Pages

Thursday, December 5, 2013

Soal Jawab: Ikhlaskah Dia Dalam Berkawan?



Sedang saya membuka inbox e-mel, saya terjumpa satu e-mel yang telah saya terlepas pandang kiriman salah seorang pembaca blog ini. Dan soalan kedua yang diajukan oleh saudari Nur Hannan tersebut telah membuatkan saya tersenyum sendiri. Pertanyaan ini telah dilontarkan beberapa bulan yang lalu dan saya meminta maaf kerana terlewat membalasnya. InsyaAllah, saya cuba jawab persoalan beliau berdasarkan pengetahuan yang sedia ada.


1. Bagaimana mahu khusyuk dalam solat?

Khusyuk dalam solat itu memang susah untuk dicari. Kadang ketika sedang solat, mulalah otak kita memikirkan nak makan apa malam ni, nak update apa dalam blog, nak jalan mana esok dan pelbagai lagi pertanyaan yang datang bertandang sekaligus menghilangkan kekhusyukan dalam beribadah. Perkara yang utama sekali yang saya pelajari ketika tingkatan empat ialah kita perlu sentiasa memastikan makanan, pakaian dan tempat tinggal kita berada dalam keadaan yang bersih dan suci serta tidak bersumberkan pendapatan yang haram. Allah tidak akan memandang doa orang yang makan dan berpakaian daripada sumber yang haram. Perkara-perkara inilah yang menjadi halangan utama doa kita dengan Tuhan.

Kemudian saya masih ingat beberapa pesanan daripada seorang ustaz, setiap kali solat kita harus menganggap seolah-olah solat itu merupakan solat terakhir kita. Bayangkan kematian yang boleh datang pada bila-bila masa sahaja. Sudah pastilah kita akan menunaikan solat dengan bersungguh-sungguh. Seterusnya, jangan amalkan dirikan solat di akhir waktu. Apabila kita solat akhir waktu, solat itu akan menjadi tergopoh-gapah dan sudah pastilah tidak khusyuk. Jangan lupa juga tertib dalam solat iaitu berhenti sekejap setiap rukun. Namun seringkali juga saya melihat solat yang dilakukan ibarat patuk ayam. Nak cepat. Hidarilah sikap ini seboleh-bolehnya. Sesiapa yang menyegerakan urusan Allah, nescaya Allah akan menyegerakan urusannya di akhirat kelak.

Hilangkan rasa ragu-ragu dalam diri sebab keraguan ini berpunca daripada syaitan. Syaitan akan sentiasa menghasut kita ketika beribadah. Yakinlah bahawa solat yang dikerjakan itu akan diterima Allah.

2. Bagaimana mahu mencari sahabat yang baik dan ikhlas berkawan dengan kita?

Kalau dibincangkan tentang isu sahabat ni memang complicated sedikit. Kerana keikhlasan ini melibatkan hati, dan hati seseorang itu mudah berbolak-balik. Pegangan yang saya cuba amalkan dalam persahabatan, adalah bersahabat kerana Allah. Ramai yang masih tertanya-tanya tentang pengertian bersahabat kerana Allah. Bersahabat kerana Allah ini bukan bererti kita harus duduk 24 jam dalam masjid dan membincangkan isu-isu keagamaan semata-mata. Kalau begitu memang susahlah untuk dipraktikkan.

Sumber carian Google

Bagi saya, dalam berkawan, tujuan saya cuma satu iaitu untuk berkawan berlandaskan syariat Islam. Segala perbuatan tidak melebihi batasan yang ditetapkan Islam. Kerana itulah saya agak takut dengan istilah sahabat baik antara lelaki dan perempuan kerana dikhuatiri boleh membawa kepada kemungkaran. Yang penting kita kena pandai jaga batas.

Tidak ada manusia yang sempurna dalam dunia ini. Sebagai rakan, sudah tentulah kita akan banyak melakukan kesalahan sesama sendiri. Ada masanya kita akan senyum kepada mereka dan ada masanya mungkin akan bermasam cuka. Itu norma dalam persahabatan. Dan masalah-masalah dalam berkawan itu sebenarnya yang akan mengukuhkan lagi ukhuwwah yang ada. Apabila sampai waktu tertentu, kita akan terimbas kembali kenangan bergaduh dengan rakan kerana perkara remeh-temeh dan akhirnya tersengih sendirian.

Untuk mencari seorang rakan yang baik, terlebih dahulu kita sendiri yang perlu menjadi baik. Dan pastinya banyak berkorban demi rakan-rakan. Jangan fikirkan apa balasan yang akan kita terima hasil pengorbanan kita itu tetapi sebaliknya hargailah setiap saat yang ada bersama rakan-rakan. Dan kalau ada masalah, kita cuba selesaikan dengan meminta maaf. Kurangkan segala ego yang menguasai diri. InsyaAllah lambat-laun rakan kita itu akan menerima kemaafan daripada kita. Jika tidak berkesan juga, mungkin Allah telah mentakdirkan sesuatu yang jauh lebih baik kemudian hari. Percaya dengan hikmah Allah dan jangan mudah emosi dalam berkawan.

Bekas locker asrama

Tips saya dalam berkawan, kita kena cuba tunjukkan bahawa kita sayang dan peduli supaya rakan-rakan rasa dihargai oleh kita. Kalau dari segi ucapan, bolehlah sebut “Aku sayang kau” ataupun “Uhibbukifillah” walaupun ucapan itu nampak macam gurauan. Anda juga boleh kirimkan teks kepada rakan yang menunjukkan anda masih ingat tentang dirinya. Boleh juga bagi sticky note yang bertulis ayat-ayat yang berunsur positif. Kalau perempuan, boleh pegang tangan waktu berjalan. Lelaki pun boleh, tidak ada salahnya. Perspektif orang lain kadang-kadang tidak berapa penting dalam sesetengah keadaan. Yang penting, semuanya kita lakukan untuk kejar kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sekiranya rakan ada melakukan kesalahan, kita cuba tegur dengan cara berhikmah. Seorang muslim itu diciptakan untuk muslim yang lain bagi saling melengkapi. Demi masa sesungguhnya manusia itu rugi melainkan mereka yang beramal soleh dan yang saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran. Rakan yang baik akan sentiasa menghargai kita dan berada ketika saat senang dan susah. Konklusinya dalam bersahabat, kita cuba jadi diri sendiri dan sentiasa ingat akan keredhaan Allah. A real friend is hard to find, but difficult to leave and impossible to forget.


Mudah-mudahan artikel yang ditulis ini sedikit-sebanyak dapat menjawab pertanyaan saudari Nur Hannan dan para pembaca blog ini. Sebarang pertanyaan boleh e-melkan kepada nurina24@ymail.com dan insyaAllah saya akan cuba menjawabnya. Jom jadi baik. J

No comments:

Post a Comment