpa Putera Ibnu Al-Junaid? Bukankah Ibnu Al-Junaid jarang keluar dari istana?” soal Tufail sambil menarik untanya, berjalan bersama-sama lelaki yang bergelar Pak Syaqiq itu. Dia berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

“Pihak istana sering membeli roti-roti yang dibuat oleh isteriku. Kata mereka, Tuan Puteri Bintu Al-Junaid sangat menggemari roti-roti buatan isteriku sehingga tidak mahu membelinya daripada penjual yang lain. Oleh itu, aku sering mengutuskan pembantuku untuk menghantar bekalan ke istana. Kadangkala, aku sendiri yang akan pergi ke sana.”

Tufail teringat memang Taqiah sangat menggemari roti yang khusus daripada pembuat yang sama sehingga tidak mahu membeli yang lain. Ternyata isteri Pak Syaqiq inilah yang banyak berjasa kepada pihak istana. Pak Syaqiq menyambung ceritanya lagi. “Pada suatu hari, aku terlihat Tuan Putera Ibnu Al-Junaid sedang berlatih pedang di halaman istana. Teknik bermain pedangnya begitu hebat untuk anak muda sepertinya. Aku jadi kagum dengan kehebatannya. Sayang sekali, dia tidak memanfaatkan kelebihannya itu untuk membantu kita.”

“Maksud Pak Syaqiq?” Tufail terkejut apabila dikhabarkan sedemikian rupa.

“Aku yakin putera raja itu sudah sedia maklum tentang keadaan masyarakat kita sekarang. Semenjak Raja Al-Junaid yang terhormat itu dipanggil oleh Tuhan untuk menghadapnya, Kota Tuhama sudah tiada tali pegangan. Mereka memerlukan seseorang yang berilmu dan kuat seperti almarhum raja untuk memerintah kerajaan. Permaisuri Zafirah terlalu lembut dan baik hati untuk memerintah. Tuan Putera yang bijak dan handal itu pula sekadar mendiamkan diri dan membiarkan pemberontak berleluasa. Aku sangat berharap dia boleh mengubah keadaan kita suatu hari nanti,” jelas Pak Syaqiq bersungguh-sungguh.

Tufail tertunduk kesal dan menyedari kesalahannya selama ini. Dia terkesima apabila mendengar luahan daripada seorang rakyat jelata. Sepatutnya, sudah lama Tufail bangkit menentang pemberontak. “Kamu memang baik hati, Pak Syaqiq. Aku doakan perusahaan rotimu mendapat untung dua kali ganda daripada Pemberi Rezeki.”

Akhirnya Tufail dan Pak Syaqiq tiba di sebuah masjid yang sangat cantik. Ukirannya cukup indah bagi sebuah masjid yang terletak di padang pasir. Tufail mengikat untanya di luar masjid dan mendirikan sembahyang berjemaah bersama-sama rakyat jelatanya. Kali ini, Tufail menangis dalam solatnya kerana kini dia mengetahui apa yang dirasakan oleh penduduk Kota Tuhama. Tufail menunggu sehingga solat Isyak kemudian barulah meneruskan perjalanannya.

Ketika putera raja itu sedang meleraikan ikatan untanya, Pak Syaqiq menahannya. “Tufail, boleh Pak Syaqiq tanya sedikit?”

“Silakan, Pak Syaqiq,” Tufail mengukir senyum.

“Kamu kelihatan seperti bukan orang sini. Sebenarnya kamu mahu ke mana, kalau boleh aku tahu?” soal lelaki separuh abad itu.

“Aku ingin pergi ke kawasan pedalaman.”

Pak Syaqiq hampir melompat mendengar jawapan Tufail itu. “Kamu mahu ke kawasan Metalia? Buat apa? Aku pasti kamu sudah tahu bahawa kaum Metalia sangat memusuhi penganut Islam seperti kita. Tersilap langkah, kamu mungkin dibunuh mereka! Buat apa kamu ke sana?”

Tufail memegang bahu kiri Pak Syaqiq. “Pak Syaqiq, ibuku terkena racun orang. Dan satu-satunya cara untuk menyembuhkan ibuku adalah dengan mendapatkan kaktus tidak berduri yang dijaga oleh mereka. Aku sanggup melalui apa jua rintangan, asalkan aku dapat berbakti kepada ibuku.”

“Kamu memang anak yang berjasa, jika kamu sudah berkata demikian, aku tidak dapat menghalang. Kamu anak yang berani, aku doakan perjalananmu selamat. Beginilah, biarkan aku memanggil pembantuku untuk membawamu ke sana. Tetapi kamu harus segera pulang sebelum musim bunga ya.”

“Semoga Tuhan merahmatimu, wahai hamba Allah yang mulia,” Tufail memeluk Pak Syaqiq kerana terharu. Dia tidak menyangka Pak Syaqiq sanggup membantunya meskipun hari sudah lewat malam.

Pak Syaqiq mengutuskan pembantunya Ibnu Sulaiman untuk menunjukkan arah kepada Tufail. Maka Tufail dan Ibnu Sulaiman menunggang unta masing-masing dan meneruskan perjalanan sehingga ke pintu gerbang kawasan penduduk Metalia tinggal selama beberapa hari. Ibnu Sulaiman menghentikan perjalanan mereka di situ. “Mengapa kamu berhenti, sahabatku Ibnu Sulaiman?”

Ibnu Sulaiman memandang wajah Tufail dengan perasaan bersalah. “Maafkan aku, Tufail. Aku cuma boleh memandumu sehingga tahap ini. Aku tidak mempunyai keberanian sepertimu untuk masuk ke dalam kehidupan kaum Metalia yang sangat membenci agamaku. Khabarnya, mereka cuba memurtadkan orang Islam yang ditemui. Jika mereka ingkar, mereka akan langsung dibunuh.”

“Astaghfirullah. Separah itu? Tidak mengapalah Ibnu Sulaiman. Kamu telah banyak membantuku selama ini. Terimalah sedikit wang pemberianku sebagai tanda penghargaanku untukmu,” Tufail mengeluarkan sekantung wang daripada saku jubahnya, namun Ibnu Sulaiman menolak lembut tangannya.

“Maafkan aku, sahabat. Bukannya aku tidak mahu menerima pemberianmu ini, tetapi aku melakukan semuanya ikhlas untuk membantumu. Simpanlah wangmu di tempat yang aman supaya tidak dirampas oleh pemberontak Metalia dalam perjalananmu nanti,” pesan Ibnu Sulaiman. Setelah meminta izin untuk mengundur diri, Ibnu Sulaiman membawa untanya pergi, perlahan-lahan hilang daripada pandangan Tufail. Tufail kemudian memerhatikan kawasan sekitarnya. Angin panas padang pasir meniup lembut wajahnya. Tufail menunggang untanya perlahan-lahan.

‘Bismillahirrahmanirrahim. Duhai Tuhanku yang Maha Berkuasa, demi menyebarkan risalah kekasihmu Muhammad di atas muka bumi ini, Engkau lindungilah aku daripada anasir jahat. Engkau peliharalah imanku. Engkau sihatkanlah tubuh badanku seandainya aku ditakdirkan untuk bertarung kelak. Duhai Tuhan yang Maha Menciptakan, seandainya aku ditakdirkan untuk menghadap ajalku di sini, Engkau matikanlah aku dalam keimanan,’ doa Tufail sebelum meneruskan perjalanannya.

Penduduk Metalia memandang Tufail dengan pandangan pesimis. Jantung Tufail berdegup agak laju daripada biasa. Dia melalui kawasan pasar untuk ke Taman Kaktus Larangan demi mendapatkan kaktusnya. Pasar di kawasan itu tidak sama dengan pasar-pasar yang pernah dilaluinya di kawasan-kawasan sebelum ini. Pasar itu lebih panjang daripada biasa. Tufail ternampak buah prawsa yang sangat digemarinya. Buah prawsa adalah buah yang sangat manis dan lembut isinya. Biji buah prawsa juga boleh dikunyah dan ditelan kerana tidak terlalu keras. Lelaki itu segera turun daripada tunggangannya untuk membeli buah kegemarannya itu.

Namun Tufail menjadi sedikit aneh kerana rata-rata dalam kalangan penjual di situ ada yang memakai tudung. Bukankah kaum Metalia tidak suka dengan orang Islam? Tufail membelek-belek buah-buahan dan mencari buah yang paling baik. Dia tidak dapat terlepas daripada mendengar perbualan wanita-wanita yang menjual itu.

“Basyirah, sampai bila kita mahu bertudung begini? Aku sudah bosan terpaksa mengamalkan cara hidup Islam!” wanita yang bertudung biru melontarkan perasaan kesalnya terhadap satu lagi wanita.

“Sabar sahajalah Silvia, kita ini bukannya Islam pun. Kita ini golongan munafik. Kita cuma pura-pura sahaja supaya boleh mendapatkan manfaat daripada penganut Islam. Penganut Islam di luar kawasan kita masih mampu berkuasa kerana dilindungi oleh Permaisuri Zafirah dan Putera Ibnu Al-Junaid. Apabila kaum Metalia sudah berjaya memberontak dan menguasai Kota Tuhama, kita tidak perlu berpura-pura lagi. Kita boleh merampas buah-buahan yang ditanam di kawasan penganut Islam dengan mudah. Kita tidak perlu berurus niaga lagi dengan menipu mereka melalui pemakaian kita. Kamu harus bersabar sedikit lagi. Jangan tergopoh-gapah!”

“Masalahnya Basyirah, bukannya ada orang Islam pun di sini!” wanita yang bernama Silvia itu langsung membuka tudungnya. Dia mengelus rambutnya yang panjang dan berwarna perang itu. Tufail menunduk sambil beristighfar.

“Itulah kamu! Pihak berkuasa kan sudah pesan, kita perlu biasakan memakai tudung supaya tidak janggal ketika keluar kawasan kelak. Kamu ini, di pasar pun tidak boleh memakai tudung, bagaimana pula dalam perjalanan ke kawasan penganut Islam nanti? Kamu tidak takut akan dilarang untuk berniaga dengan orang Islam nanti? Pihak berkuasa ada di mana-mana, tahu?” Basyirah terus memarahi rakan penjualnya itu. Silvia kelihatan sedikit tidak berpuas hati, namun dia tetap menyarungkan kembali tudungnya.

Tufail mengambil beberapa biji buah prawsa dan memasukkannya ke dalam plastik lalu menghulurkannya kepada Basyirah sambil berpura-pura tidak mendengar perbualan mereka. “Berapa ini?”

Basyirah dan Silvia berpandangan sesama sendiri agak lama. Tufail menelan liur, bimbang jika identitnya telah terbongkar.

“Wah, kamu ini memang pemuda yang tampan! Silvia belum pernah melihatmu sebelum ini, kamu jarang keluar rumah ya?” Silvia segera memegang tangan Tufail. Tufail segera menarik tangannya. Dia tahu memegang tangan wanita yang bukan mahram adalah berdosa besar.

Basyirah kemudiannya menolak Silvia sehingga wanita itu terjatuh menyembah bumi. Silvia mencebik kepada Basyirah. “Silvia, lelaki ini membeli buah denganku, bukan denganmu. Jadi pastilah dia lebih tertarik denganku bukan denganmu!” Basyirah menjeling tajam kepada Silvia sebelum memandang Tufail kembali dengan senyuman paling manis yang pernah dimiliknya.

“Siapa namamu?” Basyirah menyoal penuh menggoda.

“Namaku Tufail. Berapa harga buah-buahan ini?” Tufail tidak mahu berlama-lama di situ.

“Aku sanggup memberikanmu buah-buahan ini secara percuma, asal kamu mahu datang ke rumahku malam ini. Bagaimana?” Basyirah mengenyitkan matanya. Tufail beristighfar panjang di dalam hati.

“Maaf, aku ada urusan. Sebutkan sahaja harganya, aku mampu membayarnya,” Tufail mengeluarkan kantung wang daripada sakunya. Basyirah menarik muncung yang agak panjang. “Baiklah, jangan menyesal kamu menolak pelawaanku. Harganya 500.”

Belum sempat Tufail mengeluarkan wangnya, kantung wang tersebut dirampas oleh seseorang. Tufail terkejut dengan perbuatan lelaki berbadan tegap itu. Namun dia tidak serta-merta bertindak kerana tidak mahu rahsianya terbongkar. Sekiranya Tufail bertarung, pastilah penduduk Metalia mengesyaki sesuatu dengan dirinya. Basyirah dan Silvia bergerak agak jauh, tidak mahu terlibat dalam masalah. Ketika itu barulah mereka sedar Tufail membawa seekor unta bersamanya, yang menandakan dia adalah orang luar. Sudah menjadi kebiasaan di situ untuk merompak wang musafir yang datang, kecuali mereka yang telah dimaklumkan oleh pihak kerajaan.

“Kembalikan wang milikku!” Tufail tidak berpuas hati. Jika diikutkan hati, sudah lama dia menyerang lelaki itu dan mengerjakannya dengan pedangnya. Lelaki itu mengoyakkan kantung yang dirampasnya dan mula mengira jumlah wang yang dirampasnya.

“Kamu kelihatan seperti anak orang kenamaan. Buat apa tujuanmu ke mari? Adakah kamu orang Islam?” Lelaki itu menyoalnya. Tufail teragak-agak mahu menjawabnya.

“Aku mahu berjumpa dengan ketua kamu. Aku ada urusan dengannya,” Tufail terpaksa berbohong untuk menyelamatkan dirinya.

“Tuan Zeiger tidak pun memaklumkan kedatanganmu ke mari. Adakah kamu penganut Islam?” Kali ini intonasi suara lelaki itu lebih serius. Bila-bila masa sahaja dia boleh memukul Tufail. Tufail memandang sekeliling, seolah-olah semua mata yang berada di pasar itu sedang memerhatikan dirinya.

“Aku...”

“Berhenti!” Entah dari mana, seorang wanita cantik yang memakai tudung sambil membawa pedang di tangannya muncul sekaligus memotong jawapan Tufail. Tufail menarik sedikit nafas lega, namun nasibnya masih tidak menentu pada saat itu. Tufail melihat lelaki yang merampas wangnya itu bertentangan mata dengan wanita itu. Pada ketika itu, peniaga-peniaga di pasar kembali menjual seolah-olah tidak ada apa yang terjadi. Mereka kelihatannya seperti takut pada wanita muda itu.

“Pergi.” Dengan sekali arahan, lelaki itu bergerak pergi meninggalkan Tufail, tetapi tidak memulangkan wangnya. Tufail masih terkeliru dengan apa yang sedang terjadi. Dia mengucapkan syukur di dalam hati. Tufail sedar, dia tidak boleh bertindak melulu dan mencuri tumpuan ramai. Lebih bagus untuk dia menyamar sebagai orang biasa yang tidak handal bertarung. Wanita itu tiba-tiba menghunuskan pedangnya tepat di hadapan padang hidung putera raja itu, membuatkan Tufail menelan liur. “Kamu, ikut aku.”

Tufail mengikuti jejak langkah wanita itu dari belakang. Pelbagai persoalan datang menerpa  mindanya namun dia masih belum memikirkan sebarang percaturan.

“Terima kasih, puan?” Mendengar sahaja kata-kata Tufail itu, sekali lagi wanita itu menoleh dan menghunuskan pedangnya ke arah Tufail. “Aku belum berkahwin. Berapa umurmu?”

“Dua puluh lima,” jawab Tufail tanpa berselindung.

Wanita itu tertawa kecil. “Bahkan aku muda setahun daripadamu. Mengapa kamu memanggilku puan?”

“Justeru apa gelaran yang harus kuberikan padamu?”

“Maria.” Wanita itu terus berjalan sehingga membawa Tufail dan untanya melalui jalan yang tidak banyak orang seperti di pasar tadi.

“Baiklah Maria. Beginilah, aku langsung tidak tahu apa-apa tentang kawasan ini. Aku seorang musafir yang datang dari kawasan yang sangat jauh dari sini. Kenapa orang di sini bersifat aneh sekali? Adakah kamu ini seorang Islam?” Tufail tidak dapat menyembunyikan persoalan yang bermain-main dalam hatinya. Mungkin dia boleh mempercayai Maria, wanita yang telah menyelamatkannya itu.

“Jangan sebut perkataan itu di sini,” Maria memperlahankan suaranya.

“Perkataan Islam?” Tufail menyoal lagi. Dia dapat melihat Maria mengangguk meskipun wanita itu memakai tudung.

“Apa tujuanmu ke mari?” soal Maria dan memberhentikan langkahnya setelah diyakini tidak ada orang di kawasan itu.  “Aku.. aku ingin bertemu ketua kaum kalian,” Tufail cuba mereka cerita.

“Kamu tidak perlu membohongiku. Biar aku jelaskan, aku sudah perhatikan semua yang terjadi di antara kamu dan penjual-penjual wanita di pasar tadi. Saat si Silvia cuba memegang tanganmu, kamu menariknya dengan pantas. Jarang ada Mulhid yang akan menolak pelawaan seorang wanita, meskipun kamu bukan berasal dari sini,” Maria menentang mata Tufail. Tufail melarikan kedua-dua anak matanya.

“Mulhid?”

“Nampaknya kamu bukan seorang mulhid. Berterus terang denganku, aku tidak akan membunuhmu. Sekarang beritahu aku, adakah kamu seorang Islam ataupun agama lain?” Maria cuma mendapat kepastian. Tufail berasa kedudukannya sedang terancam. Namun, Maria sudah menyelamatkannya daripada orang ramai dan wanita itu kelihatan seperti baik.

“Aku... aku Islam,” perlahan Tufail mengakui. Cuma Maria harapannya saat itu. Maria membulatkan kedua-dua biji matanya.

“Apakah hal yang begitu penting sehingga menyebabkan seorang penganut Islam ke mari? Seandainya aku tidak menghalang lelaki tadi, kamu pasti sudah dibunuhnya. Di sini bukan tempatmu!” Kali ini Maria seolah-olah marah dan cuba menghalau Tufail.

“Begini, Maria. Pada saat ini, aku telah meletakkan kepercayaanku kepadamu kerana kamu telah menyelamatkan nyawaku. Aku sangat berharap kamu boleh membantuku. Aku ke sini untuk mendapatkan kaktus tidak berduri yang dijaga oleh kaummu, untuk mengubati ibuku yang jatuh sakit akibat diracuni orang. Aku sudah tidak ada pilihan lain,” jelas Tufail sambil memerhatikan debu-debu pepasir yang melekat pada kasutnya yang sedang bergerak.

“Siapa namamu?”

“Tufail.”

“Tufail, kamu telah meletakkan dirimu dalam posisi yang sangat bahaya. Namun aku menyanjungi keberanianmu masuk ke dalam kawasan kami. Di sini, kami semua adalah Mulhid, iaitu tidak mempercayai sebarang Tuhan. Dahulu memang Islam meluas di sini, namun semenjak raja telah mangkat sepuluh tahun yang lalu, kepercayaan Islam telah mulai dikikis. Aku sempat belajar tentang Islam sehinggalah usiaku 14 tahun. Setelah itu, orang tuaku mengatakan bahawa Tuhan itu tidak wujud dan aku mempercayainya sehingga kini.

Namun jauh di sudut hatiku, aku masih ingin mencari kebenaran tentang Islam. Mereka fikir aku memakai tudung kerana aku termasuk golongan munafik, tetapi aku bertudung kerana aku masih terkesan dengan ajaran Islam. Setelah aku memerhatikan dirimu, aku berminat untuk menyelamatkanmu untuk belajar tentang Islam,” jelas Maria.

“Kalau kamu percaya dengan ajaran Islam, mengapa kamu tidak mempercayai Tuhan?” balas Tufail.

“Aku ragu-ragu. Kalau benar Tuhan itu wujud, apa buktinya? Di manakah Tuhan sekarang? Mengapa Dia tidak muncul ketika ratusan penganut Islam dibunuh di sini dahulu? Tiada siapa yang mampu menjawab persoalanku itu. Maka, aku memutuskan untuk mempercayai ajaranku.”

Kali ini, Tufail pula yang berhenti berjalan. Putera raja itu tersenyum. “Cuba lihat untaku ini.” Maria mengikuti permintaan Tufail. “Semenjak tadi, untaku memakan rumput-rumput di sini dengan tidak berhenti. Apakah kamu dapat menunjukkan dengan tepat posisi rumput yang dimakan oleh untaku tadi?” Maria mengangkat kening sebelah. “Adakah kamu sudah gila? Sudah pastilah aku tidak boleh melakukan hal yang demikian. Cebisan rumput itu ada di mana-mana sahaja di dalam tubuhnya!”

“Begitulah juga dengan Tuhan. Tuhan itu memang wujud dan Dia boleh berada di mana-mana sahaja. Tidak ada tempat yang spesifik untukNya. Tuhan bebas menghadapkan wajahnya ke mana pun arah yang dimahukanNya. Sekarang aku hendak bertanya satu lagi soalan, sekiranya rumput yang dimakan oleh untaku itu beracun, apa yang akan terjadi?”

“Sudah pastilah untamu akan mati keracunan!”

“Ya betul. Namun sesudah itu, aku boleh mengorbankan untaku, dan memakan dagingnya untuk tempoh yang agak lama. Bahkan, aku boleh mengagihkan dagingnya kepada orang ramai. Begitu juga dengan Tuhan. Tuhan sengaja menurunkan musibah kepada hambaNya, namun banyak hikmah yang terselindung di balik musibahnya itu. Terpulang kepada kita untuk melihatnya atau tidak.”

Maria diam. Dia mulai memikirkan kebenaran kata-kata Tufail. “Ternyata kamu bukan sahaja tampan malah pintar,” Maria melangkah dengan lebih laju.

***

Langit sudah hampir gelap. Tufail perlu mencari tempat untuk bersolat, namun dalam kawasan itu, Maria sudah mengingatkan bahawa jika ada orang yang melihatnya bersolat, dia akan dibunuh pada bila-bila masa sahaja. Tufail melajukan langkahnya.

“Kamu ini memang aneh ya, Tufail? Aku yang menunjukkanmu arah, tetapi kamu yang mendahuluiku. Perlahankanlah sedikit langkahmu,” ujar Maria dari belakang. Sudah hampir beberapa jam mereka berjalan seperti itu.

“Maaf ya, Maria. Aku harus memberitahumu. Wanita boleh mendatangkan fitnah kepada lelaki. Oleh itu, aku terpaksa berjalan di hadapanmu. Usah khuatir, aku akan mendengar arahanmu dengan teliti. Tetapi buat masa ini, aku perlu mencari tempat untuk solat,” jelas Tufail. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan.

“Adakah kamu tidak boleh meninggalkan solat dalam keadaanmu ini?”

“Astaghfirullah, tidak boleh, Maria. Solat itu merupakan tiang kepada agama Islam. Sekiranya seorang muslim meninggalkan solatnya, bererti tiangnya akan goyah. Aku tidak mahu tiangku goyah.”

Akhirnya Tufail berhenti di tepi jalan dan mengangkat tayammum. Maria cuma memerhatikan sahaja tingkah laku Tufail. Dia sudah berjanji untuk mengawasi Tufail sepanjang lelaki itu bersolat. Maria memerhatikan semuanya bermula daripada takbiratul ihram sehingga Tufail duduk tahiyyat akhir dan memberi salam. Dia cuma mengingat kembali ajaran solat yang pernah disampaikan kepadanya dahulu, namun segalanya seakan-akan kabur. Tufail mendirikan solat jamak, iaitu menghimpunkan solat Maghrib dan solat Isyak sekali. Dengan kaedah ini, dia boleh menjimatkan masanya dan tidak perlu bersusah payah untuk mencari tempat lain bagi mendirikan solat Isyak. Setelah itu, Tufail menghidupkan obor dan mereka meneruskan perjalanan sehingga tiba di hadapan sebuah kebun buah-buahan.

“Kita perlu melalui kebun ini untuk ke Taman Kaktus Larangan. Aku sendiri belum pernah ke sana. Taman Kaktus Larangan berada di sebelah sana. Aku perlu mengingatkanmu, bahawa kebun ini ada penjaganya yang aneh, Pak Hiwari. Kita harus berhati-hati dengannya,” jelas Maria.

“Kita? Kamu mahu ke sana sekali? Untuk apa?” Tufail mengerutkan dahinya.

“Aku harus memastikan kamu selamat. Kamu kan tidak pandai bertarung? Aku juga teringin mahu melihat kaktus tidak berduri itu dengan mataku sendiri,” Maria tersenyum sehingga mampu menggoyahkan jiwa mana-mana lelaki yang memandangnya pada saat itu. “Terpulang,” Tufail berbasa-basi sambil mengikat untanya di luar.

Kawasan di situ sangat gelap sehingga obor yang dipegang oleh Tufail pun tidak dapat banyak membantu. Tufail cuba memerhatikan keadaan sekeliling. Seperti yang dikatakan Maria, terdapat sebuah kebun buah-buahan yang sangat luas di hadapan mereka. Tufail sudah tidak mahu membazir masa kerana musim bunga akan tiba dalam masa yang terdekat. Kakinya perlahan-lahan melangkah ke dalam kebun itu. Maria membuntutinya.

Tiba-tiba, mereka berdua disergah oleh Pak Hiwari, penjaga kebun itu seperti yang dijangkakan. “Tidak terlalu pantas, anak-anak muda. Apa yang kalian inginkan terhadap kebunku ini, ha?” Pak Hiwari menyoal sambit menggigit buah dalama yang dipegangnya.

“Maaf pak, kami sekadar ingin melalui kebunmu ini, untuk pergi ke Taman Larangan Kaktus. Kami tidak berniat jahat,” terang Tufail. Matanya masih cuba memproses wajah Pak Hiwari yang mempunyai rambut panjang. Setelah lama diamati, ternyata Pak Hiwari juga seorang yang buta. Tufail jadi hairan. Bagaimana seorang lelaki yang buta mampu mengesan kehadiran mereka?

Pak Hiwari menelan buah dalamanya sehingga habis. “Tidak ada satu orang pun yang boleh melalui kebunku sebelum menjawab pertanyaan keramatku ini. Seandainya salah satu daripada kalian mampu menjawabnya dengan tepat, maka aku akan mengizinkan kalian untuk meneruskan perjalanan. Sekiranya tidak, pulang sahajalah. Lagipula, aku yakin Tuan Zeiger sedang mencarimu, Maria.”

“Bagaimana kamu boleh mengetahui nama sahabatku ini?” soal Tufail aneh. Apa pula hubungan Tuan Zeiger dan Maria? Maria terkejut apabila identitinya dikesan oleh Pak Hiwari hanya melalui suaranya, padahal baru sekali dia pernah ke situ sebelumnya untuk mengikuti ayahnya membeli buah-buahan. “Err, tidak usah kamu fikirkan tentang itu, Tufail. Lebih baik kita dengarkan soalan Pak Hiwari terlebih dahulu,” Maria memberi cadangan untuk mengelakkan Tufail mengesyaki sesuatu.

 “Apakah kalian orang Islam?” soal Pak Hiwari terlebih dahulu. Dia tidak mahu ada penganut Islam yang melalui kebunnnya. Mendengarkan pertanyaan itu, Maria serta merta menjawab untuk melindungi Tufail. “Tidak pak, saya Mulhid.” Mendengar pernyataan itu, Pak Hiwari mengangguk kecil. Tufail menambah, “Adakah sekarang kami boleh melalui kebun kamu?”

Tufail segera menanyakan soalan itu. Tanpa diduga, Pak Hiwari bertindak mencekik Tufail tanpa perlu melihatnya. Maria terkejut dengan tindakan itu. “Wahai anak muda, aku tahu kamu seorang Muslim. Seandainya kamu mampu menjawab pertanyaanku, aku berjanji akan merahsiakan kedatanganmu. Sekiranya tidak, lebih baik kamu bersiap sedia menempah ajalmu!” Pak Hiwari melepaskan pegangannya supaya Tufail boleh bernafas. Tufail dan Maria berpandangan terkejut.

Pak Hiwari meneruskan soalannya. “Kamu mengakui kamu mempunyai satu Tuhan. Jadi bagaimana untuk menjadi lebih kaya-raya daripada Tuhanmu itu?” “Pak, tidak mungkin kami mampu menjawab soalanmu itu,” Maria segera mencantas, namun Pak Hiwari tidak mahu mengubah soalannya.

Tufail berfikir sejenak, kemudian bibirnya menarik senyum. Dia membacakan surah al-Ikhlas. Semacam satu rasa menyerang jiwa Maria apabila mendengar bacaan Tufail.

“Tuhan tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Jawapanku, untuk menjadi lebih kaya-raya daripada Tuhan, seseorang itu cuma perlu mempunyai ramai anak. Ramai anak itu tandanya banyak rezeki.”

“Ah, kamu benar!” Ketika itu, Pak Hiwari menggelupur di atas bumi seolah-olah kepanasan. Dia memegang kepalanya yang sakit.

Pada saat itu jugalah Tufail dan Maria melalui kebun buah-buahan itu tanpa banyak bicara. Akhirnya, mereka tiba di Taman Kaktus Larangan. “Subhanallah!” ucap Tufail apabila terpandang sebuah pohon kaktus yang hijau dan licin tanpa berduri. Tufail mengeluarkan pedang yang tersarung di dalam bungkusan yang dibawanya bersama. “Kamu bertarung?” Maria terperanjat. Menyedari reaksi Maria, Tufail cuba berselindung. “Aku sentiasa membawa pedang ini bersamaku,” Tufail cuba memotong sebahagian daripada pohon kaktus itu.

“Tangkap dia!” Satu suara yang garau menyeru. Tufail menoleh ke belakang dan memerhatikan banyak orang yang berpakaian seragam muncul entah dari mana. “Maria, hati-hati!” pesannya. Namun, orang yang berpakaian seragam langsung tidak mengendahkan Maria, sebaliknya bertindak mendapatkan dirinya.

“Bodoh! Kamu, orang Islam cuba merampas kaktus tidak berduri yang telah lama kami jaga secara rapi. Adakah kamu fikir kamu akan berhasil menewaskan kaum Metalia yang gagah perkasa? Senjata kami semuanya dilentur daripada besi yang diciptakan khas untuk menewaskan penganut Islam sepertimu,” seorang lelaki yang paling besar di antara mereka dan berpakaian kemas bersuara. Pada saat itu, orang-orang yang berpakaian seragam sudah menangkap lengan Tufail sehingga membataskan pergerakannya.

“Ayah, bagaimana kamu boleh berada di sini?” soal Maria tidak percaya. Dia tidak menyangka Tuan Zeiger akan berada di situ. “Ayah??” Tufail diserang kejutan. Adakah selama ini dia cuma dipermainkan oleh Maria?

Tuan Zeiger bertentangan mata dengan Maria. Dia menarik keras tubuh Maria. “Seluruh kaum Metalia sudah menghidu pergerakanmu bersama Muslim ini! Sekarang ingin aku menyoalmu, anakku, adakah kamu ikhlas membantunya ataupun kamu sekadar ingin menghancurkannya?!” soal Tuan Zeiger dengan garang. Maria mengetap bibirnya. Dia memandang Tufail yang sedang ditahan.

“Aku... aku sengaja menipunya untuk dihadiahkan kepadamu, ayah,” Maria bersuara lemah. Tufail membulatkan kedua biji matanya. Orang-orang suruhan Tuan Zeiger menariknya dan membawanya pergi. “Kamu pembohong, Maria! Aku tidak menyangka bahawa aku telah mempercayaimu selama ini. Ternyata, kamu sama sahaja seperti kaum Metalia yang lain!”

Maria menolehkan pandangannya daripada melihat Tufail. Namun, air matanya sedikit tumpah.

***

Taqiah memerhatikan pokok bunga Carifellia yang semakin menguning kembali. Hatinya dilanda resah dan gelisah memikirkan tentangan yang mungkin dihadapi oleh kaum Metalia terhadap abangnya. Bondanya pula cuma mampu terlantar di atas katil sepanjang hari. Tiada lagi senyuman mesranya seperti dahulu. Yang ada cumalah batuk-batuk dan mengadu sakit. Taqiah berdoa agar semuanya kembali pulih.

Pintu kamar diketuk tiga kali dari luar, sekaligus membunuh lamunan Taqiah. Seorang dayang sudah mahu membuka pintu namun Taqiah menghentikannya. Dia sendiri yang bangkit dan bergerak membuka pintu kamar. Di hadapan muka pintu, Pak Syibli muncul bersama senyuman. “Pak Syibli rupanya. Ada apa ke mari?” soal Taqiah lembut. Cara pertuturannya mengingatkan Pak Syibli terhadap Permaisuri Zafirah, adik sepupunya yang terkenal dengan sifat lemah-lembutnya.

“Kandamu berpesan kepadaku untuk menjenguk keadaanmu. Sudah beberapa hari Pak Syibli lihat kamu tidak keluar daripada kamar ibumu sehinggakan dayang pun disuruh untuk menghantar makanan ke sini,” bicara Pak Syibli.

Taqiah tersenyum malu. “Aku semakin khuatir dengan kanda Tufail. Musim bunga bakal tiba dalam beberapa hari ini. Aku sangat berharap kanda akan membawa pulang kaktus tidak berduri itu dengan segera. Apa yang penting, aku berharap kekandaku akan pulang dengan selamat. Akhir-akhir ini aku bermimpi pemberontak menyerangnya dengan zalim. Aku takut mimpiku itu menjadi nyata, Pak Syibli.”

“Mimpi itu hanyalah bisikan syaitan terhadapmu. Tuan Muda Tufail merupakan seorang yang pintar dan handal. Pak Syibli yakin dia akan pulang segera dengan izin Allah. Tidak usah terlalu difikirkan tentang hal ini. Kamu sebagai adindanya lebih baik mendoakan keselamatannya. Tuhan yang Maha Penyayang pasti mendengar luahan hatimu,” pesan Pak Syibli.

“Aku sangat berharap begitu, Pak Syibli,” ujar Taqiah sambil kembali berpaling menghadap pokok bunga Carifellia yang terletak di jendela kamar bondanya.

***

“Allahu akbar!” Tufail menjerit kesakitan apabila tubuhnya ditendang oleh seorang pengawal yang berbadan gempal. Tangannya kini telah digari yang diperbuat daripada logam paling keras dan hanya boleh didapati daripada kaum Metalia. Seandainya tangannya tidak digari, sudah lama pengawal bertubuh gempal itu dikerjakannya habis-habisan. Setelah itu, seorang pengawal yang lain pula menumbuknya di pipi sehingga darah terpancul keluar daripada mulut putera raja itu.

“Berhenti!” Maria muncul secara tiba-tiba di penjara bawah tanah itu. “Ayahku mengirimkan pesanan buatnya,” tambahnya lagi. Dua orang pengawal itu berundur dan keluar dari penjara, memerhatikan mereka berdua dari luar. Tufail menoleh ke arah lain, geram menyelubungi dirinya kerana telah ditipu hidup-hidup oleh anak kepada ketua kaum Metalia itu. Maria sedikit menunduk, mendekatkan bibirnya kepada telinga Tufail.

“Dengar sini, Tufail. Jangan bicara walau sepatah pun. Aku meminta maaf kerana tidak memberitahumu tentang kedudukanku. Aku tidak mahu kamu membenciku. Semua yang telah kukatakan kepadamu sebelum ini benar, aku tidak membohongimu. Aku memang merindukan nur Islam daripadamu. Aku sedang mencari cara untuk membebaskanmu,” bisik Maria.

“Cik Maria?” pengawal berbadan gempal itu memanggilnya dari luar, mungkin kehairanan melihat Maria dalam keadaan berbisik.

“Patuhi arahanku. Sekarang kau berpura-pura menjerit kesakitan, supaya mereka tidak berprasangka buruk terhadapku,” pinta Maria. Tufail cuba menghadam kata-kata Maria meskipun dia masih lagi berada dalam keadaan terkejut dan terbelenggu. Maria berundur dua tapak ke belakang, seraya menghalang pengawal-pengawal daripada melihat apa yang dilakukannya terhadap Tufail.

“Dasar lelaki tidak guna! Rasakan!” kata Maria berpura-pura sedang menyakiti Tufail. Tufail menjerit kesakitan, meskipun tidak ada sebahagian pun daripada tubuhnya yang disentuh Maria. Taktik mereka berkesan kerana pengawal-pengawal itu ketawa terbahak-bahak dari luar penjara. “Malam ini aku akan membebaskanmu,” bisik Maria untuk kali kedua sebelum bergerak pergi, meninggalkan Tufail dan pengawal-pengawal yang sudah bersedia untuk membelasahnya lagi.

Pada malam itu, seperti yang dijanjikan, Maria perlahan-lahan berjalan menuju ke arah penjara ketika dua orang pengawal itu sedang tidur. Meskipun diselubungi perasaan takut, wanita itu tetap memberanikan diri demi menebus kesalahannya. Dia melihat Tufail sedang tertidur di atas sebuah kerusi dalam keadaan tangan tergari di belakang kerusi. Mulut Tufail juga disumbat menggunakan kain. Maria sempat menitiskan air matanya melihat lelaki itu diseksa sedemikian rupa.

‘Mengapa aku menangis?’ soalnya di dalam hati. Maria cuba mengambil kunci yang dipegang oleh salah seorang pengawal botak yang sedang tidur. Tangannya perlahan-lahan dihulurkan. Dengan kuasa Tuhan yang Maha Adil, tangannya berjaya mengambil gugusan kunci tersebut. Maria berusaha sedaya-upaya untuk membuka pintu penjara. Ketika itulah, Tufail terjaga daripada tidurnya. Maria pantas menarik keluar kain yang menyumbat mulut Tufail.

“Maria, buat apa kamu ke sini? Bahaya, tahu?” Tufail separuh berbisik. Dia tidak mahu wanita itu tercedera kerananya. Maria menggeleng. “Justeru kamu yang berada dalam bahaya, Tufail. Bila-bila masa ayahku akan menjatuhkan hukuman bunuh ke atasmu. Kamu masih belum dibunuh kerana helah-helahku. Aku bersalah terhadapmu,” Maria juga ikut memperlahankan suaranya. Maria cuma mencari kunci gari itu dengan pantas sebelum ada yang terjada. Terdapat banyak kunci dalam tangannya maka dia perlu mencuba satu demi satu.

Disebabkan terlalu gelisah, gugusan kunci itu tiba-tiba terlepas dari tangannya dan terjatuh ke bawah. Bunyi bising itu telah mengejutkan salah seorang pengawal yang terpinga-pinga. Maria segera mengutip kembali kunci dan terus mencuba sehinggalah akhirnya gari itu terbuka. Namun, pengawal yang terjaga itu telah menyedari helah mereka. Dia mengejutkan pengawal yang lain. Maria menghunuskan pedangnya dan bersiap sedia untuk melawan. Namun, Tufail bergerak ke hadapan Maria. Maria terpana.

“Tidak, Maria. Ini adalah pertarunganku. Mana pedangku?” soal Tufail serius. Maria mendapatkan pedang Tufail yang terletak berhampiran dengan segera dan menyerahkannya kepada lelaki itu. Jauh di sudut hatinya, dia begitu khuatir kerana dia menyangka Tufail tidak tahu bertarung.

Pengawal yang berbadan gempal itu langsung menyerang dengan pedangnya. Tufail segera membalas. Pedangnya digerakkan dengan penuh seni kerana dia sudah dilatih dengan seni pertarungan semenjak kecil. Tufail menahan semua serangan pengawal itu dengan cekap. Kini, gilirannya pula untuk menyerang. Tufail menunduk dan menendang kekuda pengawal itu sehingga terjatuh. Cukup dengan satu tumbukan yang padu di bahagian pipi, pengawal itu langsung pengsan tidak menyedarkan diri. Tufail berpegang dengan prinsip untuk tidak membunuh kecuali dalam keadaan yang sangat mendesak. Pengawal-pengawal yang lain pula datang untuk menyerang. Dengan kehandalan yang dimiliki Tufail, dia mampu menewaskan semua pengawal yang ada. Maria tidak terkata-kata.

Mereka berdua berlari mengikut jalan keluar yang ditunjukkan Maria. Bukan mudah untuk melepasi kawasan kubu binaan Tuan Zeiger.  Sepanjang perjalanan Tufail dan Maria sama-sama menumpaskan musuh yang menyerang. Namun Tufail yang lebih banyak beraksi. Maria tidak mampu bertarung sehebat Tufail. “Kita perlu ke Taman Kaktus Larangan dengan segera. Aku tahu jalan pintas dari sini,” ujar Maria. Mereka sudah tidak mempunyai banyak masa yang tinggal.

Melalui bantuan Maria, mereka berjaya sampai di Taman Kaktus Larangan sekali lagi. Namun seperti yang dijangka, Tuan Zeiger sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Kali ini, dia bersendirian kerana banyak pengawalnya yang sudah ditewaskan. Tuan Zeiger bertepuk tangan.

“Maria, Maria! Puteriku tercinta. Buat apa kamu membantu Muslim ini, anakku? Kamu telah mengkhianatiku!” Wajah Tuan Zeiger berubah merah.

Maria menangis. “Ayahku, tolonglah lepaskan pemuda ini, ayah. Dia cuma ingin membantu ibunya yang keracunan. Cuma kaktus tidak berduri ini sahaja yang mampu menjadi penawar untuk ibunya,” pinta Maria. Wajah Tuan Zeiger berubah apabila mendengar kata-kata Maria itu. Dia seolah-olah sedang berfikir sesuatu.

“Seandainya benar, hal itu tidak mungkin terjadi kerana musim bunga telah tiba!” Tuan Zeiger ketawa terbahak-bahak. Seraya itu juga, duri-duri kecil mulai tumbuh pada pokok kaktus itu dan pantas memanjang. Kini, kaktus tidak berduri itu sudah bertukar menjadi kaktus yang berduri. Melihatkan kejadian itu, Tufail langsung terduduk di atas tanah. Harapannya hancur musnah.

“Tidak ada kejayaan untukmu, Muslim,” sambung Tuan Zeiger. Tufail tidak mampu menahan rasa kesalnya. Cuma cahaya bulan yang menerangi malam itu. Kedua-dua telapak tangannya menyentuh permukaan pepasir malam. Terdapat rumput pendek di sekitar kawasan itu. Tufail menyentuh rumput itu dan menukarnya menjadi warna putih. Tuan Zeiger dan Maria yang melihat kejadian itu masing-masing tidak percaya.

“Tuan Muda tidak rasakah kelebihan tuan untuk mengubah warna tanaman itu ditakdirkan Pencipta Tanaman untuk sesuatu yang lebih besar?” Kata-kata Pak Syibli mula menghantui memorinya. Lama dia berfikir, kemudian Tufail bangkit dan berdiri tegak.

“Sekiranya aku boleh menukar warna tanaman, mungkin...” Tufail menghampiri pokok kaktus di hadapannya itu. Tuan Zeiger tidak menghalang kerana ingin melihat apa yang akan dilakukan oleh Tufail. Tufail terkumat-kamit membacakan bait-bait doa. Dia memohon supaya Allah mengurniakan kelebihan kepadanya pada ketika itu. Tufail menyentuh kaktus tersebut. Maka dengan izin Allah yang Maha Kuasa, perlahan-lahan duri-duri yang tumbuh mulai masuk kembali ke dalam pokok kaktus sehinggalah dasar permukaan tumbuhan itu kembali menjadi licin. “Alhamdulillah.”

Mulut Tuan Zeiger ternganga melihat keajaiban yang sedang berlaku di hadapannya itu. Belum pernah seumur hidupnya dia melihat kebesaran sedemikian rupa. Tufail menoleh ke arah Tuan Zeiger. “Kamu silap, Zeiger. Kejayaan akan mengiringi orang-orang yang percaya akan kewujudan Tuhan. Berubahlah, Zeiger. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Mengampuni lagi Maha Penyayang,” pujuk Tufail.

“Siapa... siapa kamu sebenarnya?” soal Maria terketar-ketar.

“Namaku Ibnu Al-Junaid, dan aku adalah amanah Tuhan untuk memimpin penduduk Kota Tuhama ke arah kebenaran. Pada malam ini, Tuhan telah menunjukkan sesuatu keajaiban yang dipinjamkanNya kepadaku. Oleh itu bersaksilah bahawa Allah itu tuhanmu, dan Muhammad itu pesuruhNya.”

Mendengarkan kata-kata Tufail itu, Tuan Zeiger dan Maria langsung bersujud tanda menghormati putera mereka. Tuan Zeiger sudah tidak mampu berkata apa-apa. Segala keegoan yang tersemat di dalam hatinya sudah luruh. Segala kebenciannya selama ini terhadap Islam sudah menghilang. Jauh di sudut hatinya, dia mengakui kewujudan Tuhan dan rasulNya. Tufail mengarahkan kedua-dua anak-beranak itu bangun.

“Sesungguhnya bukan kepadaku kalian perlu bersujud, tetapi kepada Tuhan yang Menciptakan kalian.” Mendengar arahan itu, Maria serta-merta mengucapkan syahadah dan memeluk Islam. Sudah lama wanita itu mendambakan kebenaran seperti ini.

“Tuan Putera Ibnu Al-Junaid, bererti ibumu yang diracuni itu adalah Permaisuri Zafirah ya?” Tuan Zeiger hampir menangis. Barulah dia teringat sesuatu.

Tufail mengangguk. Tuan Zeiger segera memeluk lutut Tufail dalam keadaan menangis. “Maafkan aku, Tuan Putera. Aku hampir teringat, bahawa sebulan yang lalu aku ada mengutuskan pembantuku untuk meracuni ibumu supaya orang Mulhid dapat memerintah kerajaan. Aku tidak menyangka Tuan Putera akan datang untuk mendapatkan penawar daripada kaktus ini. Bunuhlah aku, bukumlah aku sesungguhnya aku telah melakukan kesalahan yang sangat besar selama hayatku dikandung badan!”

Tufail segera menarik kakinya dan melepaskan pegangan Tuan Zeiger. Rupa-rupanya, lelaki itulah yang menjadi dalang kerosakan yang terjadi dalam Kota Tuhama selama ini. Namun, melihatkan reaksi Tuan Zeiger, Tufail teringat pesanan Pak Syibli lagi untuk memaafkan mereka yang sudah menyesal. “Bangunlah Zeiger,” Tufail membantu Tuan Zeiger bangun. “Sekiranya kamu jujur dengan pengakuanmu, aku akan menjadikanmu tawananku. Namun, aku akan membebaskanmu seandainya kamu dapat memenuhi syaratku yang satu ini,” pinta Tufail.

“Syarat apa?”

“Kamu perlu mengajar sepuluh kanak-kanak Kota Tuhama sehingga mereka pintar membaca, menulis dan mengira.”

Tuan Zeiger mengangguk dan bersetuju dengan syarat tersebut. Malam itu, Tuan Zeiger sendiri yang merawat dan mengawasi Tufail daripada ancaman kaum Metalia yang lain. Dia menyediakan tempat tidur yang selesa dan makanan yang enak buat putera raja itu. Tuan Zeiger benar-benar menyesali kesalahannya kerana telah mengetuai pemberontakan terhadap kerajaan dan Islam selama sepuluh tahun.

Keesokan harinya, Tuan Zeiger memanggil seluruh kaum Metalia untuk berkumpul. Di hadapan mereka, Tuan Zeiger mengucap syahadah dan memeluk Islam. Tufail bersyukur kerana Tuhan telah mengurniakan hidayah kepada lelaki itu dan anaknya. Melihat keislaman Tuan Zeiger, sebahagian daripada mereka juga berubah mahu memeluk Islam kerana taatkan pemimpin. Manakala sebahagian lagi masih sukar untuk menerima ajaran tersebut. Tuan Zeiger menyerahkan jawatannya kepada abang Maria, Mozer yang juga telah memeluk Islam.

“Aku akan mengikutimu pulang ke istana dan sampaikan kemaafanku kepada ibumu setelah dia sembuh nanti. Beberapa pengikutku akan mengawasi kita sepanjang perjalanan,” ujar Tuan Zeiger kepada Tufail. Tufail mengangguk mesra sambil mendudukkan untanya untuk ditunggang.

“Tunggu!” Maria menghentikan mereka berdua. “Aku harus mengikut ayahku,” Maria memandang Tufail. Tuan Zeiger memegang kedua-dua bahu puterinya. “Maria anakku, kamu langsung tidak bersalah dalam hal ini. Biarlah ayah sahaja yang menjadi tawanan Tuan Putera Ibnu Al-Junaid.”

Maria tidak berpuas hati, dia tetap ingin mengikuti mereka ke istana. Dia tidak tahu mengapa nalurinya sangat ingin mengikuti Tufail. Mungkin dia mahu melihat kuasa Tufail yang mampu menukarkan warna tumbuhan. Atau mungkin dia sudah jatuh cinta terhadap putera raja itu?

“Maria, aku memang berterima kasih kerana kamu sudah banyak membantuku. Tetapi bukankah lebih bagus sekiranya kamu membantu abangmu memerintah kawasanmu?” Tufail berdolak-dalih. Sejujurnya, dia sangat segan apabila terpaksa berhadapan dengan Maria.

“Aku telah membohongimu tentang identitiku, tetapi aku telah menebusnya dengan membebaskanmu. Ternyata, kamu juga telah membohongiku tentang identitimu, oleh itu aku harus ikut sekali,” Maria berlagak selamba.

“Terpulang,” Tufail memusing kepalanya ke tempat lain, tersenyum.

***

“Kanda Tufail!” Taqiah bergegas memeluk Tufail sejurus melihat lelaki itu muncul di dalam kamar Permaisuri Zafirah. Tufail membalas pelukannya sambil memerhatikan pokok bunga Carifellia di tepi jendela. Ternyata masih ada satu tangkai bunga yang belum bertukar menjadi warna kuning. Pak Syibli yang mengiringi Tufail masih lagi dengan senyumannya.

“Bukankah kanda sudah memberitahumu, kanda akan pulang sebelum bunga itu menguning kembali?” Tufail mengusap kepala Taqiah. Kemudian, Saefullah datang membawakan sup yang direneh daripada kaktus tidak berduri yang telah diserahkan kepada tukang masak istana sebelum itu. Tufail mengambil mangkuk sup itu. Taqiah membantu mendudukkan Permaisuri Zafirah. Perlahan-lahan, sup dituang masuk ke dalam mulut bondanya.

Maka dengan izin Tuhan yang Maha Kuasa, Permaisuri Zafirah yang sebelumnya pucat lesi telah bertukar sihat. Matanya terbuka luas dan kepalanya tidak lagi mengalami kesakitan seperti biasa. Permaisuri Zafirah memandang kedua-dua anaknya sambil menghantar senyuman. Tufail segera memeluk bondanya.

“Maafkan Tufail, bonda. Aku seharusnya membantumu selama ini dengan urusan kerajaan kerana Tuhan telah mengamanahkanku dengan tugasan ini. Selama sepuluh tahun aku membiarkanmu memerintah sehingga sakit-sakit begini,” Tufail diserang rasa bersalah.

Permaisuri Zafirah mengucup dahi Tufai. “Bonda memahamimu, anakku. Terlalu banyak beban yang difikirkanmu. Bonda tidak menyalahkanmu.”

“Tetapi disebabkanku, Kota Tuhama sudah hilang nur Islam. Pemberontakan berlaku di mana-mana. Sebahagian rakyat mulai murtad, malah ada yang Mulhid. Tufail juga telah menemukan segelintir rakyat yang munafiq, bonda.” Tufail menceritakan kisah perjalanannya kepada Permaisuri Zafirah, Taqiah dan Pak Syibli. Tufail meminta agar pihak istana berterusan membeli roti daripada Syaqiq Al-Balkhi yang telah membantunya. Permaisuri Zafirah menitiskan air matanya apabila mendengar kisah Tufail diseksa di dalam penjara yang dibina oleh kaum Metalia. Namun dengan kuasa Tuhan, segalanya telah berakhir dan Tufail berjaya pulang dengan aman.

“Bonda, Pak Syibli, Taqiah, pengalamanku telah banyak mengajarku untuk bersikap lebih matang. Kini aku lebih bersedia untuk memikul jawatan ayahanda. Bonda, aku telah siap untuk ditabalkan menjadi raja. Berikanlah aku peluang untuk menebus kembali kesalahanku terhadap rakyat jelata,” pinta Tufail.

Permaisuri Zafirah tersenyum. “Duhai anakanda, kamu belum boleh ditabalkan menjadi raja sehingga kamu menikah.”

“Jika begitu, aku ingin menikah,” Tufail membulatkan tekad.

“Dengan siapa, Tuan Muda?” Pak Syibli menduga. Setahunya, Tufail tidak ada kenalan wanita. Adakah Tufail sudah jatuh cinta dengan salah seorang dayang istana?

“Dia salah seorang daripada kaum Metalia yang telah memeluk Islam. Aku telah membawanya pulang bersamaku. Insha Allah, dengan bantuannya, aku akan berusaha untuk mengurus pentadbiran negara dengan lancar. Masih banyak lagi yang perlu Tufail hadapi dan perbetulkan dengan pertolongannya,” Tufail menjelaskan.

“Siapa namanya?” soal Taqiah teruja.


“Namanya Maria," Tufail senyum.

Comments

  1. cerpen anti yg paling ana seronok dan puaih hati baca ! tahniah dah makin mantap hehe :D
    alhamdulillah (:

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah, mungkin ada kemajuan. sebab selalu cerita ana klise. kali ni ana cuba naikkan sikit imaginasi. syukran ariffah ^^

      Delete
  2. Assalamualaikum. cerpen yang menarik..asalnya nak baca sikit je, tetiba terbaca samapi habis..cuma ada sikit typing error '' . Maria cuma mencari kunci gari itu dengan pantas sebelum ada yang terjada. Terdapat banyak kunci dalam tangannya maka dia perlu mencuba satu demi satu.''..semoga berjaya menghasilkan karya-karya yang lain.

    ReplyDelete
  3. wow nice.. baca sampai abis XD

    menitik air mata baca TT^TT

    btw part yg Tuan Zeiger kena ajr 10 org budak tuh.. mcm pnah dgar je.. tapi kat mane ye? XD hehe..

    alhamdulillah ending yg baik ^__^

    cerita yg menarik yg membawa penjgajaran dan kekuatan.. thanks ^__^

    ReplyDelete

Post a Comment