Pages

Sunday, January 5, 2014

Puisi: Selagi Aku Bernafas Mesra



Muncul tanpa diduga
di tengah hiruk-pikuk kota
aku berdiri tanpa kata
penuh emosi, harapan dan cita-cita

Memerhatikan mereka yang singgah di sana
ibarat kain suci sungguh indah wajahnya
bersama mereka dunia bertukar bahagia
tenang tanpa sebarang sengketa

Aku adalah pejuang masa
berusaha untuk menggapai asa
namun alam seolah tidak nyata
minda menjerit sambil meronta
naluri memberontak penuh terpaksa
kepercayaan bertukar menjadi prasangka

Adakah mereka kekal selamanya
hadir untuk memberi makna
mahupun hanya senjata duka
yang disulami janji dusta semata
penuh noda dan luka-luka

Kebekuan hati mula menjelma
tatkala mereka pergi membawa ikatan jiwa
obsesi datang menjenguk tiba
betapa aku yang sebenarnya alpa

Selagi hayat masih bernyawa
selagi aku bernafas mesra
ingin kubilang satu rahsia
tentang rindu dan cinta

-Nurina Izzati-



Saya ingin menceritakan kisah di sebalik puisi Selagi Aku Bernafas Mesra ini. Rangkap pertama menceritakan tentang penulis yang hadir di satu tempat yang baru, belum pernah dijejakinya sebelum ini. Dia membawa bersama pelbagai perasaan yang bercampur aduk serta impian dan cita-citanya untuk mengejar kejayaan. Dalam rangkap kedua pula, ramai sahabat yang hadir dalam hidup penulis. Dia berasa sungguh selesa dan tenang apabila berada bersama rakan-rakannya. Semuanya melayan dirinya dengan baik. 

Rangkap ketiga dan keempat, apabila sampai satu tahap, jiwanya mula memberontak. Dia mula meragui insan-insan di sekelilingnya. Adakah mereka tulus untuk berkawan dengannya atau mereka cuma akan memusnahkan perjuangannya selama ini? Rangkap kelima, barulah dia sedar akan kesalahannya selama ini. Apabila dia berpisah dengan rakan-rakannya, barulah dia sedar betapa kuatnya ikatan antara mereka selama ini. Penulis mula menyesali kesalahannya kerana sifat keraguan yang ada pada dirinya selama ini. Dan akhir sekali dalam rangkap penulis berjanji pada dirinya sendiri untuk memberitahu kepada rakan-rakannya tentang perasaannya terhadap mereka selama ini. 

Pengajaran daripada puisi ini yang dapat saya simpulkan ialah kita sebagai manusia memang tidak akan pernah terlepas daripada perasaan syak wasangka dalam persahabatan. Sampai satu tahap kita kadangkala akan mendengar bisikan syaitan untuk ragu-ragu terhadap sahabat kita. Sampai akhirnya apabila kita sudah terpisah daripada sahabat kita itu, barulah hendak menyesal dan barulah hendak rindu. Namun pada ketika itu, mungkin semuanya sudah terlambat. Oleh itu, kita kena sedaya upaya hilangkan segala perasaan negatif dalam diri kita. Kepercayaan adalah asas paling kukuh dalam persahabatan. Hargailah insan-insan yang berada di sekeliling kita sebelum semuanya terlambat. Mudah-mudahan anda terhibur dengan puisinya. :)

No comments:

Post a Comment