Ujian Kerjaya



Kawan-kawan saya sudah lama mencuba ujian kerjaya ini melalui guru kaunseling sekolah. Tetapi setiap kali mereka mengajak, saya tidak pernah untuk mencuba. Jadi, saya telah mencuba ujian kerjaya ini secara online di http://www.selangkah.uitm.edu.my/ujian-minat-kerjaya.cfm Anda pun boleh cuba jika mahu. Tak makan masa yang banyak pun.

Ketika membaca pilihan jawapan, tak banyak pun yang saya tanda. Saya menjawabnya dengan seikhlas mungkin kerana hal ini merupakan sebahagian daripada masa hadapan saya juga. Dan keputusannya, saya dapat bidang enterprising (keusahawanan)

"Anda merupakan seorang individu yang mempunyai tahap dayasaing dan cita-cita yang tinggi. Anda suka melakukan sesuatu tugas atau kerja yang mendatangkan keuntungan dari segi diri sendiri atau ekonomi. Anda lebih suka bekerja dengan idea daripada bekerja dengan benda. Kebiasaannya, anda mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi serta keupayaan komunikasi yang baik untuk mempengaruhi orang lain. Anda sering memberi keutamaan kepada prestij, keuntungan, status diri atau kecemerlangan organisasi. Anda suka untuk memulakan sesuatu projek yang kebiasaannya mempunyai kaitan dengan bidang perniagaan. Anda seorang yang berorientasikan hasil dan suka untuk memimpin orang lain. Anda tidak mudah berputus asa dan akan mencuba sesuatu kerja itu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya."


Ayat yang saya bold itu sahaja yang saya seratus peratus yakin. Ya, saya lebih suka bekerja dengan idea daripada objek. Setakat ini, idea-idea saya telah saya terjemahkan ke dalam bentuk penulisan dan video. Dan antara kursus-kursus yang dicadangkan adalah perakaunan, pengurusan hartanah, kimia perindustrian, mikrobiologi, teknologi kreatif (seni layar), komunikasi dan media, pengurusan hotel, sains komputer dan banyak lagi. Saya agak tertarik dengan pengurusan hotel kerana rasanya saya lebih minat dalam bidang pengurusan. Persoalannya, bolehkah saya mengurus sesuatu organisasi terutamanya yang besar? Selain daripada keusahawanan, saya juga mendapat keputusan konvensional. Konvensional ialah bekerja secara berstruktur, berhati-hati dan teliti.

"Anda merupakan seorang individu yang suka bekerja dengan data, angka dan mempamirkan ketelitian dalam sesuatu kerja. Anda selesa bekerja dalam suasana kerja yang berstruktur dan jelas dari segi arahan, peraturan, skop tugas dan autoriti. Anda sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu tugas dan mempamirkan komitmen dan tahap kesabaran yang tinggi. Anda selalunya suka kepada ketelitian dan kekemasan samada dalam kehidupan peribadi atau urusan di tempat kerja. Anda memberi nilai yang tinggi kepada prestij dan status diri."

Sekali lagi, cuma ayat yang telah di-bold kan itu sahaja yang meyakinkan. Saya suka arahan yang jelas dan mudah difahami. Malah, saya rasa semua orang begitu. Siapa yang mahu menerima arahan yang tidak mempunyai tujuan yang jelas? Saya memang suka akan ketelitian tetapi saya bukanlah seseorang yang mahukan sesuatu itu betul-betul perfect

Apa yang saya dapat simpulkan, saya sukakan idea dan perancangan. Atau mungkin lebih tepat, saya lebih suka berimaginasi dan cuba untuk merealisasikan imaginasi tersebut. Ujian kerjaya ni memang banyak membantu untuk kita merancang masa hadapan. Tetapi menurut saya, kita ikut sahaja kata hati. Jika bidang yang kita ceburi itu tidak kita minati, kita tak akan ke mana juga. Yang penting minat. Bakat boleh dididik kemudian, bukan? Bakat itu kira bonus dan kelebihan kepada seseorang. 

Setiap manusia dilahirkan dengan kebolehan dan kekurangan tersendiri. Jika kita lihat orang itu lebih bekerjaya, tak semestinya kita perlu berjaya sepertinya. Kita juga boleh berjaya dengan cara yang tersendiri. Rezeki masing-masing berbeza. Jika tak dapat masuk ke sesebuah universiti, bukan bererti kita gagal. Tetapi mungkin Tuhan telah mentakdirkan kita untuk berjaya di tempat lain. Dan saya percaya, di mana-mana pun tempat saya bakal menuntut ilmu nanti, insha Allah akan mendatangkan banyak hikmah. Selagi tak putus asa dengan apa yang Tuhan rancang, pasti kita akan berjaya kan suatu hari nanti?

Nota: Agak-agak saya boleh tak kerja di bakery?

Kek Smiley dengan kombinasi Cadbury White Chocolate dan Hershey's Kisses

Comments