I Could Never Ask For More


"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim 14:7)

Saya berasa sedih tatkala melihat seorang insan yang saya kenali sudah berubah. Bukanlah berniat untuk memalukan mana-mana pihak, tetapi saya yakin perkara ini juga mungkin pernah menimpa diri  anda yang sedang membaca. Disebabkan pergaulan bebas, dia sudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang kononnya menyayangi dirinya sehinggakan ibunya berasa gusar dan tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk anaknya itu. Ternyata, segala didikan agama yang diberi selama ini musnah sekelip mata dek kerana pengaruh rakan sebaya. Saya tidak mampu membayangkan perasaan seorang ibu.

Saya bersyukur sekali. Sangat bersyukur kerana ibu bapa dan keluarga telah memberikan didikan yang sempurna dan alhamdulillah setakat ini, saya masih menjalani kehidupan di bawah tarbiah yang telah diberi oleh mereka. Saya tahu ibu bapa sentiasa menginginkan yang baik untuk anak-anak mereka. Mungkin tidak semua ibu bapa memahami hasrat dan keinginan anak-anak, tetapi saya yakin mereka sanggup berkorban demi yang terbaik untuk anak-anak. Dan untuk itu, saya bersyukur. Saya bersyukur atas nikmat Islam yang telah dikurniakan. Nikmat hidup. Nikmat orang tua. Nikmat keluarga. Nikmat rakan-rakan. Nikmat kejayaan. Nikmat kegagalan. I could never ask for more.

Tuhan sentiasa sentiasa mengurniakan rahmat kepada kita walau dalam apa jua keadaan sekalipun, cuma kita yang jarang menyedari hakikat itu kerana pandangan kita telah dikaburi dengan segala nikmat tersebut. Kadang-kadang kita terlalu asyik dengan kemewahan yang dimiliki sehingga lupa untuk mensyukuri pemberian Allah SWT. Masha Allah. Kadang-kadang pula, kita terlalu sibuk mencari kesenangan sehingga tidak dapat melihat nikmat yang Tuhan telah lama dikurniakan kepada kita.

Daripada segumpal darah yang beku, sehinggalah saat anda membaca entry ini, semuanya merupakan kurniaan daripada Allah. Allah tak pernah putus-putus memberi kepada kita, tetapi kita masih lagi meminta-minta kepadaNya. Namun itulah lumrah manusia, kita tak pernah puas dengan apa yang kita miliki di atas muka bumi ini.

Syukur merupakan satu perkara yang mudah. Jika kita tidak mampu untuk mensyukuri dengan perbuatan, mengucapkan kalimah Alhamdulillah pun sudah memadai. Tetapi syukur inilah yang sering manusia lupakan. Jika dibandingkan antara syukur dan sabar, mungkin darjat sabar ini lagi tinggi. Saya katakan begitu kerana apabila manusia ditimpa ujian, kita masih lagi mampu untuk bersabar. Kita akan menasihati rakan yang ditimpa musibah untuk “Sabar... sabar.. semua ini ada hikmah.” 

Ya, memang betul. Setiap yang Tuhan turunkan confirm ada hikmahnya. Tetapi jarang sekali untuk kita bersyukur apabila ditimpa musibah. Jarang ada orang yang akan menasihati rakannya untuk “Syukur...syukur... semua ini nikmat Allah untuk tambah pahala buat kita.”


Hal ini disebabkan kita terlalu dikaburi dengan kesedihan itu. Jadi asasnya, kesedihan, kegembiraan, ketakutan, dan semua perasaan yang bermain dalam hati kita telah menyebabkan kita membuang jauh kalimah syukur itu. Mungkin kita akan berasa sedih apabila tidak mendapat barang yang sangat kita idam-idamkan seperti beg tangan, kamera atau mungkin motosikal baru. 

Tidak mengapa, kita lupakan sahaja dan belajar untuk bersyukur kerana masih ada anggota badan untuk menggunakan semua barang-barang tadi. Dibandingkan dengan orang yang tidak ada tangan untuk memakai beg tangan, tidak ada penglihatan untuk melihat panorama dan tidak ada kaki untuk menunggang motosikal.

Nikmat yang paling utama untuk kita syukuri adalah nikmat Islam itu sendiri. Orang kafir telah banyak melahirkan propaganda yang menyebabkan kita malu terhadap agama sendiri. Mereka mencipta teknologi yang hebat-hebat dan berusaha sekeras mungkin untuk mengatasi kita. Umat Islam pun akhirnya tertunduk lemah dan lama-lama rebah. Astaghfirullah. Kita perlu syukur dengan Islam kerana nikmat Islam ini berbeza dengan nikmat-nikmat yang lain. Allah turunkan rezeki, akal, tempat tinggal, pakaian kepada setiap orang. Tetapi Islam ini hanya diturunkan kepada hambaNya. Dan orang yang bukan Islam perlu mencari-cari nikmat yang satu ini. Alhamdulillah, saya dilahirkan dalam keadaan Islam.

Syukur itu indah kerana dapat menyedarkan kita daripada kelalaian. Syukur itu sendiri adalah sesuatu yang perlu disyukuri. 

Comments