"Sahaja Aku Berblogging Kerana Allah Taala"


Mudah sahaja kan niat ini, “Sahaja aku berblogging kerana Allah Taala”. Adakah anda berblogging kerana Allah, atau kerana suka-suka, atau mungkin kerana mahu menambahkan pendapatan harian? Yang itu, anda sendiri jawab kerana niat ini merupakan suatu yang tersirat di dalam hati individu. Tidak ada salahnya jika kita mahu menambahkan pendapatan melalui blog. Tidak ada salahnya kita mahu berkongsi aktiviti seharian kita di dalam blog. Tidak ada salahnya juga kita menambah kenalan melalui dunia blogging. 

Satu perkara yang perlu kita sedar, walau apa pun motif kita berkecimpung dalam dunia blogging sama ada ajakan kawan atau suka-suka, semua itu boleh berubah menjadi sesuatu yang positif sekiranya kita menyandarkan niat kita kepada Allah SWT. Perlu kita ketahui juga, alam maya merupakan satu alam yang sangat luas, kadang-kadang boleh jadi lebih luas daripada bumi itu sendiri kerana melalui alam maya kita dapat mengenali semua orang meskipun yang jaraknya beribu-ribu batu daripada kita. Dan melalui blog, secara tidak langsung kita akan dapat mengenali peribadi penulis blog itu sendiri. Blog merupakan medan untuk berkongsi kisah peribadi, informasi, dakwah, ‘stalk’ orang atau diari.

Zaman sekarang jarang lagi orang menulis di dalam buku tentang kisah yang terjadi dalam hidup mereka tetapi kita lebih gemar menulis di blog kerana boleh langsung memuat naik gambar atau video. Sebenarnya walau apa sekali pun jenis blog kita, kita tetap boleh menjadikannya sebagai suatu medium yang berunsur positif.

Jika anda menulis tentang kehidupan peribadi anda, anda bolehlah menyelitkan kata-kata motivasi atau sebarang unsur nasihat yang boleh menyedarkan pembaca. Jika anda menulis tentang perkara buruk yang anda alami, selitkanlah nasihat supaya pembaca blog boleh mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut.
Jika anda meminati bidang fotografi, biarlah foto-foto tersebut tidak ada yang menayangkan aurat. Jika foto anda lebih kepada alam semula jadi, selitkanlah kata-kata yang berunsur kesyukuran dan yang mendekatkan diri lagi kepada Allah kerana menciptakan alam yang sungguh indah dan luas.

Jika anda meminati vlog (video + blog) pula, cubalah hasilkan vlog yang bermanfaat dan boleh mengetuk hati-hati penonton yang melihatnya. Bukan vlog yang hanya mempunyai konteks kosong semata-mata. Contoh-contoh vlog yang sangat bermanfaat seperti saudara Mat Luthfi, MrAllTheShared, Aiman Azlan dan banyak lagi. Alhamdulillah, kini vlog yang berbentuk ilmiah sudah semakin banyak dan pastinya dapat memberikan iktibar kepada penonton.


Jika blog anda lebih kepada perniagaan, berniagalah dengan cara yang tidak melanggar syariat Islam. Misalnya anda menjual produk, pastikan produk tersebut halal dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan. Jika menjual e-book, tulislah e-book yang penuh motivasi dan mendatangkan kebaikan kepada pembaca. Jika anda menjual busana, pastikan pakaian-pakaian tersebut menutup aurat dan tidak lari daripada landasan Islam.

Yang dinamakan blogging kerana Allah itu tidak semestinya kita menulis tentang ayat-ayat Islamik semata-mata, tetapi blogging kerana Allah adalah blogging kerana kita ingin mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri dan juga orang yang membaca blog kita. Saya sendiri bukanlah hebat dalam dunia blogging ini, tetapi saya akan cuba menyampaikan informasi dan sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada anda yang membacanya.

Blogger yang berblogging kerana Allah Taala ini sudah semakin ramai dan harapnya kita juga tergolong dalam kalangan mereka yang berniat Lillahi Taala. Anda boleh membaca penulisan menarik daripada pemuda-pemudi yang menjadikan blog sebagai medan dakwah seperti Dr Cinta, Langit Ilahi, Bayyinat, Fatimah Syarha, Inche Gabbana, Aiman Azlan dan Kereta Mayat.


BLOGGER ISLAMIK CUMA SANDIWARA SEMATA-MATA


Biasalah, ayat-ayat seperti ini dan yang sewaktu dengannya memang akan kerap didengari oleh para blogger. Santai sahaja. Yang dipanggil blogger ni, terpulang kepada kita untuk menulis tentang apa jua yang kita mahukan, selari dengan etika blogger. Etika blogger adalah tidak menulis tentang perkara yang menyentuh sensitiviti, pornografi, mengutuk pemimpin dan sebagainya.

Berbalik kepada asas niat kita, kita mahu berblogging kerana Allah Taala, jadi secara automatik pastilah entry kita berunsurkan sesuatu yang berilmiah dan baik. Jika ada pihak yang mengejek atau mengeji usaha murni kita ini, mungkin sahaja hati-hati mereka telah tertutup untuk menerima sesuatu yang baik.


Mungkin seorang blogger itu pada hakikatnya tidaklah begitu alim dan menyamai penulisannya. Saya ingat lagi kata-kata seorang sahabat, Ariffah, yang memberikan pesanan ini kepada saya. ‘Islah Nafsak wad’u Ghairak’ yang bermaksud perbaiki diri, sambil mengajak orang lain ke arah kebaikan. 

Seseorang itu tidaklah semestinya perlu menjadi alim untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan. Bahkan, jika dia mengajak ke arah positif, dia yang akan mendapat pahala dan secara tidak langsung, dia mendapat peluang untuk memperbaiki dirinya sendiri. Jika kita mahu tunggu diri ini sampai betul-betul perfect, sampai bila kita mahu mula berdakwah kerana istilah ‘perfect’ itu tak akan wujud dalam kamus manusia.

Islam itu mudah dan memudahkan. Janganlah sesekali kita menyulitkan agama sendiri dengan perasaan berburuk sangka terhadap diri sendiri dan orang lain. Jika kita mahukan sesuatu yang baik, lakukan sahaja tanpa peduli kata-kata orang lain. Bukannya kita mahukan sesuatu yang negatif. Jika bukan hari ini, takkan kita mahu menunggu sehingga esok pula? Kerana kita tidak dapat menjamin adakah kita masih hidup pada keesokan hari untuk memulakan tugas suci ini.

Oleh itu, saya menyeru kepada blogger yang sedang membaca dan sesiapa yang berminat untuk berblogging supaya memperbetulkan niat kita, berblogging kerana Allah Taala. Insha Allah, setiap benda yang kita mulakan dengan niat yang baik akan mendapat imbalan yang baik juga. 

Comments