Pages

Tuesday, January 7, 2014

Kelebihan Mengamalkan Manzil


Manzil ialah satu set ayat-ayat suci al-Quran yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat bertujuan untuk mencegah dan merawat sihir. Manzil mengandungi surah-surah seperti berikut:

Ayat 1-5 Al Baqarah 
Ayat 102 Al Baqarah
Ayat 163-164 Al Baqarah
Ayat 255 Al Baqarah (Ayatul Kursiy)
Ayat 285-286 Al Baqarah
Ayat 18-19 Ali Imran
Ayat 54-56 Al 'Araaf
Ayat 117-122 Al 'Araaf
Ayat 81-82 Surah Yunus
Ayat 69 surah Taahaa
Ayat 115-118 surah Al Mukninuun
Ayat 1-10 surah Ash Shaaffaat
Ayat 29-32 surah Al Ahqaf
Ayat 33-36 surah Ar Rahman
Ayat 21-24 surah Al Hasyr
Ayat 1-9 surah Jinn
AL Ikhlas
Al Falaq
An Naas

Jika anda pernah belajar di sekolah asrama, mungkin anda seringkali mendengar kes ‘histeria’ dan pelbagai kes-kes aneh yang melibatkan jeritan dan sebagainya. Sesetengah orang mempercayainya dan ada yang tidak mempercayainya. Terpulanglah kepada masing-masing tetapi apa yang saya tahu, jin dan syaitan memang wujud. Seorang ustaz di asrama telah mengajarkan kepada saya ilmu asas mencegah makhluk halus daripada mengganggu manusia.

Kali pertama saya mendengar tentang manzil ini adalah melalui ustaz tersebut. Ustaz menyuruh saya untuk mengamalkan manzil dua kali sehari, selepas subuh dan selepas maghrib. Sebaik-baiknya dalam keadaan berwuduk. Saya bertanya kepada ustaz tentang manfaat mengamalkan manzil ini. Ustaz memberitahu, sekiranya saya mengamalkan manzil secara istiqamah melebihi 40 hari, insha Allah akan ada cahaya yang meliputi tubuh pengamalnya untuk mengelak gangguan jin.

Lalu saya bertanya lagi, bagaimana pula andai kata setelah saya mengamalkan manzil ini, tetapi pada suatu hari saya meninggalkannya. Ustaz berkata, lapisan cahaya itu akan menjadi nipis dan memudahkan untuk jin menyerang. Mendengar sahaja ustaz berkata begitu, saya terus menjadi gentar dan teragak-agak untuk mengamalkan manzil pada mulanya. Hari demi hari, ustaz bertanya adakah saya sudah mengamalkan manzil atau belum. Saya cuma tersenyum. Kemudian ustaz menyuruh saya supaya jangan berasa takut. Kalau diri kita kuat, makhluk-makhluk itu pun tidak mahu mengganggu kita.

Akhirnya, saya mulai mengamalkan manzil selepas maghrib bersama rakan-rakan yang berminat. Kami mendapatkan kebenaran daripada warden untuk bergerak ke prep malam selepas Isyak untuk membaca manzil. Namun, bacaan kami tidaklah terlalu konsisten kerana kadang-kadang ada kelas atau aktiviti lain pada waktu malam.

Manzil ini sebenarnya mempunyai banyak kelebihan. Antara kelebihan manzil ialah:

1. Mengelakkan dan menyembuhkan penyakit akibat sihir, gangguan jin dan syaitan.
2. Melindungi pengamal dan kaum kerabatnya daripada bahaya makhluk halus, penjahat dan binatang buas.
3. Rumah dan harta benda pengamal dilindungi.

Berdasarkan beberapa cerita yang saya tahu, jika di dalam sesebuah rumah itu tidak ada orang yang bersembahyang atau membaca al-Quran, maka pada pandangan jin suasana di dalam rumah itu suram dan kelam. Tetapi apabila ada orang yang mengamalkan bacaan manzil, pada pandangan jin tadi rumah tersebut akan bertukar cerah dan panas. Tetapi tidaklah bermakna sesiapa yang mengamalkan manzil ini akan terlindung sepenuhnya daripada gangguan jin. Tidak. Jin ada yang lemah dan ada yang kuat. Tak mustahil ada yang masih boleh mendekati kita.

Cara untuk membantu pesakit yang terkena gangguan ialah membaca ayat-ayat manzil dan menghembuskan ke atas air. Air itu kemudiannya diberi minum kepada pesakit. Tetapi apa yang hendak saya tekankan, bukan air yang menyembuhkan. Sekarang sudah berleluasa di pasaran pelbagai jenis air yang dikatakan telah dijampi dengan ayat-ayat Quran untuk menyembuh penyakit, mencerdaskan ingatan dan sebagainya. Ada sesetengah pihak yang mula mengambil kesempatan menjual nama agama untuk keuntungan sendiri. Hakikatnya, air itu cuma sebagai ubat dan alat yang membantu. Harus kita ingat, Tuhan yang sebenarnya berkuasa untuk menyembuhkan.

Sedikit perkongsian tambahan tentang pengalaman saya mengubati adik-adik sewaktu di asrama dahulu. Majoriti yang berisiko untuk terkena gangguan jin adalah orang yang lemah semangatnya. Ustaz ada mengajarkan saya cara untuk menghindari jin lari ke dalam badan kita. Caranya ialah dengan membaca ayat kursi dan mengunci kedua-dua belah tangan sebelum memulakan perubatan. Macam-macam sebab jin boleh masuk ke dalam badan manusia. Jin yang lemah, apabila dibacakan sahaja ayat al-Quran tubuhnya sudah kepanasan dan meraung-raung. Apabila disuruh keluar, senang sahaja keluar. Jin yang kuat, degil sedikit. Kena paksa berkali-kali pun belum tentu mahu keluar. Jin yang degil ni serah dekat ustaz. Nanti adalah ayat-ayat yang ustaz bacakan. 

Dan lazimnya, ketika proses untuk mengeluarkan jin daripada tubuh manusia, pertama kena dudukkan pesakit terlebih dahulu. Kalau boleh komunikasi, tanya pada jin dia hendak keluar dari mana. Kepala atau kaki. Jika kaki, perawat harus mengurut-urut jari kaki pesakit sambil membacakan ayat kursi atau bacaan suci yang lain. Dan jaga belakang badan pesakit kerana setiap kali jin keluar, pesakit akan tumbang seketika sebelum sedar semula.

Oleh itu, kita kenalah ada pertahanan diri untuk melawan diri daripada gangguan yang tidak dikehendaki. Alhamdulillah, kalau hendak mempertahankan diri daripada manusia, saya ada ilmu Tae Kwon Do. Dan kalau hendak mempertahankan diri daripada makhluk halus, saya ada ayat-ayat manzil!


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah Ayat 45)  

6 comments:

  1. Assalamualaikum,

    Terima kasih diatas perkongsian....

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum wbt..

    Terima kasih jugak diatas Perkongsian ilmu ini..

    ReplyDelete
  3. MASYA ALLAH ... BAHASA MALAYSIA YA .. SAYA ORANG INDONESIA

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rujuk artikel manzil oleh ustaz dari Ranau Sabah.

      Delete
  4. Terima kasih atas perkongsian..smoga drahmati Allah.

    ReplyDelete