Harry Hudson, Pesakit Kanser Yang Berjiwa Kental


Buat pengetahuan pembaca blog sekalian, bulan Januari merupakan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Sedunia. Kanser serviks juga turut dikenali sebagai kanser pangkal rahim yang kedua terbanyak berlaku dalam kalangan wanita selepas kanser payudara. Serviks bermaksud bahagian pangkal atau bawah rahim yang bersambung dengan vagina. Keadaan ini akan berlaku apabila sel-sel di bahagian serviks merebak secara luar biasa. Berdasarkan statistik carian saya di internet, dianggarkan lebih kurang 18 orang wanita daripada setiap 100 000 penduduk menghidap kanser ini. 

Setakat ini, punca yang menjerumus kepada kanser ini masih belum boleh dipastikan, tetapi terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepadanya seperti:

- Memulakan perhubungan seksual pada usia terlalu muda.
- Mempunyai pasangan seks berbilang
- Mengandung lebih dari 5
- Jangkitan kuman melalui hubungan seksual seperti 'HPV' 
- Kurang jagaan kebersihan anggota sulit
- Merokok (Kajian mendapati merokok boleh membuatkan sistem imun tubuh badan lebih terdedah kepada jangkitan virus dan penyakit berkaitan dengannya)
- Kurang daya tahan melawan penyakit, disebabkan oleh jangkitan atau penyakit tertentu.


Sekiranya kita masih dikurniakan anggota tubuh badan yang sihat dan sempurna, marilah kita bersyukur kepada Allah atas kurniaan-Nya ini. Mungkin kita bernasib baik, tetapi ramai juga insan lain yang menghidap kanser di luar sana. Dan mungkin, salah seorang daripada keluarga atau kenalan terdekat anda. Apa yang dialami oleh pesakit kanser tak mungkin sama dengan apa yang kita rasakan. Mereka mungkin menderita kerana kesakitan yang dialami, oleh itu kita perlu sentiasa menyokong dan membantu insan-insan terpilih ini. 

Saya ingin berkongsi kisah tentang seorang pemuda Los Angeles yang bernama Harry Hudson. Pada tahun ini usianya mungkin mencecah sekitar 21 tahun. Hudson merupakan seorang penyanyi. Namun tiga bulan selepas melancarkan album debutnya, dia disahkan menghidap Hodgkin’s Lymphoma sejenis kanser yang merebak daripada nodus limfoma ke bahagian yang lain. Tetapi meskipun menerima berita yang mengejutkan itu, Hudson masih tenang dan meneruskan kehidupannya sebagai remaja biasa. 


Sejak daripada itu, Hudson sentiasa mengemas kini perkembangannya di Twitter dan Instagram. Dia memutuskan untuk menjalani kemoterapi dan sepanjang tempoh rawatannya, Hudson sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan. Hudson sentiasa menulis tweet yang positif di Twitter dan tak pernah putus asa dengan kehidupannya. 



Alhamdulillah, dengan izin Allah Yang Maha Pemurah, akhirnya Hudson berjaya pulih daripada penyakitnya dan kini dia dapat meneruskan kehidupan dan perjalanannya yang masih panjang. Semoga kisah Hudson ni menjadi inspirasi untuk pesakit-pesakit kanser dan juga kita yang sudah berputus asa dengan segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.



Ibu kepada sahabat saya juga kini sedang bertarung nyawa melawan penyakit kanser. Beliau pada awalnya menghidap penyakit kanser usus tahap 4, namun kini kanser tersebut telah merebak ke hati dan paru-paru. Keadaan beliau kritikal sekali. Saya pinta doa kalian, doa ikhlas dari hati, supaya beliau dapat berjuang untuk kehidupan ini. Tidak ada apa yang mustahil dalam dunia ini dengan izin Allah Taala. Semoga sahabat saya itu terus kuat dan tabah melalui ujian Tuhan. Ingatlah bahawa ujian Allah juga merupakan salah satu nikmat yang diberikan kepada hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Semoga kalian terus kuat, wahai insan-insan yang terpilih!

Sumber rujukan:


Comments