Pages

Saturday, February 8, 2014

4 Perkara Yang Membuatkan Nabi Adam Cemburu Pada Kita



Tahukah anda kisah tentang Nabi Adam mencemburui kita semua? Kisah ini diceritakan oleh Imam Masjid Kulim dalam salah satu program surau tidak lama dahulu. Saya paling suka kisah Nabi Adam ini. Ketika baginda rasul sedang melakukan perjalanan Israk dan Mikraj, diceritakan bahawa baginda berjumpa dengan Nabi Adam. Lalu Nabi Adam pun memberitahu Rasulullah tentang empat perkara yang membuatkannya cemburu kepada kita semua, iaitu umat Nabi Muhammad. Allahuakbar. Manusia pertama yang diciptakan di muka bumi ini pun boleh cemburu terhadap kita. Kenapa?

Disebutkan bahawa Nabi Adam a.s. telah berkata, “Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan kepada umat Muhammad empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku.” Empat kemuliaan tersebut adalah:

1. Taubat. Masih ingatkah lagi kita tentang peristiwa Nabi Adam dan Siti Hawa memakan buah yang terlarang di syurga sehingga menimbulkan kemurkaan Allah? Disebabkan dosa tersebut, mereka berdua telah dikeluarkan dari syurga sehinggalah akhirnya taubat Nabi Adam diterima ketika nabi berada di Kota Mekah. Nabi Adam menambah, taubat kita, umat Muhammad pula diterima oleh Allah di mana-mana sahaja pada bila-bila masa selagi nyawa dikandung badan. Allahu akbar. Begitu istimewanya kita umat Muhammad.

Foto carian Google

2. Pada awalnya Nabi Adam diberikan pakaian yang sempurna, tetapi apabila nabi melakukan kesalahan Allah SWT menelanjangkannya. Padahal umat Muhammad melakukan dosa dengan bertelanjang, (berzina) tetapi Allah SWT masih menganugerahkan kita dengan pakaian. Subhanallah. Allah Maha Penyayang.

3. Ketika Nabi Adam berbuat dosa, Allah memisahkannya dengan isterinya Siti Hawa. Tetapi apabila kita berbuat dosa, kita masih bersama dengan ahli keluarga kita. Bayangkan sahaja, Siti Hawa dihantar ke tempat yang sangat jauh daripada Nabi Adam sehinggalah akhirnya mereka berdua bertemu kembali di Padang Arafah. Tetapi kita? Jika kita buat sebarang jenis kesalahan pun, esok pagi masih lagi dapat menatap muka-muka insan yang disayangi. Alhamdulillah.

Foto carian Google

4. Apabila Nabi Adam derhaka kepada Allah, nabi telah dikeluarkan dari syurga. Tetapi apabila kita derhaka kepada Allah, dan akhirnya kita bertaubat, kita tetap akan dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah.

Apabila mendengar kisah yang disampaikan ini, saya berasa sungguh bertuah kerana telah dipilih sebagai salah satu daripada umat Nabi Muhammad. Ini baru sedikit daripada kisah-kisah kelebihan kita sebagai umat baginda. Sebenarnya banyak lagi syafaat yang bakal kita peroleh lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Oleh itu, seharusnya kita semua bersyukur yang tidak terhingga kerana mempunyai Nabi Muhammad yang sangat menyayangi kita. Selawat ke atas baginda rasul, keluarga dan para sahabat baginda. Semoga Allah mengurniakan kedudukan  yang tinggi dan terpuji kepada Nabi Muhammad seperti yang telah Allah janjikan. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji.

6 comments: