Pages

Tuesday, December 24, 2013

Sains Menolak Dongeng Bumi di Atas Tanduk Lembu



Bismillahirrahmanirrahim.

Membaca buku Mengemudi Bahtera Perubahan Minda tulisan Dr MAZA memberikan pelbagai ilmu kepada saya yang mahu dikongsikan dengan semua. Dunia hari ini sudah dilingkari dengan arus penuh kemodenisasian. Sains dan teknologi berjaya mengatasi dan kadang-kadang sehingga menakluki sikap dan minda masyarakat zaman ini. Oleh itu, tidak mustahillah segala dongeng, mitos dan kisah-kisah yang disampaikan oleh segelintir golongan yang mengaku dirinya arif dalam sesuatu bidang itu dan dapat disangkal oleh sains dan teknologi.

Beberapa perkara yang ingin saya kongsikan lantaran masyarakat kini terlalu lantang mempercayai bulat-bulat apa yang disampaikan oleh orang lain tanpa sebarang hujah dan dalil yang kukuh.

Ya, inilah hakikat dunia hari ini. Kita terlalu bergantung harap kepada orang lain dan ada yang terlalu mengagung-agungkan individu tertentu sampai menelan semua yang diperkatakan, meskipun jika diikutkan logik akal semua itu adalah mustahil. Saya berikan satu contoh hadis palsu yang berjaya mengaburi mata sesetengah pihak.

“Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu itu berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.” [ Hadis Maudhu`(Palsu), Ibnul Qayyim Al-Manar al-Munif, ms 78]

Sumber carian Google

Hadis ini secara terang-terangan merupakan kenyataan yang tidak boleh diterima oleh logik akal. Dan sains hari ini sudah berjaya membuktikannya. Cuba fikirkan, seperti yang umum ketahui, bumi ini terletak di angkasa lepas. Jadi sudah pastilah bumi ini terapung-apung di udara. Bagaimana pula bumi boleh diletakkan di atas sebiji batu, dan lagi aneh di batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan? 

Sedangkan setakat ini belum ada lagi pembuktian sains yang menyatakan ada kehidupan lain selain di bumi. Dan saya langsung tidak boleh membayangkan seekor lembu menggoyangkan tanduknya sehingga boleh menyebabkan gempa bumi. Masha Allah.

Begitu juga dengan kisah Merong Mahawangsa. Di sebalik lakonan Stephen Rahman dan Ummi Nazeera, kisah sebenar hikayat ini menceritakan tentang wujudnya pelbagai mitos seperti garuda, jentayu dan helang yang boleh berkata-kata dan berperang. Tetapi buat mereka yang mengkaji, haiwan-haiwan itu cuma merupakan simbolik kepada sekumpulan manusia yang berperang. 

Terdapat satu lagi hadis palsu yang sering kita dengar iaitu “Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri Cina”. Hadis ini merupakan antara hadis-hadis palsu yang dinyatakan pula dalam buku 40 Hadis Palsu Popular tulisan Abdul Razak Muthalib. Hadis ini diakui palsu kerana terdapat kecacatan pada sanadnya. Jika difikirkan secara logik, kita memang sangat dituntut oleh Rasulullah untuk menuntut ilmu.

Namun, hadis ini seolah-olah menggalakkan untuk kita menuntut ilmu sehingga ke negeri Cina padahal ilmu ini bersifat universal, bukannya spesifik. Terdapat banyak percanggahan pendapat ulamak tentang hadis ini. Ada yang mengatakan negara Cina cuma sebagai perumpamaan kepada satu tempat yang sangat jauh. Walaupun begitu, kita tetap tidak boleh menggunakan hadis ini kerana dihukum palsu. 

Begitu hebatnya penangan dongeng dan hadis-hadis palsu yang menular dalam masyarakat kita kini. Rentetan senario itu, kita perlulah berhati-hati dalam menerima dan mengamalkan kisah yang tidak dipastikan buktinya dan yang tidak masuk logik akal. Tidak ada salahnya kita bertanya kepada seseorang itu tentang kesahihan sesuatu perkara meskipun dia merupakan seorang ustaz ternama mahupun ulama termasyhur. Melalui cara ini, barulah kita akan mendapat kepastian yang sebenar dan sama-sama dapat menambah ilmu di dada. Apa-apa pun, jangan main-main dengan hadis dan kita perlu berhati-hati sebelum menyebarkannya kepada orang ramai.

1 comment:

  1. Alhamdulillah. terima kasih atas ilmu ilmu yg di beri :)

    ReplyDelete