Cerpen: Menarik



Menarik atau tidak cerpen ini bergantung kepada anda yang membacanya. Cerpen ini sekadar memenuhi masa lapang saya sahaja. Kenapa diberikan judul menarik? Bacalah. ;) Cerita tentang persahabatan lapan orang rakan dan konflik dalam persahabatan mereka. Enjoy.

Menarik
oleh Nurina Izzati

Angin bertiup begitu kencang dan menampar keras tubuh Daniel yang berlumuran darah itu. Pedang yang digunakannya untuk berlawan itu masih dipegang kuat. Dendam yang menyaluti tubuhnya begitu membara seolah-olah ada api yang sedang rakus menjilat dirinya. Daniel memerhatikan musuh ketatnya, Zack yang sudah separuh terduduk di hadapannya. Zack juga dibasahi dengan titisan darah yang menitis keluar dari mulut dan beberapa anggota badannya yang tercedera akibat pertarungan itu. Tubuhnya menggeletar. Jiwanya diselimuti perasaan gentar. Adakah dia akan tertewas sebentar lagi?

“A...aku mengalah,” perlahan sahaja kata-kata itu diungkapkan. Zack masih tertunduk memerhatikan debu-debu tanah yang sudah dicemari dengan darahnya itu. Daniel tersenyum sinis, berpura-pura tidak mendengar.
“Kau ulang balik,” pintanya dengan angkuh. Daniel menarik nafas panjang.

“Aku mengalah.” Demikianlah kata-kata kekalahan sudah diisytiharkan. Daniel menarik senyum panjang. Kemenangan kini telah berpihak kepada dirinya. Dia memusingkan tubuhnya dan memerhatikan Sofea yang masih berdiri kaku di tepi sedari tadi. Ada riak ketakutan tercalit pada wajahnya, namun Sofea masih mampu membalas senyuman Daniel. Mimpi ngerinya selama ini telah berakhir. Daniel bergerak mendapatkan Sofea.

Tanpa disedari, Zack di belakang ligat memikirkan taktik kotor untuk menghapuskan lawannya itu. Zack mengambil pedangnya yang sudah tercampak tadi. Api kemarahan kini telah membakar seluruh jiwa dan raganya. Zack menghayun tinggi pedang dan bersedia untuk membunuh lelaki di hadapannya itu. “Kau tak akan senang-senang sahaja mendapatkan Sofea! Rasakan!”

Gelap. Segalanya bertukar hitam. Siaran televisyen dimatikan. Kesemua pelajar aspura yang tadinya khusyuk menonton menjerit hampa. Seorang daripada mereka cuba membuka kembali televisyen namun usahanya tidak berjaya. Pasti suis utama telah dimatikan.

“Siapa pula yang matikan televisyen ni? Cerita tengah menarik ni!” seorang pelajar lelaki berambut cacak berdiri di hadapan televisyen sambil memandang kepada rakan-rakannya yang lain. Dia kemudiannya memasukkan kembali lollipop yang dihisapnya ke dalam mulut. Dia menatap seorang demi seorang rakan-rakannya. Mereka cuma mendiamkan diri kerana masing-masing tidak mengaku bersalah.

“Ada masalah, Ameenuddin Atif?!” Semua yang berada di Dewan Makan itu menoleh ke belakang. Mereka cukup mengenali suara tegas itu. Mata pelajar lelaki yang diseru namanya itu membulat. Cikgu Aishah Humaira, warden bertugas pada malam itu sedang berdiri di pintu masuk pelajar puteri. Lampu Dewan Makan segera dinyalakan. Ameenuddin yang tadinya bersuara kini cuma mampu menelan liur. Dia terdiam seribu bahasa.

“Apa kamu semua buat malam-malam buta ni, ha? Masuk asrama sekarang. Dalam kiraan sepuluh, sembilan, lapan...” kiraan daripada Cikgu Aishah Humaira itu menggerunkan jiwa pelajar-pelajar tingkatan lima yang berada di situ. Mereka terus lintang-pukang berlari masuk ke asrama putera kerana tidak mahu dikenakan sebarang hukuman oleh warden tersebut. Cikgu Aishah Humaira cuma mampu menggeleng kepala.

Mereka berlapan segera berlari naik ke aras tiga dan membuka lampu dormitri. Fazli membetulkan nafasnya yang tercungap-cungap akibat kepenatan berlari tadi. Dia mendaratkan tubuhnya di sebelah Asyraf yang sedang bersandar pada dinding. Asyraf menolak sedikit tubuh Fazli yang berbadan agak gempal itu kerana menginginkan ruang untuk bernafas. Di antara mereka berlapan, cuma Ameenuddin yang masih berdiri teguh. Setakat berlari naik ke aras tiga langsung tidak menjadi masalah buatnya. Lolipop masih kekal berada di dalam mulutnya.

“Aku tak faham betullah. Esok kan hari Jumaat, cuti sekolah? Dan sekarang baru jam 11 malam. Belum lights off lagi pun. Dah Cikgu Aishah tu kecoh,” Hilmi yang berparut di pipi mengeluh tidak puas hati. Menurutnya, apa yang dilakukan oleh mereka tadi langsung tidak menjadi satu kesalahan. Apa salahnya untuk mereka merehatkan diri sekali-sekala dengan menonton televisyen.

“Betul cakap kau,” Razak meletakkan sikunya di atas bahu Kamal yang masih masih tercungap-cungap. “Aku tak faham betullah Cikgu Aishah tu. Dah nak habis dah pun cerita tadi tu. Aku nak tengok siapa yang menang pertarungan tadi, Daniel ataupun Zack. Kan dah melepas,” Razak meluahkan rasa kesalnya. Semenjak tiga hari yang lepas dia sudah teruja mahu menonton cerita tersebut namun hasratnya untuk menonton sehingga ke penghabisan nampaknya tidak tercapai. Dia melepaskan nafas berat yang bercampur geram. Fattah yang duduk di sebelah kiri Razak cuma mendiamkan diri sahaja.

“Cikgu Aishah kan memang macam tu, nak buat macam mana,” Irfan Ariq Haikal atau lebih dikenali sebagai Ariq pula bersuara. Dia seolah-olah tidak mahu peduli lagi dengan apa yang telah terjadi tadi. Ameenuddin yang hanya mendengar rakan-rakannya mengeluh dari tadi cuba menenangkan mereka.

“Janganlah cakap macam tu, kawan-kawan. Memang salah kita pun. Esok kan hari Jumaat? Nak pergi sembahyang Jumaat lagi. Kita patutnya kena tidur awal. Janganlah cakap Cikgu Aishah macam tu,” Ameenuddin membuang lollipop yang telah hilang dihisapnya ke dalam bakul sampah.

Kamal tertawa mendengar kata-kata Ameenuddin. Meskipun dia mempunyai lagak seorang samseng dan mempunyai imej ala-ala ‘macho’, hatinya sebenarnya baik. Langsung tidak kena dengan gayanya! Tetapi apabila Ameenuddin serius, semua orang boleh berubah menjadi seram sejuk. “Kau ni Men, gaya saja macho, rambut cacak, dalam hati ada taman kan?” Kamal meluahkan rasa kepada rakannya yang kerap dipanggil Men oleh pelajar-pelajar asrama itu.

“Apa kata kau pikat sahaja Cikgu Aishah tu, Men? Bolehlah kita tidur lambat lagi lain kali,” Fazli menduga sengaja.

“Menarik,” Ameenuddin menyisir rambutnya gaya lelaki tampan. Kelapan-lapan mereka kemudiannya tertawa, termasuk dia sendiri.  Ada-ada sahaja yang mahu diusik oleh rakan-rakannya itu.

***

“Irfan Ariq Haikal.” Nama itu disebut secara lantang di hadapan kelas. Ariq berlagak tenang, namun dia sebenarnya sedikit gentar mahu mendapat keputusan ujian Biologi yang lepas. Ariq mengucap basmalah dan melangkah ke meja guru bagi mendapatkan kertasnya. Sesudah melihat markah yang ditanda dengan pen merah itu, dia tersenyum panjang. Suatu keputusan memberansangkan yang tidak terduga olehnya. Dia mendapat 75 markah untuk kali ini. Bukan senang dia mahu mendapatkan markah yang bagus untuk subjek itu. Mendapat A tolak pun sudah sedikit sebanyak menggembirakan hatinya.

“Kau dapat berapa, Ariq?” soal Ameenuddin teruja hendak mengetahui keputusan Ariq sesudah dia kembali ke tempat duduknya. Berkali-kali Ameenuddin mengangkat keningnya. Ariq sengaja mahu berteka-teki. “Kau dapat berapa?”

Ameenuddin tidak berpuas hati. “Aku biasa-biasa sahaja. Eh, aku yang tanya dulu, kau kenalah jawab dulu.”
“Ya lah, bos! Aku dapat 75, alhamdulillah,” senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Ternyata, Ameenuddin juga turut berkongsi kegembiraan Ariq.

“Alhamdulillah, markah kau naik! Tahniah. Usaha tangga kejayaan,” balas Ameenuddin. Belum sempat Ariq hendak menyoal tentang markahnya, Cikgu Uyun di hadapan berjaya menghentikan perbualan mereka apabila dia hendak mengumumkan pelajar yang mendapat markah tertinggi untuk ujian kali ini. Masing-masing yang berasa diri mereka yang akan disebut oleh Cikgu Uyun menarik nafas panjang dan berdebar-debar. Sukar untuk meramal siapa yang akan mendapat markah tertinggi kerana semua orang ada potensi yang tersendiri.

“Dan pelajar yang berjaya mendapat markah tertinggi ialah... Ameenuddin Atif sebanyak 87 markah. Tahniah cikgu ucapkan. Sedikit sahaja lagi untuk mendapat gred A tambah. Usaha lagi, ya? Dan cikgu mahu semua orang di dalam kelas ini juga berusaha lebih daripada Ameenuddin ya?” ujar Cikgu Uyun dalam nada ceria. Rakan-rakan sekelas mula bertepuk tangan meraikan kejayaan Ameenuddin. Ameenuddin sendiri tidak menyangka dia yang berjaya kali ini. Ariq yang tidak percaya segera melihat kertas Ameenuddin. Benar seperti apa yang diucapkan oleh Cikgu Uyun tadi, Ameenuddin mendapat 87 markah.

“Cis, kau lagi tinggi daripada aku, Men. Tak apa, ujian seterusnya aku pasti akan kalahkan kau,” Ariq senyum mencabar. Namun entah mengapa, perasaan sedih dan cemburu sedang mengulit hatinya. Ah, dia harus segera menapis perasaan itu jauh-jauh!

“Menarik,” Ameenuddin senyum balas. Dia suka bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran secara sihat. Dengan cara itu, mereka akan lebih bersemangat untuk belajar dan mendapatkan markah yang lebih tinggi di antara satu sama lain. Hampir sepuluh minit kemudian, waktu Biologi pun telah berakhir dan menandakan waktu rehat. Pada waktu itulah para pelajar berebut-rebut mahu mendapatkan kertas Ameenuddin sebagai skema jawapan untuk mereka melakukan pembetulan.

“Setakat bodek Cikgu Uyun itu memang tugas kau kan?” Hatta, rakan sekelas Ameenuddin secara tiba-tiba berbisik pada cuping telinga Ameenuddin sebelum berlalu pergi. Belum sempat Ameenuddin membalas apa-apa, Asyraf segera mendatanginya.

“87 Men? Dahsyat ya kau. Aku setakat B sahaja. Malulah aku begini,” Asyraf membetulkan kaca matanya yang hampir terjatuh akibat menjeling kertas Biologi Ameenuddin yang sedang dipegang oleh Fazli. Dia terpaksa meninggikan tubuhnya yang rendah untuk melihat kertas tersebut. Meskipun Fazli berbadan gempal, dia sebenarnya seorang yang tinggi dan mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang normal.

“Men, tahniah! Awak memang hebatlah! Lain kali ajarlah saya,” Fazura tidak mahu melepaskan peluang mengucapkan tahniah kepada lelaki yang diminatinya itu. Dia sudah lama terpikat kepada Ameenuddin sejak tingkatan tiga lagi. Siapa yang tidak terpikat kepadanya? Lelaki yang cukup pakej, kacak, berkaliber dan pandai. Malah di asrama puteri pun dia sering mendengar pelajar-pelajar junior bercakap tentang Ameenuddin.

“Tak payahlah Fazura, kau belajar dengan aku saja. Aku pun dapat A solid, cukup-cukup makan,” Razak tiba-tiba muncul, menghalang pemandangan Fazura daripada melihat Ameenuddin. Razak sudah kenal benar dengan perangai Fazura yang suka mengganggu rakannya itu. Ameenuddin juga pernah mengadu dia tidak suka diganggu oleh pelajar-pelajar perempuan.

“Tapi aku nak belajar dengan Men. Kau jangan sibuklah,” Fazura mula mencuka kerana perbualannya diganggu.

Fazli yang sudah selesai membelek-belek kertas Ameenuddin menghampiri setelah menyerahkan kertas ujian itu kepada orang lain. Sambil membuka tali lehernya, dia juga ikut campur. “Men dah janji nak ajar aku, Fazura. Kau belajar sajalah dengan Razak ni ha,” dia tidak mahu melepaskan peluang mengenakan Fazura. Fazura memandang Razak. Razak mengangkat kedua-dua belah keningnya. Fazura bertambah geram lantas menghentak kakinya dan segera beredar keluar dari kelas. Selagi Ameenuddin sentiasa dikelilingi oleh rakan-rakannya yang aneh itu, sukar untuk dia mendapatkan sebarang peluang!

“Men! Men! Tengok ni!” Khadijah menghampiri mereka dengan reaksi teruja. Pengawas sekolah itu tidak mengalihkan pandangannya daripada kertas ujian Ameenuddin.

“Kenapa?” Ariq pula yang menjawab. Jantungnya berdegup lain macam apabila Khadijah menghampiri meja mereka. Pandangan matanya hampir sahaja melekat kepada Khadijah selama beberapa minit namun segera dilarikan sejauh mungkin. Ariq teringat pesanan seorang ustaz, bermula daripada pandangan pun seseorang sudah boleh melakukan zina kecil. Dia segera menangkis bisikan syaitan yang hadir.

Khadijah menunjukkan salah satu jawapan Ameenuddin yang disalahkan oleh Cikgu Uyun padahal sudah terang lagi nyata jawapannya itu tepat. Bahkan, dia juga sudah memeriksa kertas jawapan rakan-rakan yang lain juga untuk kepastian. “Jawapan awak ni betul, Men. Pergilah beritahu Cikgu Uyun,” Khadijah meyakinkan bersungguh-sungguh. Sekiranya dibetulkan, Ameenuddin boleh menambah lagi dua markah. “Ya lah, Men. Lagi dua markah,” Ariq mengangguk kecil.

“Tapi kan, bukan Cikgu Uyun sudah masukkan markah ke dalam sistem maklumat murid? Mana boleh tukar lagi,” beritahu Asyraf. Seingatnya, itulah apa yang disampaikan oleh Cikgu Uyun di hadapan kelas tadi.

 “Tak perlulah kita sibuk-sibuk tentang markah aku ni. Jom rehat kawan-kawan.” Ameenuddin bangkit dari duduknya. Ariq, Asyraf, Fazli dan Razak membuntuti langkahnya. Ameenuddin sudah boleh diibaratkan sebagai ketua mereka. Ke mana dia pergi, pasti mereka mahu mengekori.

Khadijah yang masih terkejut cuba menghalang. “Tapi Men, awak tak nak tukar markah awak ke?” soalnya dengan penuh harapan.

“Menarik, tapi, terima kasih sajalah Khadijah. Dua markah sahaja pun. Gred aku tak berubah pun,” Ameenuddin membetulkan rambutnya agar kelihatan lebih kemas sambil melangkah keluar. Ariq memerhatikan wajah Khadijah yang kehampaan. Mengapa Khadijah bersungguh-sungguh mahu membantu Ameenuddin?

Mereka bergerak ke kantin untuk menjamah makanan ringan sahaja dan merehatkan minda yang sudah berjam-jam bertugas untuk menerima dan menyimpan ilmu yang disampaikan oleh guru sejak pagi tadi. Hilmi, Fattah dan Kamal sudah menunggu di meja biasa. Mereka telah menjamu selera terlebih dahulu.

“Tak tunggu kami dulu?” Razak menumbuk bahu Kamal dan menolaknya sedikit ke tepi. Dia menghirup air bandung yang berada di hadapan Razak itu.

“Amboi, sedap hati kau saja minum air aku kan?” Kamal pura-pura marah walhal tidak. Memang sudah menjadi kelaziman mereka semua untuk berkongsi-kongsi makanan dan minuman selama ini.

“Kan sunnah nabi, berkongsi makanan,” Ameenuddin menghisap lolipop yang dikeluarkan daripada poketnya. Rakan-rakan yang lain sudah pergi membeli minuman di meja jualan.

“Ohh, macam tu. Habis tu, makan lollipop pun sunnah nabi ya?” Kamal sengaja mengusik. Ameenuddin tersengih sahaja. Dia memang sudah terbiasa dengan lollipop sejak beberapa bulan ini. Mungkin mahu menghilangkan tekanan barangkali.

Setelah selesai membeli, Ariq, Asyraf dan Fazli pulang ke meja makan sambil menbawa minuman masing-masing. Cuma Fazli sahaja yang dilihat membeli sosej dan kentang goreng untuk dijamah. Dia membeli lebih sedikit untuk rakan-rakannya. Bukannya dia tidak tahu, apabila makanan diletakkan sahaja di atas meja nanti, pasti ada tangan yang menyentuhnya terlebih dahulu sebelum dia. Ramalannya tepat apabila Fattah terus mencapai kentang goreng sejurus sahaja dia tiba di meja makan.

“Oh ya. Kamu semua dah tengok notis pada papan kenyataan?” Fattah membuka cerita sambil mengunyah kentang goreng. “Notis apa?” soal Ameenuddin.

“Notis tentang Hari Bintang Sinar tu. Cikgu Rahmat sudah mengeluarkan nama calon-calon yang diundi untuk membuat persembahan pada hari itu,” jelas Fattah. Sebelum tiba di kantin tadi, dia, Hilmi dan Kamal sudah terlebih dahulu singgah di papan kenyataan sekolah.

“Eh? Dah keluar ya? Teruja pula aku. Aku memang dah lama teringin nak buat persembahan syarahan. Banyak skrip syarahan aku tak terpakai pun. Kalau aku terpilih, bolehlah aku guna semula skrip yang lama-lama tu,” Ariq mengukir senyum. Dia selalu mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan agama dan petah berbicara di hadapan orang ramai. Hari Bintang Sinar adalah hari yang boleh menggilapkan lagi bakat yang ada pada dirinya itu. Dia tidak berpeluang untuk menyertainya pada tahun lepas kerana terpaksa menarik diri untuk mengikuti keluarganya mengerjakan umrah pada waktu itu.

Hilmi dan Fattah berpandangan sesama sendiri. Fattah kemudiannya bersuara, “Sayang sekali, Ariq. Kami dah tengok papan kenyataan tadi. Nama kau tidak ada dalam senarai. Tetapi masih ada wakil daripada kumpulan ini yang terpilih untuk ikut serta Bintang Sinar.” Ariq, Ameenuddin, Asyraf, Fazli dan Razak terkejut kerana tidak percaya. Selain Ariq, siapa pula yang berbakat dalam kalangan mereka?

“Siapa?” Fazli meneguk minuman sambil pandangannya tidak lepas daripada wajah Fattah.

“Men!” Serentak Hilmi, Fattah dan Kamal bersuara. Ameenuddin yang mendengar hampir sahaja tertelan lolipop dengan batang-batangnya sekali. Keningnya diangkat sebelah tidak percaya.

“Aku?!”

“Men?!” Ariq terkejut bukan kepalang.

“Cikgu Rahmat nak aku buat persembahan apa?!” Ameenuddin cuba menenangkan dirinya. Setahunya dia bukannya berbakat mana jika hendak dibandingkan dengan Ariq. Dan dia cuma tahu bersilat sahaja. Tak mungkin dia perlu bersilat pula di atas pentas Bintang Sinar itu nanti? Itu semua mimpi ngeri!

“Di atas notis yang tertampal tu ada tulis, kau kena menyanyi,” Hilmi serba salah memberitahu.

“MENARIK!!!!!” Asyraf, Fazli, Razak, Fattah dan Kamal serentak mengajuk gaya percakapan Ameenuddin kuat-kuat sehingga pelajar lain yang sedang makan di kantin juga turut terganggu. Ameenuddin menelan liur.

***

Matahari terik memancarkan radiasinya. Ameenuddin menyeka peluh yang membasahi dahinya. Dia bertentangan mata dengan Kamal. Masing-masing fokus terhadap pihak lawan. Kali ini Kamal tidak mahu mengalah lagi. Sudah dua kali dia jatuh ke atas tanah tadi. Sekali lagi dia jatuh, dia akan kalah untuk pertarungan kali ini. Kamal menarik nafas bertenang. Ameenuddin memulakan serangan. Dia cuba mengelak ke kanan, namun entah bagaimana gerakannya itu dapat dibaca oleh Ameenuddin. Ameenuddin pantas menjatuhkan kaki Kamal yang sedang terbuka luas. Akhirnya, Kamal dengan mudah tersungkur di atas tanah buat kali ketiga.

“Bagus, bagus. Pemenangnya, Ameenuddin!” Hilmi yang menjadi pengadil membuat pengisytiharan kemenangan. Pelajar-pelajar yang menonton terpegun dengan kecekapan Ameenuddin dan mula bertepuk tangan. Ameenuddin menghulurkan tangannya kepada Kamal. “Kau ok?”

“Sakitlah, Men!” Kamal menyambut huluran tangan tersebut dan menegakkan kembali posisinya. “Alhamdulillah latihan hari ni dah tamat, kalau tak separuh nyawa aku kau kerjakan,” rungut Kamal. Badan-badannya masih sakit dek penangan silat Ameenuddin.

“Takkanlah aku nak buat kawan aku begitu,” Ameenuddin mengangkat kedua-dua belah keningnya.
“Aku hairan betullah!” Kedengaran Hilmi tiba-tiba bercakap seorang diri.

“Kau ni dah kenapa? Apa yang kau hairankan?” soal Kamal sambil meregang-regangkan badannya.

“Aku hairan. Setiap kali Men turun ramai orang yang turun padang hendak tengok silat. Kalau Men tak ada, alamatnya kosonglah padang silat ni!”

“Peminatlah tu! Tapi kau jangan risau. Mereka semua tidak akan berani mendekati Men. Semua orang ingat kita ni kumpulan gangster. Padahal bukannya mereka kenal pun dengan kita,” kata Kamal. Kali ini, dia menyeka pula peluh di dahinya.

Ameenuddin mencapai tuala kecil dari dalam begnya untuk mengelap peluh. “Mulut orang, memang menarik. Macam-macam yang keluar. Bukannya kita boleh halang pun. Lagipun aku tak peduli apa kata-kata orang lain. Asalkan aku bersama kawan-kawan aku, dah cukup.”

“Alala, so sweet,” Kamal berpura-pura manja sambil mencubit pipi Ameenuddin. “Geli aku!” Ameenuddin menepis tangan Kamal. Hilmi ketawa melihat telatah rakan-rakannya itu. Di gelanggang silat, mereka tampak begitu serius. Keluar sahaja gelanggang, sudah bermanja-manja pula. Hilmi menggeleng sambil ketawa.

“Abang! Abang!” Kedengaran suara seseorang memanggil. Kelihatan seorang junior lelaki sedang berlari-lari ke arah mereka dengan wajah yang cemas. Junior itu menghampiri mereka bertiga dalam keadaan tercungap-cungap.

“Kau dah kenapa ni dik?” soal Ameenuddin aneh melihat aksinya.

“Abang Men, Abang Hilmi, Abang Kamal! Masalah, bang! Masalah!” Tangannya menunjukkan ke arah gelanggang silat yang terletak tidak jauh daripada situ.

“Kenapa? Ada orang cederakah?” soal Hilmi sambil memegang parut di pipinya. Parut itu adalah kesan dihiris pisau oleh perompak yang cuba merompak rumahnya ketika dia masih di sekolah rendah. Parut itu jugalah salah satu punca yang menyebabkan orang ramai menganggap mereka berlapan sebagai gangster.

Junior itu menggeleng sambil memejamkan matanya. “Bukan bang. Abang Ariq gaduh, bang!!”

Ameenuddin, Kamal dan Hilmi berpandangan sesama sendiri. Ariq! Mereka berempat segera bergegas ke gelanggang silat yang kedua dan ternyata apa yang dicakapkan oleh junior itu benar. Ariq dan Hatta sedang bergaduh di gelanggang silat. Ameenuddin sudah boleh mengagaknya. Memang mereka berdua sedang bertarung silat, namun pertarungan sudah menjadi semakin ganas. Masing-masing sudah terbabas daripada etika persilatan.

“Menarik.” Ameenuddin pasti ini semua agenda Hatta.

“Kita kena tolong Ariq!” ajak Kamal. Hilmi mengangguk. Namun belum sempat mereka berdua mara ke hadapan, Ameenuddin menghalang tindakan mereka. “Kau dah kenapa, kita kena tolong kawan baik kita tu!” Kamal masih mendesak.

“Aku kenal betul si Hatta tu. Macam-macam benda yang boleh dia buat terutamanya untuk jatuhkan kita semua. Aku rasa, Hatta sengaja umpan Ariq supaya kita semua datang dan membantu dia. Pada masa itulah dia akan cuba jatuhkan kita,” bicara Ameenuddin penuh yakin.

“Kau ni biar betul, tak baik menuduh orang,” Hilmi cuba bersikap rasional.

“Kau berdua tunggu sini. Biar aku sahaja yang selesaikan semuanya. Hatta tu sebenarnya berdendam dengan aku sejak peristiwa tu...” Ameenuddin mengingat kembali.

Ketika di tingkatan dua, dia pernah berkawan rapat dengan Hatta. Tetapi lama-kelamaan persahabatan mereka mula regang kerana Hatta menuduh Ameenuddin mencuri wangnya yang berjumlah agak besar padahal dia langsung tidak tahu-menahu perihal wang tersebut. Hatta melakukan demikian kerana cuma Ameenuddinlah satu-satunya orang yang mengetahui tempat dia menyimpan wangnya. Sudah berkali-kali Ameenuddin mohon maaf namun kemaafaannya tidak diterima sehinggalah ke hari ini. Semenjak itu juga, pelbagai perkara yang telah dilakukan Hatta untuk menjatuhkan Ameenuddin. Peristiwa itu juga sudah menyebabkan ramai orang yang meragui kejujuran Ameenuddin. Cuma mereka yang celik hatinya mampu melihat kebaikan yang ada di dalam dirinya.

Hilmi dan Kamal saling berpandangan. Jika Ameenuddin sudah melarang mereka untuk ikut bertarung, mereka tidak mampu berkata apa-apa. Mereka tahu dia tidak mahu rakan-rakannya turut disabitkan kesalahan kelak.

Ameenuddin pantas memasuki gelanggang silat. Pelajar-pelajar junior yang menonton tidak berani mahu masuk campur. Mereka juga tidak boleh mengadu kepada guru pada saat itu kerana hari cuti. Cuma pelajar asrama dan beberapa orang warden sahaja yang tinggal. Ameenuddin meleraikan Hatta yang menyerang Ariq.

“Hatta, kau jangan ganggu kawan aku,” Ameenuddin menolak Ariq ke belakang. Hatta tersengih lebar kerana umpannya mengena. Tunggu masa sahaja dia mahu melaporkan kepada guru disiplin kelak. Lagipula, ramai saksi yang sedang menyaksikan.

“Mana kawan-kawan kau yang lain?” soal Hatta ingin tahu.

“Kau jangan babitkan kawan-kawan aku dalam semua masalah kita. Aku...” belum sempat Ameenuddin menghabiskan kata-katanya, Ariq menolaknya ke tepi. Ameenuddin memandang Ariq terkejut kerana tidak menyangka dia akan menolaknya.

“Men, kau jangan masuk campur. Ini urusan aku dengan dia,” Ariq menarik nafas panjang. Dia memegang pipinya yang mula kemerahan akibat ditumbuk Hatta sebentar tadi. Dia berang kerana Hatta mengejeknya. Hatta mengatakan bahawa selama ini dia hanya hidup di bawah bayangan Ameenuddin sahaja dan tidak pernah berdiri di atas kaki sendiri.

“Ariq, ini urusan aku, biar aku yang selesaikan,” Ameenuddin cuba berunding namun tidak diendahkan. Ariq sudah dikuasai kemarahan. Dia mula berasa kata-kata Hatta tadi benar. Ameenuddin seorang yang pintar sehinggu guru-guru menyayanginya. Ameenuddin juga kacak sehinggakan Khadijah menyukainya. Dan Ameenuddin mempunyai bakat yang hebat sehingga Cikgu Rahmat memilihnya untuk membuat persembahan pada Hari Bintang Sinar nanti. Dan dia? Dia cuma hidup di bawah telunjuk Ameenuddin sahaja selama ini.

Ariq menolak Ameenuddin kuat sehingga dia terjatuh. “Ini bukan urusan kau. Kau jangan masuk campur urusan aku. Kau jangan nak tunjuk kuat di sini. Aku boleh selesaikannya!” Ariq pantas menyerang Hatta bertubi-tubi. Hatta mula berdarah. Ariq benar-benar dikuasai kemarahan yang menggila. Hatta akhirnya tersungkur ke atas tanah. Ariq terus menyerangnya.

“Ariq, berhenti!” Berkali-kali rakan-rakannya menyuruh dia berhenti namun Ariq terus menumbuk wajah Hatta tanpa banyak berfikir. Namun untuk tumbukannya yang entah ke berapa, genggamannya ditahan. Ariq mendongak. Ameenuddin menggenggam kuat tangannya dan menolaknya ke sisi. Tubuh Ariq yang terhentak ke atas tanah itu serta-merta menyedarkannya ke dunia nyata. Hatta kini sudah benar-benar tidak sedarkan diri. Syaitan yang memerhati melonjak-lonjak gembira. Hilmi dan Kamal saling berpandangan. Ketika kejadian tersebut berlaku, Asyraf, Fazli, Razak dan Fattah yang tadinya berada di asrama segera berlari ke tempat kejadian. Mereka cuma dapat melihat tubuh Hatta yang sudah tidak bergerak.

Akibat kejadian itu, Hatta dihantar ke klinik oleh Cikgu Aishah Humaira. Sementara menunggu khabar daripada warden itu, mereka berlapan resah di aspura. Ariq masih lagi digenggam amarah.

“Kenapa kau buat begitu, Ariq? Kau tahu perbuatan kau boleh menyebabkan kau digantung sekolah? Paling teruk lagi, kau boleh dibuang sekolah? Kau tahu tak?” Ameenuddin menggenggam kedua-dua bahu Ariq. Ariq menangkis pegangan Ameenuddin. Rakan-rakan yang lain cuba menenangkan tetapi tidak ada gunanya lagi. Ameenuddin dan Ariq sudah bertukar serius.

“Kau nak tahu kenapa aku buat begitu? Sebab kau! Kaulah punca semuanya terjadi.”

“Aku? Apa yang aku dah buat?” Ameenuddin disapa rasa bersalah.

“Sejak kami berkawan dengan kau, semua orang ingat kita samsenglah, gangsterlah. Dengan rambut pacak kau tu, dengan lagak macho kau tu, orang dah tak berani dekat dengan kita. Kau cuma bawa masalah kepada kawan-kawan kita,” Ariq meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Fazli bangun cuba mempertahankan Ameenuddin. “Ariq, jaga sikit apa yang kau cakap tu. Kau sedar tak selama ni Men yang banyak membantu kita. Dia banyak lindungi kita. Dia yang ‘jaga’ kita. Kalau bukan sebab Men, cikgu pun tidak akan percayakan kita. Kau tak tahu apa yang dia dah buat selama ni. Jika ada salah satu di antara kita yang melakukan kesalahan disiplin, Men yang akan berjumpa dengan cikgu untuk minta pelepasan. Disebabkan penampilan Men jugalah, orang tak berani kutuk kita!”

“Kau jangan cuba nak belit keadaan, Fazli. Men memang cuma membawa masalah kepada kita,” Ariq merenung Ameenuddin tajam. “Sama ada kau pergi, atau aku yang akan pergi.”

“Ariq, kita semua kan kawan,” Fattah cuba menenangkan suasana.

“Menarik. Baik, aku pergi,” tanpa banyak bicara, Ameenuddin keluar daripada dormitri meninggalkan mereka bertujuh. Masing-masing terkesima. Ariq pula berasa lega.

***

Ameenuddin mengeluh panjang di dalam bilik muzik. Sebuah bilik yang sangat asing padanya. Disebabkan Hari Bintang Sinar semakin hampir, Cikgu Rahmat menyuruh dia untuk berlatih di dalam Bilik Muzik. Menurut Cikgu Rahmat, dia terpilih kerana ramai pelajar lelaki yang mencalonkan namanya. Mungkin kerana dia selalu menyanyi di asrama barangkali. Tiba-tiba, Ameenuddin teringat kembali kenangan bersama rakan-rakannya. Dia pasti, pada waktu-waktu petang begini, mereka sedang bermain bola sepak di padang. Dia sudah berasa jauh daripada rakan-rakannya semenjak dia membuat keputusan untuk meninggalkan mereka demi menjaga hati Ariq. Ameenuddin menghidupkan suis radio dan turut menyanyi mengikuti rentak lagi itu.

“Sedapnya kamu menyanyi,” Cikgu Abby tiba-tiba muncul. Ameenuddin malu sendiri. Suis radio segera dimatikan. Dia tidak menyedari sejak bila guru disiplin itu memerhatikannya. Cikgu Abby juga merupakan isteri kepada Cikgu Rahmat, guru muziknya.

“Cikgu Rahmat keluar tadi. Dia tak beritahu pula dia nak ke mana,” ujar Ameenuddin tanpa ditanya. Dia sudah pasti guru itu sedang mencari Cikgu Rahmat. Cikgu Abby membetulkan tudungnya sambil mengangguk. Dia mahu menutup kembali pintu bilik muzik namun Ameenuddin segera menghalang.

“Kenapa?” Cikgu Abby membuka pintu luas kembali. Ameenuddin tertunduk seketika. Kemudian, dia memandang kembali guru wanita di hadapannya itu. “Cikgu, sebenarnya saya ada beberapa pertanyaan tentang kes Hatta.”

Kata-kata Ameenuddin menarik perhatian Cikgu Abby untuk duduk dan mendengar. “Tetapi, kes itu kan dah selesai. Hatta beritahu saya, Ariqlah pelakunya.”

“Cikgu, kalau betul Ariq pelakunya, apa hukuman yang akan dikenakan?” soal Ameenuddin ingin tahu. Dia mahu tahu apa yang akan terjadi kepada Ariq. Adakah Ariq akan dibuang sekolah?

“Begini, tadi kami baru berbincang tentang kes ini. Disebabkan Ariq bakal menghadapi peperiksaan SPM tahun ini, kami bersepakat tidak akan membuangnya. Lagipun, kawan kamu tu sebenarnya baik budaknya. Entah apa yang menyebabkan dia bertindak sedemikian. Ariq cuma dikenakan hukuman gantung sekolah selama dua minggu,” jelas Cikgu Abby.

“Dua minggu? Nanti dia akan ketinggalan pelajaran! Dan dia juga akan terlepas menyaksikan Hari Bintang Sinar,” Ameenuddin tidak percaya.

“Terpaksalah. Itulah hukuman membuli pelajar lain.”

“Cikgu, saya ada pengakuan yang hendak saya buat.” Cikgu Abby memandang aneh anak murid di hadapannya itu. “Sebenarnya, Ariq buat semua tu untuk saya. Saya yang mengerjakan Hatta sedemikian rupa. Ariq paksa Hatta untuk menutup kesalahan saya. Ariq terlalu baik orangnya, dia sanggup melindungi rakannya sendiri.”

“Ameenuddin, apa yang kamu cakap ini serius, tahu? Kamu pasti dengan apa yang kamu katakan tadi?” Cikgu Abby mahu mendapatkan kepastian.

Angguk.

***

Kantin sekolah itu dipenuhi para pelajar yang berpusu-pusu hendak membeli minuman. Dan di salah satu meja, lima sekawan sedang sibuk menikmati juadah masing-masing. Fazli mengunyah burger yang dibelinya dengan gelojoh.

“Makan perlahan-lahanlah. Tercekik nanti siapa susah?” Ariq menggeleng kepala.

“Entah kau ni Fazli. Bila nak kurusnya? Setiap hari asyik makan sahaja. Konon nak kurus!” Asyraf membetulkan kaca matanya. Dia meneguk air sirap di hadapannya.

“Cakap dengan Fazli ni tak guna. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sia-sia!” Razak menambah. Kesemuanya tertawa kecuali Fazli.

“Baiklah, aku ada satu cadangan untuk kau. Kalau kau boleh kurangkan berat badan dalam masa 3 bulan, aku belanja ais-krim untuk kau selama sebulan!” Kamal mencadangkan. Mereka semua sudah sedia maklum dengan sifat Fazli yang suka makan tidak berhenti-henti. Kadangkala, di dalam kelas pun Fazli selalu curi-curi makan.

“Menarik!” Fazli menyetujui cadangan Kamal. Namun, mendengar sahaja perkataan itu, masing-masing terdiam termasuk Fazli sendiri.

“Dengar perkataan tu, sumpah aku rindukan Men,” Kamal bersuara memecahkan kesunyian.

“Ya lah. Aku rasa tak lengkap tanpa dia. Dah dua hari dia tak datang sekolah. Sebenarnya ada apa dengan Men? Ada keluarga dia meninggal dunia ke?” Razak menyoal. Dia sangat musykil dengan kehilangan Ameenuddin secara tiba-tiba itu.

“Buat apa peduli tentang dia? Dia yang tinggalkan kita semua,” Ariq berlagak marah, namun jauh di sudut hatinya dia sangat merindui sahabat karibnya itu. Sedikit demi sedikit perasaan kesal mula bertandang ke dalam hatinya.

“Kau tak faham-faham lagi ya? Men tinggalkan kita sebab dia berkorban untuk kau. Itupun susah kau nak faham!” Fazli memberitahu. Dia juga sangat merasakan kehilangan seorang sahabat. Jika Ameenuddin berada di situ, pasti dia yang akan mempertahankan Fazli daripada menjadi bahan bualan rakan-rakannya tadi. Ariq tidak membalas

Dari kejauhan, Hilmi dan Fattah berlari-lari pantas ke arah meja kumpulan itu. Mereka langsung tidak mempedulikan pandangan mata yang memerhatikan ragam mereka pada saat itu. Mereka berdua seolah-olah sedang dikejar penjahat.  “Kau berdua ni kenapa pula?” soal Asyraf. Aneh melihat kelakuan Hilmi dan Fattah itu.

“Ariq, kau nak tahu? Cikgu Rahmat pilih kau untuk buat persembahan masa Hari Bintang Sinar nanti!” Hilmi memberitahu. Bagaikan durian runtuh, sungguh Ariq tidak menyangka akan mendengar khabar sebegitu rupa. Ariq sudah tersenyum lebar kerana tidak menyangka impiannya akan menjadi kenyataan jua. “Ada satu lagi...”

“Apa?” soal Ariq.

“Kami berdua dapat khabar ni daripada Cikgu Rahmat sendiri. Katanya... kau terpilih sebab Men dah tak ada. Men digantung sekolah selama dua minggu kerana kes Hatta. Men mengaku kepada Cikgu Abby bukan kau yang belasah Hatta, tetapi dia,” terang Fattah. Semua yang mendengar diserang rasa terkejut. Ariq masih belum dapat menerima kenyataan.

“Patutlah Men hilang semenjak dua menjak ni. Rupanya dia dah digantung sekolah,” Fazli mengerut kening.

“Men... Men buat semua itu untuk aku?” Ariq tidak percaya. Asyraf meluku kepala Ariq. “Sekarang baru kau hendak sedar? Semuanya sudah terlambat! Kita tak boleh pulang untuk jenguk Men.”

“Men akan terlepas Hari Bintang Sinar, dan semuanya dia buat untuk aku. Aku memang tak guna,” Ariq mula menyalahkan dirinya sendiri. Dia benar-benar menyesal kerana telah menzalimi rakan baiknya itu. Ameenuddin adalah seorang sahabat yang sejati. Dia sanggup mengorbankan pelajarannya hanya demi seorang rakan. Ariq terkilan, kerana Ameenuddin pastinya tidak akan dapat menyaksikan Hari Bintang Sinar itu nanti.

Beberapa hari telah berlalu dan akhirnya hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Ramai ibu bapa yang datang untuk menyaksikan acara tahunan asrama itu. Terdapat 15 wakil pelajar yang dipilih untuk mempersembahkan bakat mereka kepada umum. Di belakang pentas, Ariq sudah bersiap sedia untuk gilirannya. Berulang-ulang kali dia bermundar-mandir sambil menghafal teks syarahannya. Dia mahu memastikan pertuturannya nanti lancar dan tidak tersalah tingkah. Rakan-rakannya yang lain turut membantu dengan memeriksa teksnya dan memperkemaskan pakaiannya. Beberapa minit sebelum persembahan Ariq bermula, mereka kembali ke tempat duduk penonton.

Ariq mengucap basmalah dan nak ke atas pentas sejurus sahaja namanya dipanggil oleh pengacara majlis. Suaranya begitu lantang dan syarahannya berjaya memukau penonton. Asyraf, Fazli, Razak, Hilmi, Fattah dan Kamal juga tidak berhenti-henti menepuk tangan setiap kali Ariq menyampaikan isi-isi penting yang menarik. Syarahan tersebut mengambil masa hanya sepuluh minit. Syarahan Ariq mendapat sambutan daripada penonton dan Cikgu Rahmat tersenyum bangga dengan persembahan anak muridnya itu. Ariq tidak perlu dilatih kerana dia telah mempunyai bakat semulajadi.

Selesai persembahan, rakan-rakannya segera mencarinya di belakang pentas. Namun, mereka melihat Fazura telah mendahului mereka. “Ariq, awak memang hebat! Nanti awak latihlah saya pula untuk berucap seperti awak,” Fazura melirik senyum penuh makna.

“Eh, Fazura!” Razak tiba-tiba sahaja muncul. “Kau belajar dengan aku pun boleh. Aku pun pandai berucap, cuma aku sengaja bagi peluang kepada Ariq hari ni.” Razak mengenyitkan sebelah matanya. Fazura sudah hampir termuntah. “Aku pun boleh Fazura,” Fazli mengangkat kedua-dua belah keningnya, sengaja menggoda.

“Sudahlah. Jangan ganggu kami lagi. Pergi sana,” Kamal menghalau Fazura dari situ. Fazura berasa tersinggung dan pantas berlalu pergi. Dasar budak-budak aneh!

“Ariq, hebatlah kau. Gaya Dr. Fadzilah Kamsah gitu,” Fattah menepuk bahu Ariq penuh bangga. Ariq tersengih sahaja, namun dia masih merendah diri. “Macam mana dengan persembahan aku tadi? Nampak gugup tak?” soal Ariq.

“Persembahan kau mestilah...”

“Menarik.” Semua yang ada di situ terdiam. Serentak, mereka mengalihkan pandangan ke sebelah kanan. Seorang lelaki bertopi dan berkaca mata hitam sedang tersenyum ke arah mereka.

“Siapa pula ni?” Hilmi tertanya-tanya. Lelaki itu kemudiannya mengeluarkan sebatang lolipop, membuka plastiknya lalu menghisapnya. Kemudian, barulah mereka mampu tersenyum gembira. Ariqlah orang pertama yang mendapatkan Ameenuddin. Dia membuka topi Ameenuddin. Rambutnya sudah tidak berapa cacak lagi. Mereka berpelukan agak lama. Ariq berkali-kali memohon maaf kepada Ameenuddin, begitu juga rakan-rakan yang lain. Mereka juga secara tidak langsung telah bersalah. Ameenuddin cuma menggeleng sahaja.

“Semuanya tak penting. Apa yang telah terjadi, biarkan sahaja berlalu. Yang penting, kau semua kawan-kawan baik aku sampai bila-bila,” Ameenuddin tersengih.

Setelah tempoh hukuman Ameenuddin tamat, dia kembali bersekolah lagi seperti biasa. Mereka berlapan kini sedang sama-sama berjuang untuk menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. Mereka bersepakat untuk tidak memikirkan tentang cinta mahupun sengketa. Apa yang penting hanyalah fokus terhadap pelajaran sahaja. Hatta sudah tidak berani lagi mengganggu Ameenuddin dan rakan-rakannya kerana bimbang akan tidak sedarkan diri lagi seperti tempoh hari. Apa yang paling menarik, hubungan Ameenuddin dan Ariq menjadi lebih akrab daripada biasa. Sebuah ukhuwwah ternyata akan bertambah lebih erat dengan adanya dugaan daripada Yang Esa.

***

“Ariq, biar aku beritahu kau satu rahsia yang menarik,” ujar Ameenuddin.

“Rahsia apa?”

“Perhubungan kita memang ditakdirkan untuk jadi menarik.”

“Kenapa?”

“Men dan Ariq. Menarik kan?”

Mereka sama-sama tertawa.

TAMAT

Comments

Post a Comment