Pages

Friday, February 28, 2014

Allah Akan Gantikan Orang Murtad Dengan Kaum Yang Lebih Baik



Isu tentang murtad sebenarnya jarang digembar-gemburkan dalam masyarakat kita. Dan saya menulis artikel ini pula bukanlah tujuan untuk memalukan mana-mana pihak yang telah murtad. Tetapi apa yang perlu kita ketahui bahawa kes murtad pasti akan berlaku dari semasa ke semasa dan tidak mampu dibendung di negara kita. Berdasarkan statistik 2000-2010, sebanyak 686 permohonan murtad yang telah difailkan dan jumlah yang diluluskan adalah sebanyak 135. (Sumber Malaysiakini) Saya masih tidak memahami mengapa boleh ada 135 muslim yang dibenarkan untuk murtad? Itu baru statistik sehingga tahun 2000, bagaimana pula dengan sekarang? Saya belum dapat mencari statistik terkini yang jelas di laman internet.


Secara peribadi, memang saya belum pernah bertemu dengan mana-mana individu yang telah murtad setakat ini. Namun, itu tidak menjadikan saya terlepas daripada kes ini. Kita tidak perlu susah payah mencari siapa yang salah. Ibu bapa, rakan-rakan, persekitaran. Kes murtad ini melibatkan tanggungjawab semua individu yang bergelar muslim. Mengikut statistik Malaysiakini itu lagi, jumlah penduduk negeri Sabah yang banyak mendominasi permohonan untuk murtad di negeri tersebut. Mengapa boleh terjadi sedemikian? Bukannya kita perlu persoalkan siapa yang salah, namun kita perlu persoalkan apa yang telah Islam lakukan terhadap golongan yang kurang mendapat pendedahan tentang Islam ini?

Daripada golongan yang murtad, sebahagian memang arif tentang hukum Islam, sebahagian cuma tahu asas Islam manakala sebahagian lagi langsung tidak tahu tentang Islam lantas membuatkan mereka berpaling tadah daripada Islam.

ARIF SOAL HUKUM-HAKAM DALAM ISLAM

Orang murtad daripada golongan ini, saya kira ilmu agama mereka memang tinggi, bahkan mungkin banyak yang lebih pandai mengaji daripada kita. Namun ada beberapa faktor yang mungkin menyebabkan mereka murtad. Mungkin mereka terlalu membanggakan diri dengan amal masing-masing, sehingga berasa agama Islam tidak dapat menjanjikan kesenangan buat mereka. Mereka sudah berbakti, beramal, namun kehidupan masih belum senang, hutang juga keliling pinggang. Ketika itulah mereka akan persoalkan tentang bantuan daripada Tuhan. Lalu tidak mustahil mereka akan berpaling dan bertukar kepada agama lain yang boleh memuaskan nafsu masing-masing. Mereka ini adalah golongan yang berputus asa dengan nikmat Allah SWT.

Mungkin juga golongan ini terlalu banyak berfikir sehingga bertindak untuk membandingkan Islam dengan agama-agama yang lain. Mulalah mereka akan mengkaji perbezaan kitab agama Islam dengan kitab agama yang lain. Bagi golongan yang cerdik pandai, sudah tentulah mereka akan melihat kebenaran Islam melalui al-Quran. Namun apa yang dirisaukan adalah jika yang membuat kajian tersebut adalah orang yang cetek akalnya dan mudah membuat kesimpulan sendiri. Akhirnya nafsu yang menguasai dan mereka lebih memilih agama yang lebih menjadikan mereka ‘bebas’. Bagi mereka, Islam itu terlalu banyak syaratnya dan menjadikan hidup mereka terkongkong sehingga perlu beramal ibadah setiap masa.

Sedangkan, Islam ini merupakan agama yang sangat mudah. Tuhan telah memberikan kita banyak rukhsah (keringanan) dalam Islam. Mungkin kita yang berasa Islam itu mudah kerana kita tidak bertindak untuk mengkaji Islam dengan sedalam-dalamnya. Saya berikan beberapa contoh berdasarkan pengetahuan sendiri. Sejak kecil, saya berasa sukar kerana jika keluarga membawa kami dalam perjalanan yang jauh, saya terpaksa berhenti solat berkali-kali. Setelah diajarkan tentang solat yang boleh dijamak, saya cukup gembira kerana baru mengetahui tentang hal tersebut.

Begitu juga ketika awal-awal melalui proses kematangan (berhadas besar), saya akan menyimpan kuku yang panjang kerana takut untuk mengetipnya. Padahal saya cukup tidak suka berkuku panjang kerana dua perkara. Pertama, nenek saya sering mengingatkan supaya memotong kuku jika tidak kuman yang melekat di dalam kuku akan dimakan bersama-sama dengan makanan. Kedua, membela kuku yang panjang adalah bersamaan dengan membela kandang khinzir.

Saya juga sering mendengar hujah tentang hal kuku ini yang membuatkan saya takut untuk memotongnya ketika berhadas. Ada sesetengah orang kata perlu menanam kuku-kuku tersebut dan ada juga yang kata kita perlu mandi dengan kuku yang dipotong itu. Akhirnya barulah saya tahu bahawa kes kuku ini sebenarnya tidak ada tercatat di dalam al-Quran mahupun hadis. Barulah saya tahu Islam itu sangat mudah. Dalam kebanyakan kes, dosa yang dilakukan akan diampunkan sekiranya kita berada dalam keadaan lalai (terlupa). Pokok-pangkalnya, sebelum menjatuhkan sesuatu hukum adalah penting untuk kita siasat kesahihannya terlebih dahulu.

Mereka yang murtad mungkin kerana terlalu cepat membuat andaian tentang Islam sebelum mengkajinya.

TAHU ASAS ISLAM

Golongan kedua ini adalah mereka yang tahu mengucap, tahu rukun Islam, nama-nama nabi, malaikat. Tetapi mengetahui tentang asas Islam sahaja belum memadai. Disebabkan mereka tidak mengetahui tentang Islam seluruhnya, maka tiang kepercayaan mereka terhadap Islam terlalu mudah untuk dirobohkan begitu sahaja oleh mana-mana pihak sama ada gerakan keagamaan atau keluarga dan sahabat handai.

Faktor yang kuat menyebabkan mereka murtad adalah disebabkan pengaruh rakan. Boleh jadi juga, kebanyakan daripada golongan ini hidup dalam keadaan yang mewah dan serba-serbi cukup. Hendak rumah, dapat. Hendak kereta, diberikan. Pergaulan yang terlalu bebas boleh menyebabkan mereka terbiasa dengan gaya hidup Hedonisme (bebas). Maka, jika ada insan yang tampil untuk memberikan keterangan agama kepada mereka, mereka akan menutup kedua-dua belah telinga dan bersikap acuh tidak acuh. Paling parah, disebabkan pergaulan yang terlalu bebas itu, akhirnya mereka memilih untuk meninggalkan Islam dan hidup dalam keadaan yang menjanjikan keseronokan duniawi itu.

Mereka bukannya tidak diberikan didikan agama, tetapi didikan dan bimbingan agama yang diterima itu cuma sedikit dan tidak cukup untuk melahirkan khalifah di Malaysia ini. Di manakah hilangnya tanggungjawab kita sebagai Muslim untuk mendidik anak-anak dan rakan-rakan kita dengan ilmu agama? Ini bukan tanggungjawab ustaz atau para pendakwah. Ustaz ustazah ini tidak akan muncul di kelab malam untuk berdakwah. Tetapi kita yang mengenali mereka inilah yang bertanggungjawab untuk menarik mereka ke jalan syurga.

LANGSUNG TIDAK TAHU SOAL ISLAM

Golongan ini, mungkin terdiri daripada Islam keturunan. Lahir-lahir memang sudah Islam. Ataupun mereka memeluk Islam, tetapi setelah itu tidak mendapat sebarang pendedahan terhadap agama tersebut. Masih wujudkah lagi golongan yang tidak tahu tentang Islam ini di negara kita? Saya pasti masih ada. Kes-kes ini mungkin sekali banyak yang terjadi di pedalaman Sabah.

Saya pernah terdengar tentang satu kes ini. Seorang ustaz pergi ke sebuah kawasan pedalaman untuk mengkaji tentang sejauh mana kefahaman Islam yang diterima oleh penduduk di kawasan itu. Dalam perjalanan, ustaz itu mahu berhenti untuk menunaikan solat namun sukar untuk beliau menemukan masjid atau surau di kawasan tersebut. Surau-surau yang ditemuinya juga semuanya rosak seolah-olah tidak digunakan lagi. Ketika melakukan tinjauan ke rumah-rumah penduduk, rata-rata jawapan yang diterima mereka sama.

“Di kawasan ini tidak ada lagi orang Islam. Ya, memang benar dahulu kami semuanya pernah memeluk Islam kerana telah dijanjikan dengan wang oleh sebuah parti. Namun setelah pilihan raya, janji cuma tinggal janji. Kehidupan kami tidak dihiraukan sehinggalah munculnya gerakan keagaamaan lain yang melunaskan janji mereka dengan menampung kehidupan kami penduduk kampung. Akhirnya semua penduduk memeluk agama itu dan di sini tidak ada yang membicarakan tentang Islam lagi.”

Pada pendapat anda, apakah yang dirasakan oleh ustaz tersebut ketika mendengar pernyataan itu. Pastilah perit bukan? Disebabkan penduduk kampung itu semuanya murtad, saya yakin anak-anak mereka tidak akan diberikan pendidikan Islam dan mungkin nama Islam itu sendiri tidak mereka kenali. Banyak sebenarnya kes-kes seperti ini yang kurang diketengahkan dalam masyarakat kita.

SIAPA YANG BERTANGGUNGJAWAB?

Semua orang Islam di negara kita. Malaysia adalah sebuah negara yang terkenal dengan ajaran Islam. Saya belum habis fikir, mengapa boleh berleluasanya kes murtad yang cuba diselindungi sesetengah pihak. Saya tidak menulis soal politik, tetapi soal agama. Di dalam kitab al-Quran, orang yang murtad boleh dikenakan hukum bunuh. Kitab al-Quran adalah kalam Allah yang tidak ada keraguan lagi padanya. Tetapi kenapa kita tidak menjalankan hukuman tersebut di negara ini? Sekiranya seorang murtad dijatuhi hukuman bunuh, pasti yang lain-lain tidak mahu murtad. Paling tidak, mereka akan memberontak, tetapi masih beragama Islam. Orang yang mati dalam Islam adalah lebih baik daripada mati dalam keadaan kafir.

Apa pun, perlu kita ingat. Orang yang murtad atau mahu murtad ini bukanlah jahat sebenarnya. Tidak ada manusia yang dilahirkan dalam keadaan yang semula jadi jahat. Mereka cuma perlukan bimbingan dan banyak faktor yang menyebabkan mereka mengambil keputusan sedemikian. Bukanlah tujuan kita untuk menghukum dan mengeji mereka atas perbuatan tersebut, tetapi kita perlulah menjalankan tanggungjawab kita sebagai muslim untuk mengajak mereka menyembah Tuhan yang satu.

Kita perlu benar-benar mengenali isi hati golongan ini, dan menggunakan pendekatan yang baik. Jika gagal juga, maka setidaknya golongan ini perlu diberikan pengajaran supaya tidak turut mengajak umat Islam yang lain menjadi murtad. Ini cumalah pendapat peribadi saya, setiap orang mempunyai pendapat mereka yang tersendiri.

Sebenarnya kita tidak perlu terlalu risau dan mengeji mereka yang murtad. Jika kita tidak mahu membantu mereka kembali kepada ajaran Islam, jangan mengutuk mereka. Tinggalkan sahaja mereka. Jika mereka yang murtad tidak mahu menjadi sebahagian daripada keluarga kita, biarkan sahaja mereka kerana Allah sendiri telah berjanji dalam al-Quran bahawa sesiapa yang murtad, Allah akan menggantikannya dengan kaum yang lebih hebat dan lebih baik. Ramai muallaf yang sebenarnya lebih maju dan berjaya daripada kaum Melayu, kerana itu adalah janji daripada Allah. Lihat sahaja contoh-contoh jurutera, doktor, arkitek, pendakwah bebas yang terdiri daripada golongan muallaf.

Semua ini adalah petanda bahawa janji Allah itu adalah benar dan pasti. Maka nikmat Tuhanmu yang mana satukah kamu dustakan?



1 comment:

  1. Alhamdulillah. Saya setuju dengan apa yang saudari sampaikan. Islam kuat bersama penyatuan umat kerana Allah. Sebab itu kita diseru bersolat jemaah dan di dalam Al-quran kewajipan bersolat itu ditekankan. Isu murtad berlaku kerana majoriti meninggalkan solat. Insya-Allah.

    ReplyDelete